UtusanDaily

Thursday, 16 January 2014

Jom pekena Roti canai terbaik!



“Enak sangatkah? Apa yang menariknya?” Itulah antara persoalan yang berlegar dalam fikiran penulis ketika rakan sekerja mencadangkan agar mencuba roti canai di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Mana tidaknya, secara umumnya roti canai yang menjadi kegemaran ramai lebih kurang sama saja, malah tidak ada beza. Jika berbeza sekalipun, mungkin yang satu roti canai mamak dan satu lagi di gerai Melayu.

Namun, bagi mendapatkan kepastian, penulis meluangkan waktu untuk ke premis berkenaan, yang dinamakan sebagai Valentine Roti. Ia mendapat jolokan ‘Best Roti Canai’ dalam kalangan sesetengah penggemarnya.

Beroperasi sejak 1975, roti canai di premis berkenaan dibuat hasil adunan resipi tersendiri, iaitu daripada pengasasnya, Ilango Arokiasami, 53. Ciri ini sememangnya menampilkan sedikit kelainan.

Anak beliau, Valentine Ilango, 27, berkata istimewanya roti canai di premis berkenaan adalah kerana ia lebih nipis, garing dan sangat rangup ketika dimakan.

Menurutnya, walaupun masih menggunakan adunan asas untuk membuat roti canai iaitu tepung, gula, garam dan majerin, tambahan sedikit bahan ramuan lain memberikan keenakan berbeza.

“Cara menebar roti canai ini juga lain sedikit, kerana ia ditebar lebih lebar daripada biasa.

“Apabila ia ditebar lebih besar, roti canai yang dihasilkan akan lebih garing dan nipis, sekali gus menjadikan ia roti canai yang sangat digemari pelanggan,” katanya yang juga penebar roti, selain dilakukan ayahnya.

Menu istimewa yang turut mendapat sambutan adalah roti valentine, roti tisu, murtabak ayam dan murtabak daging.

Beroperasi dari jam 4 petang hingga 2 pagi setiap hari kecuali Ahad, ada 30 jenis menu termasuk pelbagai jenis roti, capati, tosai, mi dan mihun goreng disediakan di restoran berkenaan.

Dengan harga RM1.20 untuk hidangan roti canai, RM4.30 untuk roti Valentine dan RM2.80 untuk roti tisu, anda juga boleh membuat tempahan penghantaran atau menebarnya di majlis anda dengan minimum 500 keping.

Bagi anda penggemar roti canai dan mahu merasai sendiri keenakannya yang menjadi pilihan ramai sejak 38 tahun ini, singgahlah di Valentine Roti, yang terletak berhadapan dengan Menara Celcom. Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive