MUHAMAD MAT YAKIM
TAPIR. Saya selalu teringat akan binatang yang hanya ada dua warna ini - seperti televisyen zaman dahulu - setiap kali masuk bulan puasa. Ada cerita yang jadi sebab musababnya.
Ketika menyertai Sinar Harian pada 2007, saya ditugaskan dengan edisi Terengganu sebagai penolong pengarang. Masa itu bulan puasa. Tatkala saya masih teraba-raba untuk memahami perkataan dalam dialek daerah dari negeri itu dengan tanggapan hanya perlu ditambah huruf 'g' di hujungnya, saya dihadapkan dengan peristiwa ini:
Hari itu, saya terima satu rencana mengenai juadah berbuka yang dijual di bazar Ramadan di Terengganu. Antara beraneka juadah itu termasuklah 'tapir'.
Saya hubungi wartawan yang berkenaan, lalu bertanya: "Tapir ni masak apa?"
Dia tanya saya semula, "Masakkang ape encik? Masak tapirlah ..."
Saya kata lagi, "iyalah, masak tapir... tapi kenalah ada namanya, kari ka? rendang ka, atau kurma?"
"Itu daging encik, bolehlah buat kari, buat rendang atau kurma macang hok encik kate, tapi ini tapir," dia membalas kata-kata saya.
"Habis, ni bukan daging?" Saya tanya dia semula.
"Mana ada daging encik, ni tapir. Tapir pulut hok bukuh (bungkus) dengang daun getah tu encik."
HAHAHAHAHAHA!
Saya ketawa sekuat-kuat hati mendengar kata-katanya. Setelah ketawa sedikit reda, barulah saya berkata, "saya sangka awak tulis pasal tapir, binatang hitam putih yang dok dalam hutan tu."
Giliran dia pula untuk ketawa. Kata dia, "itu tapir binatang encik, ini tapir pulut."
Saya kata lagi, "bukan tapirlah, itu tapai."
Apabila saya melawat Terengganu kemudiannya, memang betul orang di negeri itu menyebut 'tapey' yang seakan-akan tapir untuk merujuk kepada tapai.
Bertemu dengan wartawan itu, saya kata kepadanya, cukuplah setakat sebutan 'tapey' atau 'tapir' tetapi jangan sampai ejaan dalam tulisan pun tapir juga. Sampai sekarang, cerita 'tapir masak kurma' terus jadi modal sendaan saya dan dia, juga rakan-rakan lain yang tahu apa yang pernah berlaku.
Apa yang menghairankan saya, di Terengganu, ada tempat atau pekan yang bernama Wakaf Tapai. Di situ ada pusat latihan pasukan bomba dan penyelamat yang agak besar, dan saya difahamkan wartawan yang berkenaan sering masuk ke pusat latihan itu untuk membuat liputan program. Mujur saya tidak pernah jumpa pula berita yang dia tulis menyebut 'Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapir'.
Sebenarnya sedari awal lagi saya sedar peristiwa itu pastinya berkait dengan masalah ejaan. Tetapi untuk meneka bahawa apa yang ditulis sebagai 'tapir' itu adalah tapai, tidak pula terlintas dalam fikiran. Saya sekadar mampu mengagak bahawa itu mungkin daripada jenis juadah atau masakan tempatan yang hanya ada di satu-satu tempat tetapi tidak ada di tempat lain.
Misalnya, serabai yang saya pernah makan di Kuala Berang. Kalau di Kedah, negeri asal saya, serabai maksudnya berserabut, kusut masai atau tidak kemas.
Dalam satu kes lain, juga di Terengganu, ketika mula-mula bertugas, saya diberitahu oleh rakan-rakan penyunting bahawa seorang pemberita ini orangnya agak garang. Silap bertanya, kita yang dimarahnya. Itu kata mereka.
Pada satu hari, ketika menyemak berita yang dihantarnya, saya terjumpa perkataan 'lembung' yang berkait dengan masakan.
Saya terus hubungi dia. Selepas meminta maaf kerana 'menganggu', saya pun bertanya, apakah jenis masakan yang dipanggil 'gulai lembung' itu.
Dengan nada serius, dia menjawab, "bukan lembung, itu gulai lembu, daging lembu. Saya yang silap tulis ..."
Saya pula membalas, "saya kena tanya sebab saya ingatkan 'lembung' ini kacukan lembu dengan ikan kembung, dikacuk dalam kawah lalu jadi gulai lembung."
Di hujung sana, saya dengar dia ketawa.
Sejak itu, berakhirlah persepsi saya dan kawan-kawan lain bahawa gadis pemberita itu seorang yang garang. Kami terus berhubung mesra sampai sekarang walaupun dia sudah berhenti kerja, tidak lagi jadi wartawan.
Berkait dengan bulan puasa, sejak dahulu lagi kita sering diperingatkan bahawa berbuka puasa harus dimulakan dengan kurma. Sebenarnya itu tidak betul.
Kurma bukan makanan yang baik untuk dijadikan permulaan buka puasa kerana ia tidak boleh dimakan begitu sahaja sebaliknya perlu berserta dengan nasi. Tidak kiralah sama ada kurma ayam atau kurma daging.
Yang sunat bagi kita untuk jadikan juadah permulaan berbuka puasa ialah buah tamar, bukannya kurma.
Selamat berpuasa.