UtusanDaily

Saturday, 18 January 2014

Saya pun nak puji isteri juga...

Muhamad Mat Yakim

KALAU ada orang boleh puji isteri di khalayak ramai, saya pun teringin juga. Walaupun isteri saya mungkin tidak ada jasa besar kepada negara, sekurang-kurangnya Suhana telah tunaikan tanggungjawabnya dengan cukup baik kepada saya dan anak-anak.

Saya berani memujinya kali ini kerana dia tidak ada bersama saya. Jika tidak, saya tak akan melakukannya kerana saya tahu dia paling tidak suka apabila saya sentuh mengenai dirinya, apa lagi memujinya dalam tulisan saya.

Apa yang saya kongsi ini mungkin cerita peribadi. Tetapi saya tak kisah untuk berkongsi kerana bagi saya, apa yang saya lalui, juga sama dilalui oleh ramai orang lain setiap hari.

Seperti yang saya selalu sebut, saya orang biasa. Cerita saya adalah cerita biasa. Saya menceritakannya pun sebagai orang biasa, bukan untuk bangga diri, riyak, ujub ataupun sum'ah. Yang menjadikannya luar biasa, hanyalah kerana cerita-cerita biasa ini diberi perhatian yang luar biasa oleh saya.

Dalam konteks apa yang berlaku malam tadi, saya fikir wajar untuk ditulis kerana apa yang dilakukan oleh Suhana, saya yakin itulah juga dilakukan oleh semua isteri-isteri yang lain. Opppsss!!! Semua isteri orang lain!

Dan isteri-isteri orang lain itu, suami mereka, saya yakin adalah seperti saya juga... jenis yang tidak kisah dan selalu mengharap (baca: menyerah) kepada isteri untuk bereskan apa-apa pekerjaan dalam kebanyakan perkara yang sering dianggap remeh.

Pagi tadi, saya hantar Suhana dan anak-anak ke Subang Skypark, balik kampung meraikan perkahwinan adik ipar saya, Cikgu Fizah di Kampung Pulai, Tokai, Pendang, Kedah, esok. Saya tak dapat balik bersama kerana menduduki peperiksaan pada hari yang sama. Selepas itu, baru saya akan menyusul.

Malam tadi, ketika menyiapkan beg pakaian untuk dirinya dan anak-anak, Suhana siapkan juga beg yang akan saya bawa balik kampung nanti. Dan dia juga berpesan, “abang jangan lupa bawa balik berus gigi!”

Ya! Bunyinya remeh tetapi daripada peringatan itu, itulah sebenarnya gambaran apa yang yang ada dalam lipatan diari 18 tahun usia perkahwinan kami.

Bahawa selama ini, jika hendak balik kampung atau ke mana-mana, dialah yang siapkan beg segala. Saya? Saya hanya tahu angkat beg bawa masuk kereta. Hatta hal yang seremeh berus gigi atau ubat gigi itu pun dia yang uruskan. Kalau tidak, tidaklah dia berpesan begitu!

Hal yang mungkin biasa bagi kebanyakan orang ini bagaimanapun telah menyentap deria insaf saya yang selama ini seakan-akan buta melihat susah payah Suhana melakukan semua perkara - daripada menyiapkan beg, memastikan semua suis lampu atau perkakas elektrik dimatikan, isi peti sejuk hingga menyediakan bekalan makanan Tom, kucing kami dalam keadaan sempurna. Ironinya, dia tidak pernah merungut!

Cukuplah! Saya tidak mahu cerita lebih-lebih hal ini kerana sekarang, orang mudah menyampah apabila seseorang suami memuji isterinya di khalayak ramai.

Apa pun, niat saya hanya sekadar mahu berkongsi kesedaran mengenai apa yang sepatutnya bagi suami. Isteri memang tidak minta dipuji tetapi cukuplah jika susah payah, atau kalau boleh disebut pengorbanan mereka walaupun dalam hal yang dianggap remeh, dihargai atau diberikan sedikit perhatian.

Hal ini saya sedari apabila berkongsi dengan rakan-rakan Facebook, ramai yang memberi respons bahawa itulah apa yang mereka pendam, bukan dengan dendam tetapi mengharapkan sedikit perhatian daripada suami atas apa yang mereka lakukan.

Demi kasih sayang, mereka tidak akan merungut sekalipun melihat suami masih berdengkur ketika mereka bangun menyiapkan beg, bekalan, menggosok baju atau menguruskan anak-anak.

Cukuplah. Dengan tulisan yang biasa daripada cerita yang biasa ini, saya harap boleh jadi iktibar untuk para suami bermuhasabah, terutama pada musim cuti-cuti Malaysia sekarang. Hargailah isteri. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Kepada Fizah & Amar, selamat pengantin baru!

Ayah & mak, selamat tambah menantu. Jangan pula berkurang kasih kepada menantu yang ini!

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive