Zoey dan Elfira bawa karakter pasangan suami isteri dalam Demi Dia. - Foto TV3


KISAH cinta pelakon cantik, Elfira Loy dengan pelakon dan pengacara, Zoey Rahman nampaknya tidak seindah yang disangkakan.

Pepatah mengatakan restu keluarga amat penting dalam setiap jalinan cinta apatah lagi ke arah membina mahligai bahagia. Perhubungan mereka dikatakan tidak mendapat restu keluarga. Tapi ia hanya berlaku dalam drama bersiri terbaru, Demi Dia.

Demi Dia bakal menggantikan drama bersiri TV3 di slot Akasia, Teduhan Kasih yang baru saja melabuhkan tirai, semalam. Zoey memegang watak sebagai Zack yang merupakan seorang lelaki yang kaya namun tidak pandai berdikari.

Perkahwinan Zack dengan Elfira sebagai Azura mendapat tentangan daripada bapa Zack, Tan Sri Puteh. Atas arahan Tan Sri Puteh, kakak tiri Zack, Wanda perlahan-lahan cuba memisahkan Zack dan Azura.

Percintaan mereka diduga apabila Zack kemalangan dan memorinya bersama Azura hilang. Azura cuba mengembalikan ingatan Zack namun campur tangan Wanda dan Shiela memusnahkan segalanya.

Demi Dia bakal menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis pada jam 7.00 malam, bermula hari ini. Drama bersiri 24 episod ini merupakan hasil nukilan skrip dan arahan Aziz M Osman.