SAYA janda anak empat berumur 35 tahun dan suami berumur 24 tahun. Dia suami baru saya selepas setahun saya bercerai dengan suami terdahulu. Empat anak saya dipelihara keluarga bekas suami.

Untuk pengetahuan, perkenalan saya dan suami berlaku secara tidak sengaja di laman Facebook. Kami hanya berhubung di inbox message dan dari situ saya menceritakan segala masalah yang pernah saya lalui termasuklah mengenai kisah penceraian saya.



Atas dasar simpati dan kasih sayang yang semakin bertaut, dia ajak saya berjumpa dan terjalinlah hubungan antara kami. Tidak sampai setahun, kami pun bernikah tetapi di daerah kelahiran saya di Pulau Pinang tanpa pengetahuan ibu bapa mahu pun adik beradiknya.

Saya terpaksa menurut kehendak suami yang mahu merahsiakan perhubungan kami dengan keluarganya kerana saya takut kehilangannya.

Menurut suami, keluarga pasti tidak merestui perhubungan kami kerana dia masih muda, anak bongsu dalam keluarga manakala saya seorang janda dan lebih berusia daripadanya. Dia berjanji apabila tiba masa sesuai, dia akan menceritakan mengenai perkahwinan kami.

Sebenarnya doktor, kami berdosa kerana melakukan hubungan terlarang dan saya hamil dua bulan ketika bernikah dengan suami.

Perkahwinan kami mengikut prosedur negara ini dan diketahui keluarga saya. Bulan berganti bulan, suami masih belum berterus terang dengan ibu bapanya. Dia selalu balik ke kampung keluarganya tanpa saya tetapi setiap kali dia kembali apabila saya bertanya adakah dia berterus terang, dia beritahu belum sesuai.

Saya amat tertekan dengan situasi ini tambahan pula kandungan semakin membesar.



Entah macam mana kakak dan abangnya mengetahui perihal perkahwinan kami. Mereka pujuk suami pulang ke kampung untuk berbincang.

Balik sahaja dari kampung, suami terus keluar dari rumah tanpa memberikan penjelasan. Saya merayu kepada suami tetapi dia tidak mahu bercakap apa-apa.

Saya kejar suami sehingga dia balik ke rumah sewa lamanya. Dari pagi sehingga petang saya tunggu suami keluar tapi dia tidak endahkan saya. Telefon dan mesej tidak berjawab. Saya menangis dan merayu sehingga saya penat dan akhirnya balik ke rumah dengan perasaan hampa.

Esoknya saya ke sana lagi. Kawan serumah suami beritahu suami sudah pindah tetapi saya tahu suami saya masih ada di dalam rumah dan sengaja tidak mahu berjumpa.

Saya cari contact kakak dan abangnya menerusi Facebook dan apabila dapat berhubung kakaknya  menjawab yang saya telah menyihir suami sehingga berkahwin dengan saya.

Ya ALLAH... saya terduduk. Mereka menghasut suami dengan mengatakan anak dalam kandungan saya bukan anak suami. Dan suami bernikah dengan saya kerana sihir. Kononnya suami tersedar selepas berubat di kampung.

Saya hantar mesej merayu suami jangan buat saya begini. Saya pernah melalui perceraian sebelum ini dan saya tidak sanggup mengharunginya sekali lagi dalam keadaan saya mengandungkan anaknya. Tetapi suami tidak menjawab soalan saya.


Saya pulang dengan hampa. Ketika itu kandungan saya masuk lima bulan.

Kini sudah lapan bulan dan suami langsung tidak pulang menjenguk saya. Saya bekerja kilang dan terpaksa berulang alik naik motor seorang diri untuk bekerja. Dalam keadaan mabuk hamil saya terpaksa juga bekerja demi mencari wang untuk bersalin nanti.


Saya benar-benar tertekan dan tidak tahu apa saya perlu lakukan. Saya hanya mampu menangis. Makan minum saya sudah tidak menentu tapi saya perlu teruskan hidup untuk anak kami.

Zai,
Pulau Pinang


APA KATA PAKAR oleh Dr HM Tuah Iskandar al-Haj

Berhentilah menangis kerana ia tidak baik untuk janin dalam kandungan. Sesuatu yang kita lakukan, akuilah kesan dan akibatnya. Bersedih tidak akan membawa kepada sebarang keuntungan sebaliknya masalah akan semakin kusut.


Sangat ramai orang yang hujungnya menghubungi saya atas masalah yang sama. Saya menjadi sangat pelik memikirkan bagaimanalah orang kita terlalu mudah mengambil keputusan yang selalu bertentangan dengan adat kebiasaan, budaya, malah agama.

Ceritanya sama sahaja; gagal perkahwinan pertama, maka mencari alternatif di laman sosial, kemudian menjadi mesra lalu berjumpa. Tidak lama kemudian cinta pun berputik lalu tidak segan-segan melakukan seks haram. Seterusnya hamil sedang si lelaki berkenaan mula berubah. Tragedi pun bermula dan airmata pun tidak sudah-sudah ditumpahkan.

Keadaan serupa ini sudah terlalu kerap dipaparkan dalam drama-drama Melayu tetapi orang masih berbuat kesilapan yang sama juga.


Memang tidak dinafikan masalah anda sangat berat. Manakan tidak, bakal melahirkan anak tanpa suami di sisi meskipun anda telah berkahwin secara sah. Pada saya anda telah melakukan segala-galanya untuk mendapatkannya kembali, maka berhentilah daripada terus menagih kasih.

Andainya keluarga suami sendiri sudah tidak dapat bersikap adil, dan suami juga menjauhkan diri beralihlah kepada keluarga sendiri. Selalunya dalam hal begini keluarga akan berpihak kepada diri kita, sebagaimana keluarga suami sedang berpihak kepadanya sekarang. Melalui campur tangan keluarga, suami boleh dicari.



Terlalu banyak kesilapan yang anda lakukan dalam perkahwinan kedua ini.

Sepatutnya sebagai orang yang pernah mengalami masalah perceraian dan lebih matang. Perkahwinan rahsia memang membawa akibat yang besar, lebih besar apabila meninggal dunia.

Cuba fikir apa akan jadi pada anda dan anak yang dikandung andainya suami meninggal dunia, sedang tiada siapa tahu akan perkahwinan ini.

Bukankah lebih baik hidup menjanda daripada berkahwin lagi dengan orang yang tidak pasti? Anda hanya mengenalinya melalui laman sosial dan berkahwin dengannya melalui syarat yang tidak boleh diterima, sebab bukankah sunah mewar-warkan perkahwinan, bukan merahsiakannya?



Perkara yang telah berlalu biarkanlah, sekarang bersedia dengan kekuatan mental untuk berdepan dengan masalah yang berbangkit ini. Selain meminta bantuan keluarga, anda boleh memfailkan kes ini di pejabat agama. Ikut semua yang dinasihati, dalam kata lain bertindak mengikut saluran undang-undang.

Usah pergi lagi ke rumah sewanya, merayu dan menangis, itu sangat buruk. Ia juga boleh menyebabkan orang berfikir macam-macam tentang anda, hujungnya anda juga yang akan dipersalahkan.



Dalam keadaan sekarang menjaga maruah diri adalah lebih penting daripada mendapatkan suami.

Bukankah anda dituduh menyihirkan suami?

Jika terus bertindak gila, perkataan-perkataan yang tidak molek akan semakin anda perolehi. Dia seorang yang muda, mungkin juga dia mengahwini anda bukan atas dasar cinta, maklumlah orang muda biasanya banyak pilihan, apalagi setelah mendapat nikmatnya hubungan seksual sebelum bernikah lagi.

Dan usahlah terlalu risau, saya percaya apabila anak lahir nanti, suami akan kembali.


Meskipun anak itu anak luar nikah tetapi dia adalah dari zuriat suami, bukan?

Walaupun sekarang ini anda dituduh macam-macam tentang status anak itu tetapi anda dan suami sangat mengetahuinya, bahawa anak itu adalah anak anda berdua. Dia akan teruja untuk melihat zuriatnya kelak dan perhubungan insya-ALLAH akan terjalin kembali.