Soalan:
Saya baru mendirikan rumahtangga. Apa yang sama faham, seorang isteri perlu patuh kepada perintah suami sebaik mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun ibu saya masih lagi memberikan arahan itu dan ini serta tidak mengizinkan saya pergi ke sesuatu destinasi atau melakukan apa-apa biar pun saya sudah mendapat keizinan daripada suami. Bagaimana sebenarnya kuasa seorang ibu terhadap anak perempuannya yang sudah berumah tangga?
Jawapan:
Benar, selepas bernikah ketaatan seorang wanita beralih dari ibu bapanya kepada suaminya. Allah berfirman berkenaan ketaatan kepada suami: Maka perempuan-perempuan (isteri-isteri) yang soleh itu ialah yang taat (kepada suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama. [al-Nisa’ 4:34]
Dalam suasana yang dihadapi oleh puan di atas, kemungkinan besar ibu belum dapat menerima hakikat bahawa anak perempuan kesayangannya sudah memiliki suami dan berada di bawah penjagaan suami. Ibu masih merasakan puan berada di bawah tanggungjawabnya, maka atas sebab inilah ibu masih prihatin terhadap urusan puan.
Di sini puan perlu menjelaskan kepada ibu, secara penuh hikmah, bahawa puan kini berada di bawah tanggungjawab suami dan tidak dapat lagi menerima arahan daripadanya. Penjelasan ini perlu ditambah dengan hakikat bahawa puan masih menyayangi ibu dan akan cuba sedaya upaya untuk berbakti kepadanya.
Seperkara lain, apa yang dihadapi oleh puan sebenarnya lazim dihadapi oleh pasangan lain. Ia adalah fenomena “sandwich” di mana seorang anak keliru antara memberi prioriti kepada pasangan atau ibu bapa. Penyelesaian terbaik ialah cuba berada di pertengahan antara kedua-duanya, secara hikmah, komunikasi jelas dan doa kepada Allah.
No comments:
Post a Comment