UtusanDaily

Thursday, 31 December 2015

Musang berbulu ayam: Polis arah ketua PPIM beri keterangan

Polis telah mengarahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan untuk tampil memberi keterangan berhubung dakwaan bahawa ada anggota polis bersubahat dalam kes penipuan terutamanya di Kompleks Kota Raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata Nadzim sepatutnya membenarkan polis untuk menyiapkan siasatan berhubung kejadian itu termasuk membabitkan ahli kumpulan persatuan pengguna itu.

"Saya telah memanggil Nadzim selepas membaca wawancaranya di Utusan Malaysia, di mana beliau berkata terdapat ‘musang berbulu’ dalam pasukan polis.

"Saya mahu tahu siapa yang dimaksudkannya itu.

"Dia boleh beri maklumat tersebut kepada saya atau pergi membuat aduan dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” kata Tajudin kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

Dalam laporan Utusan hari ini, Nadzim melahirkan kebimbangan bahawa mungkin ada anggota polis yang terlibat dalam aktiviti haram seperti pusat perjudian.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sesetengah pengusaha premis berani melakukan penipuan secara terang-terangan seperti ada yang melindungi mereka.

Sementara itu, Tajudin berkata tangkapan ahli PPIM baru-baru ini adalah sebahagian daripada siasatan polis.

"Penahanan itu dibuat untuk membantu siasatan. Biar kami lengkapkan siasatan dan jangan sebarangan mengulas mengenai kes itu," katanya.

Tambahnya, seorang lelaki akan didakwa di mahkamah Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan menipu dalam pergaduhan di kompleks Kota Raya itu.

"Dia akan didakwa mengikut Seksyen 415/417 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Kami sedang mencari seorang lagi suspek," kata ketua Polis Kuala Lumpur itu.

Kota Raya adalah menyaksikan satu perbalahan pada 20 Disember lalu apabila mangsa yang mendakwa ditipu cuba berdepan dengan beberapa peniaga dan pekerja sebuah kedai telefon mudah alih. Dua lelaki cedera ringan dalam pergaduhan yang tercetus kemudian itu. MK

Siapa yang jual tanah Bandar Malaysia kepada konsortium negara komunis?


Ini bukan saja isu jual asset.

Asal Tanah Bandar Malaysia adalah lapangan terbang untuk tentera udara Malaysia untuk menjamin keselamatan Ibu Negara, kini 1MDB jual kepada China.

Siapa yang jual tanah kepada konsortium negara komunis?

Asal Usul BANDAR MALAYSIA...

Projek Bandar Malaysia Ikut Jadual
17 Februari 2011
Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 17 Feb. - Pelaksanaan Projek Bandar Malaysia kini berjalan mengikut jadual dengan termeterainya perjanjian pembangunan di lapan tapak pemindahan yang akan menempatkan pangkalan tentera dan polis yang sedang beroperasi di Pangkalan Udara Sungai Besi, dekat sini.

1Malaysia Development Bhd. (IMDB) dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya akan membangunkan pangkalan baharu bagi Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Rejimen ke-31 Artileri DiRaja (31 RAD) dan Pangkalan Gerakan Udara Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Lima tapak pemindahan telah dikenal pasti bagi operasi TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, iaitu di Subang, Selangor; Kuantan, Pahang; Sendayan, Negeri Sembilan; Butterworth, Pulau Pinang dan Gong Kedak, Terengganu; dua bagi PDRM masing-masing di Subang dan Ipoh, Perak dan satu untuk 31 RAD di Kajang, Selangor.

Perjanjian bagi pembangunan pangkalan di Butterworth dan Gong Kedak untuk TUDM telah pun ditandatangani pada bulan Disember 2011 manakala bagi tapak di Ipoh untuk PDRM dimeterai pada bulan lalu.

Perjanjian-perjanjian untuk lokasi selebihnya ditandatangani hari ini antara Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wahab Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Datuk Dr. Rahamat Bivi Yusoff.

Proses pemindahan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, sebaik selesai kerja-kerja pembinaan di pangkalan-pangkalan baharu dalam tempoh lima tahun lagi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) 1MDB Real Estate Sdn. Bhd., Datuk Azmar Talib berkata, perjanjian pada hari ini menandakan permulaan kerja-kerja pembinaan di tapak-tapak baharu.

"Seiring dengan keutamaan kami untuk mengurangkan gangguan terhadap operasi-operasi keselamatan negara, pihak yang terlibat hanya akan berpindah selepas tapak-tapak baharu sedia untuk diduduki," kata Azmar dalam kenyataan yang sama.

Pada bulan Jun 2011, 1MDB yang juga pemaju induk bagi Bandar Malaysia telah memeterai Perjanjian Jual Beli bagi pemindahan 198 hektar tanah Lapangan Terbang Sungai Besi antara 1MDB dan Suruhanjaya Tanah Persekutuan; Perjanjian Jual Beli bagi 750 ekar tanah di Sendayan di antara 1MDB dan Menteri Besar Diperbadankan, Negeri Sembilan sebagai tapak ganti pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia dan perjanjian induk penempatan semula bagi membangunkan lapan tapak ganti untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Bandar Malaysia bertujuan membudayakan konsep keselesaan kehidupan sebagai ciri utama Greater Kuala Lumpur.

Ia merupakan satu pembangunan bersepadu yang menekankan konsep keseimbangan antara hidup dan kerjaya.

Ini adalah kali ketiga tapak ini digunakan bagi projek bersifat game-changing. Pada 1956, ia berfungsi sebagai lapangan terbang antarabangsa pertama negara, membuka peluang bagi industri penerbangan, pengangkutan, pelancongan dan hospitaliti.

Akhirnya hendak dijual kepada Kumpulan Negara China

1MDB bakal jual 60% Bandar Malaysia kepada kumpulan China, Iskandar

1Malaysia Development Bhd (1MDB) bersetuju menjual 60% daripada ekuitinya dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd pada harga RM7.41 bilion, sebagai sebahagian daripada rancangan rasionalisasi untuk mengurangkan hutang RM42 bilion, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ekuiti yang dijual kepada konsortium terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd, kata 1MDB.

1MDB akan menerima deposit 10%, atau RM741 juta atas pelaksanaan perjanjian penjualan dan pembelian saham, dan urus niaga itu dijangka siap pada akhir Jun 2016.

Konsortium menganggarkan tanah Bandar Malaysia itu pada harga RM12.35 bilion, kata 1MDB.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy sebelum ini berkata, tanah itu sekurang-kurang bernilai pada RM11.5 bilion.

Konsortium IWH-CREC Sdn Bhd adalah usahama 60:40 antara IWH dan CREC. – 31 Disember, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/1mdb-bakal-jual-60-bandar-malaysia-kepada-kumpulan-china-malaysia#sthash.gUdc9dSM.dpuf


1MDB: Johor, China beli ekuiti Bandar Malaysia‎

1MDB: Johor, China beli ekuiti Bandar Malaysia‎
KUALA LUMPUR - Sebahagian tanah Bandar Malaysia milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dijual kepada sebuah konsortium usahasama antara syarikat milik Kerajaan Negeri Johor dan sebuah syarikat mega dari China.

Menurut 1MDB, pihaknya melaksanakan tandatangan Perjanjian Jual Beli Saham Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) sebanyak 60 peratus yang bersamaan RM7.41 bilion itu, hari ini.

Tanah Bandar Malaysia berukuran 486 ekar itu dinilai RM12.35 bilion secara keseluruhannya.

Konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah perkongsian awam-swasta antara Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata, proses pembidaan dilakukan secara terbuka dengan penyertaan 40 pelabur dari dalam dan luar negara.

"Hasil daripada jualan ini, 76% daripada Bandar Malaysia akan dimiliki entiti Malaysia yang mana kira-kira 54% daripada projek tersebut dimiliki Kerajaan Pusat dan Johor.

"Kemasukan CREC sebagai rakan kongsi antarabangsa dengan ekuiti projek sebanyak 24% mewakili Pelaburan Langsung Asing (FDI)," katanya pada sidang media selepas Majlis Tandatangan Perjanjian itu yang turut dihadiri wakil IWH, Tan Sri Lim Kang Hoo serta wakil CREC, Cai Zemin dan Ma Li.

Menurut Arul juga, pembangunan di Bandar Malaysia telah menerima kebenaran dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun ini.

Kebenaran bersyarat yang diberi berdasarkan pelan induk Bandar Malaysia itu adalah untuk pembangunan bercampur pada purata nisbah plot kasar 4.05 melangkau keseluruhan tapak seluas 486 ekar di Sungai Besi.

1MDB akan menerima deposit 10% bersamaan RM741 juta setelah perjanjian Jual Beli Saham itu dimetrai dan urusniaga itu dijangka lengkap menjelang Jun 2016.

Bandar Malaysia akan dibangunkan dalam tempoh 15 hingga 25 tahun pada unjuran Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM150 bilion.

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/1mdb-johor-china-beli-ekuiti-bandar-malaysia-1.467331

Dalam pasukan POLIS dikatakan ada "MUSANG BERBULU AYAM"..!!!

Segera kesan ‘musang berbulu 
ayam’ dalam PDRM – PPIM

Nadzim Johan
KUALA LUMPUR 30 Dis. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sekiranya ada anggota yang bersubahat dalam kes penipuan terutamanya di Kompleks Kota Raya.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu perlu dilakukan segera bagi membendung gejala yang semakin me­runcing serta meninggalkan kesan buruk kepada imej negara.

“Banyak perkara pelik yang berlaku apabila pengusaha premis berani melakukan penipuan secara terang-terangan seperti ada yang melindungi mereka. Pihak berkuasa tidak mengenakan tindakan terhadap mereka tetapi mengenakan tindakan kepada aktivis PPIM yang membantu.

“Mangsa kepada sindiket ini bukan hanya terdiri daripada rakyat tempatan tetapi turut melibatkan pekerja asing dan juga pelancong dengan menggunakan cara mengurung dan memeras ugut,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama semalam.

Yang turut hadir sebagai panel Pe­ngarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi dan Moderator Ruang Bicara, Datuk Dahlan Maamor.

Terdahulu, Muhammad Yusuf ditahan dalam lokap selama 27 jam termasuk tempoh memberi keterangan dengan tuduhan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 384/506 ugutan dan kekerasan selepas memenuhi permintaan seorang pembeli, Dipres Nasution Mohd. Arifin yang ditipu oleh peniaga telefon di Kompleks Kota Raya untuk menuntut kembali bayaran sebanyak RM5,000.

Tambah Nadzim, PPIM tidak sepatutnya dikenakan tindakan sedemikian kerana pihaknya ha­nya menemani mang­sa menuntut kembali bayaran de­ngan cara berhemah dan tidak menimbulkan kekacauan.

“Bagi mengelakkan perkara sama berulang dan me­ngenal pasti berlakunya salah guna kuasa, saya menggesa IGP (Tan Sri Khalid Abu Bakar) untuk menyiasat perkara ini dengan segera.

“Perkara ini bukan hanya berlaku di Kompleks Kota Raya, malah berlaku di banyak tempat lain dan mempunyai rangkaian dengan sindiket seperti gores dan menang, ah long dan juga tarik kereta,” katanya.

Wednesday, 30 December 2015

Hero Ke Tali Gantung...Selamatkan Zulkifli.. Siapakah Zulkifli....??


“Nik, nanti Ahad ni abang hendak bahas dengan peguam balik sana boleh kan?” tanya Zulkifli kepada saya ketika lawatan lalu. Ahad (semalam) dijadualkan akan berlaku sebutan pertuduhan di Mahkamah Kemaman.

Saya tergelak ketika itu. Saya cakap “Ini baru hendak mula buka fail bang, cuma hendak sebut saja perbicaraan akan berlangsung kerana apa dan bila tarikh perbicaraan berikut, belum ada hendak bahas-bahas ni. Abang pergi kejap tidak sampai 30 minit abang balik dengan anak-anak dan datang semula bila perbicaraan. Selalunya sebulan paling cepat.”

Semalam saya rasa terkejut dan sangat bersalah. Kata-kata saya yang menceriakan Zulkifli ketika itu berubah menjadi racun.

Semalam pada “prosiding ringkas” yang saya khabarkan pada beliau berubah menjadi hari paling menakutkan. Zulkifli ditahan semula setelah pertuduhan dibuat dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tidak cukup dengan itu tambah lagi bawah seksyen 326.

Isteri beliau, Zaimah menghubungi saya ketika saya dalam perjalanan pulang ke Selangor. Bagai dalam mimpi menerima berita ini. Nombor 302 itu benar-benar menghantui saya. Nombor ini tidak membenarkan ikat jamin berlaku kerana jika sabit kesalahan bermakna tali gantung menanti.

Mahkamah dijadualkan bersidang pada 24 Januari depan. Sekitar 25 hari dari sekarang. Jika sebelum ini ketika direman 14 hari, keluarga tak dapat berniaga makanan malah diceroboh lagi rumah dengan beberapa kecurian dari penagih dadah yang makin bertambah di kawasan sekitar, apakan pula yang berlaku selama 26 hari sebelum perbicaraan ini?

Apa mahkamah mahu menanggung isteri dan anak-anak hero ini? Apa undang-undang mampu menyelamatkan 4 beranak ini yang pada bila-bila masa pintu nipis rumah itu ditendang dan dimasuki perompak?

Buat masa ini kami sangat terkedu dengan apa yang berlaku. Sangat sedih dan terperanjat. Perancangan jangka masa pendek ialah mewujudkan tabung bantuan buat keluarga ini.

Tabung bantuan hasil derma orang ramai akan digunakan bagi memastikan keluarga ini dapat meneruskan kehidupan, juga membantu pembiayaan kos perjalanan keluarga ini untuk ke mahkamah. Juga sekiranya tiada mana-mana peguam yang sudi mengambil kes ini secara pro bono maka tabung ini akan digunakan untuk membayar kos guaman.

Perbicaraan pada 24 Januari nanti berlangsung pada hari Ahad, dimana Ahad merupakan hari bekerja di Terengganu namun hari cuti buat kebanyakan negeri. Kami mengharapkan agar para pembaca sudi bersama kami menyatakan solidariti buat keluarga Zulkifli dengan hadir ke perbicaraan tersebut di Kemaman, Terengganu.

Maka saya mohon 3 perkara dari kalangan pembaca yang dihormati sekalian. Pertama, sebarkan seluasnya berita ini, raih simpati semua orang untuk membela nasib Zulkifli dan keluarga.

Kedua, viralkan hashtag #ZulkifliHeroRakyat disetiap laman maya terutamanya twitter.

Ketiga, bersiap sedia untuk memberikan sedikit sebanyak sumbangan kepada keluarga ini bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

Buat masa ini semua akaun dibawah nama Zulkifli, maka pihak kami sedang usahakan alternatif yang lain. Harap sentiasa ikuti perkembangan di page facebook rasmi Pemuda Sosialis PSM untuk mengetahui bila tabung tersebut sudah bersedia untuk menerima sumbangan. Jika kita tidak bertindak, siapa lagi? – 28 Disember, 2015.

*Nik Aziz Afiq Abdul ialah Ajk Pusat, Pemuda Sosialis (PSM).

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/hero-ke-tali-gantung-nik-aziz-afiq#sthash.HqZWEg5d.dpuf
======================================================


Setiap kali membaca kisah Encik Zulkifli, aku paksa diri untuk tahan air mata, sungguh aku tak mampu melafazkan kata-kata oleh kerana terlalu sebak mengenang kisah seorang hero keluarga.Alhamdulillah pada hari jumaat yang lalu aku diberi peluang menziarahi hero keluarga ini. Aku juga ingin berterima kasih kepada tuhan kerana menumpangkan aku bersama komrad PSM yang setiasa cakna untuk membela nasib rakyat yang ditindas.Aku bangga berada dalam bahtera perjuangan ini, ianya mampu melaksanakan cita-cita dan impian aku yang diajar sejak kecil oleh ummi dan ayah untuk berbakti kepada masyarakat.

Pada jam 5.00 pagi Ariff yang merupakan sahabat baik menghubungi aku untuk bangun awal bersiap untuk memulakan perjalanan ke Terengganu, aku begitu teruja dan bersemangat untuk memulakan jelajah ke Terengganu, hajat aku mahu jadikan ziarah ini sebagai aktivti bermanfaat pada hari minggu.Lokasi pertama aku untuk singgah di Jerteh berjumpa dengan keluarga Abah Zaid, aku ingin melahirkan rasa terharu dan jutaan terima kasih atas layanan yang diberikan, kami kenyang bertenaga untuk meneruskan perjalanan.Begitu berharga detik bersama, aku sebagai generasi baru dalam keluarga berazam ingin meneruskan ukhwah kekeluarga yang terbina sejak berzaman lagi.

Selepas melepasi Bandar Jerteh, Ariff memaklumkan bahawa minyak kereta perlu diisi untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu, kami bukan orang yang kaya, aku baru tamat belajar masih berkira-kira untuk menyambung pengajian,sekarang hanya bekerja sebagai amatur designer sebuah syarikat di Kota Bharu, sementara Ariff pula masih belajar dan mengambil upah menjual stokin di Tesco pada malamnya oleh kerana siangnya terikat dengan waktu pengajian.Minyak kereta kami sama-sama kongsi duit kemudian Ariff telah memasak awal pagi untuk bekalan kami agar kekal bertenaga sepanjang perjalanan.

Setelah selesai beberapa aktiviti di Kuala Terengganu, aku bersama team Pemuda PSM mula bergerak ke Kerteh, lokasi rumah Encik Zulkifli hero keluarga yang kami sanjungi, kami bertolak pada jam 5.00 petang kemudian selamat sampai lebih kurang pada waktu hampir magrib.Setelah sampai aku yang belum sempat mengecam wajah En Zulkifli, lantas beliau memberi salam, dalam fikiranku mungkin inilah Encik Zulkifli.Apa yang membuatkan aku tahan air mata ialah,belum sempat kami keluar dari kereta,beliau datang “menyerbu” dan membuka pintu kereta menyambut kami, disamping itu kami dihadiahkan “pelukan erat seorang ayah” yang meraikan kehadiran kami.Situasi yang membuatkan aku bertambah kuat tahan air mata memikirkan nasib beliau.

Kami dijemput masuk ke rumahnya, belum sempat kami duduk , Encik Zulkifli tidak menyebut perkara lain selain menyuruh kami makan masakannya yang telah siap rapi. Dibukakan pintu kereta, dipeluk dengan penuh kasih sayang, kini dijamu pula dengan nasi minyak, perasaan malu menyelubungi aku.Beliau dengan nada gurauan mesra menyuruh kami makan sebanyak mungkin kerana bukan mudah nak makan Nasi Minyak khas dari Terengganu.Aku sebenarnya sangat malu kerana seperti “tertukar”, siapa sebenarnya yang perlu dibela,oleh kerana layanan Encik Zulkifli terlalu baik kepada kami.

Setelah makan kemudian kami solat seterusnya solat hajat, selepas itu kami mendengar kisah kejadian yang diceritakan Encik Zulkifli, aku hanya mampu mendengar tak mampu menterjemahkan apa-apa, begitu sebak dengan apa yang berlaku, seketika berada disana aku dapat rasa indahnya kebahagiaan keluarga Encik Zulkifli, aku tak dapat bayangkan perasaan anak-anak dan isteri jika Encik Zulkifli dikenakan hukuman berdasarkan undang-undang Malaysia yang jelas menindaskan Encik Zulkifli sekeluarga yang mempertahankan diri dari perompak.

Dari reaksi wajah Encik Zulkifli aku lihat beliau cukup tenang menghadapi semua ujian ini, beliau meletakkan segala kebergantungan kepada Allah S.W.T, beliau juga berani untuk tidak menggunakan khidmat peguam dan mampu berhujah dengan fakta sebenar di makhamah.Perkara yang demikian sangat mengujakan aku untuk dijadikan inspirasi dalam perjuangan.

Aku menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama bersolidariti dan mendoakan yang terbaik kepada Encik Zulkifli, anggaplah beliau adalah ayah kita semua, wajarkah kita sebagai anak hanya melihat kezaliman dan penindasan terus bermaharajalela di bumi bertuah ini.Ayuh kita nyatakan sokongan kepada Encik Zulkifli.

Berjuanglah ayah, anak disini akan selalu ada bersamamu.

Wan Muhammad Faisal Bin Wan Zain
30 DISEMBER 2015
=============================================
TOLONG JANGAN NANGIS

Ahad lalu sepatutnya menjadi tarikh sebutan kes di mahkamah.

Apa yang berlaku tiba-tiba kes disebut bawah 2 pertuduhan iaitu 302 dan 325.

302 menyebabkan perlu tahan semula (tiada ikat jamin dibenarkan)

Maka terkejutlah sekalian keluarga. Sebelum ini 15 ribu telah dibayar ikat jamin waktu kes bertukar dari 302 pada 304. Kini kembali pula pada 302.

Video ringkas ini saat Zulkifli dibawa keluar dari mahkamah sebelum dibawa ke penjara Marang.

Tolong jangan nangis.

xxxxxxxxxxxx
============================================
Salahkah pertahankan diri di Malaysia? – Nik Aziz Afiq Abdul

Published: 26 December 2015 9:37 AM

2010 kita digegarkan dengan kes Kalaichelvi. Beliau memukul kepala seorang lelaki yang cuba merogolnya dan akhirnya lelaki itu mati. Kalaichelvi dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun kerana membunuh tanpa niat.

Peristiwa sama berulang 2 minggu lalu di Terengganu. Sebuah kampung terpencil bernama Labuhan di Kerteh menyaksikan seorang perompak mati ditikam Zulkifli yang cuba pertahankan diri dan harta benda dalam kawasan rumahnya sendiri.

Apa berlaku? Zulkifli direman 14 hari bawah siasatan seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kemudian ditukar pada 304 membunuh tanpa niat. Beberapa hari lalu beliau dibenar ikat jamin sebanyak RM15,000.

Syukur kehadrat Allah kami dari Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia diberikan kemampuan untuk menemui keluarga ini Maghrib semalam. Hampir dua jam perjalanan dari Kuala Terengganu benar-benar melelahkan tambahan kami bergegas setelah edaran risalah penerangan anti TPPA sekitar ibu negeri itu.

Sebaik sampai, Zulkifli memeluk kami dengan penuh erat. Tanpa sebarang kata masing-masing seakan dapat menyelami derita seorang ayah dan suami yang hanya mahu menjalankan kewajipan dengan memberikan perlindungan terbaik semampunya tetapi mungkin bakal berpisah lama dengan anak dan isteri kerana tafsiran undang-undang negara yang melihat beliau melakukan jenayah.

Zulkifli berumur 50 tahun, manakala anak-anaknya berumur 9 tahun ke bawah. Anak kedua Zulkifli yang berumur 8 tahun didiagnos menghidap autisme. Sehingga kini pertuturannya tidak jelas dan keluarga ini tidak mampu mendapatkan rawatan berkala buat anak ini kerana hospital yang menyediakan rawatan fisioterapi autisme terletak 120 kilometer dari rumah mereka.

Berkenaan rumah mereka sendiri amat menyedihkan, anda hanya memerlukan 10 langkah sahaja dari pintu depan untuk anda sampai ke pintu belakang. Sebuah rumah sempit yang mendapat keizinan sejak 14 tahun lalu untuk dibina atas rezab jalan. Namun sempit dan miskin tidak halang keluarga ini menikmati kehidupan bahagia dan patuh beragama.

Penghalang sebenar kebahagiaan mereka ialah apabila seorang ayah ditahan dalam lokap berpanjangan dan dianggap penjenayah. Ketika reman 14 hari sebelum ini Puan Zaimah isteri kepada Zulkifli tak mampu untuk berniaga sarapan pagi seperti kebiasaan. Habis terganggu ekonomi keluarga ini di samping ada segelintir mulut jahat yang menghina suaminya sebagai pembunuh membuatkan beliau lebih selesa berkurung bersama 3 anaknya dalam rumah sempit itu.

Zulkifli menceritakan kejadian yang berlaku ketika itu. Rupanya rumah Zulkifli dan masyarakat sekitar kerap dimasuki pencuri dan perompak dari kalangan penagih dadah. Malah ketika reman berlangsung beberapa kabel eletrik rumah ini dicuri pencuri lain.

Disebabkan itu mereka sangat berwaspada andai kelihatan orang mencurigakan mendekati kawasan rumah mereka. Ketika hari kejadian Zaimah melihat ada dua orang lelaki menaiki sebuah motorsikal dalam keadaan mencurigakan melalui jalan menuju ke rumah mereka. Ketika itu Zaimah dan Zulkifli berada di warung kecil sarapan pagi mereka sekitar 300 meter dari rumah mereka.

Zulkifli mengikuti dengan berhati-hati dan ternyata motorsikal itu berhenti di rumahnya. Pembonceng motosikal turun dan mula mengumpil generator sebelah dinding rumahnya manakala seorang lagi berjaga-jaga di atas motorsikal.

Ketika mereka melihat Zulkifli sampai lelaki pertama yang berada di atas motorsikal meluru pada Zulkifli dengan membawa satu objek dipercayai besi untuk memukul Zulkifli, beliau tanpa berlengah terus mengeluarkan parang kecil yang digunakan untuk memotong ayam di warung setiap hari dan berjaya menikam lelaki pertama. Lelaki kedua pula berlari ke arahnya dan sekali lagi Zulkifli berjaya menikam di bawah bahu lelaki tersebut.

Lelaki pertama kemudiannya cuba melarikan diri dengan motorsikal. Lelaki kedua juga berlari menyeberang jalan dengan harapan sempat menaiki motorsikal tersebut namun apabila sampai pada pembahagi jalan lelaki kedua rebah dan mati di tempat kejadian. Zulkifli kemudian terus serahkan diri ke Balai Polis Kerteh. Lelaki pertama ditahan pihak polis ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Hanya satu tikaman, di kawasan perkarangan rumah, yang tikaman itu sendiri tidak disangka akan mengakibatkan kematian demi mempertahankan diri dan harta maka Zulkifli pula bakal dilihat sebagai penjenayah berdasarkan tafsiran undang-undang kini?

Kes Kalaichelvi dahulu 2 tahun hukuman penjara dikenakan. Kalaulah Zulkifli dipenjara selama itu alamat meranalah isteri dan anak-anak kecil ini meneruskan hidup.

Zulkifli tiada rekod jenayah. Seorang anggota masyarakat yang baik, aktif ke masjid berdekatan, malah mungkin satu-satunya anak kampung itu yang mempunyai lesen menyelam! Ini kerana hobi sejak muda dan melalui hobi ini beliau kerap dipanggil dalam operasi membantu mencari mangsa lemas dan seumpamanya.

Kini nasib Zulkifli di tangan anda, di tangan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin. Adakah kita sanggup biarkan undang-undang merampas kebebasan seorang wira seperti Zulkifli?

Selepas solat hajat yang diimamkan pimpinan Pemuda Sosialis, beliau berkata dengan tegas beliau tak mahu malah tak mampu untuk mengupah peguam. Beliau berhasrat untuk mewakili diri sendiri ketika perbicaraan nanti.

Katanya "tiada apa perlu diselindungkan, saya akan cerita sebiji-sebiji apa yang berlaku, Allah saksi saya dan saya teringin nak tanya pihak pendakwaraya atas alasan apa ingin dikemukakan beliau di mahkamah Allah nanti kerana mendakwa saya atas hak saya sendiri?"

Pemuda Sosialis terpaksa beredar demi kembali ke Kuala Terengganu menyertai penerangan ideologi pada masyarakat. Sempat menyampaikan sumbangan kalian dan saling mendoakan.

Kami akan terus mengikuti dan melaporkan perkembangan terkini berkenaan kes ini. Kami mengalu-alukan bantuan para pembaca dalam segenap segi bagi meringankan beban keluarga ini. Juga menggalakkan para peguam budiman untuk sudi membela Zulkifli secara pro-bono.

Terima kasih pada anggota Pemuda Sosialis Pantai Timur terutama anggota dari Kelantan yang memandu tanpa henti dari pagi dan sehingga program terakhir jam 12 malam. Syukur mereka selamat tiba ke Kelantan jam 3 pagi dan rehat seketika sebelum kembali bekerja.

Terima kasih pada seluruh Komrad PSM Kelantan dan Terengganu yang memberikan sokongan serta nasihat dalam pengendalian isu ini.

Jika ada sebarang pertanyaan untuk menyalurkan bantuan sila hubungi saya melalui emel nunyaqaf_aku@yahoo.com atau 0177144750. – 26 Disember, 2015.

* Penulis merupakan Ajk Pusat Pemuda Sosialis.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/salahkah-pertahankan-diri-di-malaysia-nik-aziz-afiq-abdul#sthash.HvwvFNKH.dpuf

PAGE RASMI : https://www.facebook.com/selamatkanZulkifli/?_rdr=p

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive