Ditambah pula, dengan keharuman aroma teh hasil daripada benih 
berkualiti tinggi yang sememangnya menjanjikan kelainan rasa dan 
keunikan tersendiri khususnya bagi peminat minuman itu.
Selain rasa yang menyegarkan, menikmati teh di puncak pusat pelancongan
 tanah tinggi yang terletak di Pahang ini sambil dikelilingi pemandangan
 hijau dan keindahan flora, sudah pasti memberi kedamaian kepada sesiapa
 sahaja.
Apatah lagi, iklimnya yang dingin dengan suhu nyaman sepanjang tahun 
antara 14 hingga 24 darjah celcius berdasarkan kepada kedudukannya yang 
berada 1,400 dari paras laut.
Maka, tidak menghairankanlah apabila ramai mengakui kenikmatan teh di 
tanah tinggi ini bukan sahaja luar biasa rasanya dan memberi pengalaman 
berbeza.
Malah, begitu berperisa dan ini yang dirasai oleh sekumpulan media yang
 membuat liputan di Taman Agroteknologi, Institut Penyelidikan dan 
Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) baru-baru ini.
Amalan salah
 
"Teh di sini berkualiti tinggi, rasanya asli dan kaya dengan khasiat 
tersendiri. Umum sedia maklum terdapat pelbagai jenis teh seperti teh 
hitam (pilihan ramai), teh hijau, oolong (sejenis teh tradisional negara
 China), yang mempunyai banyak khasiat.
"Bagaimanapun, hampir sebahagian besar masyarakat mengamalkan cara 
penyediaan dan minum teh yang salah", kata Pembantu Penyelidik Kanan, 
Mardi, Mohd Noor Bahauddin.
Kesilapan amalan ini, akhirnya menyebabkan khasiat yang terkandung 
dalam teh itu tidak dapat diperoleh secara 100 peratus. Dan, paling 
menyedihkan apabila amalan tidak betul itu menghapuskan atau 
menghilangkan terus khasiat tersebut!
Walhal, teh yang menjadi sebahagian amalan seharian manusia hari ini 
sudah diakui di beberapa negara sebagai antara minuman berkhasiat untuk 
kesihatan tubuh badan.
Dipetik kajian seorang pakar dari University of Illinois, masalah gigi 
berlubang dan jangkitan gusi boleh dielakkan sekiranya mengamalkan 
meminum teh dengan cara betul.
Ini kerana, kandungan polyphenols di dalamnya boleh mengurangkan 
bakteria di dalam mulut selain dapat mengurangkan nafas berbau yang 
menjadi masalah sebahagian orang.
Kajian kesihatan lain juga mendapati amalan minum teh baik untuk 
jantung, meningkatkan daya ingatan, melancarkan perjalanan darah, 
mengurangkan tekanan serta mengelak kanser.
Ini diperkukuhkan hasil kajian di Jepun, mendapati golongan warga emas 
yang mengamalkan minum teh hijau mempunyai daya ingatan lebih baik 
secara purata berbanding mereka yang jarang minum teh.
"Namun, semua ini hanya dapat diperoleh apabila meminum teh dengan cara dan kuantiti yang betul", jelasnya.
Hanya nak sedap
 
Sememangnya tidak dinafikan bahawa teh yang dihidangkan panas mahupun 
sejuk menjadi pilihan kebanyakan masa khususnya waktu petang sambil 
menikmati pisang goreng, kuih-muih ataupun ketika tetamu berkunjung 
tiba.
Minuman ini telah lama diamalkan sejak 5,000 tahun dahulu di China dan 
adalah antara minuman tertua yang menjadi kegemaran masyarakat tidak 
kira peringkat umur.
Malahan, turut dijadikan adat dalam sesuatu perkahwinan.
Justeru, tidak menghairankanlah pelbagai produk teh berada di pasaran 
ketika ini dengan perisa-perisa menarik seperti strawberi, epal yang 
ditambahkan lagi kesedepannya dengan hirisan lemon.
"Kebanyakan orang minum teh dengan cara yang salah kerana mementingkan 
kesedapan sahaja. Apabila saya jelaskan kepada mereka (pengunjung Taman 
Agroteknologi) mengenai khasiat teh, ramai terkejut.
"Mereka tidak tahu bahawa selama ini cara penyediaan teh yang diamalkan
 boleh menjejaskan khasiatnya dan ada pula mendedahkan kepada risiko 
penyakit", katanya.
Misalnya, teh tarik adalah minuman kegemaran hampir majoriti besar 
masyarakat tempatan yang mana penggunaan susu berlebihan boleh 
mendedahkan mereka kepada risiko diabetis.
Walhal, teh yang kaya dengan khasiat ini dan sepatutnya membawa 
kebaikan kepada kesihatan akhirnya menjadi 'punca' masalah kepada 
rangkaian penyakit.
Sedangkan, dengan hanya meminum teh sekurang-kurangnya dua kali sehari 
dapat menghindarkan penyakit seperti angin ahmar, menguatkan tulang 
tetapi semuanya hanya berhasil apabila tidak mencampurkan bahan pemanis 
seperti susu dan gula.
"Bergantung cara hidup masyarakat. Kalau mereka mengamalkan hidup sihat, penyakit dapat dihindarkan.
"Masalahnya, masyarakat suka kepada benda sedap dan teh tarik itu 
adalah antara pengambilan tanpa kawalan boleh mendedahkan kepada 
penyakit", katanya.
Suka rendam
 
Selain mengurangkan campuran dua bahan pemanis itu, kandungan khasiat 
teh dapat dirasai sebaiknya melalui kaedah manual atau cara lama dalam 
penyediaannya.
Dengan menggunakan serbuk teh yang dibancuh air panas dan kemudian 
ditapis, khasiatnya lebih terjamin. Namun, disebabkan agak leceh 
membuatkan ramai cenderung memilih teh uncang.
Selain mudah dan jimat masa, penukaran teh uncang juga bertitik tolak 
daripada beberapa isu berkaitan produk teh timbang yang dikesan 
mengandungi
bahan pewarna berlebihan sehingga boleh menjejaskan kesihatan jangka masa panjang.
Namun di sebalik tanggapan ramai teh uncang adalah selamat, hakikatnya 
ia juga mempunyai kelemahan dan boleh mengundang kesan buruk kepada 
seseorang individu.
Ini kerana, hampir sebahagian besar daripada kita suka merendam uncang 
teh terlalu lama dan hanya akan membuangnya setelah selesai menikmati 
minuman itu.
Walhal, adalah sebaiknya ia dicelup tidak lebih daripada lima minit dan
 dalam tempoh itu, menurut Mohd Noor sudah cukup untuk mendapatkan warna
 sesuai, rasa serta aroma diingini.
"Kita khuatir kertas uncang digunakan berkualiti rendah yang turut 
mengandungi campuran lilin sehingga boleh menjejaskan khasiat teh 
apabila direndam lama.
"Bagi mereka yang sistem badannya tidak kuat, mungkin boleh mendapat 
sembelit. Ini kerana, teh adalah seperti herba lain yang mana apabila 
pengambilannya melebihi kapasiti penerimaan badan, tentu ada kesannya", 
jelasnya.
Jangan kedekut
 
Tetapi itu tidak pekat, antara rungutan kedengaran mengenai panduan 
penyediaan teh sebetulnya. Kata Mohd Noor, adalah lebih baik menggunakan
 dua atau tiga uncang untuk kepekatannya berbanding rendam begitu lama.
"Kalau cair pun, khasiatnya berkurangan. Yang penting, warnanya tidak 
berapa merah dan rasanya tidak begitu kelat", jelas beliau, yang pakar 
dalam bidang ini lebih 20 tahun.
Beliau juga menegur sikap segelintir orang yang agak 'kedekut' apabila 
menggunakan teh uncang sama berkali-kali sehinggalah langsung tidak 
dapat mengeluarkan warna lagi.
Tabiat ini, harus dihentikan kerana bakteria akan berkumpul di dalam 
uncang ini setelah dibiarkan begitu lama. Satu lagi, tabiat harus 
dikikis adalah amalan minum teh yang dibiarkan lama atau semalaman 
kerana telah dipenuhi bakteria.
Ini kerana, terdapat sejenis bahan kimia tumbuhan dalam teh tersebut 
yang akan bertindak balas menjadi asid apabila ia dibiarkan terlalu 
lama.
"Ramai menyimpulkan bahawa teh pembawa angin. Ini silap dan tidak ada 
kaitan langsung. Masalah kembung perut, adalah disebabkan minum teh yang
 sudah sejuk dibiarkan lama dan selalunya berlaku bagi mereka yang tidak
 tahan.
"Berbeza teh ais kerana wap dihasilkan oleh ais itu adalah panas. 
Dinasihatkan mereka yang selalu kembung perut setelah minum teh, 
digalakkan minum ketika ia masih panas lagi", katanya. - Bernama