Maut menunggu ALS
Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
KETIKA ini, semakin ramai yang mengetahui kewujudan penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) menerusi kempen kesedaran Cabaran Curahan Ais ALS (ALS Ice Bucket Challenge) yang begitu popular di seluruh dunia.
Kempen cabaran tersebut memerlukan mereka yang dicabar menyiram sebaldi air berisi ais ke tubuhnya lalu mencalonkan orang lain untuk melakukan perkara yang sama.
Jika tidak dapat melakukannya dalam tempoh 24 jam, mereka harus menyumbang AS$100 (RM315) kepada Yayasan ALS bertujuan mengutip derma membiayai pusat penyelidikan bagi mencari penawar penyakit tersebut.
Simbahan ais itu juga sebagai kesedaran kepada orang ramai bahawa simptom pesakit ALS seperti lemah atau kekejangan otot rasanya mirip disimbah ais dalam tempoh berterusan.
Menerusi media dan laman sosial, kita dapat melihat ramai yang menyokong dengan menyertai cabaran curahan ais ini termasuk selebriti dan ahli politik dalam dan luar negara.
Semakin ramai mula membuka mata akan penyakit neuron motor yang sebelum ini tidak ramai peduli dan mengetahuinya.
Lebih 1.5 juta video cabaran tersebut dimuat naik di dalam laman Facebook sejak Jun lalu dan Yayasan ALS dilaporkan telah menerima lebih AS$41.8 juta (RM132 juta) dan dijangka terus bertambah.
Di sebalik kempen kesedaran yang semakin berleluasa, adakah anda benar-benar mengetahui akan penyakit ini atau sekadar seronok melihat orang ternama melakukan aksi itu?
Menurut Pakar Neurologi, Pusat Perubatan Mahkota, Melaka, Dr. Mooi Chin Leong, penyakit ALS yang juga dinamakan penyakit Lou Gehrig ini membawa maut.
"ALS ialah penyakit neuron motor yang mana kemerosotan neuron motor berlaku akibat daripada pelbagai punca.
"Ia menyerang neuron motor yang bertindak menghantar impuls dari otak ke otot voluntari di dalam badan.
"Apabila ia gagal menerima mesej, otot-otot akan mula lemah, melumpuh dan akhirnya mati," terangnya.
ALS boleh menyerang sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa tidak kira usia, jantina ataupun bangsa.
Namun ia selalu menyerang pesakit berusia 40 hingga 60 tahun.
Simptom
Serangan ALS biasanya bermula dengan sentapan otot dan rasa lemah pada bahagian tangan dan kaki.
Kadang-kadang ia membuatkan pesakit sukar bertutur dengan jelas.
"Lama-kelamaan, ALS menyebabkan pesakit hilang keupayaan untuk mengawal otot bergerak, bercakap, makan malah bernafas," terangnya.
ALS tidak dapat dipulihkan dan ia berakhir dengan kematian.
Menurut kajian, pesakit yang didiagnosis dianggarkan hanya mampu meneruskan hidup selama tiga hingga lima tahun dan kos penjagaan pesakit mencecah ratusan ribu ringgit kerana pesakit seolah-olah lumpuh seluruhnya.
Bagaimanapun, ALS tidak memberi kesan kepada kawalan sistem pencernaan, deria dan kemampuan berfikir.
Rawatan
Walaupun ia tidak boleh dipulihkan, namun terdapat rawatan tertentu sebagai penjagaan kepada pesakit.
Menurut Dr. Mooi, rawatan penyakit ALS di Malaysia boleh dibahagikan kepada beberapa tahap atau peringkat melibatkan pelbagai bidang.
"Melalui penjagaan umum iaitu tanpa farmakologi, pesakit dan ahli keluarga akan diberi pendidikan tentang penyakit ALS dan apa yang akan dihadapi.
"Rehabilitasi dan fisioterapi anggota badan, percakapan, menelan dan pernafasan turut dilakukan.
"Selain itu, pesakit juga akan diarah mengamalkan diet dan pengambilan nutrisi seimbang untuk menguatkan otot dan tenaga badan," terangnya.
Terapi cara kerja bagi membantu pesakit berjalan dan bergerak dengan bantuan alat seperti tongkat, kerusi roda dan penganduh bagi membantu melembut dan menstabilkan otot anggota badan yang kaku dan lemah turut dilakukan.
Bagi memudahkan pesakit ALS, alat bantuan untuk menelan, pernafasan, bantuan kewangan serta sosial melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, badan bukan berkanun atau kerajaan, kumpulan sokongan sosial seperti Persatuan ALS turut diberikan ketika ini.
Bagi penjagaan farmakologi pula, ujar Dr. Chin Leong, ubat-ubatan untuk melambatkan progres penyakit ALS seperti T. Riluzole diberikan supaya dapat melambatkan proses keperluan alat bantuan pernafasan dan menelan.
Ia juga bagi memanjangkan jangka hayat penghidap penyakit ALS.
Turut diberikan ialah ubat untuk mengurangkan kekakuan, kekejangan dan spastisiti otot.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140831/kn_01/Maut-menunggu-ALS#ixzz3CTzjpvkt
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment