UtusanDaily

Sunday, 12 January 2014

Para peserta Maharaja Lawak Mega jual produk sendiri

SEPAHTU terdiri daripada Jep (kiri) Shuib dan Rahim.

KEBANYAKAN peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) boleh dikatakan bijak dalam menggunakan populariti mereka bagi menarik perhatian para peminat, sekali gus memberi sokongan pada pertandingan anjuran Astro Warna itu.

Lapan peserta MLM iaitu kumpulan Jambu, Shiro, Wala, Comey, Bocey, Sepahtu, SYJ dan Nabil yang akan bersaing pada minggu kelapan pertandingan itu Jumaat ini ada strategi tersendiri bagi menarik perhatian para peminat.

Mereka antaranya mula menjual pelbagai barangan cenderahati seperti kemeja-T, tuala dan cawan yang tertera gambar kumpulan masing-masing setiap kali pertandingan lawak jenaka itu diadakan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Rostam Said, pihaknya tidak melarang inisiatif yang dilakukan oleh para peserta MLM, sebaliknya ia sedikit sebanyak membantu mempromosikan nama mereka untuk bergelar juara kelak.

"Pihak Astro tidak melarang mana-mana peserta menjual barangan cenderahati mereka. Ia bukan sahaja menjana pendapatan tetapi ia boleh mempromosikan lagi nama masing-masing kepada para peminat.

"Ini kerana, mereka menggunakan nama dan jenama yang dibuat atas produk masing-masing. Cuma kalau ia membabitkan nama atau produk Astro seperti penggunaan logo dan sebagainya ia haruslah mendapat kebenaran kami.

"Setakat ini, ramai peserta MLM seperti Sepahtu, Nabil dan Jambu yang membuka gerai mereka di luar Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam setiap kali berlangsungnya pertandingan ini," katanya kepada Hits baru-baru ini.

Jelasnya, selain menjual pelbagai produk, setiap peserta juga boleh memikirkan sendiri gimik yang boleh dipaparkan oleh setiap peserta pada persembahan bagi memantapkan lagi bahan yang dipaparkan pada pertandingan itu.

Kumpulan Sepahtu yang dianggotai oleh Jepp, Shuib dan Rahim misalnya, banyak menggunakan elemen-elemen gimik yang diselitkan selain mendapatkan nasihat-nasihat daripada orang di sekeliling mereka dari semasa ke semasa.

Jepp yang banyak mencuri tumpuan para peminat dalam Sepahtu tidak terkecuali meminta nasihat daripada ibu, bapa, kawan-kawan dan ahli-ahli keluarganya bagi memastikan persembahan kumpulannya semakin mantap.

"Bapa saya antara orang yang banyak mengkritik persembahan saya dan Sepahtu. Saya anggap dia seperti cikgu disiplin. Saya selalu balik ke kampung di Kulai Jaya, Johor dan ketika itu mereka ini banyak memberi kritikan.

"Saya sengaja sebut nama bapa pada persembahan MLM minggu lepas kerana kebetulan ketika itu hari lahirnya. Bukan gimik tetapi ucapan itu saya luahkan secara spontan," ujarnya sambil diakui oleh Rahim dan Shuib.

Pertandingan MLM minggu yang kelapan akan menampilkan lapan perserta terbabit yang mana kali ini ia akan disiarkan secara langsung dari One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya menerusi Astro Warna mulai pukul 10 malam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140109/hi_04/Para-peserta-MLM-jual-produk-sendiri#ixzz2qBjUss00
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive