Sebuah lori dihiasi dengan Jalur Gemilang sebagai simbolik kepada semangat cintakan negara.
PASIR MAS - Itulah antara bait-bait lagu Jalur Gemilang, ciptaan Datuk
Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan lirik nukilan Syed Indra Syed Omar
(Siso) menceritakan kemegahan panji negara.
Setiap kali tiba bulan kemerdekaan, Jalur Gemilang dilihat berkibar
megah menghiasi seluruh premis kerajaan, swasta, kediaman dan kenderaan,
seolah-olah masing-masing berlumba-lumba untuk menunjukkan semangat
cintakan tanah air.
Namun sejak akhir-akhir ini, kibaran Jalur Gemilang sempena bulan
kemerdekaan negara dilihat semakin pudar dan kurang mendapat sambutan
dalam kalangan masyarakat, tidak sepertimana sebelum ini, yang mana
semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak sibuk untuk berbuat
demikian.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, hanya 30 peratus sahaja masyarakat di
jajahan ini yang sanggup mengeluarkan belanja mengibarkan Jalur Gemilang
sempena bulan kemerdekaan negara ke-57.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan adakah kibaran Jalur Gemilang
sudah tidak penting kepada masyarakat di negara ini sehinggakan ada yang
enggan berbuat demikian.
Lagipun harga untuk membeli sehelai Jalur Gemilang sekitar RM5 dan
nilai tersebut tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan oleh
pejuang kemerdekaan sebelum ini.
Perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat kerana Jalur
Gemilang bukan sahaja lambang kedaulatan negara namun pada masa sama, ia
turut berperanan membentuk perpaduan utuh dalam kalangan rakyat negara
ini.
Wajib kibarkan Jalur Gemilang
Walaupun rakyat berada dalam keadaan sugul, ekoran nahas yang menimpa
MH17 dan MH370, namun kibaran Jalur Gemilang wajar diteruskan dalam apa
jua keadaan.
Malah sepatutnya Jalur Gemilang dikibarkan setiap masa, tanpa perlu
menunggu bulan kemerdekaan tiba. Janganlah kita dianggap hanya patriotik
bermusim kerana hanya dilihat bersemangat ketika negara menyambut hari
kemerdekaan, sedangkan pada bulan yang lain, Jalur Gemilang tidak
diendahkan.
Bagi memastikan generasi muda meneruskan semangat mengibarkan Jalur
Gemilang ini, kerajaan perlu menghidupkan semula kempen berkenaan bagi
meningkatkan lagi kesedaran mereka.
Usaha ini wajar dipupuk sejak di bangku sekolah rendah lagi dan ia
bertepatan dengan perumpamaan Melayu 'melentur buluh, biarlah daripada
rebungnya.
Perkara tersebut turut disokong Yang Dipertua Persatuan Pesara Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan (PPPPP) Malaysia, Cawangan Kelantan, Datuk Idris
Muhamood yang berpendapat, generasi muda hari ini perlu terus
didedahkan dengan aktiviti bersifat patriotisme seperti kibaran Jalur
Gemilang.
Katanya, secara tidak langsung pendekatan itu mampu menjadi platform
dalam usaha memberi pendidikan kepada generasi muda untuk terus
menghargai nikmat merdeka dan cintakan tanah air.
“Tugas ini perlu digalas oleh semua pihak termasuklah golongan ibu bapa
kerana tugas memberikan didikan adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Kempen harus berterusan
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)
Kelantan, Safidah Abu Samah berkata, pihaknya sentiasa menggiatkan usaha
bagi memastikan semangat mengibarkan Jalur Gemilang berterusan.
“Untuk tahun ini pihak jabatan mewajibkan setiap ahli di bawah Kawasan
Rukun Tetangga (KRT) memasang Jalur Gemilang di bawah program ‘satu
rumah satu bendera’.
“Dengan cara ini, kita mahu semangat cintakan tanah air bermula dari rumah dengan cara mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.
No comments:
Post a Comment