oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
PETALING JAYA: Pelakon Keith Foo semakin selesa apabila pelat bahasa Indonesia yang digunakannya hampir 10 tahun lalu semakin lenyap dan memudahkan dalam menjayakan sesuatu watak dalam telefilem atau drama bersiri lakonannya.
Keith, 31, berkata, pada awalnya di menghadapi kesukaran untuk membuang pelat berkenaan namun latihan percakapan yang dilakukan setiap hari dalam kehidupan sehariannya banyak membantunya.
"Saya akui mula-mula balik ke Malaysia memang susah untuk bercakap dengan gaya biasa dan saya menghadapi kesukaran untuk memastikan penggunaan ayat dan slanga itu tidak ada dalam lakonan.
"Bagaimanapun pelat itu semakin hilang dan sudah mendapat kembali percakapan asal saya seperti sebelum ini," katanya kepada mStar Online.
Keith sebelum ini adalah pelakon dan model terkenal di Indonesia dan mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia bagi menjaga kedua ibu bapanya dan mencipta nama di negara sendiri.
Dalam pada itu, Keith berkata, dia tidak kesal menarik diri sebagai artis di bawah payung Astro dan menguruskan kariernya di bawah syarikat pengurusannya iaitu Aksi Reaktivasi Sdn Bhd kerana dapat mempelajari pelbagai perkara tentang industri lakonan di negara ini.
"Ia mungkin antara keputusan terbaik yang pernah saya lakukan kerana ini adalah peluang untuk saya bergerak sendiri dan mengenali industri ini dengan lebih baik tanpa mengharapkan pihak lain," katanya.
Sementara itu, Keith berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran dua buah telemovie berjudul Di Atas Kertas dan Salju Putih yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment