UtusanDaily

Friday 27 June 2014

“It’s An Unofficial Party” – Keith Foo

keith
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengenai berita pertunangan pelakon, Keith Foo yang baru-baru ini mula tersebar selepas sekeping foto yang dimuat naik ke Instagram oleh pereka fesyen, Alia Bastamam.

Dalam gambar yang menunjukkan Keith sedang mengucup pasangannya, Kim Raymond, Alia turut menulis kapsyen “Kim and Keith are engaged! Congratulations to Kl’s most gorgeous couple. We can’t wait for the big day guys!”.

Bagi mendapatkan kepastian, Media Hiburan Online berjaya menghubungi Keith dan dia bersedia memberikan jawapan.

“Sebenarnya, foto tersebut diambil sejurus selepas acara KL Fashion Week. Ya, lokasinya adalah di restoran milik saya di Publika. Walaubagaimanapun, ianya bukanlah majlis pertunangan saya yang rasmi, sebaliknya, ‘it’s an unofficial party’ yang cuma dihadiri oleh beberapa teman rapat,” jelas Keith sambil ketawa kecil.

Menurutnya lagi, sekiranya dia benar-benar melangsungkan pertunangan, tentunya dia akan menjemput dan memaklumkan kepada pihak media.

“Saya akan menjemput rakan-rakan media untuk majlis pertunangan yang rasmi pada masa akan datang. Tarikhnya, saya tidak dapat beritahu kerana saya pun tidak tahu bila ianya akan berlangsung,” ujarnya lagi.

Hormat Privasi

Menurut Keith lagi, dia dan Kim bukanlah jenis yang suka mengambil tahu mengenai hal peribadi orang lain. Tambahnya lagi, dia berharap agar para peminat dan rakan-rakan media menghormati ‘privacy’ kedua-dua mereka.

“Kim tidak pernah merungut apa-apa kepada saya. Rasanya, khabar angin sebegini tidaklah mengganggunya cuma saya harap, semua orang boleh hormati ‘privacy’ kami berdua. Lagi pula, kami jenis yang menghargai waktu peribadi dan tidak suka mengambil tahu hal orang lain.

Tambah Keith lagi, hanya mereka yang tahu apa yang berlaku dan ianya bukanlah sebuah majlis pertunangan seperti yang dicanang oleh pelbagai pihak. Keith juga memohon agar pihak-pihak tertentu berhenti membuat spekulasi serta kenyataan yang tidak berasas.

Apa pun, Media Hiburan sentiasa mengharapkan yang terbaik buat pasangan merpati dua sejoli ini. Kalau benar seperti yang dikata, maka, kita sama-sama nantikan jemputan khas dari pihak Keith sendiri untuk ke majlis pertunangannya.

Masam cuka banyak khasiat

Dr. Bahrain Samah

Cuka berkeladak mengandungi pelbagai nutrien bermanfaat.
Cuka berkeladak mengandungi pelbagai nutrien bermanfaat.

CUKA digunakan manusia sejak berabad yang lalu. Ini disebut dalam hadis, daripada Ummu Said RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sebaik-baik hidangan ialah khal (cuka). Ya ALLAH, berkatilah pada khal (cuka). Sesungguhnya ia adalah makanan golongan nabi sebelum aku.

Tidak akan dilanda kemiskinan rumah yang ada khal (cuka)". (Riwayat Muslim, Ibnu Majah) Khal iaitu istilah Arab bagi cuka.

Buah-buahan yang biasa digunakan untuk dijadikan cuka ialah anggur, tamar, tin (fig), epal dan pir. Ia juga disediakan daripada nira kelapa, nira nipah, beras dan gula tebu. Proses fermentasi atau penapaian membantu bakteria penapaian mengubah gula buahbuahan kepada etanol iaitu sejenis alkohol.

Apabila pemeraman diteruskan, bakteria asetik asid pula akan mengubah etanol kepada asid asetik.

Cuka yang digunakan orang zaman dahulu termasuk zaman Rasulullah SAW dan nabi terdahulu disediakan dengan memeram buah-buahan.

Sebaliknya cuka zaman moden yang biasa digunakan sebahagian besar suri rumah seluruh dunia hari ini adalah cuka buatan. Cuka buatan hanya terdiri daripada asid asetik dan air.

Walaupun cuka buatan berwarna jernih yang biasa dijual di kedai runcit dan pasar raya besar merupakan cuka gred makanan namun ia hanya mengandungi 5 peratus asid asetik yang dilarutkan dalam 95 peratus air. Tidak seperti cuka buahbuahan, cuka buatan kilang sudah tentu tidak mengandungi bahan-bahan kimia, organik, vitamin dan mineral.

Khasiat cuka

Cuka buah-buahan sediaan tradisional tidak bertapis bantu jaga kesihatan jantung.
Cuka buah-buahan sediaan tradisional tidak bertapis bantu jaga kesihatan jantung.

Berdasarkan kitab Al-Qanun Fi Al-Tib (karya Ibnu Sina) dan kitab Al-Tib Al-Nabawi (karya Ibnu Qaiyyim), cuka menawarkan pelbagai manfaat untuk kesihatan manusia:

Membantu mencegah pembentukan penyakit berkaitan pembengkakan seperti bisul dan kanser.

Membantu membuang darah kotor dan melancarkan aliran darah.

Membantu mengharmonikan fungsi hati, melancarkan pembuangan toksin dan mengurangkan paras kolesterol.

Membantu mengharmonikan pergerakan usus dan melancarkan proses pencernaan makanan.

Membantu merawat masalah kerongkong, kahak dan batuk berpanjangan.

Membantu kulit daripada kesan kepanasan cahaya matahari (penulis: cuka bantu awet muda).

Membantu mengimbangi kadar asid-alkali dalam tubuh selain mengeluarkan lebihan garam.

Membantu metabolisme berjalan lebih lancar dengan membakar kalori secara lebih cepat.

Membantu tubuh menyerap kalsium secara lebih sempurna. Jadi, ia dapat menguatkan tulang dan gigi.

Membantu merawat masalah rahim (cuka cair boleh digunakan untuk menyiram vagina bagi memelihara kesihatan vagina dan keharmonian flora (bakteria) vagina).

Membantu menguatkan mata dan telinga.

Membantu merawat gastrik. Gastrik (gastritis) biasanya dipercayai akibat asid berlebihan dalam perut namun sesetengah pakar berpendapat gastritis dan asid refluks berpunca daripada kekurangan asid.

Membantu merawat masalah hempedu iaitu melarutkan batu hempedu yang terbentuk daripada kolesterol.

Mampu mencegah keracunan berpunca daripada pengambilan pelbagai jenis ubat.

Mampu meningkatkan kuantiti susu ibu.

Mampu melancarkan perjalanan darah yang berketul dalam perut (gangguan haid).

Mampu menghilangkan dahaga dan mengurangkan haba tubuh.

Berikut adalah beberapa sifat terapeutik cuka, bagaimanapun manfaatnya tidak terbatas kepada sifat yang dibincangkan dalam artikel ini:

1. Bersifat antibakteria. Asid organik cuka buah-buahan terutama asid asetik dikatakan masuk ke dalam sel melalui membran plasma dan membunuh bakteria di dalam sel. Makanan diperam dengan cuka memiliki asid organik bersifat antibakteria seperti asid laktik, askorbik, malik, sitrik, propionik, succinic dan tartarik.

2. Bersifat antioksidan yang berkuasa. Radikal bebas merupakan bahan utama yang menyebabkan stres oksidatif dalam tubuh. Jadi, bahan antioksidan dalam cuka buah-buahan mampu menyekat serangan radikal bebas dengan menderma elektron.

3. Bersifat anti-hiperglisemik (menurunkan paras gula darah). Cuka dipercayai menghalang penghadaman karbohidrat kompleks secara penuh (hanya sebahagian karbohidrat kompleks diubah kepada gula ringkas). Pengambilan cuka untuk mengawal
paras gula darah penghidap diabetes disebut penulis dalam buku berjudul Diabetes Jenis 2 terbitan Alaf 21.


Profil lipid

Bahan antioksidan cuka buah-buahan dipercayai berupaya mengurangkan risiko kanser. Cuka Kurosu iaitu cuka beras tradisional Jepun didapati dapat menghalang pertumbuhan pelbagai jenis sel kanser termasuk kolon, paru-paru, pundi kencing dan prostat.

Kibizu iaitu cuka tradisional Jepun yang diperbuat daripada gula tebu (bukan gula putih terproses) didapati berupaya menghalang pertumbuhan sel-sel leukemia. Mengambil cuka juga dikatakan mampu menghalang kanser esophagus.

Satu daripada mengawal berat badan dan menurunkan berat badan ialah mengambil cuka buah-buahan. Ia mempunyai sifat anti-obesiti dipercayai kerana ia membantu seseorang cepat berasa kenyang dan seterusnya kesan tersebut membantu  mengurangkan jumlah pengambilan makanan.

Cuka membantu kesihatan jantung dengan pelbagai cara. Bahan-bahan antioksidan dalam cuka buah-buahan dipercayai menghalang kerosakan arteri. Keadaan tersebut membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Bahan antioksidan cuka buah-buahan membantu mencegah kerosakan membran sel daripada kerosakan oksidatif. Mekanisme ini dipercayai menyebabkan paras kolesterol rendah (LDL rendah, HDL tinggi dan jumlah kolesterol serta trigliserida dalam julat
selamat). Selain itu cuka juga mampu mengurangkan tekanan darah.

Bahan berasaskan asid amino yang terdapat dalam cuka buah-buahan tidak bertapis dikatakan mampu membantu merawat kecederaan akibat kebakaran.

Pengambilan bakteria asid asetik pula dikatakan membantu mengurangkan kerosakan otot berpunca daripada keradangan yang berlaku selepas melakukan senaman atau kerja berat.

Pengambilan cuka dipercayai meningkatkan keupayaan kognitif pada manusia. Kajian mendapati bakteria asid asetik membina prekursor kepada bahanbahan binaan asas tisu otak dikenali sebagai sphingolipids.

Cuka buah-buahan dipercayai mampu membantu tubuh menyerap nutrien secara lebih cekap. Dalam hadis yang direkodkan Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda, "Sebaik-baik (bahan) yang dicampurkan dalam hidangan adalah cuka." (Riwayat Muslim)

Perompak tawar diri jadi kekasih!


Razak terpaksa mengemas kembali barangan di bilik tidur yang berselerak selepas diselongkar perompak.
Razak terpaksa mengemas kembali barangan di bilik tidur yang berselerak
selepas diselongkar perompak.

BANDAR BAHARU – Pelik tapi benar! Detik berhadapan dengan penyamun sepatutnya menjadi saat mendebarkan boleh bertukar menjadi satu koleksi cerita lucu yang mungkin diingati sampai bila-bila.  

Situasi itulah yang berlaku kepada seorang gadis apabila seorang daripada empat lelaki yang memecah masuk kediamannya di Kampung Permatang Pasir, awal pagi semalam, menawarkan diri untuk menjadi teman lelaki.

Gadis dikenali Nurul, 24, penuntut sebuah universiti berkata, lelaki berusia lingkungan 25 tahun itu mengakui meminatinya dalam diam dan berhasrat untuk menjadikannya teman wanita.

Menurutnya, lelaki itu juga memaklumkan sering memerhatikannya terutama di majlis keramaian yang diadakan di kawasan itu.

"Dalam sibuk mereka cari barang, lelaki itu setia berada dekat dengan saya, dia tak ikat saya, cuma ajak saya berbual-bual, hampir satu jam juga kami berbual.

"Dia juga kata nak jadi rakan dalam Facebook dan mahukan nombor telefon supaya senang untuk berbual nanti. Saya tak dapat kenal siapa mereka, sebab pakai
topeng," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Pertubuhan Sukarela Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK), Abdul Sukur Ahmad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu dipercayai memecah masuk rumah berkenaan melalui pintu belakang sebelum mengikat tiga ahli keluarga lain iaitu, kakak, abang ipar dan anak saudara Nurul.

Selain wang ringgit, barang kemas, dua komputer riba, telefon bimbit dan sebuah gitar dengan nilai keseluruhan hampir RM10,000 turut dilarikan kumpulan itu.

Nurul berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur dalam biliknya sebelum dikejutkan dua lembaga hitam yang berdiri di atas katil.

Katanya, tergamam dengan kehadiran dua lelaki tidak dikenali itu, dia cuba menjerit meminta tolong, namun mulutnya segera ditutup.

"Saya disuruh baring atas katil, seorang daripada mereka ada cuba buat sesuatu, namun dihalang seorang lagi rakan.

"Saya rasa mungkin itu ketua kumpulan sebab dia siap bagi amaran akan membelasah  mereka sekiranya saya diapa-apakan," katanya.

Sementara itu, abang ipar mangsa dikenali Razak, 35, tidak menolak kemungkinan, kumpulan lelaki itu merupakan orang tempatan.

"Saya percaya mereka memecah masuk rumah kami melalui salah satu pintu belakang rumah dan melarikan diri dengan meredah semak-samun di belakang rumah, ini kejadian pertama berlaku di rumah ini.

"Apa-apapun saya bersyukur, semua ahli keluarga selamat walaupun ada antara mereka ugut akan memperkosa adik ipar saya sekiranya melawan," katanya.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Bandar Baharu, jurucakap polis ketika ditemui mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih sedang dijalankan.

Dalam pada itu, Abdul Sukur menegaskan, PSKK menawarkan kesediaan untuk membantu polis dalam mempertingkatkan rondaan di sekitar kawasan Kampung Permatang Pasir terutama pada waktu malam.

Wednesday 25 June 2014

Kidex: Khalid dulu bukan Khalid sekarang?

Shazni Munir Mohd Ithnin

http://mk-cdn.mkini.net/770/197a568aa1fd226e964afe2839674bb5.jpg
DALAM tulisan yang lalu, telah dinyatakan secara terperinci tentang latar belakang Kidex, hujah pihak yang menyokong dan pihak yang menentang serta beberapa persoalan berhubung projek mega di Pulau Pinang. Sebenarnya di Selangor terdapat beberapa isu tanah penduduk yang persis keadaan Kidex, iaitu projek Kerajaan Persekutuan yang dibangunkan di negeri Selangor.

Salah satunya adalah Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR). CAR merupakan projek pemasangan kabel bervoltan tinggi yang memakan jajaran pembinaan sejauh 59 kilometer. Dalam jajaran sejauh itu, projek mega ini telah meliputi sebuah kawasan kampung di Rawang iaitu Kampung Sungai Terentang dengan liputan seluas 1.5 kilometer.

Namun demikian, baki jarak sejauh 1.5 kilometer di Kampung Sungai Terentang tersebut – yang sepatutnya dimulakan pada 2007 – telah ditangguhkan setelah penduduk mengemukakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bantahan demi bantahan dikemukakan (termasuk daripada Kerajaan Selangor) sehingga menatijahkan keputusan penangguhan tersebut. Mungkin kerana tertekan dengan keputusan penangguhan tersebut, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui laporan Utusan Malaysia bertarikh 22 Julai 2011 telah berkata bahawa seluruh kawasan tengah Semenanjung Malaysia akan bergelap dan perkara ini berpotensi menjejaskan ekonomi negara jika projek CAR tidak diteruskan.

Namun jauh sebelum pergulatan isu ini hangat di media, pada 27 September 2008 – sebagaimana yang dilaporkan oleh media Bernama – MB Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) telah berkata bahawa Kerajaan Selangor 'tidak pernah menghalang' Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada meneruskan Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sungai Terentang, Rawang.

Selain mengambil sikap 'tidak menghalang', beliau sempat menyatakan langkah-langkah yang harus dibuat oleh pemaju, cadangan yang sama sebagaimana Kidex ketika ini iaitu mengadakan beberapa perjumpaan dengan penduduk, keterlibatan konsultan bebas serta 'mengesyorkan' projek itu diteruskan dengan dua cara.

Dua cara yang dimaksudkan ialah menanam kabel bawah tanah agar ianya tidak langsung melibatkan pengambilalihan tanah seterusnya membolehkan penduduk kampung terus tinggal di kawasan itu atau laluan alternatif yang tidak melibatkan ramai penduduk.

Selepas September 2008, langkah-langkah yang dilihat 'menyusahkan' TNB itu terpaksa dipenuhi Kerajaan Persekutuan. Proses yang memenatkan TNB ini berlangsung dalam tempoh yang panjang dan Kerajaan Negeri kelihatan konsisten dengan mekanisme ini sekalipun pelbagai alasan yang dikemukakan pihak TNB.

Tekanan yang diberikan oleh kerajaan negeri ini jelas dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Sekretariat Akhbar pada 22 Disember 2011 yang menyebut bahawa Kerajaan Selangor mengarahkan TNB untuk 'mempertimbangkan' pembinaan pencawang elektrik bagi Projek CAR di jajaran baharu iaitu di sepanjang Lebuhraya Persekutuan Rawang-Ipoh.

Keputusan tersebut diambil setelah pihak kerajaan negeri mendengar taklimat daripada syarikat perunding kerujuruteraan Aecom New Zealand yang menyebut jajaran baharu itu disyorkan atas faktor  kos yang paling minimum serta ketiadaan impak terhadap penduduk setempat.

Dan pada 31 Januari 2013, akhbar Selangorkini memaparkan kejayaan kerajaan negeri apabila pihak TNB akhirnya akur dengan 'syor' yang dibuat oleh kerajaan negeri agar dibuat jajaran lain untuk menjayakan Projek CAR.

Selain menyelamatkan Kampung Sungai Terentang yang didiami oleh 5,000 orang penduduk, keputusan ini juga sekaligus menyelamatkan Kampung Batu 16 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 16 Rawang serta beberapa bangunan-bangunan awam yang lain.

Samada ianya sebahagian daripada 'kebijaksanaan politik' yang cuba dibuktikan oleh Khalid Ibrahim atau helah bagi menundukkan pihak yang lebih besar supaya akur dengan 'syor' kerajaan negeri, hakikatnya kesemua trick itu selari dengan perkara yang diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara dan menepati Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Atas maksud pembinaan infrastruktur awam misalnya, kerajaan negeri tidak boleh menolak permohonan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih tanah. Malah, menurut Kanun Tanah Negara, pengambilan tanah demi kepentingan awam dibenarkan dan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri hanya dibenarkan dengan alasan yang sangat munasabah, mempertikai kuantum pampasan yang akan diterima oleh mereka yang terjejas akibat pengambilahan tanah atau mencadangkan jajaran alternatif menurut Akta Pengambilalihan Tanah.

Justeru langkah kerajaan negeri yang memberikan kenyataan awal seolah-olah bersetuju dan tidak menolak projek-projek Kerajaan Persekutuan sebenarnya perlu memandangkan skop bidang kuasa Kerajaan Persekutuan pada hakikatnya sangat luas dan hampir mutlak terutama hal ehwal yang melibatkan infrastruktur, kemudahan awam dan pembangunan secara umum yang mana kerajaan negeri hanya mempunyai peranan memberi nasihat.

Namun di pusingan kedua, kerajaan negeri dilihat menggunakan sepenuhnya 'kuasa' untuk mencadang jajaran alternatif sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pengambilalihan Tanah. Di sinilah yang menjadi bargain kerajaan negeri hingga Kerajaan Persekutuan akur dengan syor yang akhirnya akan memihak kepada rakyat.

Kita melihat kaedah sama yang sedang dipraktiskan kerajaan negeri terhadap Kidex. Namun asakan luar biasa daripada pimpinan Pakatan Rakyat terhadap kerajaan negeri khususnya MB Selangor dalam isu Kidex ini telah memberikan tanda tanya yang amat besar di ruang pemikiran khalayak.

Kaedah yang sama dan pattern penyelesaian yang hampir serupa sedang digerakkan oleh kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim dalam isu Kidex ini. Namun yang menghairankan, Kidex ini seakan menjadi punching bag terhadap dirinya, tidak seperti semasa Projek CAR sebelum ini yang sebahagian besar pendokong dan pemimpin Pakatan Rakyat berdiri di belakang beliau.

Tertanya-tanya juga, adakah Khalid semasa Kidex ini dan Khalid semasa Projek CAR di Kampung Sungai Terentang merupakan sosok yang berbeza? Atau memang sengaja diwujudkan skrip respons yang berlainan terhadap kedua-dua isu ini? Jika benar, siapa penulis skripnya?

Ah, penat menjebak konspirasi. Namun yang penting tanah dan hak rakyat akhirnya dimenangkan. Yang lurus akan menang, yang curang akan tewas. Manfaatkanlah ruang kepercayaan untuk beri yang terbaik kepada rakyat. Usah semakkan kepala kusut rakyat dengan hanya polemik 'nak jadi YB', 'nak jadi Exco' atau 'nak jadi MB' semata-mata. Hidup rakyat!

 
Shazni Munir Mohd Ithnin
Koordinator Gabungan Tanah Rakyat (Tanah)

Tuesday 24 June 2014

'Gadis Pailang' Mengaku Bersalah Belasah Pelajar Lain


SAMARAHAN: Tiga orang pelajar perempuan yang menggelarkan diri sebagai 'gadis Pailang' dari sebuah sekolah menengah di sini yang didakwa membelasah seorang pelajar lain sekolah itu dan perbuatan mereka dirakam dalam video yang tersebar di Internet mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini pada Isnin.

Ketiga-tiga mereka yang berumur 16 tahun itu mengakui di hadapan Majistret Zulhairil Sulaiman tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ekoran pengakuan itu, Zulhairil memerintahkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 seorang dengan ibu bapa masing-masing sebagai penjamin sementara menunggu laporan akhlak mereka kepada mahkamah 11 Julai depan.

Mereka turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sehingga tarikh tersebut, hari sebutan semula kes itu.

Dalam kertas pendakwaan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sekolah yang sama kira-kira pukul 9.40 pagi 25 April lepas.

Monday 23 June 2014

Luahan Bekas Penjaga budak OKU - Mana bapa Muhammad Firdaus..???

Gambar lama yang menunjukkan Muhammad Firdaus menjalani rawatan tradisional menggunakan pasir laut.

SEREMBAN 22 Jun - Ketika wajah Muhammad Firdaus Dullah muncul di televisyen dalam satu operasi Jabatan Imigresen di Nilai, semalam, Norfitri Radius dan keluarganya menangis melihat keadaan remaja itu.

Terlalu sukar untuk mempercayai remaja yang pernah diasuhnya selama lapan tahun kini terabai sebegitu rupa.

Norfitri, 42, yang menetap di Gemencheh berkata, selepas mendapat tahu Firdaus dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, dia terus bergegas ke hospital itu.

"Ketika melihat dalam televisyen, kami sekeluarga menangis. Anak saya turut menangis. Anak juga bertanya kenapa tidak bawa sahaja abang (Muhammad Firdaus) pulang dan boleh kita jaga dia.

"Saya kemudian menelefon ibunya yang pada ketika itu telah ditahan oleh pihak polis untuk bertanyakan perkara sebenar dan mengapa Firdaus ditinggalkan dan terabai sedemikian rupa.

"Dia (ibu) sebenarnya ada masalah kesihatan tetapi macam mana pun, dia tidak pernah pukul anaknya. Saya dan ibunya macam adik beradik sentiasa berkongsi cerita dan masalah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Norfitri yang bekerja sebagai pelayan gerai, jika diberi peluang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia bersedia untuk menjaga remaja itu kerana sudah menganggapnya sebagai anak kandung sendiri.

"Saya berhenti menjaganya kerana mengikut suami berpindah ke Gemencheh," tambahnya.

Norfitri memberitahu, kali terakhir dia menghubungi ibu kanak-kanak itu dua minggu lalu dan sempat bertanyakan khabar tentang Muhammad Firdaus.

Jelasnya, sepanjang dia menjaga mangsa, tubuh remaja OKU itu sihat serta berisi dan pernah satu ketika, mereka bersama ibu Muhammad Firdaus ke pantai untuk tujuan rawatan tradisional sehingga dia boleh berjalan sedikit.

"Saya tahu dia mempunyai masalah kewangan. Kami pernah berbincang untuk mendapatkan bantuan JKM, tetapi saya tidak tahulah setakat mana dia memohon," katanya.

Kata Norfitri, turut dikesalkan ialah bapa Muhammad Firdaus seperti tidak mengambil peduli tentang anaknya itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140623/dn_11/Saya-sanggup-jaga-Muhammad-Firdaus#ixzz35RK6LX1a
© Utusan Melayu (M) Bhd

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive