UtusanDaily

Sunday, 12 January 2014

Apabila rakyat ajar FAM rahsia untuk kejayaan team bolasepak

Rahsia yang tidak lagi rahsia - Ahmad Mohsein Azmi

Saya hanyalah peminat bola sepak. Tujuan menulis artikel ini untuk menambah perbincangan umum rakyat malaysia tentang kelesuan pasukan bola sepak Malaysia.

Kejayaan pasukan bola sepak adalah menjadi suatu harapan besar rakyat Malaysia. Semenjak merdeka Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia sedangkan rakan serantau seperti Jepun dan Korea Selatan telah lama meninggalkan kita.

Saya percaya jika kita meniru bulat-bulat kaedah Jepun dan Korea Selatan kita juga boleh berjaya. Kejayaan bola sepak juga bukan lagi rahsia.

Sudah banyak formula kejayaan bola sepak ditunjukkan oleh negara Eropah. Sebagai contoh kelab-kelab di Jerman (Borussia Dortmund dan Bayern Munich) dan Basque dan Catalan (Barcelona dan Atletico Bilbao) hanya menggunakan produk akademi remaja sebagai pelapis pasukan.

Mereka tidak perlu berbelanja besar seperti Chelsea dan Manchester City. Apakah faktor kejayaan pasukan bola sepak? Saiz fizikal, kemahiran atau keutuhan mental?

Jika dilihat saiz pemain Sepanyol rata-rata sekitar 170cm sahaja. Hanya pemain pertahanan sahaja memiliki ketinggian 190cm. Ramai juga pemain Brazil hanya memiliki sosok tubuh pemain Asia.

Lionel Messi hanyalah 169cm. Umumnya ketinggian rakyat Malaysia sekitar 165-170cm jadi ia adalah saiz normal rakyat Malaysia.

Saiz pemain tidak lagi menjadi faktor keberkesanan taktikal. Saiz pemain hanyalah relevan bagi permainan rebutan bola di udara.

Sedangkan permainan "possession" tiki taka mengawal pergerakan bola melebihi paras lutut apa lagi diperlukan pemain tinggi lampai.

Jika kita lemah bersaing di udara maka lupakan saja formasi dan permainan teras Inggeris yang terkenal dengan kaedah hantaran lintang dan tandukan.

Bagaimana pula kemahiran? Skill individu atau kawalan taktikal pasukan? Jika diperhati dengan teliti kebanyakan pemain berskil tinggi tidak bermain dalam kelab yang sama.

Secara purata hanya sekitar 4-5 orang sahaja pemain utama pasukan boleh mengelecek dengan aksi-aksi menghiburkan. Baki pemain 6-7 orang kekal bermain tanpa kemahiran individual yang ketara.

Hakikatnya mereka bermain mengikut taktikal pasukan. Terdapat dua set taktikal dalam pasukan Eropah. Pertama pergerakan bersama ketika pasukan sendiri sedang mengawal bola. Yang kedua, adalah pergerakan tanpa bola. Saya mendapati inilah merupakan kelemahan utama bola sepak Malaysia.

Bagaimana pula dengan kekuatan mental? Adakala pasukan kita telah berjaya mendahului permainan tetapi tewas dalam serangan terakhir pihak lawan.

Bagaimana mengatasi perasaan gemuruh, percayalah peminat-peminat semua, apabila berada di dalam padang dengan sorakan penyokong, pemain berada keadaan minda sendiri.

Keputusan dan pergerakan dalam padang inilah yang perlu dilatih dan didedahkan. Ia perlu konsisten. Dari 10 kali hantaran mestilah 8 kali sampai kepada rakan sepasukan.

Permainan bola sepak adalah permainan mencipta peluang jaringan, Kemenangan pasukan adalah banyak dengan berjaya menghasil peluang.

Terpulang pada penyerang untuk menyudahkan peluang. Di sini juga penyerang perlu berkomunikasi dan mengatur kedudukan “favourite”. Rakan sepasukan perlu tahu kekuatan penyerang, jika pemain itu kidal maka bola yang dilorongkan mestilah selari dengan sepakan kaki kiri.

Jika penyerang kerap berinteraksi dan mencuba banyak gerakan larian, sudah pasti rakan sepasukan akan mudah mengagak arah tuju larian penyerang, di situlah hantaran di halakan.

Tiada yang mustahil dalam kejayaan pasukan bola sepak, lihat saja pasukan Belgium dan Uruguay, mereka berjaya menempatkan negara di persada dunia. Sedangkan mereka bukanlah kuasa tradisi bola sepak.

Saya tidak percaya masalah ini boleh diatasi dalam masa singkat. Kita tidak perlu membazir membayar gaji jurulatih Eropah jika standard pemain tidak sampai ketahap Eropah. Kita juga tidak perlu memberi kerakyatan asing kepada mana-mana pemain.

Apa sangatlah yang boleh dibuat jika pemain sedia ada masih leka, hanya mahu berhibur, tidak serius bermain, ada saja laporan pemain keluar latihan untuk meminum minuman keras, berhibur di kelab malam, mengambil rasuah. Bawalah Alex Ferguson sekalipun, beliau tidak akan mampu mengubah apa-apa.

Untuk melatih seorang peguam dan doktor perlukan masa 5-10 tahun. Begitulah juga perancangan bola sepak. Ia pasti berubah dalam tempoh 10 tahun akan datang jika latihan akademi dibuat sama seperti model “la masia” dari Barcelona yang mengambil pemain dari 9-10 tahun. Dalam usia 18-20 tahun pasti pemain itu mampu menggalas harapan negara.

Samuel Eto'o pemain dari benua Afrika menyatakan dalam temu bual sebelum beliau dipancing oleh akademi Real Madrid ketika berusia 16 tahun, beliau telah pun memiliki kemahiran individu dan kepantasan fizikal, apa yang diajarkan oleh jurulatih hanyalah pergerakan taktikal pasukan samada ketika memiliki bola di kaki atau ketika bola dikaki lawan.

Permainan bola sepak adalah perlawanan mencipta peluang dengan beberapa kali percubaan menjaringkan goal. Cubalah untuk berubah. Ia merupakan disiplin kejayaan. – 12 Januari, 2014.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive