Titik beratkan hukum, hakam ketika solat


MALAYSIA adalah negara majmuk terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya.  Masyarakat Melayu  beragama Islam mempunyai komposisi bilangan penduduk yang tinggi berbanding bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Sudah pasti segala perilaku, tindakan, pakaian dan pelbagai lagi tertakluk kepada hukum-hukum Islam yang begitu unik dan bersifat universal.

Boleh @ tidak

Pendakwah, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, dalam soal  pakaian sebagai contoh, kita lihat ramai masyarakat Islam khususnya remaja dan dewasa mahupun golongan sedang meningkat tua memakai pakaian yang berasaskan fesyen yang diminati.

Ada yang memakai pakaian yang mempunyai gambar tumbuhan, kereta lumba, wanita, tengkorak,  kartun, logo dan nama pasukan kelab bola sepak dan pelbagai lagi.

Pakaian yang mereka pakai kadang-kadang digunakan mendirikan  solat sama ada di masjid, surau dan sebagainya.

"Secara umumnya pakaian yang haram digunakan untuk solat dapat dibahagikan kepada dua.

Pertama pakaian bernajis dan pakaian yang dirampas. Kedua, pakaian lelaki yang diperbuat daripada sutera, pakaian bersulam emas, dipakai Islam.

Ini adalah bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Diharamkan pakaian sutera dan emas bagi kaum lelaki umatku tetapi tidak diharamkan  untuk kaum wanitanya."

"Walaupun begitu dalam soal pemakaian baju atau seluar dan seumpamanya yang mempunyai lakaran tertentu ketika menunaikan solat, ia dikategorikan kepada tiga:-

Pertama; memakai pakaian yang mempunyai gambar makhluk tidak bernyawa seperti kereta F1, motosikal berkuasa besar, kapal terbang, rumah, pokok, laut, bunga, dan sebagainya lagi adalah harus dan tidak menjadi satu kesalahan.

Kedua; memakai pakaian yang mempunyai gambar makhluk yang bernyawa seperti singa, harimau, burung, kartun, tengkorak, kumpulan rock heavy mental, gambar ahli politik dan sebagainya lagi.

Ketiga; memakai pakaian yang mempunyai gambar dilarang Islam seperti wanita tidak menutup aurat, berunsur seks, bogel, gambar yang mengajak manusia ke arah suka kepada hiburan dunia semata-mata dan sebagainya lagi," katanya kepada Rehal.

Peduli dengan gambar

Justeru itu dalam soal berpakaian dalam solat ini perlu diberi perhatian memandangkan ramai yang tidak peduli perihal gambar yang ada di baju atau pakaian mereka dengan alasan yang penting adalah mendirikan solat.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ini juga menjelaskan, sebenarnya solat ini perlu dilaksanakan secara berkualiti dan penuh dengan kekhusyukan kepada ALLAH.

Cuba elakkan perkara yang boleh menjejaskan kualiti solat kita kepadaNya. Abu Talhah  meriwayatkan bahawa  mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan gambar".

"Begitu juga dengan peristiwa di zaman Rasulullah SAW di mana Aisyah mempunyai sehelai tabir nipis yang digunakan untuk menutupi satu penjuru di rumahnya.

Rasulullah SAW mengarahkan Aisyah agar buangkan tabir tersebut kerana gambarnya sering terbayang (mengganggu) dalam solat Rasulullah SAW.

"Ini memberi penjelasan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam khususnya berkaitan dengan proses solat maka janganlah kita sewenang-wenang membeli dan pakai ketika solat.

Selain itu pakaian yang mempunyai gambar-gambar yang boleh mengganggu kekhusyukan dan perhatian orang lain ketika solat juga perlu dielakkan," katanya.

Menurutnya, pakaian yang paling sesuai ketika solat ialah pakaian yang menutup aurat sama ada lelaki atau perempuan.

Firman ALLAH yang bermaksud: "...pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat)..." (Surah al-A’raf: 31)

Tutup aurat

Bagi masyarakat Islam di Malaysia kebanyakan mereka memakai baju Melayu. Ini tidak menjadi kesalahan asalkan ia menutup aurat. Begitu juga jika seseorang itu memakai pakaian berbunga ketika solat maka ia diharuskan dan tidak menjadi kesalahan.

Dalam erti kata lain seseorang boleh menunaikan solat dengan memakai pakaian yang sangat cantik setiap kali hendak menghadap ALLAH dalam solat.

Janganlah kita hanya mengamalkan memakai pakaian yang cantik dan mahal ketika ke tempat kerja, kenduri dan hari raya sahaja tetapi ketika kita sedang menghadap ALLAH yang menciptakan kita dalam solat lima waktu sehari semalam, kita hanya memakai pakaian yang murah, berbaju singlet, berkain pelekat sahaja tanpa baju dan sebagainya lagi. Janganlah kita mempunyai sifat bakhil
dalam perkara yang berkaitan dengan solat.

Aurat bagi seorang lelaki ialah di bawah pusat hingga di bawah lutut. Semua imam mazhab  mensyaratkan menutup aurat supaya solat menjadi sah.

Dalam erti kata lain seseorang lelaki yang memakai pakaian yang menutupi anggota badannya bermula di bawah pusat hingga di bawah lutut maka ia dibolehkan untuk bersolat.

Solat dengan hanya memakai seluar (di bawah pusat hingga di bawah lutut) tanpa baju tetapi masih lagi dalam batas aurat bagi seseorang lelaki, maka ia dibolehkan jika seseorang itu melakukannya kerana ingin menunjukkan rasa rendah diri dan menambahkan kekhusyukan ibadah kepada ALLAH.

Namun perkara ini akan menjadi makruh sekiranya seseorang lelaki yang mampu mempunyai pakaian atau pun ada pakaian yang mampu menutupi bahagian atas badan tetapi tidak digunakan untuk bersolat sebaliknya hanya memakai seluar atau kain pelekat sahaja maka ia dikira makruh.

Aurat seseorang Islam wajib dipelihara sama ada di dalam solat mahupun di luar solat. Aurat bagi seseorang wanita Islam yang ingin mengerjakan solat semestinya anggota badannya ditutupi dengan sesuatu yang tidak menampakkan warna kulit seperti kain yang tebal.

Sekiranya pakaian yang menutupi anggota badannya masih boleh menampakkan warna kulit dan pelbagai lagi seperti memakai telekung yang jarang serta nipis,  maka hukumnya tidak harus memakai telekung tersebut kerana hakikat penutupan yang sebenarnya tidak terlaksana dengan cara pakaian tersebut.

Maka telekung yang nipis itu perlu dia gantikan dengan kain telekung tebal yang mampu melindungi anggota badan dari ternampak.

Ini kerana salah satu syarat penutup aurat  ialah wajib menutup aurat dengan kain yang tebal atau kulit atau kertas yang boleh menyembunyikan warna kulit dan yang tidak menjelaskan sifatnya.

Jika kain nipis atau jarang boleh menampakkan apa yang di bawahnya atau membayangkan warna kulitnya seperti cerah atau kemerah-merahan, maka tidak sah solat dengannya kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat.

Kesimpulannya, walaupun kain telekung yang diperbuat daripada kain tebal atau kain licin, kain telekung berwarna hitam putih dan berwarna-warni serta berbunga-bunga boleh digunakan untuk bersolat, elakkan sifat riak dan takabbur dengan kain telekung yang kita miliki kerana kadang-kadang dengan sifat riak dan takabbur yang kita miliki ini akan menjejaskan kualiti ibadah solat kita kepada ALLAH.