Terima balasan aksi lucah depan ibu
Tertuduh dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman yang diputuskan mahkamah.
KOTA BHARU - Balasan buat seorang remaja berusia 19 tahun apabila
dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret di sini, semalam,
akibat perlakuan jijik menunjukkan aksi lucah pada ibu sendiri, tahun
lalu.
Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad ke atas tertuduh,
Mohammed Nor Alief Abdul Maleq Ab Manan, selepas dia mengaku bersalah.
Tertuduh didakwa pada tuduhan dengan maksud hendak mengaibkan
kehormatan ibunya itu dengan perkataan dan beraksi lucah di hadapan
mangsa di bilik tidur sebuah rumah di Taman Intan, Lorong LPP, Lundang
di sini, pada jam 8 malam, 20 Disember.
Dia juga dihukum penjara dua tahun selepas mengaku menyebabkan cedera
ke atas ibunya yang juga seorang guru berusia 55 tahun itu dengan
menggunakan batang kayu penyapu pada jam 6.30 petang, 21 Disember.
Hukuman diarah berkuat kuasa serentak daripada tarikh dia ditahan. Nik
Habri dalam keputusannya turut memberi amaran kepada tertuduh bahawa dia
akan dikenakan sebat jika perkara sama berulang.
“Perbuatan kamu sangat teruk. Seperti kata pendakwa, tidak tahu apa
yang kamu fikirkan sampai sanggup menunjukkan perbuatan yang pelik
(lucah) kepada ibu sendiri.
“Kamu wajib meminta maaf dengan ibu kamu. Walaupun dia yang mahukan
hukuman penjara ini tetapi dia masih melantik peguam bagi mewakili kamu
dan itu bermakna dia masih sayang kamu,” katanya.
Tertuduh diwakili peguam bela, Latifah Ariffin yang memohon hukuman
penjara minimum dikenakan berikutan tertuduh sudah menunjukkan rasa
insaf dan kesal terhadap kesalahan itu dengan mengaku bersalah.
Mohammed Nor Alief Abdul Maleq ditahan pada 21 Disember 2013 dan kali
pertama dihadapkan ke mahkamah pada 24 Disember serta berada dalam
tahanan sepanjang tempoh tersebut. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa
Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.
Sinar Harian sebelum ini, melaporkan seorang guru menempuh detik hitam
dalam hidupnya apabila menjadi mangsa pukul dan gangguan seksual oleh
anak sendiri. Akibatnya, dia mengalami lebam bahagian kiri paha, lengan
dan belakang badan.
No comments:
Post a Comment