SUKA ambil mudah menyebabkan kita sering terlepas pandang atau
bersikap sambil lewa sedangkan tanggungjawab adalah kewajipan perlu
dilaksanakan.
Jika tidak, masakan berlaku kes isteri dan anak teraniaya disebabkan
suami tidak menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Sebenarnya, banyak faktor menyebabkan kita gagal menseimbangkan
perhatian terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Namun, itu
sebenarnya bukan alasan jika kita tahu keutamaan sepatutnya didahulukan.
Lagipun, sebagai umat Islam kita akan dipersoalkan atas setiap
tindakan kita. Justeru, sebaiknya setiap tanggungjawab dan amanah
dilaksanakan sebaiknya untuk kepentingan diri serta semua pihak di
sekeliling kita.
Jangan sampai terlalu leka dengan perkara lain, tugas yang sepatutnya
menjadi keutamaan kita lupakan. Itu yang berlaku kepada Zaimah
Abdullah, yang sibuk memanjang dengan kerja dalam parti dan persatuan
wanitanya hingga tugas sebagai isteri terabai.
Tambahan pula, kehadiran anak perempuan berstatus ibu tunggal yang
tinggal bersama beliau dan suami membolehkan Zaimah mengambil sikap
'lepas tangan'.
Oleh itu, semua urusan makan, minum, pakaian dan keperluan rumah tangga digalas sepenuhnya oleh anak perempuannya itu.
Pemergian Zaimah bersama suami dan anak perempuannya menyahut seruan
Ilahi untuk menunaikan umrah di Makkah baru-baru ini membuka mata wanita
yang dulu kebanyakan masanya dihabiskan dengan berpersatuan mengenai
hakikat hidup sebenar.
Barulah disedarinya, status dan tanggungjawab isteri tidak boleh
diabaikan sewenang-wenangnya kerana kebahagiaan suami isteri lebih
bermakna apabila kedua-duanya menunaikan tanggungjawab masing-masing
seperti disyariatkan agama demi mendapat keredaan Allah SWT.
Sebaik kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King
Abdul Aziz, Jeddah, hati Zaimah tiba-tiba diselubungi perasaan cemburu
melihat kemesraan suami dan anak perempuannya.
Keakraban kedua-duanya tiba-tiba menimbulkan perasaan kurang senang
di hatinya sedangkan sebelum ini memang anak perempuannya itulah yang
menguruskan keperluan bapanya termasuk apabila tiba di Tanah Suci.
Hairannya, sepanjang berada di Makkah dan berziarah ke Madinah, hati
Zaimah terus dicucuk perasaan cemburu melihat anak dan bapa itu ibarat
belangkas, ke mana saja berdua. Walaupun Zaimah sentiasa bersama mereka
tetapi jauh di sudut hatinya rasa seperti tersisih.
Beliau cuba memujuk diri dengan mengakui hubungan bapa dan anak itu
sememangnya rapat kerana duduk serumah. Kemudian, timbul kesedaran dalam
dirinya mungkin itu balasan Allah SWT kerana mengabaikan tanggungjawab
sebagai isteri selama ini.
UMAT Islam dari seluruh dunia berhimpun di Arafah untuk berwukuf yang menjadi satu daripada rukun haji. - Foto AFP
Ibarat tayangan video, episod demi episod kesibukan berkempen untuk
parti dan penganjuran aktiviti persatuan menjadikan beliau wanita paling
sibuk di kampung terbayang di ruang matanya. Hati Zaimah terus sayu,
sedih dan menyesal.
Tidak dinafikan suaminya selama ini tidak pernah merungut atau
menghalang minat beliau bergiat aktif dalam pergerakan wanita tetapi
jauh di lubuk hati lelaki yang sudah berpuluh tahun berkongsi hidup
dengannya, Zaimah sendiri sukar menekanya.
Mengambil kesempatan berada di Tanah Suci, Zaimah tidak putus-putus
berdoa kepada Allah SWT semoga dijauhkan daripada perkara yang boleh
mengeruhkan hubungan dengan suami dan anaknya. Beliau juga berdoa supaya
hubungannya dengan suami kembali rapat.
Selepas bermuhasabah diri, Zaimah berasakan Allah SWT masih
menyayanginya kerana diberi peluang untuk menyedari kesilapan dilakukan
seterusnya berazam berubah menjadi isteri yang lebih bertanggungjawab
terhadap suami serta keluarga.
JEMAAH haji menunaikan solat Jumaat di Masjid Namirah di Padang Arafah. - Foto Reuters
Perlahan-lahan, Zaimah cuba memberi layanan sebaiknya kepada
suaminya. Walaupun terlihat riak terkejut pada wajah suami dan anaknya
melihat perubahan itu, Zaimah kuatkan semangat untuk terus memperbaiki
hubungan mereka.
Memikirkan umur yang semakin meniti senja, beliau juga sedar sudah
tiba masanya meninggalkan kerja parti dan tugas persatuan untuk memberi
tumpuan kepada amal ibadat bersama suami serta anaknya. Itu azam Zaimah
apabila tiba di tanah air nanti.
Kepada isteri, renunglah sejenak kedudukan diri supaya tidak
melakukan kesilapan seperti Zaimah kerana mungkin ini pencetus kepada
kita untuk memperbaiki diri serta mengelak daripada masalah yang boleh
menggugat keharmonian rumah tangga.