UtusanDaily

Friday, 8 April 2016

6 Kesalahan Besar 1MDB Yang Kita Tidak Tahu


Mujur ada siasatan terhadap macam-macam dakwaan salah laku syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak beberapa tahun.

Dengan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dibantu laporan Ketua Audit Negara, sebahagian syak wasangka dan tuduh-menuduh selama ini sedikit sebanyak terungkai.

Walaupun isu ini belum tuntas, banyak dakwaan terus dilontarkan dan siasatan masih dijalankan oleh beberapa negara lain, berikut isi-isi utama laporan PAC yang diumumkan hari ini.

1. Ingkar keputusan dan arahan lembaga pengarah

Menurut laporan PAC, pihak pengurusan 1MDB beberapa kali tidak mematuhi keputusan dan arahan lembaga pengarah ataupun mengambil tindakan sebelum mendapat kelulusan khusus daripada lembaga pengarah.

Terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa penilaian terperinci, termasuk penelitian kesannya terhadap aliran tunai syarikat. Banyak pula keputusan penting hanya dibuat melalui resolusi bertulis tanpa perbincangan dalam mesyuarat.

2. Bayar US$1.4 bilion ke Aabar Ltd, syarikat yang tidak pasti

1MDB membayar deposit cagaran sekitar US$1.4 bilion (RM5.5 bilion) kepada Aabar Ltd tanpa persetujuan lembaga pengarah.

Malah, bukan itu sahaja, bayaran dibuat tanpa memastikan syarikat tersebut benar-benar dimiliki dana kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).

Sehingga kini, 1MDB masih belum dapat menentukan mana satu anak syarikat IPIC, Aabar Ltd ataupun Aabar Investments PJS di Abu Dhabi, yang mempunyai nama mirip.

3. Bayar US$700 juta ke firma tidak berkaitan urusan PetroSaudi

1MDB tidak mendapat kebenaran lembaga pengarahnya apabila membayar US$700 juta (RM2.72 bilion) kepada Good Star Ltd pada 2009, sebuah syarikat yang tiada kena mengena dengan usaha sama dengan firma minyak Arab Saudi, PetroSaudi International Ltd.

Daripada US$1 bilion peruntukan untuk usaha sama tersebut, 1MDB memindahkan cuma US$300 juta ke akaun bank JP Morgan (Suisse) SA milik syarikat bersama 1MDB PetroSaudi Ltd.

Manakala bakinya masuk ke akaun RBS Coutts Bank Ltd yang dimiliki Good Star.

4. Pecat dua firma audit berturut-turut, tidak tahan disiasat

Dalam tempoh empat tahun, 1MDB menamatkan khidmat dua syarikat audit terkenal Ernst & Young (EY) dan KPMG selepas mereka sering mendesak dokumen-dokumen penting.

Dokumen itu gagal diberikan oleh syarikat tersebut dan ia berbeza pendapat dengan firma-firma audit berwibawa itu.

EY diberhentikan pada 15 September 2010, sebelum 1MDB menghantar laporan kewangan pertamanya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010.

KPMG pula diberhentikan pada 31 Disember 2013 sebelum laporan bagi tahun 2013 dikemukakan, lalu digantikan dengan Deloitte.

5. Berharap hutang berbilion-bilion, bahayakan Putrajaya

Kerajaan persekutuan berdepan dengan risiko sebesar RM20.3 bilion pada Oktober tahun lepas jika 1MDB gagal melangsaikan hutangnya.

Jumlah tersebut datang daripada jaminan kerajaan sebanyak RM5.8 bilion, surat sokongan untuk menjamin RM13.56 bilion dan juga kredit tunggu sedia sebanyak RM950 juta.

6. Jadi ‘anak emas’ Putrajaya, dapat banyak kelebihan

1MBD mendapat banyak kelebihan daripada pentadbiran Putrajaya yang tidak diberikan kepada anak-anak syarikat lain di bawah MOF Inc milik penuh Kementerian Kewangan.

Misalnya, 1MDB diberikan pengecualian cukai korporat untuk semua pendapatan selama 10 tahun sejak 23 November 2010.

Lembaga pengarahnya juga tidak mempunyai pegangan saham dan juga diberi pengecualian lain daripada peraturan kerajaan dalam aspek pengurusan bayaran perolehan, penggajian dan bonus kepada lembaga pengarah dan pengurusan.

http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/enam-kelemahan-1mdb-terkantoi-melalui-laporan-pac

Najib belum bersih lagi.. makluman untuk penyokongnya....

Shahbudin Husin,


Sesiapa yang mengatakan Najib Razak sudah bersih daripada kemelut 1MDB hanya berdasarkan Laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen Khamis lalu, sebenarnya lebih menyerlahkan mereka tidak membaca dan meneliti sepenuhnya laporan tersebut.

Oleh yang demikian, khususnya kepada penyokong Najib, daripada menteri hinggalah kepada blogger berbayar, jika masih malas juga membaca laporan setebal 106 muka surat itu, ada baiknya mereka meneliti kenyataan salah seorang anggota PAC, Tony Pua ketika mengadakan sidang akhbarnya pagi tadi.

Antara yang disebut oleh beliau yang boleh dijadikan pencerahan ialah:-

- "Apa yang disebut oleh Naib Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw bahawa Najib tidak dikaitkan dengan sebarang kesalahan sebenarnya adalah khusus berdasarkan dokumen 1MDB yang kita lihat setakat ini dan bukannya berdasarkan keseluruhan dokumen milik syarikat pelaburan itu.

"Dokumen yang ada (sudah disiasat) memang tidak ada penglibatan Najib. Dokumen yang tidak ada (tidak diberikan oleh 1MDB kepada PAC), kita tak tahulah.

"Seperti yang saya pernah sebut dalam kenyataan sebelum ini, masih banyak dokumen yang tidak diserahkan kepada PAC. Kenapa tak bagi?"

- "Antara dokumen yang tidak diserahkan ialah rekod dan penyata perbankan bagi transaksi 1MDB di luar negara. Memandangkan dakwaan salah laku terhadap Najib, khususnya berkaitan wang derma yang diterimanya melibatkan transaksi luar negara, jika semua dokumen itu diserahkan, PAC dan Jabatan Audit Negara dapat membersihkan nama beliau.

"Sebab itu saya minta Najib mengarahkan 1MDB untuk menyerahkan semua dokumen kepada PAC dan Ketua Audit Negara untuk penelitian selanjutnya. Jika tidak, Najib akan terus dicemari persepsi takut kepada kebenaran."

- "Hanya kerana seorang lelaki (Tun Mahathir Mohamad) memetik angka yang salah untuk jumlah tabung yang tidak jelas, tidak bermakna tiada wang berbilion dolar telah hilang.

"Kami sudah mengesahkan sekurang-kurangnya AS$5.5 bilion wang dan aset 1MDB tidak boleh disahkan oleh Ketua Audit Negara, selepas siasatan dijalankan selama setahun."

- "Tidak semua pihak dipanggil memberi keterangan kepada PAC. Kita ingin memanggil wakil Bank Negara dan seorang lagi bekas CEO 1MDB, Mohd Hazeem Abdul Rahman, tetapi Pengerusi PAC, Hasan Ariffin enggan berbuat demikian.

"Bantuan Bank Negara khususnya adalah perlu untuk mendapatkan dokumen transaksi di luar negara.

"Pengerusi PAC sebelum ini ( Nur Jazlan) mendengar kedua-dua belah pihak. Kami semakin sukar mendesak sesuatu perkara sekarang ini seperti kes melibatkan bekas Pengerusi 1MDB, Mohd Bakke Salleh misalnya, hanya setelah didesak berulangkali, barulah beliau dapat dipanggil untuk memberi keterangannya."

- "Kita akur untuk membentangkan laporan yang tidak sempurna kerana berkejar dengan masa. Mungkin jika tidak dibentang dalam sessi Parlimen sekarang, ia tidak dapat dibentang langsung dalam sessi Parlimen akan datang, mungkin kerana subjudis atau seumpamanya.

- "Kita berharap PAC akan menyiasat beberapa perkara yang diabaikan kali ini dalam siasatannya di masa akan datang."

Ada penyokong Najib yang masih tidak faham? (SH 08/04/2016).

Thursday, 7 April 2016

Dr M: Najib betul, sebenarnya RM50b bukan RM42b

Bekas perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib adalah 'betul' dan beliau salah berkenaan hutang RM42 bilion yang ditanggung 1MDB.

"Laporan itu (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) kata ia bukan hanya RM42 bilion tapi RM50 bilion. Lebih dari itu.

"Jadi saya salah kerana sebut angka lebih kecil dan saya rasa RM50 bilion juga tidak betul, boleh jadi lebih lagi," kata Mahathir kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Najib hari ini berkata laporan PAC membuktikan Dr Mahathir membuat tuduhan palsu bahawa RM42 bilion hilang dari 1MDB.

Wednesday, 6 April 2016

Mahathir akui ahli parlimen BN penakut hendak akui kesalahan NAJIB

Mahathir akui gagal dapatkan 24 wakil BN bagi guling PM


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa usaha untuk mengenalpasti sekurang-kurang 24 wakil rakyat BN yang sanggup menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menemui kegagalan.

Menulis di blog, katanya, percubaan telah dibuat untuk mengenalpasti ahli parlimen BN yang tidak mengutamakan diri sendiri, rasa bertanggungjawab dan prihatin terhadap negara untuk bersama wakil dari pembangkang.

Namun usaha itu tidak berjaya kerana sebahagian besar mereka takut dikenakan tindakan oleh Najib jika menyokong usul undi tidak percaya berkenaan.

“Percubaan ini gagal kerana walaupun mereka sedar akan kesalahan Najib, tetapi kerana kepentingan diri, kerana takut tindakan seperti yang dilakukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal, takut juga kepada lain-lain tindakan oleh Najib, tidak ada yang sanggup menandatangani pengakuan menyingkir Najib.

“Oleh itu undi tidak percaya tidak boleh dibuat,” katanya.

Pemimpin pembangkang sebelum ini mendedahkan terdapat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong usul undi tidak percaya yang didakwa diedarkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Razaleigh bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang peranan dengan SD berkenaan.

Menurut Dr Mahathir, wakil rakyat BN yang menjadi majoriti di Dewan Rakyat sudah mengikat diri dengan Najib untuk tidak menandatangani sebarang deklarasi yang tidak menyokong Najib.

Beliau berkata Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan juga mengakui menerima dana daripada Najib.

“Pengakuan oleh Shahrir Samad dan Ahmad Maslan serta kenyataan oleh Datuk Seri Nazir Razak, adik Najib, bahawa dia telah diberi wang sebanyak AS7 juta untuk diagih kepada pemimpin BN, mengesahkan penerimaan sogokan oleh Najib.

“Oleh itu untuk menjayakan usul tidak percaya kepada Najib tidak mungkin dilakukan,” katanya,

Sehubungan itu, Dr Mahathir merayu orang ramai supaya menandatangani Deklarasi Rakyat bagi Selamakan Malaysia yang diterajuinya.

Katanya, sejarah semasa melawan Malayan Union membuktikan bahawa suara rakyat boleh membawa perubahaan.

“Setelah Raja-Raja dipaksa oleh British menandatangani perjanjian menyerah negeri-negeri Melayu kepada mereka, rakyat bangun dan mendesak Raja-Raja supaya tidak menghadiri dan mengiktiraf pelantikan Gabenor bagi Malayan Union.

“Raja-Raja pun tidak hadir. British terpaksa batal rancangan Malayan Union mereka dan menubuh Federation of Malaya pada 1948,” katanya.

Oleh itu, katanya dengan menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib disingkir mungkin tidak berkesan dan perdana menteri tidak akan berundur tetapi Raja-Raja Melayu akan termaklum berkenaan rintihan rakyat.

“Dari peristiwa ini kita boleh buat kesimpulan bahawa suara rakyat ada hikmatnya. Itulah sebab deklarasi rakyat penting,” katanya.

Trajedi penyanyi Dangdut di tumpas dengan ular tedung diatas pentas


Tak seperti pepatah, kebiasaaan belum tentu dapat mengalahkan bisa.

Walaupun sudah sering beraksi bergoyang bersama ular tedung ketika beraksi di atas pentas penyanyi dangdut Irma Bule akhirnya 'tumpas'.

Irma, 29, sedang membuat persembahan bergoyang dangdut di daerah Karawang, Jawa Barat pada malam Ahad lalu apabila ular tedung yang sering dibawanya, mematuk.

Sesetengah media melaporkan ular itu mematuk selepas Irma secara tidak sengaja memijak haiwan berkenaan.

Walaupun pada awalnya media memberitahu Irma gagal diselamatkan sejurus selepas itu, laporan terkemudian menyatakan artis berkenaan sempat menghabiskan lagunya.

Malah dia sempat bergurau dengan penonton.

Ketika patukan berlaku Irma sedang menyampaikan lagu keduanya.

Irma dilihat tiba-tiba menghentikan seketika goyangannya dan memanggil seseorang untuk membantu.

Polis kumpul bukti

Sumber memberitahu ular berkenaan mempunyai pawang sendiri dan lelaki berpakaian serba hitam tersebut dapat memisahkan reptilia itu dari betis kanan Irma selepas seminit.

Selesai persembahan Irma mengadu pening sebelum kelihatan tenat menyebabkan dia dikejarkan ke hospital berhampiran.

Irma menghembus nafas terakhirnya pada awal pagi Isnin.

Jurucakap polis berkata mereka sedang mengumpul keterangan daripada saksi dan meneliti bukti yang ada untuk menentukan punca sebenar kematian penyanyi terbabit.

Antara aspek yang diperhatikan, katanya, ialah tempoh Irma dipatuk ular serta detik kematiannya yang dianggap agak lama.

MAT BASHAH sudah kuasai UMNO KEDAH dengan menghantar deklarasi sokong NAJIB



UMNO Kedah serah deklarasi sokong PM kepada Najib

UMNO Kedah hari ini menyerahkan deklarasi menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO di bangunan Parlimen.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, rombongan UMNO negeri disertai anggota Parlimen, ADUN, ketua bahagian, senator dan ketua Wanita, Pemuda dan Puteri.

Tuesday, 5 April 2016

PAC bentangkan laporan 1MDB di Parlimen Khamis ini


Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah berjaya menyiapkan draf laporan berhubung siasatannya terhadap 1MDB.

Ahli PAC Tony Pua yang juga adalah ahli parlimen Petaling Jaya Utara, berkata jawatankuasa itu akan menerbitkan laporannya itu dalam tempoh dua hari akan datang dan membentangkannya di Dewan Rakyat pada Khamis ini.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada maklumat pada mesyuarat itu berhubung bila laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Ini, awak kena tanya pada mereka," katanya.

Pua juga mendedahkan bahawa PAC yang bermesyuarat sehingga jam 9 malam semalam telah menulis laporan mereka secara konsensus.

Beliau ditanya sama ada kedua-dua pihak parti pemerintah dan pembangkang dalam PAC mencapai kata sepakat berhubung laporan mereka mengenai 1MDB.

LTAT akhirnya mengaku bahawa 110 pesara tentera yang Rafizi kemukakan itu memang lewat terima caruman mereka

Rafizi Ramli


LTAT akhirnya mengaku bahawa 110 pesara tentera yang saya kemukakan Khamis lalu memang lewat menerima caruman LTAT walaupun pelbagai alasan diberikan. Pengerusi LTAT berkata tindakan saman telah diambil terhadap saya. Saya teruja mahu melihat orang-orang besar seperti ini disoal balas di dalam kandang mahkamah. Cuma jangan guna caruman LTAT anggota tentera untuk bayar kos guaman menyaman saya. Sila guna duit sendiri. Jika setuju, mohon "share" seberapa banyak mungkin.

5 APRIL 2016

LTAT SECARA TIDAK LANGSUNG SAHKAN BERLAKU KELEWATAN

Saya sedia maklum kenyataan media Pengerusi LTAT, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor bertarikh 4 April 2016 mengenai senarai 110 pesara tentera yang saya kemukakan kepada LTAT minggu lepas.

Kenyataan beliau memperincikan perkara berikut:

1. 69 dari pesara yang saya kemukakan dibayar di antara 16 Mac 2016 dan 4 April 2016
2. Dokumen bagi 23 pesara tentera baru diperolehi dari Unit Gaji Angkatan Tentera (UGAT) dan pembayaran sedang diproses
3. Dokumen bagi 16 pesara belum diterima dari UGAT

Kenyataan beliau mengesahkan bahawa semasa saya mula-mula membawa isu ini iaitu 21 Mac 2016, sebahagian besar (jika tidak kesemuanya) dari pesara tentera ini belum menerima bayaran gratuiti caruman LTAT. Saya kesal kerana beliau terus berkeras mahu menafikan bahawa ada masalah kelewatan pembayaran kepada pesara sehingga berbulan lamanya tidak kiralah di mana masalah itu (sama ada di peringkat UGAT atau LTAT).

Saya juga berminat untuk mengetahui bagi 69 pesara yang baru menerima bayaran caruman LTAT, bilakah sebenarnya bayaran itu dibuat? Jika LTAT tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, saya cabar LTAT menyenaraikan secara terperinci tarikh sebenar pembayaran dibuat bagi setiap dari 69 pesara itu kerana saya khuatir sekiranya sebahagian besar dari mereka (jika tidak kesemuanya) hanya dibayar pada 4 April 2016 iaitu beberapa hari selepas saya mengemukakan senarai kepada LTAT.

Saya terus menerima aduan kelewatan pembayaran dari pesara tentera. Hari ini saya akan menghantar senarai kedua terdiri dari 81 pesara tentera yang belum mendapat bayaran dan ganjaran pencen sepenuhnya termasuk caruman LTAT. Dari jumlah 81 pesara tentera ini, 75 orang masih belum menerima caruman LTAT sejak mereka tamat perkhidmatan.

Saya desak supaya pengurusan LTAT dan Unit Gaji Angkatan Tentera (UGAT) mengambil tanggungjawab untuk menyemak semula proses dan prosedur kelulusan pembayaran supaya pesara-pesara tentera tidak berdepan dengan masalah birokrasi atas alasan dokumen tidak dikemukakan oleh UGAT sehingga mereka tidak menerima bayaran caruman sehingga berbulan-bulan lamanya. Individu seperti Pengerusi LTAT ini dibayar gaji yang lumayan setiap bulan untuk menjaga kebajikan pesara tentera dan adalah menjadi tanggunjawab beliau untuk menyelesaikan sebarang masalah pentadbiran di antara LTAT dan UGAT yang melambatkan pembayaran.

Mengenai tindakan undang-undang yang diambil oleh LTAT, saya mencabar Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor sebagai Pengerusi LTAT dan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT menyaman saya atas kapasiti peribadi dan menggunakan wang mereka sendiri untuk membayar kos guaman. Saya kesal jika mereka menggunakan wang caruman pesara tentera untuk menyaman saya sedangkan setakat ini mereka gagal menafikan fakta-fakta yang saya kemukakan.

Saya akan berdepan dengan mereka berdua ini dan akan memanggil saksi-saksi dari kalangan pesara tentera yang lewat dibayar caruman untuk memberi keterangan. Saya juga akan mengambil peluang ini untuk menanyakan soalan-soalan berhubung penglibatan LTAT dengan 1MDB terutamanya yang melibatkan peranan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin. Saya yakin ia akan menjadi satu perbicaraan yang mendapat perhatian dunia.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Nazri kata Mahathir ahli politik 'low class'

Mahathir ahli politik 'low class', kata Nazri

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini disifatkan sebagai seorang ahli politik yang ‘low class’, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini kerana Mahathir mengambil langkah menghalalkan cara asalkan niat untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tercapai.

“Ya, dia menghalalkan cara. Prinsip dia, buat apa sahaja perkara boleh dilakukan asalkan niatnya tercapai.

“Dia kini sudah sampai ke tahap ahli politik yang 'low class'. Sungguh sedih. Tetapi nak buat macam mana. Dia buat diri dia macam itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, tindakan drastik Mahathir itu diambil selepas kegagalannya menjatuhkan Najib sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, disebabkan itu dendam kesumatnya terhadap Najib telah melampaui daripada yang biasa.

“Dia seorang yang sudah terdesak. Sebelum ini, setahun dia cuba jatuhkan Najib tetapi dia gagal. Ahli Umno tetap berdiri teguh di belakangnya. Jadi sebab itu, dia keluar parti dan anak dia pula kena buang. Bertambahlah dendamnya.

“Jadi dia akan ambil apa sahaja kesempatan untuk menggabungkan usaha menjatuhkan Najib. Contohnya dia tengok perhimpunan Mansuh GST boleh jatuhkan Najib, dia akan turut serta. Sampai ke situ dendam dia,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, usaha keras Mahathir untuk menjatuhkan Najib tidak akan berjaya kerana prinsipnya sudah tersasar.

“Rakyat tahu yang mana boleh ikut dan tidak. Nampak sangat dia duduk dengan pembangkang, dia berkompromi dengan prinsip dia. Amat memalukan.

“Sekarang, dalam politik dia sudah sampai ke tahap yang rendah. Langsung tidak ada prinsip,” katanya.

Dr M: Umrah duit haram pun dapat pahala?


Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu pembiayaan umrah oleh “pihak tertentu” yang punca kewangannya masih menjadi persoalan.

“Saya tertanya-tanya jika wang yang dibelanja untuk melakukan ibadah umrah datang dari punca yang haram, umpamanya jika wang itu dicuri, apakah ibadah itu menjadi sah dan memberi pahala?” soalnya.


Mahathir (gambar) bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada beliau merujuk mana-mana pihak secara langsung.

Perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia itu membangkitkan perkara itu selepas berada di Arab Saudi minggu lepas.

Katanya, beliau melihat orang Islam berduyun-duyun mengerjakan umrah sehingga keadaan seperti ketika mengerjakan ibadah haji.

Malah, tambahnya, orang Melayu Malaysia juga tidak terkecuali.

Menulis dalam blog hari ini, beliau mengingatkan bahawa ibadah umrah hanya amalan sunat.

“Saya faham yang sunat, jika dilakukan memberi pahala kepada diri pengamal. Jika tidak melakukan, kita tidak berdosa,” katanya.

Sunday, 3 April 2016

PANAS | Laporan Ketua Audit Negara Mengesahkan 1MDB Punca Masalah Kewangan LTAT...


Saya kongsi di sini Laporan Ketua Audit Negara yang menyiasat 1MDB dan mengesahkan bahawa 1MDB telah lambat membayar LTAT dan menggunakan RM288 juta yang diperuntukkan kepada LTAT.

Saya telah menimbulkan isu kelewatan pembayaran caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada pesara-pesara tentera yang baru tamat tempoh perkhidmatan sejak seminggu lalu. Ada pesara yang terpaksa menunggu sehingga berbulan-bulan lamanya.

Semasa saya mula-mula menimbulkan perkara ini, 1MDB dan LTAT dalam kenyataan pertama mereka menafikan sekeras-kerasnya bahawa ada perkaitan di antara masalah kewangan 1MDB dengan kelewatan pembayaran caruman LTAT kepada pesara tentera. Malah, Pengerusi LTAT dengan terburu-buru mengugut untuk menyaman saya. 1MDB dan LTAT juga menafikan bahawa ada sebarang kelewatan pembayaran oleh 1MDB kepada LTAT dan semua bayaran adalah mengikut jadual.

Saya sertakan satu mukasurat dari Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB yang kini masih beum dibentangkan kepada rakyat.

https://drive.google.com/file/d/0B2GRLI8QVQQgdnh3SFZiREJGa2M/view

Mukasurat ini secara khusus menunjukkan bahawa pengurusan 1MDB dan LTAT telah cuba menyembunyikan maklumat sebenar apabila saya mula-mula menimbulkan perkara ini.

Secara khusus, Laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB dan keterlibatan LTAT di dalam 1MDB mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. 1MDB RE (anak syarikat 1MDB yang membangunkan Bandar Malaysia) mempunyai masalah untuk membayar kontraktor penempatan semula (iaitu anak syarikat LTAT)

2. 1MDB RE telah menggunakan sejumlah RM288 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk dibayar kepada anak syarikat LTAT bagi tujuannya sendiri iaitu membayar faedah pinjaman

3. Keputusan pengurusan 1MDB menggunakan peruntukan kerajaan sebanyak RM288 juta untuk membayar faedah pinjamannya tidak dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB

4. Pembayaran tuntutan oleh PPHM kepada 1MDB bagi kos pembangunan lima lokasi penempatan semula iaitu Pengkalan Udara Subang, Pengkalan Udara Sendayan, Pengkalan Udara Polis Subang, Rejimen Artileri Diraja Kem Kajang dan Pengkalan Udara Kuantan telah tertunggak sejak bulan Disember 2014 hingga September 2015. Nilai bayaran tertunggak dari 1MDB kepada PPHM sehingga September 2015 adalah berjumlah RM396.41 juta

Laporan Ketua Audit Negara yang saya tunjukkan pada hari ini jelas membuktikan bahawa keterlibatan LTAT di dalam projek 1MDB dan masalah kewangan 1MDB telah membawa kesan kepada kedudukan LTAT.
Saya mengulangi desakan saya sebelum ini supaya LTAT menyelesaikan tunggakan bayaran caruman kepada pesara-pesara tentera secepat mungkin.

Saya juga mendesak supaya tindakan diambil ke atas Arulkanda Kandasamy, CEO 1MDB yang mengeluarkan kenyataan yang cuba menyembunyikan perkara sebenarnya dari pesara-pesara tentera dan rakyat apabila saya menimbulkan isu ini minggu lalu.

RAFIZI RAMLI

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive