Misi Cantas Cinta
BAGI mereka yang pernah melalui alam percintaan, pastinya pernah merasai pengalaman putus cinta. Bagaimanapun, pernahkah anda terfikir akan bertemu seseorang yang mengalami nasib sama dan bekas pasangan anda kini bercinta dengan bekas pasangannya serta bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.
Justeru bagi mereka yang masih menyayangi pasangan masing-masing, pasti akan timbul idea untuk mencantas hubungan tersebut agar dapat kembali kepada pasangan masing-masing.
Begitulah antara sebahagian jalan cerita Sejoli yang diarahkan oleh Osman Ali. Membariskan baris pelakon terkenal seperti Maya Karin, Bront Palarae, Izara Aisyah, Remy Ishak, Azad Jazmin dan Dira Abu Zahar.
Anda pasti akan tercuit hati dengan keletah mereka dan membuatkan anda akan mengimbau kembali kenangan-kenangan pahit manis bagi mereka yang pernah menjalani alam percintaan dahulu.
Mencuit hati
Nama Osman Ali dalam bidang pengarahan bukanlah asing lagi. Filem-filem arahannya seperti Cun! dan Ombak Rindu berjaya mencetuskan fenomena tersendiri ketika ditayangkan.
Kini Osman kembali dengan garapan dan idea 'gilanya' menerusi filem Sejoli. Mengekalkan genre romantik komedi, anda pasti akan tercuit hati dengan setiap keletah dan babak yang digarapnya dalam filem ini.
Menariknya, jika Cun! mengangkat kisah percintaan dua darjat, Sejoli pula mengisahkan tentang Joe (Bront Palarae) membawa diri ke Phuket selepas ditinggalkan oleh Nita (Izara Aishah). Di sana dia bertemu Gina (Maya Karin) yang turut ditinggalkan oleh kekasihnya, Hardy (Remy Ishak).
Selepas beberapa insiden berlaku, barulah Joe dan Gina mengetahui bahawa bekas pasangan mereka sedang menjalinkan hubungan cinta. Walaupun berpakat untuk membantu antara satu sama lain bagi melupakan bekas pasangan masing-masing, hakikatnya mereka sendiri gagal melupakan bekas kekasih sendiri.
Selepas mengetahui Nita bakal berkahwin dengan Hardy, Joe dan Gina melakukan pelbagai taktik kotor bagi merosakkan perkahwinan tersebut.
Biarpun jalan cerita tersebut kelihatan sedikit kebudak-budakan, namun ia masih ada tarikan yang tersendiri. Setiap perancangan yang dilakukan sememangnya tidak pernah anda jangka.
Malah, susunan plot yang teratur membuatkan anda mudah memahami jalan cerita filem ini tanpa perlu memerah idea untuk memikirkan apa yang berlaku selepas itu.
Gandingan mantap
Meletakkan Maya, Bront, Remy dan Izara di samping Azad berserta Dira sebagai pembantunya menjadi pilihan yang cukup tepat buat Osman.
Jika sebelum ini anda sering melihat mereka menjayakan watak-watak yang lebih berat-seperti permainan emosi dan aksi, kali ini dalam filem Sejoli, anda akan melihat mereka berlakon dalam keadaan yang santai.
Bahkan melihat Bront bergandingan dengan Maya dan Izara bersama Remy menimbulkan momen sentimental tersendiri buat penonton.
Seperti biasa, Remy berjaya membuai perasaan penonton dengan sisi romantisnya, manakala Bront pula dengan cara yang cukup bersahaja dan macho.
Maya pula buat pertama kalinya menjayakan watak wanita yang kelam kabut dan Izara tanpa kejutan dengan watak gedik serta manja.
Bagaimanapun penulis agak kecewa dengan kehadiran Azad dalam filem ini, bukan kerana tidak bagus tapi kerana babak yang terhad membuatkan tidak puas melihat Azad 'beraksi' di dalam filem berkenaan. Lakonan Dira juga seperti biasa cukup bersahaja, mungkin kerana babak yang terhad, membuatkan lakonan Dira tidak menyerlah.
Sinematografi hebat
Selain itu, antara tarikan utama filem ini adalah pemilihan beberapa lokasi seperti di Phuket, Thailand yang cukup cantik.
Segala 'mood' dan sinematografi dalam filem ini bersesuaian dengan setiap momen yang berlaku.
Bagaimanapun pada pandangan penulis, adalah lebih menarik sekiranya Osman menggunakan lokasi menarik di Malaysia seperti di Kota Kinabalu, Sabah atau pulau-pulau di Terengganu berbanding Phuket.
Dari segi pergerakan plot pula, tidak banyak yang boleh disentuh kerana Sejoli adalah sebuah filem yang ringan dan bersahaja.
Jadi bagi anda yang ingin mencari sebuah filem santai pada hujung minggu, jangan lupa menyaksikan Sejoli di pawagam.
No comments:
Post a Comment