UMUM sudah tahu percintaan antara pasangan selebriti, Pekin Ibrahim dan Uqasha Senrose, bakal ke jinjang pelamin, tidak lama lagi.
Malah, sejak pasangan bahagia ini mendedahkan persiapan perkahwinan mereka baru-baru ini, ramai peminat mengharapkan perancangan mereka berjalan lancar.
Namun tidak sampai dua bulan mendedahkan berita gembira itu, pasangan ini dikhabarkan terpaksa menghentikan niat mereka setelah mengambil keputusan membawa haluan masing-masing.
Malah Uqasha menerusi sebuah akbar mengakui hubungan mereka telah berakhir 3 Februari lalu, atas permintaan Pekin.
Bagaimanapun berbeza dengan Pekin, yang menafikan perkara itu.
Meskipun kenyataan mereka dilihat bercanggah, namun mereka lebih selesa mengambil langkah berdiam diri, serta menganggap perkara itu sebahagian daripada privasi mereka.
Menerusi Zass, pelakon Paku Pontianak, Uqasha Senrose, memberitahu, dia tidak mahu menyentuh mengenai perkara itu selain daripada kerjaya seninya.
“Saya tak mahu komen. Tanya sajalah pada Pekin,” katanya.
Sementara itu, Pekin yang juga berpandangan sama seperti Uqasha, mengakui perkara itu merupakan satu langkah publisiti dan dia tidak mahu mensensasikan kisah peribadinya.
“Maaf, saya tak mahu mengulas lanjut tentang perkara ini kerana saya jenis yang tak sukakan publisiti. Mungkin boleh tanya pada Uqasha sendiri,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran filem terbaharu arahan Mamat Khalid berjudul ‘Rumah Pusaka Di Persimpangan Jalan’.
Hubungan Pekin dan Uqasha sebelum ini pernah berantakan selepas pelakon Sharnaaz Ahmad dikatakan menjadi 'orang ketiga' dalam hubungan mereka.
Bagaimanapun, perkara itu hanyalah salah faham dan akhirnya Pekin sendiri tampil membuka mulut dan memohon maaf terhadap Sharnaaz.
Selepas salah faham tersebut berakhir, hubungan Pekin dan Uqasha kembali pulih serta mendedahkan perancangan mereka untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini.
No comments:
Post a Comment