Dr. Bahrain Samah
Telur ayam direbus dan telur goreng (tidak garing).
SEBAHAGIAN besar doktor di dunia ini dikatakan
menasihatkan orang ramai sama ada yang sihat, mengalami masalah paras
kolesterol tinggi atau mengalami masalah arteri jantung tersumbat agar
mengambil telur antara 2 – 3 kali seminggu.
Ini kerana mereka terpengaruh dengan hipotesis mengambil lemak tepu dan
kolesterol akan meningkatkan paras kolesterol dalam tubuh. Paras
kolesterol tinggi akan menyebabkan arteri jantung tersumbat dan
seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung.
Kajian sains mendapati sebaliknya iaitu pengambilan telur melebihi enam
biji seminggu tidak meningkatkan risiko strok dan strok ischemic. Strok
ischemic ialah strok yang berlaku akibat pengaliran darah terhalang.
Puncanya ialah arteri, arteriol (bersaiz lebih kecil daripada arteri)
atau kapilari darah sempit dipercayai kerana tersumbat. Punca tersumbat
disebabkan kolesterol berlebihan dalam tubuh.
Kajian sains yang dimaksudkan telah dijalankan oleh Spence dan
rakan-rakan dengan judul Egg Yolk Consumption and Carotid Plaque dan
dilaporkan dalam jurnal Artherosclerosis pada 2012.
Karotid merupakan arteri utama yang terdapat di sebelah kiri dan kanan
leher manusia. Setiap arteri berpecah dua: arteri pertama mengalirkan
darah beroksigen ke otak manakala arteri kedua ke wajah.
Judul artikel jelas menunjukkan kajian yang dijalankan adalah berkaitan
dengan pengambilan kuning telur dan kaitannya dengan pembentukan plak
berkolesterol pada arteri karotid.
Makanan berkolesterol
Golongan penyelidik kajian tersebut percaya, kerap mengambil telur
kuning seharusnya dielakkan oleh individu yang berisiko mengalami
penyakit kardiovaskular.
Mereka menyatakan kuning telur adalah bahan yang boleh memudaratkan
kesihatan di mana ia mungkin lebih buruk daripada akibat merokok.
Kajian tersebut telah mendapat kritikan hebat daripada ramai pakar dan
saintis seperti Christopher Masterjohn, Mark Sisson dan Zoe Harcombe.
Kritikan Christopher Masterjohn terhadap kesimpulan kajian di atas dapat
dibaca oleh orang ramai secara percuma dalam laman sawang Western A
Price Foundation dengan artikel berjudul Does Eating Egg Yolks increase
Arterila Plaque?
Pakar dan saintis tersebut mengetengahkan argumen yang boleh diterima
terhadap ketidaksetujuan mereka terhadap kesimpulan kajian yang
dijalankan Spence terutama yang menyatakan pengambilan telur lebih
berbahaya daripada merokok.
Ned Kok, (doktor falsafah) telah menganalisis kajian Spence dari sudut
dan teknik berbeza dalam menilai data kajian. Satu daripada carta yang
dikaji oleh beliau menunjukkan hubungan antara pengambilan telur dan
plak adalah negatif. Hasil analisa Kok mendapati meningkatkan
pengambilan telur 2 -3 biji atau lebih dalam seminggu menyebabkan LDL
meningkat namun plak didapati berkurangan.
Menurut Kok lagi terdapat kemungkinan jenis LDL yang meningkat ialah
LDL bersaiz besar. LDL bersaiz besar dikatakan meningkat berpunca
daripada pengambilan makanan berlemak tepu dan berkolesterol.
LDL jenis ini dipercayai tidak berbahaya. Sebaliknya LDL bersaiz kecil
dipercayai menyumbang kepada pembentukan artherosklerosis kerana ia
dikatakan dapat masuk ke bawah lapisan dinding arteri melalui celah sel.
Sebuah kajian berjudul Egg Consumption and Endothelial Function: A
Randomized Controlled Crossover Trial. seperti dilaporkan dalam
International Journal of Cardiology (2005) mendapati makan dua biji
telur setiap hari tidak mengganggu fungsi lapisan endotilia pada orang
dewasa yang sihat.
Kajian ini menyokong pandangan, makanan berkolesterol mungkin kurang
berbahaya kepada kesihatan berbanding dengan pandangan sebelum itu.
Turunkan tekanan darah
Kajian lain berjudul Angiotensin I Converting Enzyme Inhibitory
Peptides from Simulated in Vitro Gastrointestinal Digestion of Cooked
Eggs seperti dilaporkan dalam Journal of Agricultural and Food Chemistry
(2009) menunjukkan protein dalam telur yang dimasak diubah oleh enzim
gastro-usus kepada peptida (saiz molekul yang lebih pendek daripada
protein) yang bertindak sebagai ACE inhibitor. ACE inhibitor merupakan
ubat yang biasa dipreskripsi oleh doktor bagi membantu menurunkan
tekanan darah.
Sebuah kaji selidik yang dijalankan terhadap golongan dewasa South
Carolina pula mendapati tiada kaitan antara paras kolesterol dengan
kebiasaan pengambilan makanan yang tidak menyihatkan seperti daging
merah, lemak haiwan, makanan bergoreng, mentega susu asli, telur, susu
penuh krim, bakon, sosej dan keju.
Kajian yang dimaksudkan berjudul The Need for Accurate Nutrition Survey
Methodology: The South Carolina Experience. Ia dilaporkan dalam Journal
of Nutrition (1990).
Telur daripada ayam yang dipelihara secara kampung (bebas bergerak
termasuk mencari makanan sendiri) dikatakan menawarkan nilai nutrien
yang lebih tinggi berbanding dengan telur ayam yang dipelihara secara
komersil.
Telur ayam komersil dibimbangkan mengandungi bakteria berbahaya seperti
salmonella. Sebab itulah seseorang yang ingin makan kuning telur secara
mentah maka telur yang dipelihara secara organik dikatakan sebagai
pilihan terbaik.
Telur ayam organik didapati mengandungi vitamin A 2/3 kali ganda lebih
tinggi berbanding telur ayam komersil. Kandungan lelemak asid omega-3
juga tinggi iaitu 2 kali ganda. Ia mengandungi vitamin E dua kali ganda
lebih tinggi serta 7 kali ganda beta-karotena. Kuning telur yang dimasak
secara keterlaluan dikatakan mengurangkan nilai nutrien.
Sesetengah orang memang biasa mengamalkan pengambilan telur mentah atau
telur setengah masak. Namun jenis telur tersebut tidak digemari oleh
kebanyakan orang. Selain diambil secara mentah atau separuh masak,
pengambilan telur yang direbus tidak terlalu lama atau digoreng secara
ala kadar dikatakan menawarkan nilai nutrien yang baik.
Telur yang digoreng hingga menjadi perang dan mengerekot sebenarnya
dipercayai meningkatkan bahan-bahan kimia terdiri daripada cincin
benzena iaitu dikenali sebagai polycyclic aromatic hydrocarbon. Bahan
ini dikatakan boleh mencetus oksidatif stres iaitu suatu proses yang
merosakkan komponen sel dan pelbagai jenis bahan kimia lain yang berguna
untuk proses biokimia tubuh.
Jadi, nasihat doktor dan pakar pemakanan konvensional kepada orang
ramai khususnya penghidap penyakit jantung agar menjauhi makan bergoreng
secara terendam lama adalah berasas.
No comments:
Post a Comment