UtusanDaily

Saturday, 1 March 2014

[GEMPAR] Gigi ada dalam Otak bayi

Gigi dalam otak bayi empat bulan 
Imbasan menunjukkan kedudukan gigi dalam otak bayi berkenaan.

Baltimore: Sekumpulan doktor pakar menemui gigi tumbuh dalam otak seorang bayi lelaki berusia empat bulan dan berjaya mengeluarkannya melalui pembedahan, lapor sebuah jurnal perubatan kelmarin

Jurnal Perubatan New England dalam laporannya menyatakan, gigi bayi itu kelihatan tumbuh awal daripada sepatutnya tetapi bukan di mulut, sebaliknya dalam otaknya akibat daripada sejenis tumor otak yang jarang berlaku, tetapi ada pada bayi itu.

Jalani imbasan MRI

Bayi itu yang berasal dari Maryland, mula menarik perhatian doktor selepas pemeriksaan kesihatan rutin menunjukkan kepalanya membesar lebih cepat berbanding kanak-kanak seusianya. Bayi itu kemudian menjalani pemeriksaan imbasan MRI yang menunjukkan tumor itu mengandungi struktur putih kecil yang kelihatan seperti gigi.

Sebaik doktor menyedari ada sesuatu yang pelik di dalam otak bayi itu, mereka melakukan pembedahan untuk mengeluarkan tumor berkenaan.

“Ketika mengeluarkan sel tumor yang berbahaya itu, doktor terkejut apabila mendapati kandungan dalam tumor itu adalah gigi yang sudah terbentuk sepenuhnya seperti yang terdapat pada rahang bahagian bawah,” lapor jurnal berkenaan

Doktor mengesan tumor itu berhampiran kelenjar pituitari bayi itu, berukuran 4.1 sentimeter. Ujian selanjutnya ke atas tisu tumor itu menunjukkan ia adalah ‘adamantinomatous craniopharyngioma’, sejenis tumor otak tidak berjangkit yang jarang ditemui tapi mampu membesar sehingga sebesar bola golf.
Pakar bedah neurologi Universiti Pusat Perubatan Maryland, Dr Narlin Beaty yang menjalankan pembedahan itu memberitahu Live Science: “Jarang ditemui gigi dalam mana-mana tumor otak. Ia craniopharyngioma, yang jarang didengar”.

“Bayi itu sekarang semakin pulih daripada pembedahan yang berjaya mengeluarkan sel tumor itu,” kata salah seorang doktor yang merawatnya. Bagaimanapun dia masih menjalani pemeriksaan rutin MRI sebagai sebahagian rawatan untuk memastikan dia bertambah baik.

“Dia semakin bertambah baik. Terdapat tumor besar betul-betul di tengah otaknya. Jika sebelum era pembedahan moden, kanak-kanak seperti ini mungkin tidak boleh diselamatkan,” kata Beaty.

Anak lelaki pasangan yang dibicarakan di Sweden bingungkan pegawai penyiasat

Adam timbulkan lebih banyak soalan berbanding jawapan, bingungkan pegawai penyiasat

STOCKHOLM 28 Feb. - Anak lelaki kedua pasangan Malaysia yang sedang dibicarakan atas tuduhan mendera anak mereka di Sweden dilihat menimbulkan lebih banyak soalan berbanding jawapan selepas kanak-kanak itu memberikan gambaran yang membingungkan berhubung kejadian tersebut.

Adam, 12, dilihat cuba menggambarkan satu insiden sewaktu ibunya, Shalwati Nor Shal dikatakan telah memukulnya dengan penyangkut baju kerana tidak membasuh pakaian dengan betul.

Apabila diminta untuk menjelaskan kejadian tersebut, Adam tiba-tiba menimbulkan insiden abangnya, Ammar telah dipukul sebelum kembali menjawab soalan asal dan tiba-tiba menceritakan pula kejadian ketika dia telah sesat di dalam sebuah kompleks beli-belah.

Dalam rakaman temu bual, Adam yang disahkan mengalami kesukaran dalam pembelajaran dilihat bersusah payah menjawab setiap soalan yang ditanya, seringkali membongkokkan badannya dan mendiamkan diri buat beberapa ketika.

Dalam satu temu bual, Adam mendiamkan diri hampir empat minit sehingga menyebabkan mahkamah mempercepatkan rakaman tersebut.

Mengingati semula satu insiden membabitkan ibunya, Adam telah menggelar sarung tangan yang digunakan untuk memukulnya sebagai ‘mufin’ sebelum soal siasat selanjutnya mendapati ‘mufin’ ialah sebenarnya sarung tangan.

Perbicaraan membabitkan ibu bapanya, Shalwati dan Azizul Raheem Awaludin di Mahkamah Daerah Solna di sini hari ini memasuki hari keenam.

Dengan mendakwa bahawa Azizul Raheem yang juga merupakan Pengarah Tourism Malaysia di Sweden telah memberitahu pegawai penyiasat bahawa ibu bapa Muslim dibenarkan memukul anak mereka sekiranya tidak bersolat, anggota polis wanita yang menemu bual Adam bertanyakan kepadanya sama ada dia pernah dipukul kerana tidak menunaikan kewajipan tersebut.

"Sekiranya kami tidak solat, ayah akan suruh kami bersolat bersamanya tetapi kalau dia dapati kami menipu (mengenai tidak bersolat), ayah kadang kala akan menjadi marah," kata Adam.

Ditanya apa yang akan berlaku apabila ayahnya marah, Adam menyatakan, ayahnya akan mula meninggikan suara terhadapnya dan adik-beradiknya yang lebih tua tetapi ‘bercakap lembut’ dengan adik bongsunya, Ariff.

Penemu bual tersebut kemudian bertanya mengenai perasaannya terpaksa bercakap dengan pihak polis, Adam memberitahu, dia berasa bosan.

"Tetapi hari ini saya gembira kerana telah memecah rekod dengan menghabiskan temu bual dengan cepat," ujar Adam dengan ceria menyebabkan Azizul Raheem tersenyum melihat anaknya itu tertawa.

Siri temu bual dengan Adam terpaksa dipendekkan selepas kanak-kanak itu keberatan untuk bercakap dan sering bertanya ‘berapa lama lagi’ dan ‘bila temu bual hendak habis’.

Ketika menuju ke penghujung satu temu bual, Adam dilihat meninggalkan bilik soal siasat dilakukan walaupun anggota polis wanita itu sedang bertanya kepadanya sama ada dia ada perkara yang hendak dibualkan.

"Tiada, tiada, tidak, tiada," kata Adam sambil berdiri.

Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul Raheem didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Perbicaraan bersambung pada 3 Mac ini. - THE STAR

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140301/ma_03/Adam-timbulkan-lebih-banyak-soalan-berbanding-jawapan-bingungkan-pegawai-penyiasat#ixzz2ugzf5Zrj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Faisal Ismail menjadi host siri Perbankan cara Islam di TV Al Hijrah

Faizal Ismail

MENYEDARI sering berlakunya salah faham terhadap perbankan Islam, TV Al Hijrah meneruskan kerjasamanya dengan Affin Islamic Bank Berhad untuk terus menerbitkan rancangan bual bicara, Fulus.

Berbeza format dan pendekatan, Fulus memfokuskan mengenai kandungan ilmu asas dan tip-tip kewangan kepada golongan muda terutama belia yang baru memasuki alam kerjaya.

Sudah memasuki musim kedua sejak bersiaran pada 21 Februari lalu, Fulus membicarakan 13 topik berbeza iaitu, Hindari Riba, Indahnya Perbankan Islam, Pembangunan Perbankan Islam, Pendidikan Muamalat, Hutang Oh Hutang!, Aku Nak Kaya (Skim Cepat Kaya & MLM), Pelaburan Emas, Forex, Pinjaman Perumahan, Zakat, Pelaburan Hari Akhirat (Wakaf & Jariah), Wasiat dan Impian Haji.

Fulus musim kedua diacarakan oleh bekas penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail.

Rancangan ini juga menampilkan panel jemputan berbeza pada setiap minggu dan diceriakan dengan tetamu undangan yang terdiri daripada barisan selebriti seperti Johan As’ari, Salma Mentor, Sahri AF, Zalif Sidek, Adib Anas, Heliza Helmi, Shawal AF, Imam Muda Asyraf, Khai AF, Bob AF, Nora, Amanda Misbun, Amirizdwa, Taj dan Yatt Hamzah.

Kata Penerbit Eksekutif Fulus, Noor Harlida Abu Bakar, barisan selebriti yang dipilih akan berkongsi pengalaman dan tragedi yang mereka tempuhi dalam dunia kewangan.

"Contohnya, Khai AF yang pernah terbabit dalam urus niaga Forex sehingga dia tertipu beribu-ribu ringgit.

"Mereka (artis) akan berkongsi pengalaman mereka mengikut topik yang disediakan.

"Kita bukanlah nak mengaibkan mereka sebaliknya ia seharusnya dijadikan panduan dan pengajaran yang berguna buat masyarakat," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Restoran Songket, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Tepati kriteria


Ketika ditanya mengenai pemilihan pengacara, Noor Harlida berkata, Faizal menjadi pilihan kerana percaya dengan kriteria dirinya yang agak 'gila-gila' dan 'havoc' seterusnya dapat memberi pendekatan terbaik buat semua golongan yang menonton terutamanya belia.

Katanya, musim pertama Fulus diacarakan oleh Afdlin Shauki.

"Sebenarnya, kami mahukan Faizal sejak musim pertama lagi, tetapi kerana kesibukannya kami menawarkannya kepada Afdlin.

"Untuk musim kedua ini, Fulus terus membincangkan mengenai pengurusan kewangan Islam dan pemilihan Faizal dibuat kerana kami mahu Fulus diacarakan dalam suasana yang lebih relaks dan santai," katanya.

Jelasnya lagi, pemilihan Faizal juga dikatakan menepati kehendak stesen TV dan penonton yang mahukan lebih 'kemeriahan' tetapi masih lagi berfokus pada jalan ceritanya.
"Kami mahu memberi pembaharuan kepada program bual bicara terbitan TV AlHijrah.

"Pemilihan Faizal menepati kehendak kami untuk mendekati golongan muda dan setanding dengan pengalaman yang ada padanya, dia berjaya mendekati panel Fulus yang terdiri daripada golongan korporat dan profesional agar mereka juga tampil relaks serta bersahaja," katanya.

Berbanding musim pertama, Fulus musim kedua menawarkan pemenang dengan hadiah yang lebih menarik iaitu tiga hadiah utama Pakej Umrah Dan Ziarah Ke Istanbul, Turki Bersama Faizal Ismail.

Penonton cuma perlu menjawab soalan kuiz mingguan dan terkumpul dengan melayari www.tvalhijrah.com/fulus/.


Dakwah cara Faizal


Mengakui agak tergamam dengan pemilihan dirinya sebagai pengacara Fulus ditambah lagi dengan latar diri dan pengalamannya banyak memihak pada dunia hiburan, Faizal bagaimanapun bersedia untuk menggalas amanah yang diberi apatah lagi apabila terdapat sedikit 'kelonggaran' diberikan oleh stesen TV.

"Saya sendiri tertanya-tanya apakah kriteria yang ada pada saya sehingga mereka berasakan yang saya layak untuk mengacarakan Fulus.

"Begitu pun, selepas mereka memberi penjelasan, saya perlu sahut cabaran ini kerana jika saya menolaknya, kerjaya saya akan terus berada di takuk lama.

"Meskipun pihak stesen tidak memberi panduan khusus kepada saya, tetapi saya sedia maklum arah perjuangan mereka lantas saya perlu meletakkan diri saya dalam posisi dan karakter selaras kehendak mereka.

"Namun begitu, mereka masih memberi kebebasan kepada saya untuk mengendalikan Fulus dalam bentuk santai kerana fokus utama program ini adalah untuk tontonan golongan muda,” katanya.

Tambahnya lagi, mengacarakan program ini merupakan satu anjakan paradigma buat dirinya selain memberi amaran kepada masyarakat di luar sana agar jangan melabelnya ustaz atau alim ulama hanya kerana program itu diterbitkan stesen TV Al Hijrah.

"Tercapailah hasrat saya untuk mencuba bidang baharu selepas mengambil keputusan berundur daripada Hot FM pada Oktober tahun lalu.

"Saya tidak jangka boleh mengacarakan program sebegini dan pada masa sama saya tidak boleh lepaskan sekali gus ia membuktikan yang saya berkemampuan mengacarakan program lain di samping hiburan.

"Biarpun saya bukanlah berstatus ustaz atau alim ulama, inilah sedikit amal jariah saya kepada masyarakat," katanya.

Bertuah mengendalikan rancangan berkenaan, Faizal mengakui terlalu banyak mengenai sistem kewangan yang betul menurut garis panduan yang ditetapkan dalam Islam dapat dipelajari.

"Mengacarakan Fulus adalah peluang terbaik kepada saya untuk mendalami ilmu pengetahuan baharu yang ada ketikanya kita ambil mudah.

"Lagipun, inilah dakwah saya kepada masyarakat di luar sana," katanya.

Keadaan Julia Event & Keretanya apabila alami kemalangan di Amerika

jue

Pelakon filem 'Hantu Bonceng', Juliana Evans berhadapan detik cemas apabila mengalami kemalangan jalan raya di Amerika Syarikat. Jue yang kini melanjutkan pelajarannya di sana tidak mengalami kecederaan serius sebaliknya kereta Hyundai yang dinaiki mengalami kerosakan yang teruk.
 
Menerusi akaun Instagramnya, Jue memuat naik beberapa foto keadaan keretanya dengan status; 
 
"I loved my car so much... It's the best car ever never gave me major problems.. It has served me well.. It saved my life! Just so sad that it's gone." tulisnya. 
 
Malah, Jue juga mengucapkan selamat tinggal kepada keretanya yang dinamakan 'Bonceng' selepas menyedari kenderaan tersebut berkemungkinan tidak boleh digunakan lagi.
   
Mujur Juliana tidak mengalami kecederaan serius. Semoga tabah dan lebih berhati-hati di masa hadapan. 

http://mediahiburan.karangkraf.com/polopoly_fs/1.254510!/image/image.JPG_gen/derivatives/landscape_700/image.JPG
 

Lisdawati Enggan Berlakon Dengan Sharnaaz Lagi!

lisdawati

Semalam, kecoh orang bercerita tentang pelakon Lisdawati yang didakwa telah menerima ugutan dan ditengking oleh pelakon Sharnaaz sewaktu di lokasi penggambaran drama 'Bukan Aku Tak Cinta'. Susulan dakwaan tersebut, Lisdawati telah membuat laporan polis untuk memastikan keselamatan diri dan keluarganya.
 
"Saya sendiri tidak faham kenapa dia datang dan tengking saya tanpa sebab. Peristiwa ini terjadi sebanyak dua kali ketika saya berada di lokasi penggambaran di Kuang dan satu lagi kejadian di Sungai Buloh. Sebelum ini, kami tidak pernah mempunyai apa-apa masalah sepanjang bekerja bersama bermula dari bulan November tahun lalu. 
 
"Beberapa artis yang berada di lokasi seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Nelydia, Iqram dan Lana Nordin juga menjadi saksi peristiwa tersebut berlaku. Saya menggigil dan dan tidak mampu untuk berkata apa-apa. Saya tidak pernah mempunyai apa-apa masalah dengannya. Cara dia beritahu semua orang seolah-olah saya yang bersalah. Suami saya sendiri tidak pernah menengking saya seperti itu. Kalau boleh, saya tidak mahu berlakon dengannya lagi selepas ini dan saya serahkan semuanya kepada pihak polis," ujar Lisdawati panjang lebar.
 
Menurut Lisdawati, situasi tersebut menimbulkan masalah apatah lagi dia kini sedang mengandung enam bulan. 
 
"Saya memang tertekan tetapi tidak mahu terlalu memikirkan tentang perkara tersebut. Saya sedang mengandung dan selepas peristiwa tersebut juga, doktor mengesahkan bahawa tekanan darah saya cukup tinggi," ujarnya.
 
Dalam perkembangan lain, Lisdawati dan suaminya Fauzi Nawawi bakal berangkat ke tanah suci Mekah pada tengahari Jumaat ini untuk menunaikan ibadah umrah selama 12 hari. Pelakon Lana Nordin juga akan turut mengikuti rombongan ini ke sana kelak. 

Lisa Surihani Tercalon Di Nickelodeon Kid’s Choice Awards

Lisa Surihani

Pelakon Lisa Surihani telahpun menjadi pilihan remaja dan kanak-kanak apabila tercalon dalam senarai 'Top 4 Favorite Asian Act’ di 27th Annual Nickelodeon Kid’s Choice Awards. 
 
Dalam kategori ini, Lisa akan bersaing dengan beberapa nama besar seperti G.E.M (China), Coboy Junior (Indonesia) dan Anne Curtis (Filipina).
 
Anugerah yang meletakkan sepenuh undian kepada kanak-kanak untuk memilih selebriti kegemaran mereka yang bakal berlangsung pada 29 Mac ini. Manakala di Malaysia pula akan ditayangkan pada 31 Mac. 
 
Anugerah yang bakal disaksikan lebih 375 juta penonton seluruh dunia ini turut menampilkan pelakon terkenal, Mark Wahlberg sebagai pengacara. 
 
Berikut adalah senarai penuh pencalonan untuk setiap kategori dalam 27th Annual Nickelodeon Kid’s Choice Awards. Selamat Berjaya Lisa!

Friday, 28 February 2014

Gambar 'Terkangkang', Shila Amzah dikecam peminat..

Ya, tidak dinafikan, akaun media sosial adalah milik individu berkenaan jika didaftarkan atas namanya. Individu tersebut berhak untul memuat naik apa sahaja gambar mahupun status, tetapi biarlah apa yang dimuat naik mempunyai batasan. Jika tersilap langkah, gambar atau status anda pasti menjadi mangsa kritikan dan tohmahan.
Ini yang berlaku kepada penyanyi hebat, Shila Amzah. Gara-gara memuat naik gambar aksi terkangkangnya, dia mendapat kritikan hebat dek kerana aksi tersebut. Ini kerana gambar tersebut dilihat  satu gaya yang kurang enak dipandang untuk seorang wanita bertudung. Aksinya yang seolah-olah terkangkang membuatkan ramai peminat menegur perlakuannya itu.
Walaupun ramai peminatnya faham Shila tidak berniat yang bukan-bukan, namun sebagai selebriti dan seorang artis bertudung, dia seharusnya sudah sedia maklum bahawa setiap inci perbuatannya akan diperhatikan dan ‘dihakimi’ oleh orang luar.
Tindakannya itu telah menyebabkan ada antara peminatnya berselisih faham dan pergaduhan  antara mereka tercetus.
Tapi pelik juga dengan Shila Amzah, seperti dia sengaja memuat naik gambar berkenaan untuk mengekalkan ‘popularitinya’. Kemudian dia akan selar blog dan akhbar yang mengkritiknya dengan ayat contoh, blog tersebut langsung tidak membantu kerjaya seorang artis dan sebagainya.

Siaran Radio Online Baru 'Cetus fenomena' : Fuh FM khas untuk peminat rock

'Cetus fenomena': Fuh FM khas untuk peminat rock
SEIRING dengan perkembangan teknologi yang semakin giat dibangunkan di negara kita, siaran radio bukan sahaja dapat didengari di corong-corong radio sebaliknya di hujung jari anda.


Bertepatan dengan tagline 'Mencetuskan Fenomena', radio online Fuh FM yang ditubuhkan pada Mac 2012 mencipta satu lagi sejarah dalam dunia penyiaran.

Sebagai alternatif kepada radio dahulu, pendengar boleh mendengar lagu menerusi Internet dalam sesawang www.fuhfm.com secara percuma.

Menurut Pengarah Fuh Network Resources, Zamrudul Ahmar Mohd Ruslan atau lebih dikenali sebagai DJ Zack, radio online itu ditubuhkan berdasarkan permintaan orang ramai.

Katanya, dunia hujung jari membolehkan setiap lapisan masyarakat dapat mendengar lagu pilihan mereka di mana jua berada.

"Malah, kami beroperasi selama 24 jam seminggu tanpa henti untuk pendengar. Kebanyakan genre lagu yang diputarkan adalah rock kapak ketika era 70 an lalu.

"Ianya boleh didengari melalui alam maya atau Internet yang dipancarkan bukan sahaja dalam negara bahkan seluruh dunia," katanya.

Permintaan pendengar

Menceritakan di awal penubuhan radio online itu, DJ Zack berkata, ia dibina dengan kekuatan empat petugas yang juga dalam masa sama mengendalikan segmen-segmen bermula seawal jam 8 pagi sehingga keesokan harinya.

"Setelah dua tahun berlalu, kami kini mempunyai beberapa tambahan staf yang membantu melancarkan perjalanan radio kami.

"Kami juga merupakan radio rasmi kepada program Rockers Apa Khabar yang menjelajah seluruh Malaysia," katanya.

Ujarnya, selain lima penyampai radio atau DJ, mereka turut dibantu dengan dua staf sokongan iaitu Adarul Azila Zainal Abidin (Juru Foto) dan Norshila Mior Rahimi (Admin).

Sedikit mengenai Fuh FM, Zack berkata, ia adalah 100 peratus syarikat yang dimiliki Bumiputera yang dibangunkan secara tidak rasmi pada tiga tahun lalu.

"Fuh FM adalah salah satu projek di bawah Fuh Network Resources dan atas permintaan pembaca-pembaca blog kami iaitu, www.fuh.my maka terciptalah radio online Fuh FM.

"Nama Fuh FM diambil berdasarkan nama blog kami iaitu Fuh Dot MY dipancarkan ke serata dunia.

"Pendengar boleh mendengar suara kami sama ada melalui website mahupun telefon pintar. Ia merupakan permulaan kami dalam satu skop yang baru iaitu persembahan melalui suara dan pendengar," ujarnya.

Sementara itu, terdapat 11 segmen yang ditawarkan kepada pendengar termasuklah Fuh Santai, Fuh Cintan, Fuh Interhtz, Madah Pujangga, Retro dan sebagainya.

Perkhidmatan terbaik

Dalam masa sama, Zack berkata selain radio online mereka turut menyediakan perkhidmatan karaoke dan sistem audio untuk sebarang majlis atau karnival.

"Kelebihan pada kami berbanding syarikat lain ialah kami mampu membawakan suasana majlis tersebut secara langsung melalui sistem radio kami iaitu FuhFM.

"Kami juga memberi perkhidmatan deejay dan pengacaraan yang terbaik untuk sesebuah majlis dan karnival.

"Kesemua pengacara dan deejay dari Fuh FM adalah yang terlatih," katanya.

Selain itu, Zack berkata,  dia mahu radio menjadi medium penyebaran informasi dan menubuhkan sebuah blog yang dikenali sebagai Fuh Dot My.

"Dari situ kami memberikan informasi tulus dan mendapatkan dari sumber boleh dipercayai mengikut akta media komunikasi," ujarnya.

Lukisan Wajah Siti Nurhaliza Dijual Sehingga RM75,000



Khairo (dua dari kiri) bersama Siti Nurhaliza serta para pelukis di di Galeri Artelier KL. Foto M. AZHAR


PETALING JAYA: Seramai 17 pelukis tempatan dan luar negara membabitkan diri dalam pameran karya lukisan khas Datuk Siti Nurhaliza sebagai ikon pop negara di Galeri Artelier KL, Publika di sini.

Lukisan tersebut akan dipamerkan selama sebulan bermula 26 Februari 2014.

Menurut rakan niaga Galeri Artelier KL, Ahmad Khairo Othman, Antara nama-nama pelukis yang terbabit melakar gambar Siti Nurhaliza termasuklah Adrian Torres (Sepanyol), Azizi Latif, Faiz Yunus, E.M. Nightwatcher (Iran), Haffendi Anuar, Zizan Rosman dan Nazmi Ismail.

"Projek ini telah bermula sebulan lalu di mana kesemua pelukis telah menemu bual Siti sebelum memulakan projek lukisan mereka.

Siti bersama karya Adrian Torres bernilai RM75,000.


"Kemudian, setiap daripada mereka akan menghasilkan karya mengikut kreativiti masing-masing. Pihak kami turut berbesar hati kerana bukan calang-calang orang yang terbabit dengan projek ini," katanya kepada mStar Online.

Tambah Khairo, lukisan termahal yang dipamerkan iaitu bernilai RM75,000 merupakan karya pelukis dari Sepanyol, Adrian Torres dan ia begitu eksklusif kerana membabitkan hasil lukisan menggunakan jari tanpa peralatan lukisan.

Lukisan berbentuk arca dengan memaparkan separuh wajah Siti karya Scott Abbas turut menarik perhatian ramai dengan nilai harga sebanyak RM6,500.

Antara lukisan-lukisan yang menjadi perhatian termasuklah karya Badruddin Shah Abdul Wahab bernilai RM6,000, Firdaus Mahadi (RM5,000) dan Khairul Arshad (RM5,500).
Para penggemar seni lukisan boleh melihat karya-karya lukisan di di Galeri Artelier KL yang akan dibuka selama sebulan bermula 26 Februari 2014.


"Ini merupakan satu permulaan daripada pihak Artelier yang memaparkan karya-karya agung berdasarkan ikon negara kita.

"Pihak kami juga mahu selebriti tempatan kita diangkat seperti selebriti Hollywood menerusi karya lukisan. Sehingga kini, Siti merupakan selebriti tempatan pertama selepas Tan Sri P.Ramlee dan Datuk Sudirman Hj Arshad yang menjadi ikon inspirasi pelukis-pelukis tempatan," ujarnya.


Sementara itu, 30 peratus daripada kesemua lukisan yang dijual akan disalurkan ke Yayasan Nurjiwa yang dimiliki oleh Siti dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Apabila Tony Fernandes Mohon Maaf Iklan ‘Hina’ Jururawat

Iklan insurans yang ditampal pada bahagian belakang kerusi penumpang itu tertulis:

“You want your momma, because you are in the hospital with lousy nurses”
(Anda mahukan ibu, kerana anda berada di hospital bersama jururawat yang memberikan layanan buruk).


iklanairasia

Kritikan terhadap iklan ini bukan sahaja dibuat melalui akaun Facebook Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes malah Persatuan Kesihatan Malaysia (MMA) turut mendesak permohonan maaf daripada syarikat penerbangan ini kerana memberikan imej negatif terhadap profesion jururawat di negara ini.

airasia2

Bagaimanapun hari ini, respon Tony pasti sedikit sebanyak mengubati hati jururawat yang telah terluka.

Menurut Tony, beliau secara peribadi turut berpendapat itu adalah iklan yang bodoh dan sudah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Aireen Omar supaya memastikan ia dihentikan serta merta sambil mengambil langkah perlu bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Tony turut memberi jaminan, beliau sendiri akan bercakap tentang hal ini dengan Tune Insurance Holdings.
Difahamkan, insiden berlaku disebabkan ada proses yang tidak dipatuhi.

Sementara itu menurut jurucakap Air Asia, sepucuk surat memohon maaf sudah diutus kepada Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) bagi menyatakan kekesalan Air Asia dan Tune Insurance di atas insiden yang tidak disengajakan ini.

Mengulas lanjut motif sebenar di sebalik iklan yang mencetuskan kontroversi itu, jurucakap Air Asia menyatakan ia sebenarnya cuba menggalakkan setiap oran agar menemani anggota  keluarga yang sakit. – 
REM RAMZI

Sumber: YAHOO NEWS

Thursday, 27 February 2014

Felixia Yeap: Kenapa dengki saya tutup aurat?

Felixia Yeap
Felixia Yeap: Kenapa dengki saya tutup aurat?

SHAH ALAM - Bekas model, Felixia Yeap mempersoalkan kenapa masih terdapat segelintir masyarakat yang dengki dan sakit hati dengan tindakannya menutup aurat.

Padahal ujarnya, beliau hanya menutup aurat sepertimana kebanyakan Muslimah sejati yang lain, tanpa mempunyai niat yang tidak baik.

"Kepada yang dengki atau benci sangat bila saya bertudung dan bertekad untuk menutup aurat seperti seorang Muslimah tanpa niat lain selain daripada mahu menutup aurat saya...

"...adakah anda akan rasa lebih gembira kalau saya tanggalkan tudung saya dan berpakaian seperti dahulu?

"Pernah tak memikirkan perasaan seseorang wanita yang disuruh tanggalkan bajunya atau hijabnya? Ianya tiada berbeza daripada mencabuli kehormatannya.

"Begitu kejam sekali nak buat pada saya? Apa salah saya?," katanya yang dipetik menerusi lama Facebooknya, semalam.

Perkongsian Yeap itu, telah menarik pelayar Facebook untuk menyokong dan memberi semangat kepada beliau.

Menurut Abdul Nizam Khalid, ramai yang tahu bahawa menutup aurat adalah hukum wajib dalam Islam tapi hakikatnya menutup aurat adalah naluri yang fitrah bagi seorang wanita.

"Ini antara sebabnya bukan Muslim juga turut mengenakan hijab di seluruh dunia. Teruskan, anda berada di landasan yang betul," tulisnya.

Sementara Nazilah Zainal pula menyarankan agar Yeap mengabaikan kata-kata nista tersebut dan menjadi diri sendiri.

"Sayang jangan dengar cakap orang ya.. Hanya kamu tahu apa yang kamu buat. Diri kamu, bukan diri mereka. Jaga diri, semoga selalu menjaga kehormatan... Bangga dengan kamu!," tulisnya.

Ini bukan kali pertama Yeap dikritik ekoran tindakannya berhijab.

Pada awal kemunculannya mengenakan tutup kepala, ramai Muslim mengganggapnya sebagai "tidak menghormati" wanita Islam yang memakai hijab.

Mereka berkata, sebelum memakai hijab, Yeap sepatutnya membuang semua gambarnya berpakaian Playboy Bunny dan lain-lain yang mendedahkan dan seksi.

Hampir 148,000 peminat di Facebook dan blog mengkritik tindakannya dan menyifatkannya sebagai sebuah "aksi publisiti" untuk mendapat lebih populariti dan kemasyhuran.

Ada juga yang meninggalkan laman media sosial Yeap selepas beliau berhijab.

Sunday, 23 February 2014

Jom kita lihat Gambar Bakal Isteri Aidil Zafuan



Gambar Bakal Isteri Aidil Zafuan | Wah nampak seri muka nya kerana mungkin bulan depan mereka kawin. Pasti ramai yang belum tahu lagi kan ? Jom tengok beberapa koleksi gambar persiapan perkahwinan mereka.

Berikut merupakan beberapa gambar yang di Kongsi abang Nara ni. Jom tengok


Nota : Admin doakan semoga bahagia sampai ke anak cucu walaupun belum nikah lagi. Harap hubungan ini kekal lah hendaknya. Apa komen korang ? Suka tak ?

Patutlah berdolak-dalik, rupa-rupanya sudah bernikah

gambar hiasan sahaja..!!
Jodoh, pertemuan dan maut kesemuanya kerja Allah dan tidak sesiapa boleh menolak untuk melalui apa juga yang telah Dia tentukan untuk hamba-Nya.

Begitu juga tidak semua yang diharap akan menjadi seperti yang manusia rancang kerana disebabkan berlaku perkara di luar jangkaan manusia itu sendiri.

Inilah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah jodoh tak sampai sepasang kekasih akibat lelaki yang dikasihi memilih wanita yang disukai ibunya sebagai isteri.

Apa yang berlaku kepada Wana (bukan nama sebenar) selepas kejadian itu? Ikuti ceritanya seperti mana diberitahu kepada saya dalam e-mel yang panjang dan menyedihkan.

Begini ceritanya.

"Saya berusia 27 tahun, seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta. Saya telah berkenalan dengan Faiz (bukan nama sebenar) sejak di kampus dan kami telah berjanji untuk berkongsi hidup selepas tamat pengajian.

"Sayangnya hubungan cinta kami dihalang oleh ibu Faiz kerana ibunya sudah mempunyai calon isteri untuknya. Walaupun Faiz telah berusaha memujuk ibunya untuk menerima saya, namun itu tidak berhasil, saya masih bukan menantu pilihan.

"Selepas tamat belajar, saya dapat kerja di Kuala Lumpur, Faiz pula bekerja di utara tanah air tempat kelahirannya. Hubungan kami berlangsung dalam suasana jarak jauh, dua tiga bulan sekali Faiz turun bertemu saya, tidak pun saya ke sana, itu pun tidak selalu.

"Dalam masa yang sama, saya selalu mendesak supaya hubungan kami ditamatkan dengan ikatan pernikahan.

Faiz meminta saya bersabar, kononnya masih berusaha memujuk ibunya menerima saya. Akur dengan kesetiaan kami, saya menunggu.

"Tetapi bagaikan menunggu buah yang tak gugur, tidak ada tanda-tanda yang Faiz akan melamar saya seperti mana janjinya. Dua tahun berlalu tanpa ada tanda-tanda yang kami boleh disatukan. Saya mula bosan menunggu, tambahan pula ibu bapa dan keluarga selalu bertanya.

"Tidak mahu terus menunggu, saya meminta dia datang berjumpa saya untuk mengetahui status hubungan kami. Maklum sahajalah, semakin lama menunggu, usia saya semakin meningkat. Faiz mengelak daripada memberi keputusan yang boleh saya terima dengan gembira dan masih berdolak-dalik.

"Akhirnya, saya bagi kata dua kepadanya sama ada dia melamar saya dalam masa dua bulan atau saya akan putuskan hubungan kami. Saya tidak meminta simpati daripada Faiz tetapi mahu dia serius dalam hubungan kami.

"Dia setuju. Saya menunggu saat itu, sayangnya dua bulan berlalu begitu sahaja. Saya reda dan nekad untuk putuskan hubungan kami. Selepas itu, Faiz hilang tanpa khabar berita. Satu hari Ina, kenalan saya yang sama-sama menuntut di universiti datang berkunjung ke rumah. Dia sekampung dengan Faiz. Ina bertanya sama ada saya pernah berjumpa Faiz. Terkejut juga saya, tetapi saya buat macam tidak ada apa-apa berlaku.

"Saya terpaksa berlakon kerana Ina tidak tahu kami masih bercinta selepas tamat belajar. Di mana Faiz sekarang, saya pura-pura bertanya seperti saya tidak pernah jumpa Faiz selama ini.

"Oh... dia sudah kahwin empat bulan lalu dengan sepupunya. Meriah majlis perkahwinan dia...aku pergi majlis perkahwinan itu, sebab sepupu dia itu satu sekolah dengan aku di kampung.

"Ya... Allah, apakah benar cerita yang dibawakan oleh kawan saya ini atau memang Allah sedang menguji saya? Akhirnya saya berterus terang dengan Ina tentang hubungan saya dengan Faiz.

"Terkejut bukan kepalang Ina dengar cerita saya. Dia minta maaf kerana tidak tahu yang kami masih berhubungan selepas keluar universiti. Saya menangis di hadapannya kerana terlalu sedih. Patutlah Faiz sentiasa berdolak-dalik bila saya sebut tentang kahwin, rupa-rupanya dia sudah pun menjadi suami orang.

"Saya tidak tunjuk kekecewaan saya kepada Ina tetapi berkata, kami tiada jodoh, elok dia pilih gadis pilihan ibunya, sebab rumah tangganya akan bahagia dan diberkati, jawab saya.

"Selepas sebulan Ina berjumpa saya, Faiz menelefon saya. Pada mulanya, saya tidak mahu layan tetapi saya fikir elok saya uji dia, sama ada dia ikhlas atau tidak dengan saya. Faiz meminta untuk berjumpa saya, katanya dia rindukan saya.

"Pelikkan lelaki! Pandai dia berlakon. Tapi saya beri ruang kepadanya untuk berjumpa. Dan saya akan selesaikan drama yang sedang dia lakonkan itu dalam pertemuan kami nanti.

"Seperti dijanji, kami berjumpa di tempat biasa kami bertemu. Inilah kenangan akhir saya dengan Faiz. Saya bawa adik saya sebagai teman tetapi dia tidak duduk semeja dengan kami. Saya minta dia perhatikan saya, bimbang jika terjadi apa-apa.

"Faiz datang seperti biasa dengan senyum yang tidak putus-putus. Dia menyapa dan bertanya khabar. Kemudian beritahu saya dia rindu saya. Banyak yang dia ceritakan tentang hidupnya dalam pertemuan itu kecuali pernikahannya.

"Saya semakin hilang sabar dan tidak mahu lagi mendengar celoteh mengarutnya itu. Tapi macam mana saya nak mulakan skrip saya? Lalu saya tanya, apa khabar ibunya. Jawab dia, ibunya sihat dan nampak gembira sejak akhir-akhir ini.

"Saya tanya lagi, sebab ibu you sudah dapat menantu idaman kan? Itu yang membahagiakan ibu you? Antara sedar dengan tidak, soalan itu terkeluar dari mulut saya. Saya lihat wajah Faiz berubah. Dia tersandar di kerusi.

"Apa yang you cakap ini? Jangan nak tuduh sembarangan ya..I ikhlas datang jumpa you, macam ini you layan I? Bertubi-tubi Faiz menerjah dan saya buat tak faham sahaja.

"Gunung berapi dalam dada saya semakin hendak meletup. Tanpa menunggu Faiz bersuara lagi, saya beritahu dia supaya jangan berlakon lagi sebab rahsianya sudah terbongkar.

"Betul kan you sudah kahwin dengan sepupu idaman ibu you tu kan? Ini buktinya? Saya tunjukkan dia gambar persandingannya dengan gadis itu seperti yang diberi oleh Ina kepada saya menerusi telefon bimbitnya.

"Terkebil-kebil Faiz melihat gambar itu. Dia menepuk dahi berkali-kali sambil mengeluh. Wajahnya merah padam. Mungkin dia malu kerana masih berdrama dengan saya. Dia tidak memandang wajah saya, sebaliknya tunduk memandang lantai.

"Jangan nak berlakon lagi. Mengaku sahajalah. I boleh terima keadaan. I dah agak dari dulu, inilah yang akan berlaku dengan hubungan kita, anak mak memang macam ini, tidak akan membantah kehendak ibu walaupun orang lain akan kecewa.

"Macam-macam yang saya katakan kepada Faiz, habis semua yang terpendam dalam hati saya terkeluar, satu persatu. Saya lega dan puas...seronok pun ada. Saya tidak akan menangis dan melayan perasaan putus cinta. Itu kerja orang bodoh.

"Saya akan teruskan hidup seperti biasa. Saya bagi tahu Faiz tentang perkara itu. Saya minta maaf atas segala perlakuan saya kepadanya dan berdoa agar dia bahagia dengan isterinya.

"Tanpa menunggu jawapan, saya minta diri dan meninggalkan restoran itu. Faiz terkapai-kapai, walaupun dia cuba menghalang saya terus melangkah. Suaranya semakin hilang dari telinga saya. Dan saya amat berharap biarlah untuk selama-lamanya.

"Kini, setahun sudah berlalu. Saya tetap bahagia dengan cara saya. Hidup saya tetap ceria walaupun sesekali teringat juga akan hubungan indah yang telah berakhir dengan kesedihan itu. Saya berharap Allah sedang aturkan kehidupan yang indah untuk saya. Apa yang berlaku, saya anggap pengajaran dalam hidup.

"Semoga Allah lindungi kehidupan saya di dunia dan akhirat. Amin," begitu penyudah cerita Wana.

Saya kagum dengan kecekalan Wana menangani masalah cintanya. Inilah sebaik-baik tindakan yang perlu diambil oleh seorang wanita apabila berdepan dengan masalah berkaitan kasih sayang.

Kumbang bukan seekor, walau berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya faham, Wana juga kecewa kerana cintanya tidak kesampaian, tetapi dia bijak menangani masalah itu. Tidak dibuai sedih dan kecewa hanya kerana seorang lelaki.

"Saya doakan Wana akan mendapat jodoh yang lebih baik selepas ini. Setiap perkahwinan perlu restu ibu bapa, jika tidak, banyak cabaran yang akan dihadapi.

Menamatkan catatan, pesanan saya untuk renungan bersama: "Kesabaran itu kunci kebahagiaan dan kesenangan, oleh itu redalah dengan takdir Allah. Insya-Allah ada bahagia yang menanti.

Salam

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140222/ke_02/Patutlah-berdolak-dalik-rupa-rupanya-sudah-bernikah#ixzz2u86tEWyB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Benarkah Nur Fathia buat hal di London?

Oleh Raja Nurfatimah Mawar

 Nur Fathia buat hal di London?Nur Fathia buat hal di London?
Cakap salah, tidak cakap pun salah... Raja tahu pastinya si cantik, Nur Fathia Abdul Latiff akan sentap dengan teguran ini, tapi Raja bukan mahu mengguris hati dan perasaan Fathia. Raja sekadar memberi teguran ikhlas.

Raja rasa tindakan Fathia sedikit keterlaluan ketika berada di kota London, bagi menjalani penggambaran episod akhir drama bersiri popular di TV3, Ariana Rose, bulan lalu. Mungkin Fathia tidak perasaan, mungkin juga buat-buat tidak tahu atau tidak faham...

Episod akhir drama Ariana Rose arahan Raja Ahmad Alauddin bukan saja menjalani penggambaran sekitar London, malah turut singgah ke Bath dan Brighton. Semuanya kelihatan indah di mata, tapi tidak begitu indah di jiwa mereka yang bekerja di sebalik tabir...

Cerita berlaku di sebaliknya hanya team produksi Pena Creative Pictures Sdn Bhd saja yang tahu. Raja tahu kebanyakannya ‘makan hati’ dengan sikap dan kerenah Fathia. Beberapa kejadian berlaku depan mata ketika Raja bersama mereka selama 10 hari di UK.

Khabarnya, sejak mula penggambaran drama Ariana Rose lagi, Fathia didakwa berkelakuan sedemikian... [BH]

Ariana Rose sudah ada 'pengganti' Tengku Adam



Nasib primadona...Yang Terindah Hanyalah Sementara

AKMALIAH RAZAK

Erra Fazira
Erra Fazira


TERNYATA, apa tertulis dalam bait lagu, Yang Terindah Hanyalah Sementara, nyanyian, Erra Fazira, ini lebih dekat untuk menggambarkan situasi dirinya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul apabila rumah tangga yang dibina lebih enam tahun lalu berkecai akhirnya.

Tidak perlu menuding jari pada Erra mahupun bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin, kerana hanya mereka tahu apa yang berlaku di sebalik perpisahan ini.

Walaupun ia adalah keputusan bersama (bercerai), namun air mata juga yang menjadi jawapan kepada gelojak jiwa, Primadona Melayu ini.

Ketenangan yang dipamerkan ketika Engku Emran melafazkan cerai hanyalah pandangan luaran sahaja kerana yang pasti, jiwa wanita ini juga turut menangis.

Lebih memilukan, perpisahan ini juga menjadikan Erra sepi sendiri apabila hak jagaan untuk anak tunggalnya, Engku Aleesya, turut diserahkan kepada bekas suami.

Terpaksa berdepan dengan masyarakat yang sentiasa dahagakan penjelasan, kisah penceraian ini juga turut menjadi bahan cerita malah, ada yang cuba mempersendakannya di internet dan laman-laman sosial.

Akui Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 40, gelora, kecamuk, tenang atau gusar, hanya empunya diri yang rasai.

"Saya kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang sering membuat andaian tanpa mengetahui kebenarannya. Ianya amat keterlaluan!

"Sejak awal lagi, saya memang serba salah untuk bercerita. Ramai yang cuba menghakimi perasaan saya. "Mereka tidak lalui apa yang saya lalui, jangan mudah untuk menilai pada pandangan kasar. Tiada siapa yang tahu dalam hati saya," jelasnya.


Bibit cinta

Menyelak kembali kisah cinta bekas Ratu Cantik ini bersama Engku Emran, mereka dikatakan mula rapat ketika Erra menyertai rombongan persembahan Suria FM di Sabah.

Ketika itu, Engku Emran merupakan Ketua Pegawai Operasi Suria FM dan hubungan itu terus berputik sehingga mereka sepakat untuk bertunang pada 7 September 2007.

Tidak menunggu lama akhirnya, pasangan ini diijabkabulkan dalam majlis yang gilang gemilang pada 25 Oktober, tahun yang sama.

Perkahwinan itu sekali gus menamatkan kontroversi, di mana Erra dikatakan pernah mempunyai hubungan istimewa bersama pengarah dan penerbit, Hans Isaac sebelum ini.

Walaupun bintang filem Maria Mariana, ini sering menafikan hubungan yang terjalin bersama pengarah filem itu, namun mereka dikatakan mula rapat ketika bekerjasama dalam filem Persona Non Grata pada 2005.

Pernah berkahwin dengan penerbit terkenal, Yusry Abd Halim, pada 15 Jun 2003 namun, hubungan itu hanya bertahan tiga tahun sahaja setelah mereka sah bercerai pada 16 Jun 2006.

Pada tahun 1996, Erra juga pernah bertunang dengan penyanyi rock Awie, namun mereka memutuskan pertunangan itu pada penghujung 1998.
 


Kontroversi bermadu...

Panas yang disangka hingga ke petang tidak berlanjutan hingga ke siang hari apabila, rumah tangga pasangan ini mula menjadi berita sensasi.

Lumrah sebagai selebriti, walaupun pelakon, penyanyi dan pengacara ini tidak terlalu terbuka dalam berkongsi hal peribadi, namun desas-desus mengenai keretakan rumah tangga mereka mula bertebaran sejak 2011.

Malah, tidak kurang juga yang mula menyebarkan berita dan khabar angin bahawa Engku Emran telah berkahwin lain.

Namun, ketika itu Erra mengakui dia tidak mudah melatah dengan kontroversi yang mengaitkan rumah tangganya dan memberitahu bahawa ianya adalah sama sekali tidak benar.

Hampir setahun menjadi pemerhati, akhirnya Engku Emran tampil memberi penjelasan mengenai spekulasi berkenaan. Malah, dia mengakui bahawa tidak pernah terlintas untuk memiliki lebih daripada seorang isteri.

Walaupun ramai yang masih tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Erra bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi yang dilihat sebagai 'pemuas nafsu' masyarakat.

Namun, spekulasi itu akhirnya terjawab apabila pasangan ini mengakui tidak lagi tinggal bersama sejak setahun enam bulan.

Hilang hak

Sepanjang tempoh perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, 5.

Dilahirkan pada Mac 2009, kisah puteri tunggal pasangan ini pernah menjadi bualan apabila Erra dikatakan 'menyorok' anaknya sepanjang tempoh berpantang.

Pada majlis cukur jambul Aleesya, Erra mengumumkan bahawa mereka akan muncul dalam rancangan realiti, Gugu Gaga Erra sekali gus menjadikan Erra sebagai artis Malaysia pertama yang mempunyai rancangan realiti mengenai anak.

Sebelum ini, Erra kerap kali memuat naik video dan gambar puterinya itu di laman sosial miliknya untuk berkongsi perkembangan Aleesya bersama peminat.

Namun, kini waktu yang ada untuk bersama Aleesya semakin terhad apabila Erra bersetuju untuk melepaskan hak penjagaan anak tunggalnya Engku Emran.

Malah, akui Erra, dia percaya bahawa itu adalah jalan yang terbaik buat Aleesya.

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive