Antara perkara yang dijanjikan oleh Mukhriz Mahathir sebaik saja beliau terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah beberapa hari lalu ialah tekadnya tidak akan berdiam diri daripada mengkritik Najib Razak berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta.
Sekarang saya rasa bebas dan merdeka, tetapi tidak akan mendiamkan diri, katanya.
Hari
ini beliau mula mengotakan janjinya dengan mengeluarkan kenyataan
pedasnya yang mungkin boleh membuatkan Ah Jib Gor terasa limau mandarin
yang ditelannya sempena sambutan Tahun Baru Cina lebih masam berbanding
biasa.
Rakyat
terbanyak bukan saja mengharapkan Mukhriz akan terus bersuara, bahkan
merasakan suatu keperluan juga untuk beliau turun menjelajah ke seluruh
negara menemui rakyat menjelaskan betapa kritikalnya negara selagi
dipimpin oleh Najib serta pentingnya melakukan perubahan yang pada
hakikatnya sudah merupakan suatu kewajipan kepada sesiapa pun juga,
kecuali bagi pemakan dedak yang kekal dengan dunianya.
Berikut adalah kenyataan media oleh Mukhriz itu:-
1.Sudah
empat bulan berlalu sejak Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan
mengenai 1MDB di Istana Negara pada 7 haribulan Oktober, 2015. Kenyataan
tersebut menyentuh mengenai keprihatinan Majlis terhadap “keresahan dan
kebimbangan Rakyat apabila kredibiliti dan integriti Kerajaan dalam
melaksanakan amanah Rakyat mentadbir negara” dikritik.
2.Jelas
daripada kenyataan tersebut, Majlis melihat bahawa “keamanan dan
kemakmuran negara yang perlu berlangsung dalam suasana politik yang
stabil dan Rakyat dapat hidup dalam harmoni” boleh terjejas teruk dengan
kontroversi 1MDB.
3.Oleh itu, Majlis telah menitahkan semoga
siasatan terhadap 1MDB diselesaikan secepat mungkin dan “penemuan
siasatan dilaporkan secara lengkap dan telus supaya Rakyat dapat
diyakinkan akan keikhlasan Kerajaan yang sama sekali tidak akan
melindungkan fakta dan kebenaran.”
4.Persoalannya, setelah empat
bulan berlalu adakah Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib
Tun Razak telah patuh kepada titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia
Raja-Raja Melayu melalui Majlis Raja-raja yang merupakan harapan
terakhir bagi Rakyat memohon dan merayu perlindungan, lebih-lebih lagi
apabila Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri telah tidak
diyakini Rakyat?
5.Adakah dengan hanya beberapa kenyataan oleh
Menteri yang dilihat mengkais ketepi titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia
Raja-Raja Melayu, dan tiada respon dari Perdana Menteri sendiri sudah
memadai untuk dianggap sebagai jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan
oleh Majlis? Wajarkah titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja
Melayu ditepis sebegitu rupa tanpa apa-apa respon yang beradab dan
munasabah?
6.Perlu diingatkan bahawa kenyataan Majlis berakar
dari cambahan rungutan yang disembah maklum oleh Rakyat. Majlis tidak
akan mengendahkan aduan dan rintihan daripada Rakyat jelata itu jika
difikir ianya tidak berasas. Jelas sekali, apabila Majlis Raja-raja
mengeluarkan kenyataan yang ditujukan khas kepada Kerajaan Persekutuan
mengenai 1MDB, ianya bukan sesuatu yang boleh diremeh dan tidak
diendahkan.
7.Dalam ucapan saya di Istana Anak Bukit bagi
menyembah tahniah bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh Rakyat Kedah
Darul Aman sempena Ulang Tahun Keputeraan KeBawah Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Sultan Kedah yang ke-88 pada 17 haribulan Januari, 2016, saya
telah sentuh perkara ini dengan ungkapan :
“ Bagi pihak seluruh
Rakyat, Patik bimbang akan kemerosotan nilai penghormatan terhadap
Institusi DiRaja dan Islam. Rakyat sentiasa menjunjung tinggi naungan
Sultan sebagai payung negeri dan negara. Namun, apabila titah Tuanku
tidak dijunjung, ianya membangkitkan kemarahan Rakyat kerana titah
Sultan dan Majlis Raja-raja Melayu tidak boleh dipandang remeh. ”
8.Pada
ketika itu, saya sudah dapat lihat betapa titah Majlis Raja-raja tidak
diambil serius oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, walhal
titah itu mencerminkan keresahan Rakyat. Malah sejak kenyataan tersebut
dikeluarkan, tidak ada apa-apa perkembangan yang meyakinkan Rakyat
bahawa siasatan ke atas isu 1MDB itu berjalan mengikut lunas
undang-undang, dan satu kesudahan yang boleh diterima semua akan
terhasil.
9.Sebaliknya, Perdana Menteri seolah-olah menjadi suara
rasmi 1MDB, mempertahan segala tindakan 1MDB, dan cuba mengaburi
pandangan Rakyat dengan pengumuman-pengumuman tidak relevan seperti
pembayaran balik hutang-hutang 1MDB.
10.Di suatu majlis bersama
rakan-rakan seperjuangan dalam UMNO di Saloma Bistro, Jalan Ampang di
Kuala Lumpur pada 11 haribulan Disember, 2015, saya telah sentuh
mengenai keengganan dan kegagalan Perdana Menteri, Menteri-menteri
tertentu dan Arul Kanda menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan
oleh pelbagai pihak yang resah dengan kes 1MDB. Walaupun secara
berseloroh, namun maksud tersirat saya itu amat difahami oleh semua
pihak yang mendengar ucapan tersebut. Malah, Dato’ Seri Najib sendiri
menyatakan kepada saya bahawa ucapan itulah yang menimbulkan rasa marah
beliau terhadap saya, mengakibatkan saya dijatuhkan sebagai Menteri
Besar Kedah.
11.Pokok pangkalnya, soalan yang ada di dalam
pemikiran seluruh Rakyat Malaysia, dan saya fikir termasuk Majlis
Raja-raja juga ialah apakah yang terjadi kepada berbillion-billion wang
Rakyat yang telah dipinjam dari cagaran aset negara dan dibelanja oleh
1MDB atas persetujuan dan kelulusan Pengerusi Panel Penasihatnya iaitu
Perdana Menteri sendiri. Itulah soalan yang paling utama ditanya
berulang-ulang kali oleh semua pihak.
12.Namun begitu, “jawapan”
yang diberikan ialah bahawa dalam masa enam bulan lagi semua
hutang-hutang itu akan dilangsaikan dengan penjualan saham anak-anak
syarikat 1MDB dan aset.
13.Apabila soalan pokok tidak dijawab
walaupun ditanya berulang kali, dan penerangan yang diberikan (termasuk
melalui cetakan buku-buku oleh pihak JASA) tersasar dari soalan pokok
dan cuba mengelirukan Rakyat dengan maklumat-maklumat yang tidak
relevan, maka mahu tidak mahu terbentuklah andaian bahawa ada fakta dan
kebenaran yang hendak disembunyikan oleh Dato’ Seri Najib.
14.Oleh
yang demikian, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-raja yang akan
berlangsung pada 17 dan 18 haribulan Februari, 2016 ini, dengan penuh
hormat dan takzimnya saya merayu kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia
Tuanku-Tuanku Sultan dan Tuan Yang Terutama Yang DiPertua-Yang DiPertua
Negeri semoga mengarahkan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua
Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,
Ketua Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk
melaporkan kepada Majlis Raja-Raja mengenai siasatan-siasatan mereka
mengenai 1MDB secara telus dan benar tanpa melindungi mana-mana pihak.
15.Jika
ini tidak dapat dilakukan, atau berlaku campurtangan oleh pihak yang
disiasat, atau laporan-laporan yang diterima tidak dipercayai, maka saya
merayu kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan
DiRaja bagi mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB secepat mungkin.
16.Sesungguhnya,
dalam tempoh lebih setahun ini, kes 1MDB dan lain-lain isu membabitkan
Perdana Menteri telah membelenggu negara. Tahap keyakinan Rakyat
terhadap kewibawaan dan integriti Kerajaan Persekutuan yang diterajui
Dato’ Seri Mohd Najib semakin terhakis apabila beberapa pihak berkuasa
luar negara membuat kenyataan mengenai siasatan yang telah mereka
lancarkan ke atas beberapa transaksi mencurigakan yang melibatkan 1MDB.
Ini termasuklah siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Peguam Negara
Switzerland terhadap kes penyelewengan dana yang membabitkan 1MDB.
17.Sambil
Rakyat meratapi nasib negara, dunia memerhati masalah demi masalah yang
menimpa Malaysia, dan tertanya-tanya kenapa ini boleh berlaku dan apa
kesudahannya. Rata-rata seluruh dunia mencemuh dan memandang serong
terhadap Malaysia yang dikatakan antara negara yang paling korup
sekarang. Adakah kita masih boleh memejam sebelah mata dan bersikap
toleran lagi?
18.Perkara yang saya bangkitkan ini adalah soal
kepentingan negara. Janganlah sesiapapun cuba mengalih perhatian Rakyat
dengan mempolitikkan kenyataan saya ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala
memberi petunjuk dan hidayah, melindungi negara dan seluruh warganya
dari malapetaka, khususnya dari angkara manusia sendiri.
DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Mantan Menteri Besar Kedah Darul Aman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah
ADUN Ayer Hitam
Tarikh : 07 haribulan Februari, 2016. (SH 07/02/2016).
Ia hanyalah satu desakan yang tidak sukar untuk di tunaikan dan akan menyingkirkan kecurigaan rakyat terhadap kekeliruan yg menyelubungi kita semua
ReplyDeleteIa hanyalah desakan yang tidak terlalu sukar untuk menyingkirkan kecurigaan rakyat terhadap kekeliruan yang menyelubungi kita semua
ReplyDeleteIa hanyalah desakan yang tidak terlalu sukar untuk menyingkirkan kecurigaan rakyat terhadap kekeliruan yang menyelubungi kita semua
ReplyDeletelompat si katak lompat, lompat tinggi tinggi, hamtam rapat rapat, biaq nanti yg perintah dap
ReplyDeletesaya setuju dengan tindakan ini..moga Allah beri petunjuk kpd kebenaran
ReplyDeleteAnonymous tuesday 9 february...adakah dgn tindakan DS Mukhriz Mahathir ini akan menyebabkan DAP bleh memerintah negera ini? Saya rasa tidak...PM perlu menjawab persoalan persoalan yg dikemukan kerana rakyat mahukan pemimpin yg jujur dan amanah. Bukan pemimpin yg sentiasa menjaga periuk nasi dia sahaja...atau pemimpin yg 'yes bos'...teruskan DS Mukhriz Mahathir
ReplyDeletekepimpinan najib teruk...ramai penyokong BN kini mula hilang keyakinan pd najib...kami mahu PM diganti dgn individu yg lain!!!
ReplyDelete