UtusanDaily

Saturday, 14 June 2014

Kewajipan membayar hutang puasa

Farhana Jusoh


http://halaqahmuntijah.files.wordpress.com/2011/07/ramadhan-be-prepare.jpg

RAMADAN, bulan yang dirindui bakal tiba. Kira-kira 13 hari lagi kita akan memulakan ibadat puasa Ramadan.

Ibadah puasa Ramadan adalah rukun Islam yang ketiga yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim.

Puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran dan secara langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni dalam diri kita.

Apabila membicarakan fardu menunaikan puasa Ramadan, kita sebenarnya tidak akan terlepas untuk menyentuh mengenai kewajipan mengganti puasa sama ada ditinggalkan secara sengaja ataupun tidak.

Dalam Islam golongan yang tertentu seperti orang yang sudah uzur ataupun sakit yang tiada harapan sembuh dan juga wanita yang dalam keadaan haid dan nifas sahaja dikecualikan daripada berpuasa.

Walau bagaimanapun, golongan ini difardukan juga membayar fidyah dan menggantikan puasa.

Firman ALLAH SWT maksudnya, "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu.

Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu), memberi makan seorang miskin.

Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Al-Baqarah: 183-184).

Perlu juga difahami, bagi sesiapa yang meninggalkan puasa secara sengaja dan tidak menggantikannya bererti telah melakukan dosa besar di sisi ALLAH SWT. Seperti mana yang kita tahu hutang bukan sekadar wang ringgit dan harta benda yang wajib dibayar tetapi juga terhadap amal ibadah dalam rukun islam dan termasuk hutang puasa bulan Ramadan.

Setiap mukmin mestilah menghindari dari belenggu hutang ini, lebih-lebih lagi dalam amal ibadah yang difardukan.

Persoalannya, sudahkah kita menjelaskan hutang puasa bagi tahun ini?  Kiranya belum bersegeralah membayar hutang puasa kerana ibadah puasa adalah perkara yang membentuk lima asas dalam rukun islam dan kegagalan mengerjakannya dengan sempurna boleh membawa kepada kemurkaan ALLAH SWT. Perlu diingatkan bagi kaum wanita agar melunaskan hutang puasa ini.

Sepatutnya tidak menjadi masalah bagi wanita kerana menggantikan puasa ini adalah rutin setiap tahun.

Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili RA bersabda, dalam mimpinya, Baginda telah mendengar suara ahli neraka menjerit kerana berbuka sebelum masuk waktunya.

Baginda melihat penghuni itu digantung dengan kaki di atas dan darah mengalir dari mulut mereka yang telah robek.

Betapa hebatnya azab ALLAH SWT terhadap mereka yang berbuka puasa sebelum masuk waktunya, apatah lagi azab terhadap mereka yang sengaja meninggalkan puasa. Pastinya lebih dahsyat azabnya.

Mari sama-sama kita merujuk kepada kefahaman mengantikan puasa dan membayar fidyah dengan baik.

Dalam hal ini, bagi golongan yang diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa Ramadannya, wajib digantikan kembali puasanya jika ia berkuasa dan sakitnya sembuh selepas puasa nanti. Dan orang yang bermusafir juga yang berbuka puasanya disebabkan tiada kuasa dalam perjalanannya, maka ia diwajibkan ganti semula puasanya selepas bulan Ramadan.

Tahun pertama orang yang meninggalkan puasanya atau berbuka puasanya,maka ia diwajibkan ganti semula kesemua puasa yang ditinggalkannya. Tetapi bagi yang tidak mampu untuk berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa , jika berpuasa akan mendatangkan kemudaratan kepadanya, maka ia tidak diwajibkan menggantikan puasanya dan ia diwajibkan membayar fidyah kepada orang miskin.

Membayar Fidyah dengan satu cupak makanan asasi tempatan yang disedekahkan kepada fakir miskin mewakilli satu hari yang tertinggal puasa Ramadan padanya.

Makanan asasi masyarakat Malaysia adalah beras, maka wajib sedekahkan  secupak beras kepada fakir miskin bagi mewakili sehari puasa. Ukuran secupak beras secara lebih kurang sebanyak 670 gram.

Contohnya si polan telah meninggalkan puasanya sebanyak 5 hari, maka dia wajib membayar Fidyahnya sebanyak 5 cupak beras kepada fakir miskin.

Firman ALLAH yang bermaksud : "(Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar Fidyah Iaitu memberi makan orang miskin.

Maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran Fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi Fidyah), kalau kamu mengetahui." (Al-Baqarah : 184).

Kesimpulannya, golongan yang masih mampu mengerjakan ibadat puasa, maka wajiblah membayar hutang puasa berkenaan. Peliharalah ibadat puasa itu agar tidak berdepan dengan kehinaan di akhirat kelak.

Friday, 13 June 2014

Kesimpulan isu istihalah khinzir


Jika alkohol berubah kepada cuka, ia membawa ketetapan baru. - Gambar hiasan
Jika alkohol berubah kepada cuka, ia membawa ketetapan baru. - Gambar hiasan

ADA yang bertanya, setelah diketahui pandangan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwas and Research), Persidangan Fiqh Eropah, dan Persidangan Fikah Perubatan di Morocco 1997 dan lain-lain tidak mengharamkan istihalah khinzir yang terdapat bahan perubatan, makanan dan gunaan yang lain.

Sementara itu, Majma' al-Fiqh al-Islamiy berpusat di Jeddah pada keputusan 1986 dan sebahagian pembesar ulama Arab Saudi mengharamkan gelatin khinzir yang terdapat dalam bahan perubatan dan makanan, apakah pendirian yang wajar diambil?

Rumusan saya seperti berikut:

1. Pada asasnya, istihalah adalah menukar sesuatu bahan najis kepada bahan yang lain seperti bangkai kepada abu, mayat yang sudah menjadi tanah, arak kepada cuka, baja najis kepada pokok yang subur dan seumpamanya diiktiraf dalam fikah Islam sejak dahulu. Cumanya, ada mazhab yang menyempitkan asas istihalah ini seperti Syafi'yyah dan Hanabilah (Hanbali).

Ada pula yang meluaskannya seperti Hanafiyyah dan Zahiriyyah juga Malikiyyah. Tokoh muhaqqiqin (penganalisis) seperti al-Imam Abu Bakr Ibn al-'Arabi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, al-Syaukani, Sadiq Hasan Khan dan lain-lain menyokong dan meneguhkan hujah proses istihalah boleh menukar najis kepada bahan bersih.

2. Antara dalil disebut fuqaha dalam istihalah ialah hadis Nabi Muhammad SAW: "Sebaik-baik hidangan adalah cuka." (Riwayat Muslim)

Cuka berasal daripada arak yang berubah secara istihalah. Ada pun hadis yang melarang menjadi arak itu cuka ditakwilkan sebagai larangan di peringkat awal pengharaman arak bertujuan menghapuskan habis-habisan termasuk memecahkan bekas arak.

Pada hal bekas tersebut boleh digunakan jika dibersihkan. Namun, itu pendekatan di peringkat awal pengharaman.

Nabi  Muhammad SAW bersabda: "Sebaik-baik wangian adalah kasturi" (Riwayat Muslim) sedangkan kasturi berasal daripada darah kijang yang bertukar menjadi wangian.

Bangkai, darah dan daging khinzir diharamkan dalam al-Quran. Namun, kasturi berasal daripada darah dibenarkan kerana bertukar sifat.

Terdapat lagi dalil lain daripada naqli (nas) dan aqli (lojik) yang dipakai dalam masalah ini.

3. Disebabkan umat Islam tidak menjadi pengeluar, kita asyik menjadi pengguna, bahan berasal khinzir tersebar begitu luas dalam pelbagai aspek kehidupan manusia seperti makanan, perubatan dan bahan kecantikan.
Kehidupan manusia, termasuk umat Islam terpaksa berkait dengan bahan berasal daripada sumber haram. Fatwa dalam hal ini sudah pasti diperlukan

4. Fatwa tentang hal ini dikeluarkan ulama termasuk yang membabit isu istihalah. Berikut kesimpulan fatwa Majlis Fatwa Eropah mengizinkan bahan berasal haram tapi berubah melalui proses. Begitu juga alkohol sedikit dalam makanan tertentu yang tiada kesan.

Hukum syariah

Fatwa (34) - Soalan: Bahan daripada sebahagian makanan mengandungi item yang ditandai huruf  "E' dan nombor. Kami diberitahu item tersebut dihasilkan daripada lemak dan tulang babi.
Jika perkara ini betul, apakah hukum syariah terhadap makanan sedemikian.

A) Item membawa huruf "E" dan rentetan nombor adalah bahan tambahan. Aditif mempunyai lebih 350 sebatian dan ia mungkin dalam bahan pengawet, pewarna, perasa dan pemanis.

Aditif dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut sumbernya:
Pertama: Sebatian asal kimia tiruan
Kedua: Sebatian asal tanaman.
Ketiga: Sebatian asal haiwan
Keempat: Sebatian larutan dalam alkohol

Yang berkuatkuasa pada semua sebatian adalah mereka tidak menjejaskan status makanan ini menjadi halal seperti berikut:

Kumpulan pertama dan kedua adalah halal kerana ia berasal daripada bahan yang dibenarkan dan tidak membahayakan daripada menggunakan item tersebut.

Kumpulan ketiga juga halal, kerana asal haiwan tidak sama semasa proses pembuatan. Malah ia berubah secara radikal daripada bentuk asalnya kepada satu bentuk baru bersih dan tulen melalui proses yang dipanggil transformasi kimia. Transformasi ini juga memberi kesan hukum mengenai bahan tersebut.

Oleh itu, jika bentuk asal adalah najis atau haram, transformasi kimia berubah kepada satu lagi ramuan yang memerlukan ketetapan baru. Contohnya, jika alkohol berubah dan telah berubah kepada cuka, maka ia tidak kekal haram, tetapi membawa ketetapan baru mengikut jenis produk baru, iaitu halal.

Bagi kumpulan keempat, item ini biasanya pewarna dan digunakan dalam kuantiti yang sangat sedikit, yang larut dalam bentuk produk akhir, yang difikirkan satu perkara dimaafkan.

Oleh itu, apa-apa makanan atau minuman yang mengandungi mana-mana bahan ini masih halal dan dibenarkan untuk kegunaan orang Islam.

Kita juga perlu ingat bahawa agama kita adalah agama mudah dan kita telah dilarang daripada membuat perkara yang menyusahkan.

Lebih-lebih lagi, mencari dan menyiasat perkara itu tidaklah seperti apa yang ALLAH SWT atau Rasul-Nya memerintahkan kita  untuk lakukan.

Iktiraf khilaf fikah

Anggota Majlis Fatwa Eropah terdiri daripada: Professor Yusuf Al-Qaradawi, Presiden  ECFR (Mesir, Qatar), Hakim Sheikh Faisal Maulawi, Naib Presiden (Lebanon),  Sheikh Hussein Mohammed Halawa, Setiausaha Agung (Ireland), Sheikh Dr Ahmad

Jaballah (Perancis), Sheikh Dr Ahmed Ali Al-Imam (Sudan), Sheikh Mufti Ismail Kashoulfi (UK), Ustadh Ahmed Kadhem Al-Rawi (UK) dan Sheikh Ounis Qurqah (Perancis).

Sheikh Rashid Al-Ghanouchi (UK), Sheikh Dr Abdullah Ibn Bayya (Arab Saudi), Sheikh Abdul Raheem Al-Taweel (Sepanyol), Judge Sheikh Abdullah Ibn Ali Salem (Mauritania), Sheikh Abdullah Ibn Yusuf Al-Judai, (UK), Sheikh Abdul Majeed Al-Najjar,

Sheikh Abdullah ibn Sulayman Al-Manee' (Arab Saudi), Sheikh Dr. Abdul Sattar Abu Ghudda (Arab Saudi), Sheikh Dr. Ajeel Al-Nashmi (Kuwait), Sheikh Al-Arabi Al-Bichri (Perancis), Sheikh Dr. Issam Al-Bashir (Sudan) dan Sheikh Ali Qaradaghi (Qatar),

Sheikh Dr. Suhaib Hasan Ahmed (UK), Sheikh Tahir Mahdi (Perancis), Sheikh Mahboub-ul-Rahman (Norway), Sheikh Muhammed Taqi Othmani (Pakistan).

Sheikh Muhammed Siddique (Jerman), Sheikh Muhammed Ali Saleh Al-Mansour (UAE), Sheikh Dr. Muhammed Al-Hawari (Jerman), Sheikh Mahumoud Mujahed (Belgium), Sheikh Dr. Mustafa Ciric (Bosnia), Sheikh Nihad Abdul Quddous Ciftci (Jerman),

Sheikh Dr. Naser Ibn Abdullah Al-Mayman (Arab Saudi) serta Sheikh Yusf Ibram (Switzerland).

5. Walaupun golongan ulama bersetuju pada asasnya proses istihalah itu, mereka kadang-kala berkhilaf pendapat tentang apakah sesuatu proses itu benar-benar merubah sifat bahan-bahan najis itu atau pun tidak. Ada bahan yang diyakini telah berubah, ada yang diandaikan tidak.

Dalam soal gelatin babi umpamanya, sarjana fikah masa kini berfatwa berdasarkan kepada taklimat saintis kepada mereka.

Kadang-kala berlaku khilaf. Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah tadi yang terdiri daripada tokoh Islam dari Arab dan ulama Islam yang menetap di Eropah, begitu juga Persidangan Fiqh Eropah dan beberapa orang tokoh ilmuwan Islam antarabangsa menganggap telah berlaku istihalah.

Sementara sebahagian ilmuwan pula menganggap proses istihalah bagi gelatin itu tidak sempurna. Maka, jadilah isu gelatin di sudut itu perkara yang syubhah.

6. Sesiapa yang mengelakkan sesuatu yang syubhah -sekali pun tidak sampai ke peringkat haram- merupakan perkara yang baik untuk diri dan agamanya. Namun, dia tidak boleh berkeras mengharamkan untuk umat Islam yang lain yang mempunyai pandangan yang berbeza.

Dalam soal makan-minum, perubatan, pakaian, perhiasan, kebudayaan setiap pihak mesti mengakui keluasan fikah Islam dan mengiktiraf khilaf fikah yang berasaskan hujah.

Tidak boleh hina-menghina dan bermusuhan dalam persoalan amalan peribadi yang seperti ini selagi semua pihak beramal atas dalil yang diyakininya.

7. Selagi, umat Islam mempunyai sumber yang pasti halal, mereka sepatutnya mengelakkan sumber yang syubhah.

Di Malaysia umpamanya, gelatin halal wujud dan boleh didapati, maka memulaukan yang syubhah dapat menggalakkan industri halal.

8. Umat Islam hendaklah berusaha menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.

Kelemahan industri umat Islam adalah punca berleluasanya bahan yang syubhah dan juga mungkin haram.

Thursday, 12 June 2014

Kuwait Akan Edarkan 250000 Naskhah Al-Quran di Brazil

http://peribadirasulullah.files.wordpress.com/2014/06/a3aee-kuwaitmahuedarkan250000naskhahal-qurandibrazil.jpg?w=407&h=271

Kementerian Wakaf Kuwait telah mengumumkan rancangan untuk mengedarkan 250,000 naskhah percuma terjemahan Al-Quran dalam bahasa yang berbeza di Brazil semasa Piala Dunia FIFA, mendekati pelbagai orang dari budaya dan latar belakang yang berbeza.

Menurut akhbar harian Kuwait, Al-Qabas, Lembaga Quran kementerian itu mengumumkan bahawa ia telah mengadakan tender bagi perolehan naskhah-naskhah itu.

Lembaga itu berkata kuantiti yang diperlukan akan berada dalam empat bahasa termasuk Sepanyol, Portugis, Inggeris dan Perancis. Naskhah-naskhah itu, menurut akhbar tersebut, akan diedarkan di hotel, stadium dan tempat-tempat awam yang lain.

Pengumuman itu, bagaimanapun, menimbulkan kebimbangan mengenai peraturan-peraturan FIFA, mengharamkan pengedaran mana-mana risalah agama dalam lingkungan lima kilometer dari bandar-bandar di mana pertandingan itu berlangsung.

Dihoskan oleh Brazil untuk kali kedua, kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA dijangka akan berlangsung dari 12 Jun – 13 Julai, 2014.

Awal bulan ini, telah diumumkan bahawa sebuah buku panduan khas telah diterbitkan di Brazil untuk penggemar Islam di Piala Dunia FIFA 2014.

Bertajuk “Salam (hello) Barazil”, buku kecil 32-halaman itu telah diterbitkan oleh Kesatuan Persatuan Islam dari Brazil dengan kerjasama Kedutaan Oman di negara Amerika Selatan.

Ketua Kesatuan Muhammad Hussein Al-Zuqbi berkata buku itu menyediakan peminat Muslim dengan alamat pusat-pusat Islam, tempat-tempat ibadat, restoran halal dan pusat-pusat hiburan yang menjalankan aktiviti selaras dengan undang-undang syariah Islam.

Beliau berkata ia juga mengandungi ringkasan sejarah kehadiran Islam di Brazil dan budaya umat Islam Brazil.

Menurut Al-Zuqbi, salinan “Salam Brazil” telah diberikan kepada syarikat-syarikat penerbangan di negara-negara Islam dan Arab untuk diagihkan kepada penumpang Islam dalam perjalanan ke Brazil.

*Sumber dari peribadirasulullah.wordpress.com/ unikversiti.blogspot.com

Wednesday, 11 June 2014

Apabila Hilangnya rasa kemanusiaan dalam jiwa manusia

DR AMINUDIN MANSOR

http://www.khairilmazri.com/wp-content/uploads/2013/12/buang-bayi.jpg
BANYAK kes jenayah kebelakangan ini membuktikan bahawa banyak manusia sudah hilang nilai kemanusiaan. Kes rogol seorang gadis membabitkan 38 lelaki menjurus kepada sifat kebinatangan dan sadisme; perlakuan memuaskan nafsu dengan menyakiti dan menyeksa orang lain jauh daripada sifat kemanusiaan.

Kes pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan Siti Soffea Amelda berusia dua tahun enam bulan yang dilarikan di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur yang putus leher dan kecederaan teruk di kepalanya adalah kes kejam dan di luar sifat kemanusiaan. Pembunuhnya yang mati terjun Sungai Klang adalah bekas banduan yang baharu keluar penjara atas kesalahan dadah, samun dan curi motosikal. Kes terbaharu, mayat seorang bayi lelaki berusia enam bulan dibuang ke dalam gaung di jalan Genting Highlands.

 Manusia boleh berubah menyamai sifat haiwan apabila dipengaruhi oleh dadah atau minuman keras. Manusia yang dipengaruhi benda-benda haram ini akan menyebabkan fikirannya tidak waras dan sering bertindak di bawah sedar serta tanpa kawalan.

Saat manusia hilang sifat kemanusiaan, dia akan menjadi seperti haiwan yang buas, ganas  dan dikuasai nafsu. Pelbagai perbuatan jenayah kejam boleh dilakukan oleh manusia seperti ini seperti - rogol, pembunuhan kejam dan sebagainya yang kadang-kadang tidak terfikir oleh akal manusia yang waras.

 Manusia yang tinggi sifat kemanusiaannya dipanggil manusiawi yang kental sifat kemanusiaan iaitu mempunyai ciri-ciri hidup yang lebih mulia, abadi dan sebati dengan iman dan takwa, mengamalkan perintah beramar makruf nahi mungkar.

 Manusia tanpa pegangan Islam yang kukuh jelas tidak beragama, tidak mempunyai akal ke arah kebaikan, tidak berjiwa sensitif dan mempunyai perasaan serta tidak berperikemanusiaan apabila dipengaruhi oleh pengaruh dadah dan alkohol.

 Manusia tidak akan mampu menjaga akalnya kecuali dengan iman. Kajian menunjukkan bahawa tekanan jiwa dan depresi akal banyak dalam diri golongan begini. Apa yang membezakan manusia dengan binatang, tidak lain adalah akal yang boleh berfikir ke arah kebaikan. Binatang sanggup berbuat sesuatu bagi kenikmatannya, manusia mampu berfikir ke arah kebaikannya.

 Dalam dunia serba moden dan era globalisasi sekarang kita sukar untuk mengenali dan membezakan orang yang baik dengan penjenayah. Jika dulu boleh dikenal melalui muka yang garang dan bengis, pakaian yang tidak terurus dan rambut kusut-masai. Tetapi sekarang tidak lagi, penjenayah memakai minyak wangi berjenama, bertali leher, membawa lap top terbaharu, telefon pintar, gajet canggih, bercakap lemah lembut dan kadang-kadang tinggal di hotel lima bintang. Justeru, kita jangan mudah terpengaruh.

 Sebagai manusia kita perlu mendidik hati dan jiwa ke arah ketenangan dan kebaikan. Jauhi benda-benda haram yang boleh merosakkan akal fikiran kita seperti pelbagai jenis dadah, pil kuda dan minuman keras. Semuanya boleh menjurus kepada kezaliman, kekejaman dan membawa pengaruh sifat kebinatangan.

Berkaitan dengan kezaliman ini, Nabi SAW berpesan: "Jauhilah kezaliman, sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Jauhilah kebakhilan, sesungguhnya kebakhilan itu telah membinasakan (umat-umat) sebelum kaum mereka saling membunuh dan menghalalkan apa-apa yang diharamkan." (Riwayat Al Bukhari).

 Apabila saat manusia hilang sifat kemanusiaan maka dia boleh sahaja menjadi orang yang zalim, kejam, bengis dan tidak berperikemanusiaan. Perangainya pun pelik-pelik, ada unsur ganas macam binatang seperti kuda, haruan, harimau dan sebagainya. Sifat-sifat ini bukanlah sifat manusia yang beriman, berakhlak dan bertakwa. Tidak hairanlah orang Melayu dahulu mencipta peribahasa "Seperti haruan makan anak", "Seperti kuda liar", yang melambangkan keganasan, tidak dapat mengawal diri dengan kerakusan nafsu akibat mengambil benda haram yang mengkhayalkan dan berbahaya.

Pelapik brek tiruan undang risiko

Kepentingan memilih pelapik brek tulen untuk keselamatan memandu. - Foto sumber internet
Kepentingan memilih pelapik brek tulen untuk keselamatan memandu. - Foto sumber internet

PADA masa kini, orang ramai lebih suka memakai kenderaan yang tampak lebih bergaya serta sporty. Mereka akan membeli alatan kereta seperti ekzos, lampu dan tayar.

Namun, awas! Kegiatan penjualan alat tiruan semakin berleluasa di dalam negara ini. Peralatan kereta seperti pelapik brek tidak terkecuali terlepas daripada sindiket untuk 'meniru' alatan ini.

Pelapik brek adalah peralatan yang sangat penting dalam komponen kereta. Sekiranya kualiti pelapik brek itu tidak elok, ia mungkin mencetuskan bahaya kepada pengguna kereta.

Oleh itu, kita perlu pastikan menggunakan pelapik brek yang asli serta berkualiti.

1. Apakah fungsi pelapik brek?
    Pelapik brek berfungsi untuk mencengkam cakera brek

2.  Apakah jenama pelapik brek yang popular?
    Jenama pelapik brek yang popular di pasaran ialah EBC, Wagner, Bandix dan pelbagai jenama lain

3. Berapakah harga pelapik brek?
    Harga pelapik brek bergantung kepada jenama serta saiz. Harga pelapik brek di pasaran Malaysia sekitar RM100 hingga RM400.

4. Di manakah lokasi sindiket ini akan melakukan operasi ini?
    Mereka akan menjadikan gudang atau kilang lama sebagai pusat untuk mereka melakukan operasi

5. Apakah modus operandi sindiket berkenaan?
    Mereka akan membuat pelapik brek tiruan di dalam kawasan operasi. Selepas siap, sindiket akan membungkus brek ini ke dalam kotak.

6. Di manakah pelapik brek tiruan ini akan dihantar?
    Pelapik akan dijual di pasaran tempatan. Tetapi, ada sesetengah pelapik brek ini akan dihantar ke luar negara seperti negara Asia Barat untuk pasaran di sana.

7.  Apakah keburukan menggunakan pelapik brek tiruan?
    Pelapik brek tiruan boleh merosakkan cakera brek dengan cepat. Ia sekali gus menyebabkan orang awam mengalami kerugian ratusan ringgit akibat kerosakan tersebut.

8. Sekiranya ditahan, apakah tindakan ke atas sindiket terbabit?
    Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM10,000 setiap barangan

9. Apakah nasihat kepada orang awam berkaitan penggunaan pelapik brek tiruan ini?
    Berhati-hati sebelum membeli pelapik brek. Pastikan pelapik brek adalah asli dan bukannya tiruan.


Laporan media

22 Mei 2014

SHAH ALAM- Taktik sebuah pengilang pelapik brek (brake pad) tiruan jenama negara Jepun kononnya untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Namun, operasi mereka apabila kilang dan pejabat mereka di  Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, serta di Sri Damansara diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya.

Operasi yang bermula jam 1 petang dan tamat kira-kira jam 7 malam berkenaan disertai oleh 17 pembantu penguat kuasa serta seorang pegawai penguat kuasa.

Pegawai Penguatkuasa Pasukan Petugas Petugas 2 KPDNKK Putrajaya, Normaswari Nordin berkata, operasi itu dilakukan berdasarkan aduan orang awam serta risikan pihaknya selama seminggu.

"Ketika membuat serbuan, terdapat 13 pekerja kilang itu warganegara Kemboja sedang melakukan kerja manakala pemilik kilang terbabit tiada di kilang" katanya ketika sidang media selepas operasi itu.

Menurut beliau, pihaknya berjaya merampas 9,270 unit pelapik brek, sebuah pencetak, 535 kotak kosong, 480 keping pelekat serta sekeping katalog yang dianggarkan bernilai RM120,000.

"Semua barang tiruan ini dijual untuk pasaran negara Asia Tengah kerana jenama ini tidak didapati di negara ini," katanya.

Menurut Normaswari, untuk 2014, ini kali pertama pihaknya membuat serbuan berkaitan penjualan pelapik brek tiruan dan pihaknya akan meneruskan operasi ini secara berterusan.

Katanya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana mengilang serta membekalkan barang tiruan.

Monday, 9 June 2014

Kerajaan NAJIB bagi tengok PANDA FREE sebulan

Masuk percuma lihat panda selama sebulan

PUTRAJAYA - Orang ramai mungkin diberi kemasukan percuma  untuk melihat pasangan panda gergasi di Zoo Negara bagi tempoh sebulan, selepas ianya diberi nama baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jun ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, beliau akan mengemukakan cadangan tersebut kepada pihak zoo sebagai meraikan kehadiran panda jantan Fu Wa dan panda betina Feng Yi di negara ini dari Chengdu, China.

"Saya akan bercakap dengan Presiden Zoo Negara (Datuk Seri Zaharin Md Arif) bagi membolehkan kemasukan percuma kepada orang ramai untuk sebulan.
 Fengyi - Fuwa - panda
"Kita tetapkan seramai 1,200 orang untuk melihat panda dalam satu hari iaitu, 200 orang bagi satu lawatan dengan (tempoh) 20 minit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pengurusan Sumber Air Malaysia 2014, di sini, hari ini.

Palanivel berkata selepas tempoh itu  harga tiket untuk melawat pasangan panda itu mungkin dikenakan RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

Pasangan panda itu yang dipinjamkan oleh kerajaan China melalui program Perjanjian Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi Malaysia-China, kini masih di tempat khas di ZooNegara untuk membolehkan haiwan itu menyesuaikan dengan persekitaran baharu.

Mengulas lanjut Palanivel berkata kedua-dua panda yang masih dikuarantin, akan ditempatkan di lokasi berasingan di Zoo Negara pada 21 atau 22 Jun ini sebelum upacara perasmian oleh Perdana Menteri.

"Kedua-dua Panda itu sihat, berat pun meningkat dan menyesuaikan diri dengan persekiratan Malaysia. Duta China telah beri tiga nama baharu dan kita akan memilih nama sesuai bagi Panda itu," katanya.  

Pada 25 Mei, Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut melawat pasangan panda gergasi itu sambil membuat catatan dan memuat naik gambar lawatan dalam laman Facebook dengan menyifatkan ianya simbol keamanan dalam budaya China dan amat dihormati.

Pasangan panda gergasi itu akan berada di Malaysia selama 10 tahun sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China selama 40 tahun yang disambut pada 31 Mei lepas.

Melalui program yang dimeterai pada 2012, Malaysia mempunyai peluang untuk menjalankan penyelidikan pemuliharaan panda gergasi selain dapat membangun dan melatih pakar dalam bidang itu. - Bernama

Bagaimana Rahsia Resepi KFC Disimpan?

Tapi ramai tak tahu rahsia besar tentang hidangan KFC yang digemari ramai ni.. Rahsia besar KFC ini dikatakan hanya diketahui oleh 2 orang sahaja..

Kedengaran pelik kan? Tapi itulah hakikatnya.

KFC mula diperkenalkan oleh Colonel Sanders, pakcik beruban berjanggut putih yang mungkin anda memang dah selalu nampak muka dia ditempek di mana-mana, pada tahun 1930. Resipi gabungan 11 jenis herba dan rempah ratus untuk menggoreng ayam beliau itu menjadikan perniagaannya sangat famous dan berjaya hinggalah ke hari ini.

Tapi apa yang menjadikannya sangat istimewa adalah resipi rahsia beliau yang dikawal dan dijaga sangat ketat, hanya dua orang executives yang bekerja di situ sahaja yang menyimpan rahsia tersebut. Salinan resipi asal yang ditandatangan oleh Colonel Sanders sendiri disimpan di dalam satu ibu pejabat, bersama-sama dengan 11 botol yang mengandungi herba dan rempah ratus rahsia. Untuk menyulitkan lagi rahsia tersebut terpecah, campuran herba dan rempah tersebut pula dicampur di tiga lokasi berbeza di Amerika.




Hanya dua orang executives yang mengetahui resipi lengkap tersebut manakala executive ketiga pula menyimpan maklumat nombor peti besi di mana resipi itu disimpan. Tidak ramai pekerja KFC yang mengenali identiti ketiga-tiga orang tersebut. Ketiga-tiga orang itu pula tidak dibenarkan berada dalam kapal terbang atau kereta yang sama untuk tujuan keselamatan.
Tapi itu tidak cukup lagi. Untuk menambahkan effect seperti Plankton yang ingin mencuri resipi rahsia Crabby Patty dari Mr Crab macam dalam kartun Spongebob, resipi tersebut disimpan di dalam ibu pejabat yang kawalan keselamatannya menyamai bank-bank terkemuka dunia.

Untuk itu, KFC telah mengupah Bo Dietl, seorang pakar penyiasat yang pernah bekerja untuk Donald Trump, Geoge Bush dan keluarga diraja Arab Saudi untuk menjaga keselamatan resipi tersebut. Langkah-langkah yang diambil, menurut beliau:

"Kami memperkukuh siling dan lantai ibu pejabat ini dengan batu-bata konkrit setebal dua kaki. Kami juga memasang CCTV pengesan gerakan yang disambungkan pada bahagian keselamatan. Mereka (KFC) mempunyai pengawal bersenjata yang berjaga 24 jam di tingkat bawah, jadi dalam masa 30 saat jika berlaku apa-apa mereka boleh sampai ke peti besi tersebut. Untuk masuk, anda memerlukan dua orang yang memegang dua kunci dan dua nombor pin berbeza. Peti keselamatan tersebut dipasang dengan bolt pada bahagian lantai dan tiada sesiapa yang mampu lepas masuk tanpa pengetahuan kami."

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive