UtusanDaily

Saturday 26 March 2016

Isu banglo: LGE tak payah cuti ketika siasatan – Tun M

Tarrence Tan | March 26, 2016

Guan Eng tidak perlu bercuti kerana bukannya didakwa pihak berkuasa atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa atau rasuah.

mahathir_lim-guan-eng_sprm_600

PUTRAJAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak perlu bercuti ketika siasatan dakwaan rasuah terhadapnya dijalankan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, Guan Eng tidak perlu berbuat demikian kerana beliau bukannya didakwa oleh pihak berkuasa atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa atau rasuah.

“Yang mendakwa Guan Eng rasuah adalah media dan bukan pihak berkuasa. Beliau tidak perlu cuti ketika siasatan dijalankan.

“Saya juga pernah dituduh rasuah ketika dahulu dan jika saya bercuti kerananya susah sebab banyak kerja perlu dilakukan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, kes yang dihadapi Guan Eng adalah berbeza dengan kes dana sebanyak RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, kes Perdana Menteri jelas menunjukan banyak bukti wujudnya penyelewengan dan pelanggaran undang-undang.

“Jelas sekali kes Najib kini bukan sekadar dakwaan. Ada banyak bukti dan kerana itu kita mahu Najib meletakkan jawatan,” katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP ditekan banyak pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya bercuti ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menjalankan siasatan.

Baru-baru ini, Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya mendedahkan pada sidang Dewan Rakyat bahawa Guan Eng membeli banglo di Jalan Pinhorn, George Town di bawah harga pasaran.

Guan Eng didakwa membeli banglo itu daripada pemilik asal yang dikatakan mempunyai hubungan dengan syarikat yang membida tanah di Taman Manggis, George Town untuk dibangunkan sebagai pangsapuri servis mewah dan pusat perubatan.

SPRM dan polis mengesahkan sudah menerima laporan daripada orang awam mengenai perkara itu dan sudah pun membuka kertas siasatan.
- See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/03/26/isu-banglo-lge-tak-payah-cuti-ketika-siasatan-tun-m/#sthash.aoys1BuW.dpuf

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive