UtusanDaily

Friday, 4 July 2014

Manfaatkan kelebihan Ramadan, khasiat kurma

Dr. Bahrain Samah


PUASA Ramadan merupakan ibadah yang bermanfaat dari aspek spiritual, fizikal, minda dan psiko-emosi.
Jika dilakukan dengan penuh ikhlas dan berdisiplin maka puasa Ramadan membantu Muslim mendidik diri agar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek tersebut.

Sesungguhnya segala sifat, perbuatan, kata-kata dan perakuan Baginda SAW yang direkodkan dalam bentuk hadis berstatus sahih merupakan sunnah yang berpandukan ilham dan wahyu daripada ALLAH SWT. ALLAH SWT berfirman: "Dan dia tidak berkata-kata daripada hawa nafsu melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya." (Surah An Najm: 3-4)

ALLAH SWT memberi ilham agar Rasulullah SAW menyarankan kalangan sahabatnya berbuka dengan kurma sebagai keutamaan (makanan yang harus diutamakan). Kurma itu memiliki kebaikan termasuk dari sudut kesihatan. Sifat kebaikan itu adalah rahmat ALLAH SWT yang Maha Pencipta, Dia Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Kaya nutrien

Saintis mendapati kurma mengandungi gula yang membekal tenaga segera dan dilengkapi dengan pelbagai nutrien lain seperti vitamin, mineral, bioflavonoid, asid amino dan lemak. Ia mengandungi serotonin yang juga dikenali sebagai hormon 'gembira'.

Dalam tubuh haiwan termasuk manusia, serotonin didapati di dalam otak (bertindak sebagai neurotransmitter), trek penghadaman dan platelet.

Fungsi utamanya ialah menyumbang rasa selesa, sihat dan gembira. Ia juga membantu mengawal mood, mengurangkan rasa marah dan meredakan kemurungan.

Ia juga membantu seseorang mudah tidur dan tidur lebih lena. Selain itu ia dikatakan memainkan peranan penting dalam mengawal seksualiti, sifat panas baran dan selera.

Rutab atau kurma masak adalah pilihan terbaik kepada sesiapa yang memilikinya. Pilihan kedua yang juga baik ialah tamar iaitu kurma kering.

Dan jika tiada kedua-duanya pilihan ketiga untuk berbuka ialah air. Daripada Anas bin Malik RA berkata, "Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air." (Riwayat At-Tirmizi)

Rutab ialah kurma basah manakala tamar ialah kurma yang telah dikeringkan. Dari segi jumlah lembapan, rutab mengandungi lembapan atau kandungan air yang tinggi berbanding tamar. Dari segi kalori, dengan hidangan yang sama (dari segi berat) rutab memiliki separuh daripada kalori tamar.

Kandungan makronutrien dalam rutab dan tamar adalah berbeza. Makronutrien merupakan nutrien diperlukan tubuh pada kuantiti tinggi seperti karbohidrat, lemak dan protein.

Hanya terdapat sedikit perbezaan dari segi kandungan protein dan lemak apabila dibandingkan rutab dengan tamar. Kandungan karbohidrat pula adalah dua kali ganda pada tamar berbanding rutab. Tamar memiliki kandungan fiber tinggi.

Dari segi mikronutrien, tamar merupakan sumber kalsium dan zat besi lebih baik berbanding rutab.Mikronutrien merupakan nutrien diperlukan tubuh pada kuantiti rendah seperti vitamin dan mineral. Sebaliknya rutab menawarkan sumber vitamin C lebih baik.

Rutab mengandungi 30 miligram vitamin C manakala tamar mungkin tidak mengandunginya. Vitamin C mudah musnah berpunca daripada pendedahan kepada haba dan kaedah penyimpanan.

Vitamin C adalah vitamin larut air. Tiada data untuk vitamin B yang juga larut air. Besar kemungkinan keputusan analisa makmal untuk kandungan vitamin B dalam tamar juga adalah rendah berpunca daripada faktor pendedahan kepada haba dan kaedah penyimpanan.

Proses detoksifikasi

Mempercepatkan berbuka adalah suatu sunnah. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa." (Riwayat Al-Bukhari).

Bersahur merupakan sunnah dan mengakhiri makan sahur iaitu dengan makan dan minum hingga menjelang waktu subuh. Kedua-dua sunnah ini telah direkodkan dalam bentuk hadis sahih.

Ketika berbuka, makan malam dan bersahur, kaedah paling sesuai diamalkan sebagaimana firman ALLAH: "...dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya ALLAH tidak suka orang yang melampaui batas." (Surah Al-A'raaf: 31)

Berpandukan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.

Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahil (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan." (Riwayat At-Tirmizi)

Puasa Ramadan sebulan membantu tubuh menjalankan detoksifikasi. Tanda berlakunya detoksifikasi ialah bau mulut yang tidak menyenangkan. Puasa dikatakan mengubah mod tubuh kepada mod pemuliharaan kesihatan dan pencegahan daripada menghidapi penyakit.

Mereka yang makan dan minum secara sederhana ketika tempoh diharuskan makan (berbuka, makan malam dan bersahur) akan mendapat ganjaran iaitu dari segi bentuk dan berat badan yang unggul. Mod pembakaran lemak dikatakan bermula pada 7-10 hari dari tempoh mula mengamalkan puasa.

Untuk membantu tubuh meningkatkan metabolisme dengan membakar lemak secara lebih cekap, makan makanan berlemak tepu ketika makan malam dan bersahur dipercayai amat membantu. Minyak kelapa dara dan santan mengandungi paras lemak tepu yang tinggi.

Begitu juga keju, telur dan ghee (minyak sapi). Sesungguhnya makanan berlemak seperti dinyatakan membantu seseorang rasa kenyang lebih lama ketika berpuasa pada siang hari.

Menyentuh mengenai amalan sesetengah orang yang mengambil satu jenis makanan sahaja sepanjang puasa Ramadan contohnya dengan maka bijirin tertentu, epal hijau atau jagung sahaja tanpa makan pelbagai makanan lain maka pada pandangan penulis ia dipercayai boleh memudaratkan kesihatan. Amalan tersebut akan menyebabkan nutrien dalam tubuh tidak seimbang.

Thursday, 3 July 2014

Felixia Yeap: Umpama dilahirkan semula


Felixia Yeap
Felixia Yeap

KATA orang, jangan mengukur seseorang itu dari kisah lalunya. Begitulah situasi yang sesuai untuk menggambarkan wanita bernama Felixia Yeap kini.

Siapa sangka, dari seorang wanita yang gemar mengunjungi parti sosial dan bergambar seksi, sesuai dengan statusnya sebagai model Playboy Bunny, Felixia sanggup melakukan perubahan besar terhadap imejnya.

Biarpun tidak secara drastik memeluk agama Islam, namun anak kelahiran Ipoh, Perak ini tampil dengan menutup aurat dan berhijab, sejak Disember 2013.

Perubahannya itu pada mulanya menerima respons positif dan negatif. Ada yang menyokong baik dan tidak kurang yang mencemuh kerana merasakan Felixia seperti mempermainkan Islam.

Namun atas doa umat Islam dan tekad Felixia sendiri untuk berubah, akhirnya membawa wanita ini memeluk Islam hari ini.

Ujar Felixia dia merasakan hari ini sebagai hari kelahiran semula dirinya kerana tarikh keramat dia memeluk Islam adalah hari lahirnya.

"Hari ini adalah tarikh bersejarah untuk saya. Ia umpama satu kelahiran semula. Kebetulan pula, untuk tahun ini, tarikh lahir saya itu jatuh pada lima Ramadan.

"Saya lebih teruja apabila mengetahui tarikh ini juga jatuh pada Khamis, iaitu hari kegemaran Nabi Muhammad SAW," katanya yang mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang Muslimah yang baik.

Tuesday, 1 July 2014

Hukum mencium dan bermesra dengan isteri semasa berpuasa..???



BOLEHKAH MENCIUM DAN BERMESRAAN DENGAN ISTERI SEMASA BERPUASA?

Seorang yang berpuasa boleh untuk mencium dan bermesraan dengan isterinya selagi dia tidak melakukan persetubuhan. Jika dia tahu dia bahawa dia tidak mampu mengawal diri maka hendaklah dia mengelakkan cium dan 'kemesraan yang lain'.

Kata 'Aishah: "Nabi s.a.w mencium dan bermesraan dengan isteri sedangkan baginda berpuasa. Baginda itu paling dapat mengawal kemaluannya" (Riwayat al-Bukhari)

Masruq pernah bertanya 'Aishah: "Apakah yang halal untuk lelaki lakukan kepada isterinya semasa berpuasa?". Jawab 'Aishah: "Semua perkara kecuali persetubuhan" (Riwayat 'Abd al-Razzaq dengan sanad yang sahih).


Monday, 30 June 2014

Arjen Robben mohon maaf kerana sengaja jatuhkan badan untuk penalti

Arjen Robben mohon maaf kerana sengaja jatuhkan badan untuk penalti
Arjen Robben memohon maaf atas tindakannya sengaja menjatuhkan badan untuk penalti

KUALA LUMPUR: Penyerang Belanda, Arjen Robben memohon maaf kerana tindakannya yang sengaja menjatuhkan badan dalam kotak penalti untuk mendapatkan penalti ketika perlawanan pusingan kalah mati menetang Mexico awal pagi tadi.

Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak berpura-pura ketika terjatuh setelah dibentes oleh pemain lawan yang membawa kepada kemenangan pasukan Belanda melalui sepakan penati pada minit-minit akhir.

Jurulatih Mexico, Miguel Herrera telah mengkritik pengadil perlawanan Pedro Proenca kerana memberikan sepakan penalti yang diambil oleh Jan-Klaas Huntelaar pada masa kecederaan dan sekaligus membawa kepada kemenangan 2-1 kepada Belanda.

Robben merupakan watak utama bagi kedua-dua insiden di Fortaleza itu.

“Apa yang boleh saya katakan adalah saya memohon maaf atas tindakan sengaja merebahkan badan saya demi untuk mendapatkan penalti pada separuh masa pertama dan saya sepatutnya tidak patut berbuat demikian,” Robben memberitahu stesen penyiar Belanda, NOS ketika dia sedang merayakan kejayaan Belanda mara ke peringkat suku akhir.

“Ianya sesuatu yang sangat bodoh untuk dilakukan namun adakalanya anda menjangkakan bahawa anda akan dikasari dan menyedari bahawa pada saat-saat akhir, pemain lawan kemudian menarik kaki mereka bagi mengelakkan dari dikenakan sebarang tindakan daripada pengadil,”.

Namun, penyerang Belanda itu mempertahankan tindakan Proenca memberikan sepakan penalti selepas dia dikasari oleh ketua pasukan Mexico, Rafael Marquez. “Saya sememangnya dikasari,” katanya.

Mexico yang selesa mendahului hanya mampu bertahan sehingga pada minit ke 88 apabila Wesley Sneijder menjaringkan gol penyamaan Belanda dan Huntelaar kemudian mengakhiri perjuangan Mexico apabila menjaringkan gol kemenangan Belanda melalui sepakan penalti.

Herrera berkata pengadil Proenca tidak patut dibenarkan terlibat lagi dalam mengadili perlawanan Piala Dunia.

“Faktor penentu sekarang ini ialah individu yang mempunyai wisel itu kerana beliaulah yang meletakkan pasukan kami tersingkir dari Piala Dunia,” katanya.

“Kami mengakui bahawa gol pertama Balanda itu adalah disebabkan kesilapan kami namun kita masih mempunyai peluang untuk bangkit semula sebelum masa tambahan tetapi entah bagaimana, pengadil ‘mencipta’ satu penalti kepada Belanda yang menyebabkan kami tersingkir,”.

Herrera menjelaskan bahawa pasukannya menjadi mangsa pengadilan yang tidak adil dalam tiga daripada empat perlawanan yang mereka lalui.

“Dari empat perlawanan yang kami lalui, tiga daripadanya melalui satu mutu pengadilan yang sangat buruk dan saya tidak faham mengapa perlawanan ini diadili oleh seseorang dari konfederasi yang sama. Mengapa tidak seorang pengadil dari Afrika, Asia malah Amerika Selatan dan kesemua keputusan yang dibuat itu segalanya menentang kami, Mexico,” katanya.

Bekas Model Pilih Islam kerana agama mendamaikan


Felixia (dua kiri) bergambar bersama Zaidy (kiri).
Felixia (dua kiri) bergambar bersama Zaidy (kiri).

SELAYANG - "Jika memakai tudung sudah merasakan kedamaian dan ketenangan apatah lagi jika mendalami ilmu agama Islam," luah bekas model, Felixia Yeap, 28, dalam satu program Kuliah Dhuha dan sembang santai anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dun Taman Templer, kelmarin.

Itu antara sebab model tersebut terus memakai tudung dan baru-baru ini mengumumkan akan mengucap kalimah syahadah pada 5 Ramadan ini yang juga merupakan tarikh lahirnya.

Katanya, dia juga sudah mempunyai nama baharu yang mempunyai maksud yang baik.

"Mula-mula runsing juga sebab tidak jumpa nama yang sesuai sehinggalah bermimpi dan selepas disemak didapati maksud nama tersebut baik.

"Nama itu akan saya umumkan selepas saya masuk Islam nanti," katanya kepada Sinar Harian.

Felixia berkata, niat baiknya disokong keluarga terutama ibunya yang turut nampak perubahan dalam dirinya selepas mendalami Islam.

"Boleh dikatakan dulu saya seorang yang panas baran tetapi kini menjadi seorang lebih penyabar dan tenang.

"Meskipun ibu adalah Cina tapi cara hidupnya tidak terlalu bebas malahan menjaga adap termasuk aspek pakaian yang tertutup dan sopan," katanya yang mengakui jiwa lebih tenang dan selamat selepas memakai tudung.

Berkongsi pengalaman pertama berpuasa Ramadan kali ini dia nyata  tidak sabar menjadi seorang Muslim.

"Dua tahun lepas saya pernah berpuasa sehari selepas diajak rakan dan kali ini akan berpuasa lagi.

"Kehidupan sebagai Muslim ada matlamat dan jika boleh mahu seimbangkan kehidupan di dunia dan di akhirat nanti," katanya.

Sementara itu Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berkata, program Dhuha adalah salah satu aktiviti ke arah menjadikan dataran stadium sebagai dataran ilmu.

"Program hari ini (kelmarin) adalah kali kedua dan diteruskan dijadualkan 20 Julai ini dengan mengundang panel untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan.

"Pengisiannya tidak terlalu formal sebaliknya lebih kepada bual bicara santai untuk disesuaikan dengan semua lapisan umur," katanya.

Kesan babi dalam 1 minit

 PROF DR ANUAR AHMAD
PROF DR ANUAR AHMAD

SETIAP kali ke pasar, perkara utama yang selalu kita fikirkan ialah mahu membeli barangan yang baik sebagai santapan keluarga. Dan sebagai orang Islam, makanan itu seharusnyalah halal.

Namun dalam keadaan di sebuah negara yang lebih 70 peratus produk makanan dikeluarkan oleh pengusaha bukan Islam, tidak dapat tidak, pasti timbul keraguan dari segi status halalnya. Akan tetapi, kita memang tidak ada pilihan. Biarpun sangsi, perut perlu juga diisi.

Dalam keadaan ini, apa yang paling kita boleh harapkan ialah adanya logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Namun timbul pula isu-isu berkaitan logo halal Jakim.

Sudahlah jenuh dengan cerita logo halal palsu, kontroversi demi kontroversi turut mencarikkan keyakinan. Lalu ke mana lagi mahu disandarkan pergantungan?

Langkah Universiti Selangor (Unisel) membangunkan produk kit halal yang berfungsi untuk mengenal pasti bahan tidak halal dan berupaya memberikan keputusan dalam tempoh sesingkat seminit diharap akan membawa kelegaan dan menyelesaikan masalah umat Islam di negara ini, dan mungkin juga di seluruh dunia suatu hari nanti.

Ikuti kupasan lanjut berkaitan alat canggih ini daripada Naib Canselor Unisel, PROF DR ANUAR AHMAD yang disediakan wartawan Sinar Harian, Robiatuladawiyah Abd Rashad, Noor Ainulyakin Mohamad Ishak & Siti Nursyahidah Abu Bakar.

Anda sedang membeli-belah di pasar raya dan terpandang satu produk makanan yang begitu anda inginkan. Namun, mungkin akibat terpengaruh dengan penyebaran maklumat dalam media sosial kononnya produk berkenaan mengandungi unsur haram, anda dibelenggu rasa was-was.

Mengikut nasihat agamawan, apabila timbul rasa was-was, anda perlu jauhi makanan itu.

Akan tetapi dengan adanya teknologi halal kit, situasi anda tidak perlu sampai ke tahap itu.

Ini kerana teknologi yang sedang dibangunkan Universiti Selangor (Unisel) mampu memberikan anda jawapan halal atau tidak sesuatu makanan hanya dalam tempoh seminit.


Sangat cepat dan sangat mudah, bukan?

Dengan adanya teknologi ini, anda juga tidak perlu membawa senarai panjang logo halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk disemak setiap kali mahu membeli sesuatu produk yang mungkin logo-logo itu juga belum sahih keasliannya disebabkan peniruan pada zaman serba canggih ini sangat licik.

Sama ada terdapat logo halal Jakim ataupun tidak, anda boleh periksa sendiri untuk memastikan sesuatu produk itu mengandungi unsur babi ataupun tidak. Malah produk yang tidak ada logo halal sekalipun anda boleh kunyah dan telan tanpa was-was jika mendapati ia bebas daripada unsur haiwan itu.

"Inilah gunanya kit halal yang sedang kita usahakan," kata Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad ketika ditemui di kampus universiti itu di Shah Alam.
  
Mengenai projek kit halal itu, Anuar menjelaskan bahawa Unisel diberi peruntukan RM1.3 juta untuk membangunkan alat itu dalam tempoh 18 bulan dan dijangka siap pada Disember 2015.

"Alat ini bukan untuk makanan saja tetapi juga kosmetik dan ubat-ubatan," katanya.
   

Kesan zat babi serendah 0.001 peratus

Kit halal bukan perkara baharu. Sebelum ini, di negara kita sahaja sudah ada beberapa pihak terutama universiti yang cuba memajukan kit halal.

Namun setakat ini, teknologi yang akan dibangunkan Unisel dikenal pasti sebagai yang termaju.

"Kit halal yang ada sebelum ini berfungsi untuk mengesan kandungan DNA babi saja. Ini berbeza dengan apa yang kita akan keluarkan yang mana kit halal Unisel menggunakan teknologi pengesan nano bagi mengetahui kandungan zat babi sekecil 0.001 peratus," kata Anuar.

Sebagai contoh, kandungan perisa dalam makanan atau gelatin yang digunakan pada kapsul, zatnya memang terlalu rendah.  Apabila alat pengesan konvensional yang kemampuannya untuk mengesan hanya sekadar lingkungan 20 peratus, ia tidakakan dapat memberi bacaan tepat mengenai kandungan sebenar bahan terlarang dalam produk itu.

Itulah kelebihan kit halal Unisel yang mampu mengesan zat serendah 0.001 peratus iaitu zat paling rendah yang kebiasaannya terkandung dalam makanan,  kosmetik atau ubatan dalam pasaran
.

Bagaimana menggunakannya?

Mudah, sangat mudah! Hanya masukkan sampel ke dalam pengesan, kemudian goncang hingga larut dalam masa 10 saat. Seterusnya uji bahan yang sudah larut itu dengan alat pengesan elektronik pada kit.

Secara automatik, kit akan mengeluarkan cahaya floresen yang akan menentukan kandungan zat babi dalam tempoh seminit!


Siapa yang akan gunakan kit itu?

Kumpulan utama sasaran menggunakan kit halal Unisel ialah penguat kuasa. Selepas itu, baharulah ia diperluaskan kepada orang ramai. Namun alat berkenaan mungkin dikeluarkan dalam versi berbeza antara penguat kuasa dan pengguna.


Berkesankah?

Walaupun kecil bentuknya, kata Anuar, kit halal itu tidak perlu diragui kerana pihaknya melaksanakan mandat Kerajaan Selangor untuk membangunkan teknologi itu dengan penuh amanah dan tanggung jawab.

"Walaupun kecil ia dapat menjimatkan kos berbanding ujian makmal. Oleh itu, jangan ragu-ragu menggunakan alat ini, kerana hasil ujiannya diyakini tepat, setanding dengan hasil ujian makmal yang menelan belanja ribuan ringgit," katanya penuh yakin.


Cabaran mendapatkan komponen

Namun  dalam setiap penciptaan, pasti halangan dan cabaran tidak dapat dielakkan. Ia diakui sendiri oleh Anuar yang mana katanya, proses mendapatkan komponen elektronik kit mungkin agak sukar kerana kini ia lebih kecil dan teknologinya berbeza.

"Teori tentang kit ini, memang tidak ada masalah kerana telah selesai, hanya menunggu bajet diumumkan kerajaan negeri untuk membeli komponen elektronik dan pengesan yang dijangka diperoleh Julai ini.

"Saya pernah menghasilkan alat yang hampir serupa sebelum ini. Namun, kebanyakan komponen digunakan ketika itu sudah tidak ada dalam pasaran. Jadi, kita perlu mendapatkan komponen baru yang lebih canggih. Kita juga akan menggunakan teknologi dan kepakaran dari Amerika Syarikat bagi memastikan alat ini mengikut piawaian sebelum dipasarkan," katanya.


Hilangkan rasa was-was

Sebagai pengguna apabila ada alat yang boleh mengesan status halal dengan kadar segera, pastinya sesiapa juga mahu memilikinya bagi mengelak perasaan was-was yang membelenggu diri sebelum ini.

"Walaupun ada logo halal Jakim, ia masih dilihat kurang memberi keyakinan kepada pengguna berikutan banyaknya lambakan logo halal palsu di pasaran. Jadi, jika tidak mahu timbul rasa ragu-ragu, penggunaan kit halal seperti yang dinyatakan sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah itu," katanya.

Oleh itu, harapannya, sekiranya kit ini siap kelak, ia bukan saja akan dipasarkan di Selangor dan negeri lain, malah di seluruh dunia agar kelebihannya dapat digunakan sebaiknya oleh umat Islam di mana-mana sahaja.

Bagi Unisel, penghasilan kit itu lebih kepada niat fardu kifayah kepada pengguna Muslim, bukan untuk mengaut keuntungan dan secara tidak langsung, ia juga boleh menjadi nilai tambah kepada kredibiliti Unisel.

Sunday, 29 June 2014

Kenapa ada orang ketiga?

Gambar hiasan
Gambar hiasan

PERKAHWINAN saya dan suami baru sahaja berlangsung beberapa bulan yang lalu. Kami berkenalan pun tidak sampai setahun sebelum saya berkeputusan untuk menikahinya memandangkan dia adalah kenalan lama saya ketika di sekolah menengah lagi.

Saya seorang janda anak satu. Dua tahun bercerai dengan bekas suami, saya bertemu dengan suami baru saya sekarang.

Suami berterus-terang selama dia mengenali saya, dari kecil memang dia menyimpan perasaan yang amat dalam terhadap saya. Hanya selepas mengetahui saya sudah dimiliki orang, dia membuang perasaan itu jauh-jauh.

Dan siapa sangka jodoh itu ada pada usia kami berdua 30 tahun.  Ia suatu mimpi yang paling berharga buat suami kerana akhirnya dapat memiliki saya.

Ustazah, baru-baru ini saya menemui mesej dalam telefon bimbit suami.

Berdasarkan pengalaman perkahwinan lalu, saya jadi amat teliti, berhati-hati dan paranoid terhadap perhubungan baru. Saya sentiasa ada perasaan was-was dan curiga dengan gerak geri suami. S

aya selalu tidak percaya yang suami tidak pernah bercinta selama hayatnya, selain daripada saya. Mungkin kerana saya trauma dengan perkahwinan lalu yang gagal kerana gangguan orang ketiga.

Entah kenapa hari itu, saya terdetik untuk menyemak telefon bimbit suami. Mesej bertarikh April 2013, iaitu beberapa hari sebelum saya dan suami menjadi kekasih begitu mencengkam jiwa saya. Kata-kata pada mesej yang dihantar keduanya tidak seperti sahabat biasa.

Mereka menggunakan bahasa sayang dan ada perkataan-perkataan tidak elok yang menggambarkan mereka berdua seperti berkongsi gambar dan membuat video call.

Saya teliti Whatsapp dan panggilan keluar masuk. Nombor dan nama yang sama masih ada dan kerap membuat panggilan.

Hari itu juga kami bergaduh besar. Suami tetap dengan sikap sabarnya (yang sebenarnya mengikat jiwa saya untuk bersamanya), tenang menjawab setiap pertanyaan sedang saya pula dah macam orang gila.

Ya ustazah, saya tahu perbualan itu berlangsung sebelum kami menjadi kekasih, tapi satu yang saya tak dapat terima apabila suami menipu saya. Dia pernah kata tiada kekasih. Tidak pernah bercinta dan hanya menyimpan perasaan terhadap saya seorang.

Rupa-rupanya, gadis itu pernah menjadi kekasihnya tujuh tahun dulu.

Percintaan suami dengan gadis itu tidak lama apabila gadis itu mengahwini lelaki lain. Dan sejak itu, suami tidak pernah bercinta lagi dan membujang sehingga dia menemui saya. Suami mengakui mereka masih bersahabat baik kerana satu tempat kerja.

Ustazah, jika betul kata-katanya yang mereka hanya sahabat, kenapa suami tidak berterus-terang sebelum ini? Kenapa suami perlu menipu dan kenapa perlu ada orang ketiga dalam sesebuah perhubungan? Apakah saya yang bersalah kerana terburu-buru mengakhiri zaman janda sebelum sempat mengenali suami baru secara sepenuhnya?

Untuk pengetahuan, suami seorang pendiam, punya sifat sabar yang tinggi, hormat orang tua dan punya rupa. Dia rajin belajar agama sebelum mengambil saya menjadi isterinya.

* Norhasni, 30, Kuala Lumpur.


RESPON PAKAR
Oleh: Ustazah Norsaleha Mohd Salleh
Ketua Wanita ISMA

Puan Norhasni yang dikasihi ALLAH SWT.

Semoga ALLAH SWT menerangi kehidupan puan dengan cahaya keimanan dan takwa kepadaNya. Saya bersimpati terhadap apa yang puan alami. Daripada cerita puan, saya boleh merasai betapa berat perasaan yang puan tanggung.

Kemunculan orang ketiga dalam rumah tangga adalah racun yang boleh membunuh secara senyap keharmonian yang terbina.

Puan juga mengakui kekuatan peribadi yang dimiliki suami seterusnya menjadi daya tarikan yang mengikat puan dengan suami. Ini menunjukkan betapa puan masih sayangkan suami dan rumah tangga yang telah sedia terbina.

Perbezaan puan dengan kekasih suami sekarang ialah puan merupakan isteri yang sah, mempunyai hak dan peluang yang lebih berbanding dengan kekasih yang dimaksudkan.

Puan masih ada peluang untuk membaiki keadaan dan mengembalikan semula suami ke pangkuan. Apa yang penting puan tidak boleh mudah berputus asa dan kecewa dengan kejadian yang berlaku.

Menyalahkan suami kerana dikatakan menipu atau menyalahkan diri sendiri kerana terburu-buru berkahwin bukanlah jawapan yang baik kepada masalah yang dialami.

Sebaiknya puan kembali kepada takdir Allah SWT yang telah mempertemukan puan dengan seorang suami yang baik dan penyabar. Manakala masalah yang mendatang dalam rumah tangga adalah adat dan lumrah. Hadapilah dengan bijaksana dan uruslah konflik itu dengan jalan yang terbaik.

Setiap masalah ada penyelesaiannya. Tiada rumah tangga yang aman damai tanpa gelora.

Cuma yang membezakan antara kita ialah bagaimana cara kita mengurus konflik dan permasalahan yang datang. Puan sudah mempunyai pengalaman berumah tangga sebelum ini.

Puan juga menghadapi masalah yang sama dengan rumah tangga pertama dahulu, iaitu orang ketiga.

Mungkin ada sebab atau mesej yang mahu disampaikan kepada kita melalui masalah sama yang dihadapi ini.

Kadang-kadang juga hubungan kita dengan suami sudah ada masalah, dingin dan hambar. Jadi kemunculan orang ketiga itu hanya tempelan kepada masalah rumah tangga yang sudah sedia retak. Itu juga mungkin berlaku.

Dalam isu rumah tangga puan, saya menasihati puan agar koreksi diri dan muhasabah diri, di mana kurangnya puan sehingga suami begitu mudah beralih arah. Mungkin kelemahan diri sendiri juga menjadi penyebab kepada gangguan orang ketiga tanpa kita sedari.

Mungkin juga sikap paranoid puan yang mendorong kemunculan orang ketiga. Mungkin juga cemburu puan yang berapi-api itu menutup hakikat yang mahu diterangkan oleh suami tentang duduk perkara yang sebenar.

Sebaiknya ambil langkah bertenang dan tarik nafas yang panjang. Renunglah sejenak dan fikirlah sedetik, mengapa suami masih mahu mengahwini puan walaupun sudah bertaraf janda anak satu. Sekiranya bukan cinta dan ikatan hati yang terbina antara puan dengan suami.

Puan hanya perlu menyuburkan dan membaja ikatan itu biar terus subur dan segar.

Hubungan suami isteri bukan sahaja diikat dengan hubungan seksual dan nafsu serta kemewahan harta dan kecantikan rupa paras. Ikatan ini tidak tidak kekal lama, ia akan rapuh dan rosak bila tiba waktu luputnya.

Sebaliknya suami isteri yang mempunyai ikatan hati dan jiwa yang kuat, masih boleh bertahan dengan stamina yang tinggi walaupun badai melanda dan ujian bertimpa-timpa. Kemunculan orang ketiga contohnya masih boleh diurus dengan bijaksana sekiranya ikatan hati suami isteri sangat kuat dan kukuh.

Ikatan hati yang kuat ini hanya boleh terbina sekiranya suami isteri mempunyai hubungan yang kuat dan dekat dengan ALLAH SWT. Sebab itulah saya menasihati puan agar segera membina hubungan yang rapat dengan ALLAH SWT.

Hati kita berada dalam kekuasaanNya.
Hanya Dia yang boleh mengikat dan mengukuhkan antara dua hati, sebagaimana Dia mencampakkan perasaan itu dalam hati suami puan untuk menyunting puan sebagai isterinya.

Perbanyakkanlah munajat dengan ALLAH SWT memohon ampun dan rahmatNya bagi puan suami isteri. Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan anak yatim sambil meminta mereka mendoakan kesejahteraan rumah tangga puan.

Selain daripada itu, sekiranya puan mempunyai bukti yang cukup tentang kewujudan orang ketiga ini, puan boleh membuat aduan ke Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam supaya orang ketiga ini disiasat dan didakwa oleh Pendakwa Syarie mengikut kesalahan jenayah Syariah.

Kesalahan mengikut Seksyen 36, 37, dan 38 di atas tergolong dalam kesalahan boleh tangkap di mana pada kebiasaannya Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) boleh menangkap orang ketiga ini tanpa waran.

Sama ada orang ketiga akan didakwa atau tidak, puan menang atau kalah kes berkenaan berdasarkan kepada beban bukti, saksi, bahan bukti, dokumen dan keterangan bukan berdasarkan kepada cakap-cakap kosong atau cerita dari mulut ke mulut.

Apabila perkara seperti ini berlaku, orang ketiga itu memang boleh didakwa dengan semua bahan bukti atas melakukan kesalahan mengganggu atau memecahbelahkan rumah tangga pasangan berkahwin sehingga mereka bercerai mengikut Seksyen 36 dan Seksyen 37 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

Puan juga boleh memujuk suami untuk berpindah tempat kerja demi menjauhkan suami dengan kekasih lamanya.

Terpulang kepada kebijaksanaan puan bagaimana mengurus konflik ini sehingga berjaya. Apa yang penting ialah puan tidak boleh berputus asa daripada terus mencuba dan mencuba. Sekiranya ikatan hati puan bersama suami masih kuat insya-Allah, banyak pintu penyelesaian terbuka untuk puan lalui.

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive