"AKHIRNYA saya bergelar isteri kembali," itulah antara
kata-kata aktres cantik, Rozita Che Wan, setelah selamat diijabkabulkan
pada malam Rabu lalu, di Setia City Convention Centre, Shah Alam.
Tidak perlu menduga gelojak jiwa dan kegembiraan Rozita atau lebih
mesra disapa Che Ta, ini kerana ia dizahirkan melalui raut wajah dan
senyumannya.
Tampil anggun dengan mengenakan busana mewah berkonsepkan kebaya moden
berona putih, Che Ta jarang sekali melepaskan pandangan daripada terus
menatap suaminya itu.
Menurut Che Ta, setelah hampir 10 tahun bergelar ibu tunggal, dia akan
kembali menjalani tugas sebagai isteri dan menguruskan satu keluarga
lengkap.
"Alhamdulillah, tiada langsung perasaan gemuruh ketika saat
diijabkabulkan kerana sebelum ini saya sedaya upaya mengosongkan jiwa
dan fikiran untuk saat ini.
"Tiada apa-apa yang ketara akan berubah dalam kehidupan saya selepas
ini, mungkin yang berubah hanyalah masa bekerja dan waktu bersama
keluarga.
"Soal menguruskan rumah tangga atau menyediakan hidangan untuk
keluarga, itu sudah menjadi rutin saya kerana ia memang dipraktikkan
kerana ada anak-anak," katanya yang sah bergelar isteri Zain hanya
dengan sekali lafaz sahaja.
Che Ta yang berwalikan adik lelakinya, Roshidi Che Wan dinikahkan Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor, Ustaz Aluwi Parman.
Dalam pada itu, pelakon Kiah Pekasam ini, menerima sembilan peti
hantaran termasuk mas kahwin berjumlah RM9,300, sebentuk cincin bernilai
RM93,000 dan wang hantaran sebanyak RM23,000.
Selain itu, peti hantaran yang lain turut mengandungi telekung dan
sejadah, set minyak wangi, beg tangan, sepersalinan kain, kasut, sirih
junjung, telefon bimbit dan cincin.
Manakala pihak lelaki pula menerima sembilan peti hantaran berupa baju
Melayu, kemeja-T, kasut, beg dan tali pinggang, sirih junjung, set
minyak wangi, gelang tangan dan jam serta cincin.
Pada majlis itu, Che Ta turut menggayakan barangan kemas pertama delima
terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang
anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai
RM6.5 juta tajaan Habib Jewels.
Sebelum majlis akad nikah berlangsung, ibu Zain, Siti Aishah Abdullah, terlebih dahulu menyarungkan cincin pertunangan mereka.
Antara selebriti yang hadir termasuk Tasha Shilla, Nur Fathia, Ayu
Raudhah dan suami, Zaquan Adha, Mazlan (Pet Pet), Sasha Saidin, Micheal
Ang serta Azza (Elite).
Majlis resepsi pula akan diadakan pada Jumaat ini di Grand Ballroom, Setia City Convention Centre pada jam 8 malam.
Zain mundar-mandir
Jika Che Ta memilih untuk mengosongkan fikiran untuk berhadapan detik
indah itu, Zain atau nama sebenarnya, Mohamad Zain Mohd Saidin, sukar
melepaskan rasa berdebar.
Walaupun riak wajahnya tenang, namun seribu satu perasaan bergelumang
dalam hati jejaka kacukan ini. Malah, sebelum majlis berlangsung, Zain
dilihat berjalan mundar mandir di luar dewan bagi menghilangkan rasa
gemuruh.
Pun begitu, akui Zain, dia cuba untuk tidak memikirkan perkara yang
tidak sepatutnya agar kelancaran majlis berlangsung dengan baik.
"Berdebar tu, memang ada. Namun, ia bercampur dengan rasa teruja. Masa
akad nikah, saya tak rasa apa-apa lagi, namun ketika menunaikan solat
sunat syukur, saya mula rasa tersentuh.
"Malah, saya sedar, tanggungjawab sebagai suami dan bapa bukanlah
sesuatu yang mudah. Namun, saya bersedia menggalas tugas itu
bersama-sama isteri dan anak-anak nanti.
"Selama ini, kami susah senang bersama. Diharapkan selepas ini tiada
lagi kontroversi yang mengaitkan kami. Malah, saya juga akan jadi suami
dan bapa yang bertanggungjawab dalam memastikan maruah keluarga kami
terbela," katanya yang berharap perkahwinan mereka kekal hingga ke akhir
hayat.
Hasrat tak tertunai?
Sebelum ini, Che Ta berhasrat untuk mengadakan majlis pernikahan mereka dengan berkonsepkan dalam taman.
Malah, pengacara rancangan wanita, Primadona ini, turut memilih gazebo di lokasi itu untuk majlis akad nikah.
Namun, setelah memikirkan banyak perkara termasuk soal keselamatan, Che Ta terpaksa membatalkan hasratnya untuk berada di sana.
"Pada awalnya, saya nak sangat kahwin di gazebo itu kerana
pemandangannya sangat cantik dan bertepatan dengan konsep tema dalam
taman.
"Namun, setelah memikirkan aspek keselamatan, cuaca dan beberapa
perkara lain, saya akur. Malah, saya sangat gembira kerana dekorasi
dalam taman di transformasi dalam suasana yang cukup indah.
"Malah, saya sendiri rasa macam berada di gazebo itu," katanya yang
mengakui terpaksa mengehadkan bilangan jemputan untuk mengelakkan
masalah yang boleh mengganggu kelancaran majlis
Anak-anak panggil 'Pa'
Walaupun Che Ta memiliki dua anak lelaki, Aniq Ezzra, 15, dan Ammar
Effendy, 17, hasil perkahwinan terdahulu, namun ia bukanlah halangan
besar untuk Zain menyesuaikan diri.
Menurut Zain, walaupun hanya bergelar bapa tiri, namun dia menganggapnya mereka sama seperti anak sendiri.
"Saya selesa bersama mereka dan begitu juga mereka. Pada awalnya saya
risau juga untuk mendampingi mereka kerana masing-masing sudah dewasa.
"Namun, saya cuba mengenali mereka dengan berkongsi hobi dan kegemaran
seperti menonton wayang dan bola sepak. Jadi, mereka senang bercerita
dan kongsi minat degan saya.
"Sebelum ini, mereka panggil saya 'uncle'. Namun, kini mereka mula
belajar memanggil saya dengan panggilan 'Pa'," kata pelakon Oh My
English ini.
Bertanya mengenai cahaya mata, baik Zain mahupun Che Ta, masing-masing menyerahkan perkara itu kepada Yang Maha Kuasa.
"Saya tak kisah ada ke tak ada selepas ini kerana saya dah ada anak segera," kata Zain sambil ketawa kecil.
Sama seperti Zain, Che Ta juga tidak terlalu terdesak untuk memiliki cahaya mata buat masa terdekat ini.
"Kalau boleh, buat masa terdekat ini, saya tak terfikir lagi untuk
memiliki cahaya mata. Namun, segalanya adalah ketentuan rezeki dari
Allah SWT.
"Kalau cepat pun kami terima dan kalau lambat pun tak apa," katanya
yang bakal terbang ke Italy pada 16 September ini untuk berbulan madu.
Tegur pemakaian Che Ta
Berjanji untuk menjadi pembela kepada isterinya yang sering menjadi
mangsa individu yang skeptikal, Zain mengakui banyak perkara yang orang
luar tidak tahu mengenai isterinya.
Menurut Zain, dia bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami kepada
Che Ta walaupun pelakon ini dilabel sebagai, High-Maintenance Artist.
"Saya kenal siapa isteri saya. Ramai orang luar yang sering bersangka buruk kepadanya tanpa mengenali siapa dia (Che Ta).
"Saya akui, dia memang memiliki cita rasa tinggi, namun tidak pernah
pula dia menyusahkan saya dengan pelbagai permintaan yang melampau.
"Malah, dia akan berusaha sendiri untuk mendapatkan apa yang dia
mahukan tanpa menyusahkan sesiapa. Jadi, tak baik bersangka buruk,"
tegas Zain.
Selain itu, Zain juga turut berjanji menggunakan kuasa veto sebagai suami untuk menegur penampilan isterinya.
"Sebagai suami, saya akan jaga dia elok-elok malah masing-masing perlu
menjaga kehormatan dan maruah. Saya juga akan tegur pemakaian jika tidak
bersesuaian.
"Soal pakai tudung, saya memang tak paksa. Cuma, kalau dulu dia pakai singkat, saya akan tegur suruh pakai labuh sikit.
"Mengenai urusan kerja pula, saya nasihatkan dia untuk tidak bekerja
lebih keras lagi kerana kami sama-sama bekerja. Saya lebih suka kalau
dia buat telefilem sahaja, namun dia sayang nak tinggalkan bidang
pengacaraan seperti Primadona," katanya yang kembali bekerja pada
pertengahan Januari depan untuk siri Oh My English 3.
Sementara itu, Che Ta juga turut memberitahu akan kembali ke lokasi penggambaran pada awal Januari ini.