Mohd Shukri
Mohd Shukri

KANGAR - Lelaki akil baligh dan tiada sebab munasabah untuk meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali perlu dikenakan hukuman denda sebagai pengajaran. 
 
Mohd Shukri Ramli (Pas-Sanglang) mencadangkan perkara itu pada sesi perbahasan Bajet Perlis 2015, semalam.
 
Menurutnya, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan perkara itu demi kesejahteraan hidup masyarakat setempat. 
 
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Kerajaan negeri perlu mengambil tindakan tegas supaya perkara seperti ini tidak berulang. 
 
“Sebelum ini, jawatankuasa masjid juga pernah menghantar notis kepada penduduk sebagai peringatan tetapi kesannya hanya sementara,” katanya. 
 
Beliau berkata, tindakan mengenakan denda itu mungkin dapat memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan tanggungjawab menunaikan solat Jumaat. 
 
“Sekiranya kerajaan negeri mengenakan denda kepada mereka yang terlibat, kemudian disiarkan dalam akhbar, Insya-ALLAH ada kesannya,” katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri turut mencadangkan kawasan pesisiran pantai khususnya di Kuala Perlis diberi pencahayaan dan keceriaan untuk membanteras aktiviti maksiat.
 
“Kawasan ini perlu diberi perhatian semula kerana keadaan kawasan gelap dan sunyi menyebabkan berlaku aktiviti tidak sihat terutama dalam kalangan remaja,” katanya.
 
Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Perkhidmatan Bandar, Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil, Mat Hassan berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah wang untuk memperindah dan menceriakan bandar utama seperti Kangar, Arau, Kuala Perlis dan Padang Besar.
 
Beliau berkata, usaha itu termasuk memasang lampu dan lampu hiasan bagi menambah keceriaan di kawasan tumpuan pelancong pada waktu malam.