Mohd hafiz ismail
TANGGAL 12 Rabiulawal 1435, yang juga dikenali sebagai tahun gajah lahirnya pemimpin besar Umat Islam, Nabi Muhammad SAW.
Jika disoroti kembali sirah perjuangan Rasulullah dalam menegakkan
kebenaran Islam, Baginda terpaksa menempuhi berbagai dugaan dan cabaran
semata-mata memperjuangkan agama suci ALLAH SWT itu.
Malah, saban tahun umat Islam di seluruh dunia mengadakan pelbagai
acara memperingati peristiwa Maulidur Rasul iaitu kelahiran Nabi
Muhammad SAW yang dikasihi.
Bagi naib johan program Mimbar Pencetus Ummah, PU Shahul, sebagai umat
Rasulullah, adalah wajar kita menghargai setiap pengorbanan Rasulullah
dan memperingati Baginda dengan apa cara sekalipun termasuklah sambutan
Maulidur Rasul, asal tidak melampau batas syariat.
“Dalam satu Hadis Imam Muslim dalam satu bab menyatakan Rasulullah SAW menyambut hari kelahirannya dengan berpuasa pada Isnin.
“Kenapa berpuasa saya kata di sini? Ini kerana Nabi kita menzahirkan
rasa kesyukuran dan nikmat kepada Allah SWT kerana dilahirkan di dunia
ini sebagai ketua kepada umat manusia.
“Pada Hari Isnin Baginda dilahirkan dan pada hari Isnin juga Baginda
dilantik menjadi Rasul. Justeru, Maulidur Rasul boleh disambut dan perlu
disambut bagi memperingati nabi junjungan kita Muhammad SAW,” katanya.
Pepatah Melayu ada menyebutkan ‘tak kenal maka tak cinta’. Bagaimana
seseorang itu boleh menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tidak ada
rasa cinta terhadap Baginda?
Menurut PU Shahul, jika kita ingin mencintai seseorang itu, kita perlu mengenalinya terlebih dahulu.
“Tidak mungkin manusia itu boleh menyayangi sesuatu yang mungkin dia
tidak kenali, sebagai contoh lelaki ingin mencintai seorang wanita.
Perlu kenal dahulu perilakunya, hatinya, rupa parasnya, fizikalnya.
“Begitu juga mencintai Rasulullah, perlu kenal dahulu siapa Baginda, bagaimana sifat-sifat Baginda, perilakunya,” katanya.
Ikut sunnah Rasulullah
Tambah PU Shahul mungkin ramai dalam kalangan kita yang cuba untuk
mendekatkan diri kepada Rasulullah namun tidak tahu bagaimana untuk
memulakannya.
Mungkin sesetengah daripada kita rasa berat untuk memulakannya. Akan
tetapi cara terbaik adalah dengan mengikut sunnah Rasulullah yang paling
senang iaitu dengan menggunakan tangan kanan semasa melaksanakan
sesuatu urusan harian.
“Contoh terbaik dalam kehidupan kita adalah dengan memakai baju dan
seluar dengan menggunakan tangan kanan dan kaki kanan terlebih dahulu.
"Ini kerana, Rasulullah ketika hayat hidupnya menggunakan tangan dan
kaki kanan terlebih dahulu dan tidak suka memulakan perbuatan dengan
tangan dan kaki kiri kecuali setelah selesai sesuatu perkara seperti
membuka baju dan menanggalkan selipar," katanya.
PU Shahul berkata, mulakanlah dengan sekecil-kecil sunnah sebagai permulaan dan ke peringkat yang seterusnya.
“Biasanya mula-mula kita akan rasa terpaksa lama kelamaan akan lahir
keikhlasan dan perkara ini juga yang saya lakukan daripada dahulu.
Saya juga seorang yang kidal, namun saya berusaha untuk mengubah tabiat menggunakan tangan kiri saya.
"Dengan ini setiap perbuatan kita yang mengikut sunnah Rasulullah
membuatkan kita rasa ingin dan ingin lagi melakukan apa sahaja yang
dilakukan oleh Baginda.
“Dalam masa sama kita memperoleh pahala dan mendekatkan diri kepada kecintaan terhadap Rasulullah,” katanya.
Merujuk kepada kitab yang dikarang Imam Al-Tirmizi, PU Shahul berkata,
terdapat banyak hadis yang menceritakan tentang keperibadian Nabi
Muhammad yang boleh menjadi ikutan umat Islam.
“Dalam kitab tersebut juga menyatakan satu persatu peribadi Rasulullah
sebagai contoh bagaimana Rasulullah berjalan, bagaimana Rasulullah
makan, bagaimana Rasulullah minum dan banyak lagi.
“Bermakna di sini jika kita mengenali keperibadian Rasulullah, pasti
kita akan mengingati, mencintai dan menyayangi Baginda,” katanya.
No comments:
Post a Comment