PENYAMPAI radio popular, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI tidak menolak sekiranya ditawarkan bekerja dengan mana-mana stesen radio dengan syarat bukan sebagai penyampai.
Selepas lapan tahun, FBI akhirnya meninggalkan stesen radio Hot FM, Jumaat lalu.
Hari ini hari pertama peminat segmen Am Krew yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat tidak dapat lagi mendengar gabungan tiga suara penyampainya, FaFau, AG dan FBI.
Ketiadaan FBI disifatkan satu kehilangan besar buat stesen radio berkenaan.
“Untuk menjadi penyampai, saya tak nak. Saya tak mahu kembali ke mana-mana stesen radio sebagai penyampai.
“Tetapi seandainya ditawarkan untuk sesuatu yang berbeza daripada apa yang saya buat, itu mungkin akan dipertimbangkan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Mengulas lanjut berkenaan perkara itu, FBI berkata bakal mempertimbangkan sebarang tawaran dari mana-mana stesen radio jika ditawarkan sebagai konsultan.
“Saya berminat untuk... ada kawan saya yang buat konsultan untuk radio. Perkara seperti itu saya suka. Dia buat sampai ke radio di Indonesia.
“Kalau ada tawaran seperti itu, mungkinlah,” katanya yang memilih untuk berhenti daripada menjadi penyampai radio demi memberi fokus kepada perniagaan baru yang diceburinya.
Meskipun sudah berhenti daripada Hot FM, FBI akan menjadi penyampai sambilan pada setiap hujung minggu bersama stesen radio yang pernah mengangkat namanya itu.
“Saya memang tak nak terima mana-mana tawaran stesen radio sebagai penyampai pun tapi lepas saya maklumkan kepada pihak pengurusan tentang keputusan saya, kami berbincang. Mereka meminta supaya saya akan terus bersama Hot FM walaupun pada hujung minggu.
“Itu permintaan pihak pengurusan dan saya menghormati keputusan mereka. Saya anggap ini adalah salah satu cara untuk saya membalas jasa mereka selama ini. Bermakna, dari sudut positifnya, saya dapat menghilangkan rasa rindu saya untuk berada di konti. Tapi semua tertakluk kepada jadual saya juga,” katanya.
FBI turut berkongsi jadualnya agak padat sehingga Jun tahun depan apabila dilamar untuk terlibat dalam sebuah program TV siri kedua.
“Saya masih buat pengacaraan TV. Saya akan buat program yang berlainan jadi, ia tidak akan menjadi rutin saya. Saya dah tengok perjalanan saya kali ini ini. Insya-ALLAH sehingga bulan Jun jadual saya padat.
“Untuk lakonan, kemungkinan saya sudah boleh menerima tawaran-tawaran yang bersesuaian,” katanya.
Akan datang, FBI bakal mengacarakan program Anugerah Skrin (ASK) bersama Nad Zainal dan Awal Ashaari.
No comments:
Post a Comment