UtusanDaily

Thursday 14 April 2016

Najib ‘Popular’ Kerana Salah Laku


Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini diukur melalui salah lakunya, dakwa Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), Kamarul Azman Habibur Rahman.

Beliau berkata, perkara itu boleh disifatkan sebagai memalukan, ditambah pula skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mendapat liputan meluas media antarabangsa.

“Adakah hari ini Najib popular? Beliau popular atas ‘wrong reasons’ (sebab-sebab salah).

“Beliau kena ada semangat ‘gentleman’, sebab sekarang ini beliau sudah tidak diperlukan. Sila berundur, sebab anda tidak berjaya lakukan apa-apa yang baik untuk negara ini,” desaknya ketika berucap pada ceramah ‘Mencari Kebenaran Selamatkan Malaysia’ di Taman Putra Perdana, malam tadi.

Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal bersama beberapa pemimpin daripada kumpulan penentang Najib.

Berucap di hadapan kira-kira 200 hadirin, Kamarul Azman mendakwa rakyat semakin muak dan tidak lagi boleh menerima apa yang dilakukan Najib.

Malah katanya, budaya mengampu di kalangan pimpinan UMNO semakin teruk, meskipun ada di kalangan mereka yang sedar akan kelemahan di dalam peringkat atasan parti.

“Masyarakat Melayu selalu berbangga dengan budaya ketimuran. Jika kita kaji sejarah dan sastera Melayu, kita akan dapati perkara paling ketara dalam budaya kita adalah budaya mengampu dan kita tidak boleh lari.

“Barusan ketua-ketua bahagian UMNO hari ini adalah contoh terbaik budaya mengampu diamalkan secara turun-temurun sehingga mencapai kemuncaknya hari ini. Jadi, kita nak beritahu ketua-ketua Umno, sudah-sudahlah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, ramai ahli UMNO tidak memahami isu 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion adalah punca mereka tidak menyertai gerakan mendesak Najib berundur, menerusi Deklarasi Rakyat.

“Saya dah beberapa kali bercerita, mereka kata tak faham-faham. Di kawasan saya di Pagoh pun mereka minta beri taklimat. Berapa kali saya nak beri taklimat? Ahli UMNO tak faham-faham.

“Isu 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion ini ada kaitan dengan desakan kita (menerusi Deklarasi Rakyat) nak Perdana Menteri letak jawatan sekarang,” katanya sambil menegaskan, beliau tidak akan menentang Najib, jika tiada isu serius membabitkan Presiden UMNO itu.

Pada masa sama, Muhyiddin juga tidak puas hati dengan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung 1MDB yang tidak mengupas secara mendalam, kerana ada beberapa isu yang gagal dijawab dengan jelas.

“PAC mengatakan Perdana Menteri terkecuali dan tidak terlibat, kerana 1MDB tak beri laporan lengkap kepada PAC untuk membolehkan PAC buat satu rumusan mendalam, sedangkan PAC susah sediakan laporan dan menyatakan kepincangan tertentu.

“PAC juga tidak dapat mengesahkan kedudukan wang ini. Maknanya, laporan PAC pun tidak lengkap. Saya bukan hendak menidakkan bidang kuasa PAC, tetapi laporan itu mengakui ia tidak lengkap,” katanya ~ FMT

Wednesday 13 April 2016

1MDB bayar RM13 bilion kepada ‘JEBON’?

mahfuz,ipic
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoal kemana hilangnya wang sebanyak USD3.5 bilion (RM13 bilion) yang sepatutnya dibayar 1MDB kepada International Petroliam Investment Company (IPIC),

Menurut Mahfuz, 1MDB mengesahkan telah membayar sejumlah USD3.5 bilion kepada IPIC, namun perkara itu tangkas dinafikan IPIC yang mengatakan pihaknya tidak pernah menerima wang sejumlah itu daripada 1MDB mahupun Aabar British Virgin Islands (Aabar BVI).

Malah, tambah Mahfuz, Aabar BVI tidak tersenarai dalam kumpulan syarikat IPIC berdasarkan kepada Penyata Kewangan IPIC bagi tahun 2013 dan 2014.

Susulan penafian IPIC itu, pemimpin PAS itu mempersoal ke mana wang itu disalurkan.

“Sedangkan wang tersebut sepatutnya dibayar kepada IPIC atau Aabar Investment PJS (Abu Dhabi), dan IPIC serta Aabar Investment PJS mengesah dalam pengakuan bertulis kepada London Stock Exchange bahawa syarikat Aabar BVI bukan entiti di bawah mana-mana kumpulan (anak syarikat) syarikat milik mereka.

“Persoalan yang lebih besar ialah kepada siapa wang berjumlah kurang lebih USD3.5 bilion itu dibayar dan akaun mana wang tersebut di depositkan?

“Jika ke akaun Aabar BVI, siapakah pemiliknya? Adakah pemiliknya ‘JEBON’?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, dengan penafian yang dibuat IPIC, 1MDB kelihatan seolah telah menipu Jabatan Audit Negara (JAN).

“Pengakuan IPIC dan Aabar Investmen PJS sendiri telah mengesahkan Aabar BVI bukan milik mereka.

“Persoalannya, adakah sijil daripada Offshore Incorporation yang diberikan 1MDB kepada JAN itu palsu, atau adakah 1MDB telah memalsukan sijil tersebut?

“Daripada mana sebenarnya 1MDB mendapat sijil tersebut? Pada hemat saya, jelas 1MDB telah menipu Jabatan Audit Negara,” katanya.

Muhyiddin: 1MDB sejak awal lagi skim untuk menipu

Muhyiddin Yassin 12 Apr 2016, 4:11 petang 12 Apr 2016, 4:16 petang

ULASAN Saya telah tegaskan daripada awal lagi bahawa penubuhan 1MDB adalah tidak perlu.

Dengan struktur modal hanya RM1 juta dan hutang RM42 bilion, model perniagaan 1MDB tidak mapan dan akhirnya menjadi beban kepada negara. Saya juga telah menasihati Datuk Seri Najib Razak supaya beliau tidak menjadi pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB kerana ia tidak wajar.

Saya menyatakan agak luar biasa sebuah syarikat mempunyai Lembaga Penasihat.

Saya juga pernah menzahirkan kebimbangan saya mengenai masalah aliran tunai syarikat yang amat teruk sehinggakan tidak mampu membayar hutang. Juga mengenai pelaburan yang mencurigakan tanpa dibuat due diligence sebelum perjanjian dimaterai.

Saya juga mempersoalkan pelan rasionalisasi 1MDB yang belum tentu dapat ditunaikan. Malah penjualan aset-aset 1MDB tidak menjamin boleh menyelesaikan hutang-piutangnya yang bukan semakin berkurang tetapi meningkat kepada RM50 bilion.

Saya juga telah meminta seluruh ahli Lembaga Pengarah dipecat dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Baru kini mereka meletak jawatan.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan segala pandangan dan kebimbangan saya mengenai 1MDB. Najib nampaknya bersedia menerima laporan PAC, tetapi malangnya dia telah menghukum saya apabila saya menyuarakan hal yang sama dalam kabinet.

Hari ini penyokong-penyokong Najib mencanangkan bahawa nama Najib telah dibersihkan oleh PAC dan meminta rakyat terus bergerak ke hadapan dengan melupakan episod hitam penyelewengan 1MDB. Mana mungkin?

Berapa kali dalam laporan PAC disebut perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, iaitu Najib.

Laporan PAC mengenai 1MDB tidak membebaskan Najib daripada dakwaan penyelewengan. Sebaliknya laporan PAC mendedahkan mengikut Artikel 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB, sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Najib terbabit secara langsung membuat keputusan-keputusan penting berkaitan komitmen kewangan syarikat, termasuk pelaburan.

Justeru, tidak hairanlah sepertimana yang dilaporkan oleh PAC, pihak pengurusan 1MDB banyak membelakangkan arahan Lembaga Pengarah syarikat dalam melaksanakan usahasama dan pelaburan kerana kuasa tersebut terletak di tangan perdana menteri.

Antaranya ialah keputusan Lembaga Pengarah meluluskan pemindahan sebanyak AS$1 bilion ke dalam akaun bank syarikat usahasama 1MDB Petrosaudi Ltd.

Pihak pengurusan hanya memindahkan sebanyak AS$300 juta ke dalam akaun bank 1MDB Petrosaudi Ltd, manakala baki sebanyak AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Good Star Limited yang dikatakan milik Taek Jho Low, iaitu kenalan rapat Najib.

Pencuri ayam pun ditangkap

Sepertimana dilapor dalam hansard prosiding PAC, mantan ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral mengesahkan pemindahan wang berjumlah AS$1 bilion untuk usahasama dengan PetroSaudi Ltd telah mendapat kelulusan bertulis daripada perdana menteri.

Saya percaya pihak pengurusan 1MDB juga menerima arahan daripada perdana menteri dalam membuat keputusan-keputusan pelaburan berisiko tinggi yang tidak masuk akal.

Antaranya ialah keputusan untuk melabur sejumlah AS$2.318 bilion dalam Segregated Portfolio Company (SPC) melalui Bridge Global Absolute Return Fund SPC, iaitu sebuah syarikat yang baru sebulan ditubuhkan, tiada lesen sebagai pengurus dana dan tiada pengalaman untuk menguruskan dana yang besar.

Begitu juga dengan dana berjumlah AS$3 bilion yang sepatutnya digunakan untuk projek pembangunan TRX tetapi telah dipindahkan kepada 1MDB sebanyak AS$1 bilion, kepada 1MDB Energy Ltd sebanyak AS$28.85 juta, kepada Brazen Sky Ltd sebanyak AS$1.5 juta dan pelaburan luar negara sebanyak AS$1.58 bilion.

Penyelewengan dalam 1MDB telah menyebabkan syarikat ini gagal menjana pendapatan yang mencukupi untuk membayar hutang. Malah 1MDB terpaksa meminjam wang untuk membayar hutang yang telah meningkat secara mendadak daripada RM5 bilion pada tahun 2009 kepada RM50 bilion pada tahun 2016.

1MDB memerlukan RM3 bilion setahun untuk membayar faedah ke atas hutang sahaja. Dengan kebanyakan aset 1MDB telah dijual dan pelaburan yang mencurigakan, berkemungkinan besar kerajaan terpaksa menanggung segala hutang syarikat.

Saya amat bimbang beban onar 1MDB akhirnya akan terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Antara skop laporan PAC ialah untuk menentukan sama ada wang hasil pelaburan 1MDB di Cayman Islands berjumlah AS$2.318 bilion sudah dibawa balik ke Malaysia. Malangnya, PAC gagal menyatakan perkara ini dengan jelas.

Tidak dapat juga dipastikan ke mana perginya wang AS$700 juta dan AS$330 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Good Star Limited milik Jho Low; AS$3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar Investment PJS Limited; AS$940 juta dalam bentuk 'unit' yang dikatakan disimpan dalam Bank BSI di Singapura; dan AS$1.56 bilion yang dilabur dalam 1MDB Global Investments Ltd. Kesemuanya berjumlah AS$7 bilion (RM28 bilion).

Terbaharu, International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi menafikan syarikat tersebut atau unitnya Aabar Investment PJS telah menerima AS$3.5 bilion daripada 1MDB menerusi Aabar BVI sepertimana yang dilapor kepada PAC. IPIC juga menafikan mereka ada sebarang kaitan dengan 1MDB.

Ini suatu pendedahan yang amat memalukan. Ia suatu penipuan. Jika IPIC tidak menerima sebarang bayaran daripada 1MDB, ke mana perginya wang ini?

Kegagalan untuk memastikan ke mana perginya wang ini mengukuhkan lagi pandangan saya sebelum ini bahawa 1MDB sejak dari awal lagi adalah satu skim untuk menipu.

Jadi kepada menteri-menteri kabinet dan Najib sendiri yang menganggap penyelewengan 1MDB telah selesai dan namanya telah dibersihkan, seraya mengajak rakyat supaya bergerak ke hadapan, janganlah anda cuba bersandiwara atau mengalihkan isu. Rakyat tidak akan lupa puluhan bilion wang negara telah diseleweng.

Orang yang mencuri ayam pun ditangkap dan didakwa. Masakan individu yang mencuri puluhan bilion wang negara terlepas begitu sahaja?

Letak jawatan jika bermaruah

PAC telah memperakukan supaya Shahrol disiasat oleh pihak berkuasa. Saya menggesa supaya pihak berkuasa segera membuat siasatan dan Shahrol mestilah menyatakan perkara yang sebenar. Siasatan mengenai aliran keluar wang 1MDB yang masih belum terjawab juga perlu diteruskan.

Tanpa memperkecilkan laporan PAC, penyiasatan yang dijalankan ke atas 1MDB tidak konklusif. Maklumat-maklumat penting berkaitan pelaburan luar negara yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.

Apa lagi ia telah menyebabkan kerugian bernilai berbilion ringgit kepada IMDB seperti usahasama dengan Petrosaudi. Sebenarnya Najib bertanggungjawab sepenuhnya di atas penyelewengan 1MDB.

Sebagai pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang berkuasa membuat keputusan berkaitan komitmen kewangan syarikat, dia tidak boleh mencuci tangan dengan meletakkan semua kesalahan ke atas Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan syarikat.

Gesaan saya selama ini supaya Najib meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ternyata berasas. Mana pernah berlaku dalam sejarah negara kita seorang perdana menteri yang juga menteri kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi sebuah syarikat awam.

Hal ini telah diakui oleh PAC dalam laporannya yang membuat perakuan supaya Lembaga Penasihat bersama Artikel 117 M&A syarikat dimansuhkan.

Namun, pemansuhan Lembaga Penasihat 1MDB sahaja tidak memadai. Najib ialah orang yang terlibat secara langsung dalam penyelewengan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat ini menanggung beban hutang yang besar dan kerajaan terdedah kepada risiko hutang RM20 bilion. Jangan pula nanti ada tindakan bail out oleh kerajaan.

Penyelewengan 1MDB amat jelas. Jika Najib seorang yang bermaruah, dia sepatutnya meletak jawatan sebagai perdana menteri.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN bekas timbalan perdana menteri. Beliau juga timbalan presiden Umno, tetapi sedang digantung tugas setelah lantang mempersoalkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Tulisan ini kali pertama disiarkan di Facebook beliau.

Tuesday 12 April 2016

Curi ayam pun dakwa, inikan pula berbilion: Muhyiddin


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membangkitkan persoalan ekoran tiada tindakan yang diambil terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung laporan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai isu 1MDB.

Malah, Ketua Umno bahagian Pagoh itu juga memberi perumpamaan tentang seseorang yang mencuri ayam turut akan ditangkap dan didakwa berbanding perdana menteri yang didakwa 'mencuri' puluhan bilion wang negara.

"Orang yang mencuri ayam pun ditangkap dan didakwa. Masakan individu yang mencuri puluhan bilion wang negara terlepas begitu sahaja?

"Ini suatu pendedahan yang amat memalukan. Ia suatu penipuan. Jika IPIC (International Petroleum Investment Company) tidak menerima sebarang bayaran daripada 1MDB, ke mana perginya wang ini?

"Kegagalan untuk memastikan ke mana perginya wang ini mengukuhkan lagi pandangan saya sebelum ini bahawa 1MDB sejak dari awal lagi adalah satu skim untuk menipu," kata Muhyiddin dalam kenyataannya, hari ini.

Selain itu, Muhyiddin juga turut memberi peringatan kepada menteri-menteri kabinet dan Najib sendiri supaya tidak bersandiwara serta mengalihkan isu.

"Jadi kepada menteri-menteri kabinet dan Najib sendiri yang menganggap penyelewengan 1MDB telah selesai dan namanya telah dibersihkan, seraya mengajak rakyat supaya bergerak ke hadapan, janganlah anda cuba bersandiwara atau mengalihkan isu.

"Rakyat tidak akan lupa puluhan bilion wang negara telah diseleweng," katanya lagi.

Monday 11 April 2016

Pemimpin BN serang Tun Mahathir seperti masih Perdana Menteri

OLEH DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR

Suatu yang sangat menghairankan saya ialah bila pemimpin yang tidak berkuasa seperti Tun Mahathir dikecam dan diserang oleh penjilat dan pencium tangannya satu ketika dahulu yang terdiri daripada pemimpin Umno BN. Tun bersalah, Tun pengkhinat, Tun hendak jatuhkan Kerajaan Melayu berpakat dengan Cina dan macam-macam lagi kesalahan Tun disebut Umno BN. Politik hari ini seolah-olahnya Umno BN Pembangkang dan Tun Masih Perdana Menteri.

Dedah kebodohan sendiri

Kini kenyataan terbaru Tan Seri Anuar Musa, Ketua Penerangan Umno dan Datuk Abdul Rahman Dahlan, pengarah komunikasi strategik BN yang menyalah Tun Mahathir atas kegagalan Proton adalah suatu yang sangat memalukan dan menyerlahkan sifat tolol diri sendiri, Umno/Bn dan Kerajaan.

Kenyataan mereka bila dibaca menjadikan pembaca termuntah. Apa tidaknya, kecaman terhadap Tun M hanya selepas beliau tidak berkuasa dan melepaskan semua jawatan lantikan termasuk dalam Proton. Umno BN sedang berperang dengan Pemimpin pencen walhal dahulunya semasa Tun Berkuasa sebagai PM mereka inilah menjilat dan mencium tangan Tun Mahathir berulang-ulang.


Bersalah kerana mahu Najib undur

Persoalan saya, kalau pimpinan Umno BN hari ini menyatakan kesalahan lampau Tun M, di mana mereka pada waktu itu? Kenapa mereka mendiamkan diri? Kenapa hari ini baru mereka menghasut rakyat untuk menyalahkan Tun M? Mengaku sahajalah kamu semua bodoh dan bacul.

Keberanian kamu hanya pada orang yang sudah tidak lagi berkuasa. Keberanian menyerang Tun M hanya kerana hendak menyembunyikan jenayah PM Najib yang berkuasa.

Keberanian menyerang Tun M hanya kerana Tun M mahu Najib berundur dan reformasi negara mesti disegerakan. Kalau Tun M tak minta Najib undur pasti Tun tidak salah.

Proton bawah pimpinan Tun menyerlah. Proton idea Tun kebanggaan Malaysia. Proton lambang Malaysia Boleh. Macam-macam lagi ungkapan puji pada Tun.

Buat Najib dan pemimpin Umno BN, berhentilah memperbodoh dan menakutkan rakyat. Kepada seluruh rakyat jangan sembunyi dan lindungi jenayah pemimpin yang berkuasa.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR ialah Ahli Parlimen Pokok Sena 

Najib sedar dan tandatangan dokumen perjanjian RM3.92 bilion – Shahrol

shahrol.najib
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja sedar tetapi juga telah menandatangani kerjasama antara 1MDB dan Petro Saudi bernilai RM3.92 billion (USD1 bilion).

“Beliau menandatangani dokumen jadi bermakna beliau sedar,” kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Akhbar The Sun melaporkan, berdasarkan tranksrip rakaman hansard ketika prosiding PAC yang dikeluarkan baru-baru ini, Shahrol memberitahu, 1MDB telah memperoleh kebenaran pemegang saham dan Lembaga Pengarah untuk kelulusan perjanjian itu yang telah ditandatangani Perdana Menteri, seperti yang dikehendaki mengikut Memorandum & Artikel syarikat (M & A).

Mengikut Artikel 117 (c) M & A, sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan), penstrukturan atau apa sahaja perkara yang melibatkan jaminan kerajaan untuk kebaikan syarikat, kepentingan negara dan sebarang polisi kerajaan perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri.

“Ada perbincangan mengenai bagaimana usaha sama itu dilakukan. Tetapi saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa sebenarnya perjanjian itu dibentangkan dan ia telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah 1MDB dan pengurusan mengambil sebagai kuasa untuk memuktamadkan perjanjian itu, ” katanya menurut rakaman hansard itu.

Shahrol menjelaskan perkara ketika disoal ahli PAC William Leong Jee Keen dan Tony Pua Kiam Wee.

Berdasarkan rakaman Hansard itu juga, Pua bertanyakan penglibatan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dalam perjanjian itu, Shahrol memberitahu, Jho Low individu bertanggungjawab memperkenalkan Petro Saudi kepada 1MDB.

Katanya, Jho Low bekas Penasihat Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudian dikenali 1MDB.

Dalam laporan PAC mengenai 1MDB setebal 106 muka surat yang dibentangkan di Dewan Rakyat Khamis lalu membuat kesimpulan berjanjian kerjasama berjumlah USD1 bilion dibuat tanpa usaha yang sewajarnya.

Laporan itu menyatakan, tiada maklumat terperinci tentang projek dalam kertas cadangan yang disediakan pihak pengurusan dan tiada kajian sebarangan kemungkinan yang berlaku terhadap pelaburan yang dijalankan itu.

PAC mendapati Lembaga Pengarah 1MDB gagal melaksanakan tugas untuk melindungi syarikat dan pemegang saham dan meletak kesalahan kepada Shahrol di atas kelemahan-kelemahan pengurusan.

Laporan itu juga mengesyorkan pihak terlibat menyiasat Shahrol dan pegawai pengurusan 1MDB yang berkaitan.

Shahrol dalam satu kenyataan media bagaimanapun menjelaskan, tiada kesalahan atau aktiviti melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika di bawah pengawasannya.

Katanya, beliau telah penjelasan penuh dan secara jujur kepada PAC tentang perkara yang berlaku ketika beliau menjadi CEO 1MDB dan bersedia untuk memberi kerjasama.

“Saya akan terus beri kerjasama penuh, yakin dengan sepenuh hati bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang hendak disembunyikan,” kata Shahrol.

Sunday 10 April 2016

Adakah Najib pak turut atau pak pandir?

Hazlan Zakaria Hari ini, 12:17 tengah hari Hari ini, 1:04 petang | MalaysiaKini


ULASAN Arakian sesuatu yang kita perlu teliti dan fikir, jika benar Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak bersalah dalam kelompongan dan kelemahan pentadbiran syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad ataupun ringkasnya 1MDB, nescaya adakah bermakna beliau seorang Pak Turut atau Pak Pandir?

Sayugia selepas saja keluarnya laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (JKA) tentang kemelut itu, maka berpusu-pusulah gerangan pengikut setia si perdana menteri melaungkan yang "Najib tidak bersalah".

Maka bertempiklah si pahlawan Melayu jati Sabah, teuku dari Indonesia, akak senteng tangan dan angkat kain, peng-Tweet tersohor dari Kota Belud dan mereka yang sewaktu dengannya membuka langkah dan tari silat.

Namun adakah mereka fikir yang jika berlandaskan laporan JKA terbabit, Najib memang sah dan tidak was-was lagi, adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB. Ia semestinya halal dan toyyiban.

Arakian walaupun bukan seakan tuan penasihat dalam cerita klasik P Ramlee Tiga Abdul, yang mendapat dua puluh lima peratus hasil dari putar belit saudagar penipu Sadik Sigaraga, jawatan tersebut disebut, katanya, sebanyak 39 kali dalam laporan JKA.

Ya tiada nama Najib Abdul Razak dalam laporan itu, tapi ada disebut jawatan pengerusi lembaga penasihat, walaupun bukan tuan penasihat dua puluh lima peratus.

Tapi Datuk Seri Najib yang ada dua perpuluhan enam billion dalam akaun peribadi adalah perdana menteri dan sekaligus pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Melainkan ada seorang lagi Datuk Seri Najib, seorang kembar seiras yang jahat mungkin? Tapi ini benar-benar, dan bukan dugaan cerita hindustan atau opera main sabun, jadi tentulah tidak.

Dan lebih penting lagi perlu diingatkan yang Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB juga, seperti dilaporkan oleh JKA itu menyatakan yang segala aktiviti dan polisi syarikat termasuklah pelaburan dan pinjaman yang telah menjerat dan menjerut leher firma terbabit perlu mendapat kebenaran bertulis dari si perdana menteri.

Sekali lagi perlu diingatkan yang istilah perdana menteri pada masa ini dan ketika pelaburan dan pinjaman 1MDB dilaksanakan, hanyalah menuding kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak. Dia belum lagi letak jawatan atau kalah pilihanraya dulu dan kini, adapun adakah untuk selamanya, itu soalan yang belum pasti lagi.

Berbalik kepada isu pokok, jika Najib meluluskan pelaburan 1MDB yang kini menjerut kerajaan dan rakyat tanpa terpalit sebarang unsur kesalahan, maka hanya ada dua jawapan yang mungkin.

Pertamanya, Najib ini Pak Turut yang ikut telunjuk pihak penasihat beliau ataupun pihak pentabdiran 1MDB kerana dia hanya meluluskan apa yang mereka cadangkan tanpa elemen penyalahgunaan.

Adakah Pak Turut Najib ini sesenang itu ditipu mereka yang berniat serakah?

Najib tidak bersalah

Tapi perlu diingatkan yang "Najib tidak bersalah".

Dan jika Najib tidak bersalah, adakah beliau seperti Pak Pandir yang kurang cerdik dalam hal menguruskan kewangan, walaupun secara peribadi beliau sudah tersohor dengan kebolehan mengendalikan wang RM2.6 billion dalam akaun peribadi?

Walhal takkanlah beliau akan meluluskan pelaburan dan pinjaman yang merbahaya kepada 1MDB dan negara jika beliau arif hal kewangan dan bukan Pak Pandir ataupun berniat yang kurang seciput dari baik?

Tapi perlu saya ulangi "Najib tidak bersalah".

Jadi kepada mereka yang melaungkan dan bertempik melepaskan Najib dari kesalahan, perlu bertanya kepada diri mereka, adakah mereka berkata yang Najib ini seakan Pak Turut atau Pak Pandir?

Mungkin mereka ada penjelasan bernas, dan saya sebagai manusia biasa tanpa kedudukan dan kesenangan seperti mereka, saya hanya boleh berserah kepada kepandaian mereka untuk menjelaskan segalanya, kerana sesungguhnya mereka tahu semuanya macam Nujum Pak Belalang.

Wallahualam.

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive