UtusanDaily

Friday, 5 September 2014

Nikmat Allah tidak terhingga

Oleh HASHNAN ABDULLAH

http://malaysia.panduanwisata.com/files/2013/10/pantai-batu-rakit-trengganu3.jpg
ANTARA nikmat Allah SWT yang terbesar kepada umat manusia adalah kemerdekaan secara fizikal dan rohani. Tetapi tidak semua negara atau bangsa yang dapat menikmati kedua-duanya sekali.

Masih ada bangsa dan negara yang mendiami dunia ini semenjak dari dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti berjuang untuk menikmati kemerdekaan yang sebenar.

Kehidupan mereka bukan hanya terbelenggu daripada segi pembangunan material tetapi juga untuk beragama atau tunduk kepada Allah SWT dengan penuh ketenangan adalah sukar.

Atas sebab itulah, Islam memberi penekanan amat tinggi terhadap falsafah kemerdekaan yang tidak hanya memfokuskan kepada merdeka tanah air tetapi juga jiwa dan pemikiran umat Islam itu sendiri.

Jiwa dan pemikiran umat Islam yang merdeka seharusnya berteraskan akidah yang diajar oleh agama supaya mereka mampu menghadapi cabaran dan dugaan masa kini seperti murtad, ajaran sesat, liberal, budaya songsang dan lain-lain.

Malah, ia juga sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Qasas: 77)

Bagi penceramah bebas, Dr. Mohd Sukki Othman menyifatkan dalam konteks Malaysia sendiri, usaha pengisian sedemikian amat penting bagi memperkasakan jiwa dan pemikiran manusia agar lebih dekat dengan Allah SWT.

"Walaupun merdeka tanah air tetapi cara pemikiran dan jiwa bangsanya masih berteraskan penjajah, sama ada daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

"Dengan itu, kita masih belum dianggap merdeka kerana pemikiran dan jiwa sedemikian tidak akan membolehkan kita menikmati kebahagiaan di dunia serta di akhirat," katanya ketika ditemui di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Pensyarah kanan Bahasa Arab dan I'jaz al-Quran, UPM seterusnya menambah, keperkasaan jiwa dan pemikiran tersebut juga penting kerana faktor persekitaran seseorang itu mampu menggoncangkan pendirian dan akalnya.

Tekanan persekitaran itu boleh datang daripada pelbagai cara, seperti kawan-kawan, komuniti kediaman, kaum keluarga, pendidikan dan lain-lain.

"Tekanan dan pengaruh persekitaran sedemikian hanya mampu ditangani oleh individu yang kuat jiwa dan pemikirannya kerana keteguhan itu ada ketikanya boleh menyebabkan dia disisih atau dianggap keras kepala.

"Tetapi Islam memerlukan individu sedemikian bagi memastikan kedudukan Islam tidak dihina atau dicabar dengan sewenang-wenangnya," katanya.

Namun, Dr. Mohd. Sukki menegaskan bahawa pengisian jiwa dan pemikiran manusia itu amat memerlukan kesungguhan dan komitmen semua pihak yang berkepentingan.

Ini kerana katanya, seorang penyair Mesir ada menyebut bahawa umat itu akan kekal, bila mana akhlaknya kekal tetapi umat itu hancur, bila mana akhlaknya hancur.

"Ia menunjukkan kepada kita bahawa walaupun hebat daripada segi teknologi tetapi kalau manusia itu tidak dibina kerohanian dan jiwa, akan berlaku gejala sosial, riba, jenayah, murtad, ajaran sesat dan lain-lain.

"Kalau macam itulah, maka hakikat kemerdekaan belum dicapai kerana jiwa kita masih tidak tenang dan bahagia," katanya.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive