UtusanDaily

Monday, 13 January 2014

Cabaran cari pesawat terhempas

OLEH: AHMAD ISMADI ISMAIL Tarikh: January 13, 2014

SELAYANG – "Kita terpaksa menaiki bot, meredah hutan dalam suasana gelap dan mendaki dua bukit dengan kecerunan lebih kurang 45 darjah untuk tiba ke lokasi sebuah pesawat Cessna 172 yang terhempas di Empangan Batu, Ulu Yam dan menyelamatkan tiga individu yang menaiki pesawat itu".

Demikian yang dikongsikan oleh Penguasa Bomba, Abdul Manaf Che Isa ketika menceritakan semula cabaran operasi menyelamat mangsa yang terlibat dengan kejadian itu.

Operasi menyelamat kira-kira jam 9.30 malam ekoran laporan kehilangan sebuah pesawat ringan selepas lebih setengah jam berlepas dari pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi.

Dalam kejadian itu, pesawat yang dinaiki Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 22; Syed Haidhar, 25, dan Shaiful Zafiq Razali, 24, dilaporkan hilang di sekitar Batu Caves kira-kira 5 petang Jumaat.

Abdul Manaf berkata, pihaknya mendapati mangsa berjaya keluar daripada pesawat itu dan berjalan sejauh 100 meter.

"Kita berjaya menjumpai kesemua mangsa kira-kira jam 3.45 pagi, apabila terlihat unggun api yang dipasang oleh mangsa. Keadaan kesemua mangsa pada ketika itu agak keletihan, kesejukan dan menahan kesakitan.

"Anggota paramedik segera menjalankan tugas untuk memastikan keadaan mereka tidak bertambah parah," katanya.

Beliau berkata, keadaan pesawat yang dinaiki oleh kesemua mangsa begitu kritikal. Mujur kesemua mereka terselamat dan masih sedar ketika ditemui.

"Kita mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa dari lokasi kejadian, dua daripada mereka terpaksa diusung, manakala salah seorang daripada mereka pula dipapah, sebelum menaiki bot penyelamat dan dihantar ke Hospital Selayang dengan ambulan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim bangga dengan anggotanya yang dedikasi dan sentiasa berusaha menyelamatkan mangsa.

"Mereka guna pengalaman dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tersebut, kita perlu bertindak pantas untuk mencari dan memberi rawatan kepada mangsa yang terselamat," katanya ketika melawat mangsa yang terlibat dengan insiden itu di Hospital Selayang, semalam.

Menurutnya, keadaan kesemua mangsa stabil dan mampu berkomunikasi, namun masih perlu menjalani rawatan.

Salah seorang mangsa, Saiful Farid Amri berkata, kejadian yang menimpanya itu tidak akan mematahkan semangat untuk dia menjadi juruterbang.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive