UtusanDaily

Saturday, 19 July 2014

Memanfaat 10 hari terakhir Ramadan

Zamanuddin Jusoh

"Beriktikaf, solat sunat, membaca al-Quran sangat dituntut hubungan dengan Allah SWT"

Terlalu pantas masa berlalu dan antara sedar atau tidak, kita sudah melepasi fasa pertama serta kedua dalam menjalani ibadah puasa. Maknanya, kita sudah menempuh kepada 10 terakhir Ramadan. Sudahkah berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap ketakwaan dalam erti kata sebenar?

Jika tempoh itu belum mampu memperlengkapkan diri kita dengan takwa, maka masih belum terlambat untuk kita berusaha ke arah keredaan dan ketakwaan itu. Justeru, hari-hari terakhir Ramadan perlu direbut dan digunakan supaya kita tidak ketinggalan mendapat manfaat berganda dalam meniti pemergian Ramadan.

Sesungguhnya, panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW jelas mencerminkan tinggi dan bernilainya detik terakhir Ramadan yang sedang kita lalui ini. Alangkah malangnya jika kita semakin alpa dan lalai melaksanakan ibadah pada saat-saat Ramadan kian melabuhkan tirainya.

Maka rugilah mereka yang meninggalkan Ramadan tanpa mendapat apa-apa ganjaran ataupun keampunan daripada Allah SWT. Justeru, kita perlu memastikan momentum peningkatan kebaikan dan amal soleh sentiasa menjadi perhatian. Itulah tugas dan kesibukan orang yang bertakwa.

Apatah lagi apabila memasuki sepuluh terakhir bulan Ramadan. Janganlah dibiarkan prestasi Ramadan setakat ini mempengaruhi prestasi pada 10 terakhir Ramadan. Baginda SAW telah menampakkan perbezaan dalam melakukan ibadat kepada Allah SWT.

Daripada Ummul Mukminin, Aisyah menceritakan keadaan Baginda SAW ketika memasuki 10 hari terakhir Ramadan, "Baginda jika memasuki 10 hari terkahir Ramadan, mengeratkan ikatan pinggangnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya."
Sebaik-baik amal

Ulama menafsirkan perkataan mengetatkan ikatan pinggang adalah simbolik kepada seriusnya Baginda SAW ketika menerima 10 malam terakhir Ramadan. Perubahan itu disebabkan amalan perbuatan manusia tergantung pada penutupan atau akhirnya.

Rasulullah SAW pernah berdoa: "Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah pada penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana saya berjumpa dengan-Mu kelak." (Musannaf Ibn Abi Syaibah)

Baginda SAW bersabda: "Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan di dalamnya ada Lailatulqadar, malam lebih baik dari seribu bulan. Barang siapa diharamkan darinya maka ia diharamkan mendapatkan kebaikan seluruhnya. Dan tidak diharamkan kebaikannya kecuali ia benar-benar terhalang." (Al-Hadis)

Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadan kita dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh yang telah berlalu. Jika, masih terdapat banyak lagi kelemahan masih belum terlewat untuk memperbaikinya.

Oleh itu, marilah kita memerhati beberapa perkara yang akan mendekatkan kita kepada Lailatulqadar, antaranya memahami perkara sebenar yang berlaku pada malam Lailatulqadar dengan membaca surah al-Qadar dan tafsirannya.

Menghafal segala doa berkaitan kebahagiaan dunia dan akhirat. Mengurangkan pengambilan makanan supaya dapat bangun dan bersedia untuk beribadah. Kita juga hendaklah melahirkan tenaga dari minda dan psikologi dengan mengenakan pakaian terbaik serta berwangian bagi menerima tetamu daripada kalangan malaikat yang turun meraikan Lailatulqadar.

Ibnu Jarir meriwayatkan, Rasulullah SAW mandi dan membersihkan diri, merapikan pakaian serta memakai wangi-wangian menjelang waktu Isyak selama 10 hari terakhir Ramadan dengan harapan memperoleh Lailatulqadar.

Curahkan sepenuh takwa

Putuskan hubungan dengan dunia buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada hubungan dengan Allah SWT. Pilihlah satu ruang di masjid atau di rumah untuk kita bersendirian dengan semua kelengkapan supaya sentiasa berada di situ pada masa yang lama.

Kesimpulannya, kita hendaklah memahami bahawa keampunan Allah SWT akan hadir pada bila-bila masa saja. Apa yang penting adalah berbaik sangka dengan Allah SWT serta mencurahkan sepenuh hati dan perasaan kita kepada-Nya.

Lailatulqadar akan dapat dikecapi pada 10 terakhir dan keberhasilannya adalah bergantung sejauh manakah usaha yang ditampilkan untuk sampai kepadanya. Janganlah diabaikan keluarga dan anak-anak untuk berqiyam walaupun sekejap.

Janganlah kita menunggu sehingga malam terakhir untuk bermujahadah dan jangan terlepas malam itu hanya dengan kebetulan. Pelbagaikan ibadat dengan menyusun zikir, doa dan pelbagaikan solat supaya perasaan letih dan mengantuk dapat dikurangkan.

Ingatlah bahawa kunci segala kejayaan pada 10 terakhir Ramadan adalah kesabaran. Tanamkan perasaan ghairah dalam jiwa kita bahawa ganjaran besar akan menanti dan syurga mestilah dibayar dengan harga yang tinggi.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive