UtusanDaily

Saturday, 29 December 2012

[SH] Pos Malaysia umum waktu operasi baru

Pos Malaysia
Pos Malaysia
 
KUALA LUMPUR - Pos Malaysia akan melaksanakan waktu operasi baharu untuk perkhidmatan mel dan kaunter mulai 1 Januari depan bagi Semenanjung Malaysia dan 1 Februari bagi Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pos Malaysia Shukrie Salleh berkata, perubahan berkenaan melibatkan pertambahan waktu operasi selama 30 minit pada hari bekerja di kaunter cawangan pos seluruh negara bagi memberi lebih masa kepada pelanggan membuat transaksi serta menghantar mel dan kurier.
  
Pada hari Sabtu pula waktu operasi dikurangkan kepada setengah hari berbanding waktu pejabat sebelum ini dan tiada sebarang operasi mel dilakukan pada hari tersebut, katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan operasi waktu tersebut di sini hari ini.
  
Berikutan perubahan itu, semua cawangan Pos Malaysia di Semenanjung Malaysia akan beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dan pada hari Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari (Ahad hingga Khamis bagi negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu).
  
Bagi Sabah dan Sarawak, cawangan pos akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dan pada hari Sabtu dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.
  
"Bagaimanapun terdapat cawangan terpilih yang akan ditutup pada hari Sabtu melibatkan cawangan kecil di kawasan pedalaman.
  
"Manakala cawangan pos yang terdapat di pusat membeli-belah akan beroperasi seperti biasa pada hari Sabtu dan Ahad," katanya.
  
Pusat PosLaju juga akan dibuka seperti biasa pada hari Sabtu untuk penerimaan item kurier bagi tujuan penghantaran.
  
Shukrie berkata pelaksanaan waktu operasi baharu ini merupakan sebahagian inisiatif Pos Malaysia untuk menyelaraskan operasinya berikutan perubahan tabiat penggunaan perkhidmatan mel serta memastikan ia dapat memenuhi kepuasan pelanggan.
  
Ia juga bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di samping menggalakkan keseimbangan hidup kakitangan supaya mereka mempunyai lebih masa bersama keluarga dan sahabat handai.
  
Pos Malaysia kini mempunyai kira-kira 16,500 kakitangan dan separuh daripadanya bekerja di bahagian pengurusan mel. - Bernama

[UTUSAN] LOGO HALAL - Pihak engkar - Denda berkuat kuasa 1 Januari

PUTRAJAYA 28 Dis. - Mulai Januari ini, logo dan ungkapan halal seperti ditanggung halal, makanan orang Islam, bufet Ramadan dan lain-lain lambang Islam yang boleh mengelirukan serta memperdayakan orang Islam adalah dilarang.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, syarikat pengeluar, pengedar makanan atau barang-barang yang masih menggunakan logo dan ungkapan halal bukan daripada Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) akan dikenakan tindakan.

Katanya, penguatkuasaan larangan itu berikutan tempoh peralihan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang diberikan selama setahun bakal tamat pada 31 Disember ini.

“Perintah ini telah memberikan tempoh peralihan selama satu tahun kepada semua makanan atau barangan yang telah berada di pasaran.

[UTUSAN] Hobi jadi pendapatan lumayan

Oleh SAFINA RAMLI
Morad Adam dan isterinya, Che Siti Bakar menunjukkan buah limau nipis jeruk yang dijadikan sebagai sumber pendapatan sejak 22 tahun lalu di rumah mereka di Kampung Gelong Gajah, Pendang, Kedah, baru-baru ini..- utusan/Shahni Farhana Mat Sahir 
 
PENDANG 26 Dis. - Pada mulanya, Morad Adam, 71, atau lebih dikenali sebagai Pak Morad dan isterinya, Che Siti Bakar, 67, yang tinggal di Kampung Gelong Gajah, Tobiar di sini hanya menanam pokok limau nipis untuk mengisi masa lapang.

Namun pokok limau nipis yang berbuah lebat membuatkan pasangan suami isteri itu mencari alternatif dengan membuat jeruk untuk memastikan buah tersebut mampu bertahan lama.

Siapa sangka sejak 1990, jeruk limau nipis yang dihasilkan kini menjadi sumber pendapatan sampingan pasangan itu untuk membesarkan tujuh anak mereka.

Morad berkata, dia tidak menyangka mereka akan menceburi perusahaan jeruk limau nipis memandangkan perniagaan itu jarang dibuat oleh orang Melayu.

"Buah limau jeruk ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terutama sewaktu musim kenduri perkahwinan untuk dijadikan bahan utama dalam membuat acar limau.

"Buah limau jeruk dijual kepada peniaga di sekitar Pekan Rabu, Alor Setar dan sewaktu musim kenduri perkahwinan jualan limau jeruk memang tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelong Gajah, Tobiar di sini baru-baru ini.

Menurutnya, jeruk limau nipis mampu menjana pendapatan tinggi jika diusahakan secara bersungguh-sungguh dan terbukti apabila pendapatan tahunannya mencecah lebih RM10,000.

"Dulu pokok limau nipis saya tanam sendiri, tetapi kini saya beli limau nipis daripada pemborong dalam kuantiti yang banyak untuk dijadikan jeruk.

"Saya juga perlu pilih buah limau berkualiti dan tidak pecah bagi memastikan jeruk limau yang dihasilkan tidak cepat rosak," jelasnya.

Morad menambah, jeruk limau nipis yang diusahakan mereka mempunyai keistimewaan tersendiri dengan rasa yang enak.

Ini kerana ia dihasilkan menggunakan buah limau nipis berkualiti serta diperap menggunakan garam kasar yang mencukupi.

"Jeruk yang saya hasilkan menggunakan resipi yang saya reka sendiri dengan diikuti proses merebus dan memerap sehingga dua bulan.

"Buah limau yang telah diperap ini juga perlu selalu dikacau bagi mengelakkan kulat terbentuk semasa proses menjeruk dilakukan," katanya.

Jelasnya, permintaan jeruk limau nipis yang diusahakan mereka semakin mendapat permintaan tinggi sehingga dia memproses kira-kira empat tan jeruk limau nipis dalam masa setahun.

"Saya dan isteri akan terus menghasilkan jeruk limau nipis ini selagi permintaan daripada pelanggan masih ada dan buat masa sekarang kami belum bercadang untuk bersara walaupun usia semakin meningkat," ujarnya.

'Perkahwinan tidak jejas prestasi saya'

Khairul Fahmi Che Mat dan Nur Eilunie Natasha Jaafar selepas majlis pernikahan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Wakaf Baru, semalam. - UTUSAN/Shahril Azman Zain

TUMPAT - Penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat, 23, menegaskan perkahwinannya dengan pemilik butik dan model Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, tidak akan menjejaskan prestasinya sebagai seorang pemain bola sepak negara dan Kelantan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Apek berkata, perkahwinan tersebut harus dipandang positif kerana ia akan membangkitkan lagi semangatnya untuk beraksi di atas padang.

"Insya-Allah prestasi saya tidak akan terjejas, kita kena ambil positif, lihat David Beckham sebelum ini biarpun sudah berkahwin tetapi prestasinya tidak menurun malah semakin meningkat.

"Saya akan cuba kekalkan prestasi yang terbaik kerana ini adalah karier saya dan saya amat bertuah kerana Leuniey amat memahami karier saya sebagai seorang pemain bola sepak," katanya dalam sidang media selepas majlis pernikahan beliau di Wakaf Bharu di sini semalam.

Apek dan Nur Eilunie atau Leuniey selamat diijabkabulkan pada pukul 10 pagi semalam di rumah keluarga Leuniey di Wakaf Bharu dekat sini.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib dengan disaksikan oleh ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa kedua mempelai di rumah keluarga Leuniey di sini.

Pada majlis tersebut, Khairul Fahmi menyerahkan mas kahwin sebanyak RM19,000 bersama tujuh dulang hantaran dan Leuniey membalas dengan tujuh dulang.

Apek yang mengenakan persalinan berwarna kuning muda sah menjadi suami kepada Leuniey dengan sekali lafaz dan lebih 2,000 tetamu termasuk peminat setia mereka hadir pada majlis pernikahan tersebut.

Khairul Fahmi ketika ditemui bersyukur majlis tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

"Alhamdulillah majlis pernikahan ini berlangsung dengan baik. Saya memilih Leuniey kerana dia memahami karier saya yang terlalu sibuk. Sebagai contoh, saya hanya pulang untuk membuat persediaan sehari sebelum majlis ini berlangsung.

"Perasaan saya sebelum majlis akad nikah gementar, tetapi ia tidak sama ketika beraksi di atas padang kerana hari ini semua memberi sokongan kepada saya dan Leuniey," katanya.

Dia menyerahkan kepada Allah sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat ini dan berharap akan menimang sekurang-kurangnya empat orang anak.

Dalam pada itu, Leuniey berharap suaminya akan menjadi 'kapten' kepada keluarga mereka dengan baik meskipun pelbagai kontroversi dikaitkan dengan mereka sebelum ini.

"Saya bersedia sepenuhnya, dalam masa bercinta pelbagai cerita keluar dalam akhbar dan blog. Saya sentiasa berbincang dengan suami bila cerita seperti ini keluar.

"Ini jodoh yang ditentukan dalam perjalanan hidup kami, saya bersyukur kerana kami telah disatukan," katanya sambil menyifatkan suaminya seorang yang romantik dan penuh dengan kejutan.

[HARAKAHDAILY] INI BUKTI UTUSAN MALU NAK MENGAKU KETUA UMNO SEBAGAI PERASUAH TEGAR.

INI BUKTI UTUSAN MALU NAK MENGAKU KETUA UMNO SEBAGAI PERASUAH TEGAR.

https://fbcdn-sphotos-h-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/540787_3724341525942_1515988757_n.jpg

bekas Ahli MPAJ = Ketua UMNO kenapa malu sgt nak mengaku kah3......

[SH] Rebat: Tidak perlu had harga telefon

Wartawan Sinar Harian
28 Disember 2012
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mengehadkan rebat RM200 kepada telefon pintar berharga RM500 sahaja.

"Tak perlu ada had harga untuk rebat yang diberi untuk telefon pintar," kata beliau dalam mesej yang diajukan kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini, menerusi Twitter.

Dalam mesej berasingan, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno menulis bahawa ucapan Bajet 2013 hanya menyebut tentang pendapatan belia yang layak menerima rebat telefon pintar, bukannya harga telefon pintar.

Menjawab mesej pengikutnya, Khairy berkata: "Setuju. Kalau nak bagi rebat RM200, bagi sajalah kepada semua telefon pintar."

Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau menyatakan demikian ekoran rungutan orang ramai berhubung laporan media bahawa SKMM telah menerbitkan kriteria menikmati rebat RM200, antara lain pembeli seharusnya warganegara Malaysia berumur 21 tahun hingga 30 tahun; berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, model telefon pintar 3G yang diluluskan dengan harga maksimum RM500, pelanggan jalur-lebar mudah-alih sedia ada atau pakej baru dan hanya satu telefon pintar untuk seorang belia.

Menurut notis SKMM, program rebat di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) telah diperuntukkan sejumlah RM300 juta oleh kerajaan yang akan memberi manfaat kepada 1.5 juta belia.

Permohonan untuk rebat adalah terbuka dari 1 Januari hingga 31 Disember depan dan para belia yang berminat boleh memohon melalui laman web SKMM.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dipetik berkata, had harga adalah perlu kerana dasar itu direka untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan para belia untuk memiliki telefon pintar sendiri.

Di bawah Bajet 2013 yang diumumkan pada 28 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rebat RM200 akan diberi ke atas pembelian telefon pintar 3G untuk belia berumur 21 hingga 30 tahun, dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah atau tanpa pendapatan bulanan, daripada peniaga yang dibenarkan bawah Pakej Komunikasi Belia.[SH]

[SH] Kalimah ALLAH hak mutlak umat Islam

NORSHIKIN MOHD SALLEH
29 Disember 2012
Noh Gadut
Noh Gadut menyempurnakan upacara cukur jambul, semalam.
 
JOHOR BAHRU – Penggunaan kalimah ALLAH adalah hak mutlak umat Islam, atas sebab itu, ia tidak boleh digunakan oleh kaum lain.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut berkata, bagi penganut agama lain boleh menggunakan perkataan lain selain daripada ALLAH.

“Dia (agama lain) boleh menggunakan kalimah lain iaitu Tuhan dan sebagainya. Itu pegangan kita, sebab itu hak mutlak tentu tidak boleh orang lain gunakan.

“Perkara ini nak kaji apa, kerana kajian itu untuk benda yang tidak ada, tidak diisytiharkan dan benda yang tiada hukum, tidak jelas dalam al-Quran.

‘Perkara ini (penggunaan kalimah ALLAH) adalah jelas, terang nak kaji apa?” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Pelancaran Operasi Pusat Perlindungan Wanita Maij, di sini, semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta kerajaan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu.[SH]

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive