Kanun Syariah: Zihar perlu bayar kafarah
Seorang suami berkata kepada isterinya, “Tahi lalat di pipi awak tu sama seperti emak la” atau ayat lain yang berbunyi, “Semasa emak mengandung dulu, perut emak macam isteri saya ke?” Kemudian sang ibu menjawab, “Entahlah, emak pun tak ingat tapi emak rasa perut emak besar saja”. Lalu si suami berkata, “Sama lah tu”.
Merujuk kepada dua situasi di atas, adakah ia termasuk dalam kes zihar?
Bolehkah tuan terangkan dengan lebih tepat mengenai zihar, cara penebusannya dan kesan terhadap rumah tangga dan keluarga.
Siti Nur,
Melaka Tengah,
Melaka.
Zihar asalnya bermaksud belakang iaitu apabila seorang suami mengatakan bahawa isterinya seperti belakang ibunya maka berlakulah zihar.
Dalam kes zihar, dua aspek utama yang menjadi perhatian iaitu perkataan belakang hanya sebagai kiasan saja sedangkan secara hakikatnya ia merangkumi semua anggota tubuh badan yang jelas.
Oleh itu, jika diniatkan sebagai suatu penghormatan maka tidak menjadi zihar. Sebaliknya jika diniatkan talak maka hukumnya zihar.
Kedua, wanita yang menjadi perbandingan ialah wanita yang haram dikahwini suami. Firman Allah SWT berkenaan hukum zihar boleh dirujuk dalam Surah al-Mujadalah, ayat ke 2 hingga 4.
Bagi meletakkan sesuatu zihar itu sah di sisi hukum syarak, ia hendaklah memenuhi rukun-rukunnya iaitu suami, isteri, perkara yang disamakan dan lafaz zihar. Bagi rukun ketiga, beberapa syarat yang dipersetujui jumhur ulama ialah:
1. Anggota badan yang haram dilihat oleh sesama mahram. Contoh punggung, perut, kemaluan di sekitarnya dan yang seumpama dengannya. Penyamaan dengan tangan, kepala, kaki, rambut dan lain-lain.
2. Mestilah anggota badan ini daripada wanita yang diharamkan berkahwin dengan si lelaki sama ada tahrim secara berkekalan (muabbad) atau keturunan (nasab) atau susuan dan musoharah. Seperti ibu, anak, adik-beradik, pak cik, mak cik dan yang berkaitan.
Bagi rukun keempat, ia perlu kepada syarat-syarat berikut:
1. Niat, kiranya ia dibuat secara kinayah (tidak jelas).
Sighah sorihah (terang, jelas) contohnya seperti, “Punggung awak benar-benar sama seperti punggung ibu”. Lafaz seperti itu tidak perlu kepada niat, bahkan jatuh zihar apabila didengar.
2. Tidak disyaratkan untuk sabit zihar, mesti menggunakan lafaz yang memberi pengertian semasa.
Zihar jatuh dengan lafaz yang membawa pengertian semasa seperti, “Punggung awak benar-benar sama seperti punggung ibu saya”.
Juga jatuh jika diikat dengan waktu tertentu seperti, “Kiranya awak masuk ke rumah itu maka perut awak seperti perut ibu saya”.
Jatuh zihar sekiranya disandarkan ke zaman akan datang seperti, “Punggung awak seperti punggung ibu saya sehingga awal tahun depan” atau “Perut awak seperti perut ibu saya dalam masa sebulan”.
Semua lafaz tadi cukup untuk menjatuhkan hukum zihar.
3. Mestilah lafaz tadi disandarkan kepada anggota tubuh wanita sama ada secara juzu’ atau sepenuhnya.
Dari segi kafarah, setiap suami yang melakukan zihar, jika mahu kembali bersama isterinya perlu membayar kafarah. Jika gagal membayar kafarah, suami mesti menceraikan isterinya.
Kafarah zihar ialah membebaskan seorang hamba. Jika tidak mampu, beri makanan atau pakaian kepada 60 fakir miskin.
Jika itu masih tidak mampu, berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Suami yang melakukan zihar mestilah membayar kafarah sebelum melakukan perhubungan kelamin dengan isterinya. Perbuatan zihar mungkin berlaku jika suami jahil hukum-hakam agama Islam.