Hanya mereka kuat iman mampu kawal nafsu keterujaan dalam melengkapkan sambutan hari istimewa ini.
Apalagi sebagai wanita, pastinya pelbagai renyah bermain di fikiran -
dari menyiapkan keperluan diri sendiri, suami, anak-anak dan barangan
rumah.
Jika untuk diri sendiri, setakat baju sahaja tidak mengapa. Tapi perlu
fikir kasut, tudung, beg tangan, aksesori sepadan, belum masuk alat
mekap dan pin tudung dan pelbagai lagi. Nampak kecil tapi memerlukan
wang besar.
Itu pun senarai untuk disiapkan seperti baju suami dan anak-anak,
keperluan rumah dengan kuih-muih, perabot dan hiasan rumah, kenderaan
balik kampung, duit raya, makanan dan jajan raya, serta lain-lain belum
dikira.
Pada yang sedar untuk ukur baju di badan sendiri, tiada masalah. Tapi
kalau bersikap biar papa asal bergaya, boleh jerat leher sendiri, sampai
ada terlebih bajet hingga buat pinjaman peribadi atau sanggup berhutang
untuk penuhi kehendak.
Puasa baru melebihi seminggu, semakin ramai kalangan kita sudah
terperangkap dengan jualan mega, borong raya dan pelbagai lagi promosi.
Jika dilihat di kaca televisyen, iklan-iklan ansuran mudah tak
ketinggalan promosi TV besar dan nipis, perabot cantik dan alat-alat
elektrik.
Ada tertarik terus beli, yang pastinya kebanyakannya bukan keperluan
sebaliknya kehendak. Ada juga hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada tetamu
masa raya nanti atau tak mahu kalah dengan jiran sebelah.
Apa pun yang penting tetapkan matlamat dan perancangan sepatutnya.
Takut nanti, sebaik habis sehari dua hari raya, haru-biru jadinya.
Pening terbabas bajet, ada terpaksa korek tabung, makan mi segera, guna
duit raya anak atau buat muka tembok meminjam dengan kawan pula.
Pengakuan 1
Siti Najihah Mohamad Razali, 32, suri rumah juga blogger, Bayan Baru, Pulau Pinang
'Korek' duit ASB lepas raya
Kalau ke bank lepas raya, saya biasa melihat golongan ibu-ibu ini
misalnya simpankan duit raya anak di bank. Tapi dalam masa sama, mereka
juga korek (keluarkan) wang simpanan.
Ini barangkali disebabkan terlebih perbelanjaan semasa berhari raya.
Seperti saya sendiri pun pernah terlebih bajet, disebabkan teruja lihat
dan belikan baju untuk anak-anak. Bagaimanapun tidaklah keterlaluan dan
masih terkawal.
Tahun ini saya memang buat persiapan awal, kerana tahu trimester
pertama mengandung anak ketiga dalam bulan puasa ini takut kurang
bertenaga.
Jadi selain bajet kewangan, saya sudah buat persiapan sebelum Ramadan
tahun ini. Misalnya dengan persiapan baju raya anak lebih awal.
Kebetulan pula ketika balik kampung saya di Segamat, Johor, baru-baru
ini, rezeki saya semasa melalui pusat jualan kain tempatan terkenal yang
sedang tawarkan harga penghabisan stok.
Baju Melayu untuk anak saya berusia 5 tahun hanya RM10, jadi saya sudah
belikan untuknya dua pasang. Manakala baju untuk anak perempuan, saya
belikan tiga pasang. Agak jimat kerana jumlahnya hanya kira-kira RM50.
Walaupun stok tahun lepas, tetapi kainnya masih elok.
Selain siapkan pakaian, kuih raya pun saya siapkan lebih awal. Tapi
banyak kurangkan tempahan kuih raya tahun ini. Lagipun saya tinggal
bersama keluarga di sini memang agak kurang orang berkunjung ke rumah
waktu hari raya.
Selain itu, ada sesetengah kuih raya yang mudah, saya akan buat
sendiri. Sekarang pun banyak perkongsian resipi di internet yang mudah
dan menarik senang diikuti.
Selain itu, bajet untuk duit raya pula, memandangkan anak buah ramai, jadi hadkan bagi duit raya pada yang kecil-kecil saja.
Sekarang pun dengan harga barangan tidak menantu, jadi perlu rancang bajet raya ini sebaiknya supaya tidak mengundang masalah.
Pengakuan 2
Norlinda Alias, 26, pekerja swasta, Ipoh
Terlalu ikut kata hati
Saya berbelanja dengan terlalu ikut hati. Baru awal puasa, saya dah
laburkan wang dengan pelbagai perkara. Baju saya sahaja tiga pasang.
Kasut dan beg tangan ikut tema baju.
Pada mulanya, saya rasa biasa sahaja, sebab beli pun masa ada jualan murah.
Tapi entah apa merasuk, saya tertarik hendak beli set ruang tamu pula.
Itu pun katanya jualan sempena Ramadan ini baru dapat separuh harga
ditawarkan. Hari biasa memang tak dapat.
Terus saya setuju untuk beli kerana fikir masih ada wang tabungan. Selain itu boleh harapkan 'wang bantuan' daripada suami.
Biarpun selama ini agak berjimat orangnya, rupanya-rupanya kali ini suami saya pun dua kali lima dengan saya.
Baru-baru ini beli telefon pintar harga hingga RM1,800. Itu tidak
mengapa juga memang telefonnya sebelum ini ada masalah dan perlu beli
baharu.
Tapi sport rim kereta pun ditukarnya, hampir RM2,500 melayang.
Terpengaruh dengan kawan-kawan kelab keretanya. Itu belum masuk perbelanjaan perlu digunakan untuk beli baju raya.
Sudahnya dia sendiri agak menyesal. Apa lagi seminggu lepas raya nanti,
akan diadakan kenduri kahwin adiknya, pasti hendak guna banyak duit.
Lain-lain keperluan raya untuk rumah kami pun belum lagi dibeli.
Suami pula suarakan hasrat nak jual semula dua barang dibelinya itu kepada kawan-kawannya. Lega kami ada rakannya hendak beli.
Terlampau ikut nafsu, memang macam-macam hendak beli.
Baru beli barangan tak seberapa ini pun saya sudah terasa. Apa lagi
jika saya ikutkan juga rasa hati hendak tukar langsir dan beli
pinggan-mangkuk raya.
Sekarang mungkin tidak begitu terasa sebab kami belum punya anak. Lepas
ini memang saya dan suami perlu berhati-hati dan senaraikan pembelian
barangan raya yang benar-benar perlu sahaja.
Pengakuan 3
Zalina Zainal, blogger, homebaker dan membuat kelas kek, roti dan pastri di rumah, Shah Alam
Hendak rumah nampak kelainan
Selalunya saya akan bagi cadangan pada suami kalau nak tukar perabot atau langsir baharu untuk hari raya.
Itu pun selepas saya tengok ada bajet lebih sebelum nak beli sesuatu. Kalau suami setuju, barulah beli apa yang saya cadangkan.
Selalunya kalau perabot masih elok lagi, suami susah sikit nak bagi lampu hijau dan nasihatkan saya untuk berjimat.
Kalau barangan dekorasi rumah saya suka beli barang-barang hiasan di KK Home Deco dan Lovely Lace.
Baju semestinya berganti setiap tahun. Kalau tak tukar perabot baharu
pun, saya akan pastikan ada kelainan pada dekorasi dalam rumah,
contohnya tukar susunan perabot dan beli bunga hiasan.
Paling penting sebelum hari raya saya akan panggil pembantu
menanggalkan semua langsir dan sarung sofa untuk dibasuh. Semua perabot
dan habuk akan dilap bersih.
Insya-ALLAH kalau ada rezeki akan pasang lantai kayu lemina
menggantikan karpet. Masih sedang bertanyakan sebut harga untuk
mendapatkan harga yang lebih murah dan jimat.
Saya sendiri tak ada pengalaman terlebih bajet sebabnya saya dan suami
memang fikir banyak kali sebelum nak beli atau tukar perabot baharu.
Memang keinginan kita sebagai wanita, selalunya mahu lebih. Tapi mujur suami saya mampu kawal.
Lagipun dengan keadaan mata wang kita yang hendak jatuh masa kini,
wajarlah kita berfikir banyak kali sebelum mahu membeli sesuatu.
Berbelanja, ukurlah baju di badan sendiri
Wanita mempunyai nafsu membeli yang besar. Ini disebabkan golongan ini
suka yang baharu dan cantik. Apatah lagi tarikan emosi mereka
digula-gulakan dengan jualan murah dan trend baharu.
Itu yang menyebabkan mereka teruja membeli terutamanya setiap kali menjelang hari raya.
Jika berbelanja biarlah ikut kemampuan dan keperluan. Pepatah menyebut,
ukur baju di badan sendiri. Apatah lagi golongan kakitangan awam
mendapat gaji awal. Jika syok sangat berbelanja, bimbang jika ia
menyebabkan 'tersepit' selepas itu.
Tak salah jika hendak berhutang walaupun nak menggunakan kad kredit,
tapi jangan berlebih-lebihan. Hari raya memang perlu diraikan mengikut
kadar kemampuan sendiri.
Kalau tak ada duit, tak payah keluar. Boleh lakukan penjimatan.
Contohnya, tak perlu beli makanan di bazar Ramadan, tapi masak di rumah.
Fenomena malam raya, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur selalu
menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan barang pada harga murah.
Pelanggan perlu pandai memilih waktu sesuai untuk membeli-belah dan
buat persediaan paling asas. Zaman emak saya membeli baju bersaiz besar
untuk kami tiga beradik, supaya boleh pakai lama.
Antara tip penjimatan adalah berbelanja jangan mengikut trend kerana ia
sentiasa berubah. Elakkan membeli untuk produk baharu (new arrival)
kerana anda mungkin sakit hati bila harga tersebut turut hingga 50
peratus selepas beberapa bulan.
Berbelanja pilih tempat yang menawar jualan murah. Tuliskan senarai
barang keperluan sebelum membeli. Kena fikir seperti otak lelaki, beli
barang yang dikehendaki dan terus balik.
Ataupun kirim pada suami untuk belikan barang. Jika tidak mampu, kita
kena terima, tapi mereka yang ada kemampuan, terpulanglah berapa banyak
pakaian yang nak dibeli.
Untuk persiapan rumah agar nampak baharu, catlah sendiri. Beli biskut
pun jangan banyak supaya tak membazir. Tetamu hanya datang
berjalan-jalan untuk mengeratkan silaturahim.
Satu lagi saya sarankan untuk duit raya, isi sampul berisi RM1, RM2,
RM5 atau RM10 yang bercampur-campur dalam satu balang. Biar kanak-kanak
memilih sendiri. Taklah kita dikatakan kedekut, tapi ikutlah rezeki
masing-masing.
Mengadakan majlis rumah terbuka juga boleh menjimatkan kerana memanggil
ramai tetamu dalam masa sehari untuk meraikan hari raya.
Berbelanja selepas persetujuan sekeluarga
Sekiranya bagi tip jimat berbelanja kadang-kadang susah nak ikut, tapi saya percaya cara pemikiran seseorang itu boleh berubah.
Cara untuk paksa diri melakukan bajet persiapan hari raya adalah
berbincang dengan keluarga termasuk suami dan anak. Bincangkan apa yang
diperlukan untuk hari raya.
Selepas itu, senaraikan keperluan tersebut seperti pakaian, langsir,
perhiasan rumah dan biskut. Ini termasuk bajet balik kampung.
Tuliskan senarai pada atas kertas bukannya dalam kepala. Untuk dapatkan
senarai tersebut tidak boleh dilakukan sendiri, tapi perlu ada
persetujuan keluarga.
Kira jumlah harga barang tersebut dan tunjukkan 'inilah bajet yang
diperlukan' kepada ahli keluarga. Sekiranya ada yang tidak bersetuju,
ambil kertas baharu 'senarai kita nak berhutang' dengan ah long atau
ceti.
Dan jumlahkan hutang tersebut serta minta sesiapa antara ahli keluarga
sanggup tawar diri untuk pergi berhutang. Jika tidak ada yang setuju,
maka kena ikut bajet.
Konsep penjimatan adalah membeli barang mengikut bajet. Jika ada duit
lebihan, jadikan ia simpanan yang boleh digunakan bagi tujuan lain.
Beli-belah di pasar raya yang menawarkan dengan harga paling murah.
Lebih menjimatkan kos, belajar buat biskut sendiri. Elakkan berhutang
dengan menggunakan kad kredit. Tetapi jika terpaksa, pastikan anda boleh
membayar sepenuhnya selepas raya untuk elakkan kos tambahan.
Elakkan pembelian kereta kedua baharu di hari raya. Membeli kereta
untuk keperluan, bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada keluarga dan
sanak-saudara. Kenderaan merupakan aset menurun dari masa ke masa,
kecuali aset rumah.
Kebanyakan wanita berkeluarga banyak membeli barang untuk keperluan
anak sehingga keterlaluan. Oleh itu jika berbelanja wajib ada senarai
barang.
Biasanya wanita bujang ada duit lebih. Bila berbelanja, bawalah kawan
yang diupah mengingatkannya untuk berjimat. Jangan pilih kawan yang sama
jenis kaki shopping. Sebelum membeli, ambil nafas panjang, fikir tiga
kali sebelum membeli.
Didik diri bersyukur, prihatin dan bersedekah
Kebiasaan hari raya pertama anak dipakaikan baju baharu. Bila masuk
hari kedua seterusnya, pakailah pakaian yang sedia ada, masih elok dan
cantik, dalam simpanan. Ini dapat mendidik anak untuk berjimat. Oleh
itu, belilah persiapan hari raya ikut keperluan.
Mata kita mungkin nak tengok kepunyaan orang lain, tapi lihatlah kemampuan diri. Apabila berbelanja, ikutlah keutamaan.
Meskipun seseorang wanita itu berkerjaya, tetapi perlu juga berbincang
dengan suami untuk mendapat pandangan dan nasihat agar dapat mengawal
nafsu berbelanja.
Dalam al-Quran menyebut, tolong-menolong dalam kebaikan. Ini tidak
berlaku jika kita melakukan atau menanggung beban seorang diri. Hasil
kerjasama dan persefahaman suami isteri itu boleh membawa kasih sayang
berpanjangan.
Wanita dikatakan banyak kehendak dan kemahuan kerana sebenarnya dia ada
banyak peranan. Dari dapur, bilik hingga ke ruang tamu sehinggalah
urusan ahli keluarga, semuanya wanita 'nampak belaka' keperluannya.
Manakala lelaki hanya fokus cari duit dan bayar yuran/bil. Jadi tak comellah kalau kata wanita banyak permintaannya.
Namun untuk mendidik diri wanita agar belajar berjimat, keluarlah dari
kepompong fikiran lama. Selalulah melawat golongan miskin dan belajar
bersyukur. Bagi pandangan saya, wanita bersederhana nampak lebih matang
daripada berlebih-lebihan,
Falsafah di Aidilfitri adalah kesyukuran, keprihatinan dan
berbahagi-bahagi nikmat. Namun apa yang dilihat ada kalangan kita yang
menunjuk-nunjuk nikmat pada hari mulia itu.
Kita wajar memberi fokus Ramadan dalam mendidik jiwa menjadi hamba-Nya
yang bersyukur dan tingkatkan iman serta kebaikan. Hasil didikan Ramadan
tersebut boleh membawa kebaikan seseorang itu berterusan.
Untuk membuat persiapan hari raya, tidak wajar berbelanja sehingga berhutang. Jangan jadikan budaya hutang dalam hidup kita.
Menyambut hari raya bukan secara material tetapi keraian secara
spiritual dan bagi keperluan kepada orang lain. Ketika berziarah, jangan
persoalkan makan minum sedap atau tidak.
Apa yang penting adalah mengeratkan silaturahim. Lebih manis jika bawa buah tangan untuk tuan rumah.
REAKSI
"Saya dan suami menyediakan bajet persiapan hari raya lebih awal. Kami
membeli pakaian baharu untuk enam anak apabila ada jualan hebat.
Jadi kami tidak tergesa-gesa menyiapkan pada saat akhir. Cuma kami suka
membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada malam raya kerana harga
lebih murah."
-Norazila Asim, 48, guru tadika
"Walaupun saya masih bujang, tapi perlu berjimat. Beli baju T, seluar
dan kasut sudah cukup. Saya ada juga beri kepada ibu bapa untuk beli
keperluan hari raya. Apa yang penting, jaga bajet selepas hari raya
supaya tak sampai berhutang.
Apa yang penting kita nak menziarahi keluarga dan sana-saudara yang mungkin jarang sekali berjumpa pada hari biasa."
- Mohd Adam Misnandar, 23, pembantu stor
"Untuk persiapan hari raya, saya tak perlu risau sebab tujuh anak saya
menghulurkan sumbangan untuk membeli pakaian, duit raya sehinggalah
barang dapur. Saya pun tak pernah beli baju raya.
Tahun ini, adik beri empat pasang, manakala suami bagi sepasang baju
kurung sutera dari Terengganu. Untuk langsir, saya guna yang sedia ada
asalkan masih cantik dipandang."
-Siti Haslina Johari, 49, suri rumah
"Bajet raya adalah penting untuk memastikan barang keperluan dibeli.
Dengan perancangan yang baik, ia dapat membantu seseorang untuk berjimat
memandangkan kos sara hidup yang kian meningkat.
Sebaiknya kita beli ikut keperluan dan kemampuan diri. Tak perlulah
tampak gah luarnya walhal diri dibebani hutang. Bersederhanalah dalam
setiap perkara."
- Abdul Wafi Mohamad, 31, guru