Ilustrasi: Gayour
Ilustrasi: Gayour


SEORANG kawan bercerita mengenai keterujaan anaknya terhadap iklan-iklan di televisyen. Anak lelakinya itu baharu umur setahun 11 bulan, tapi sangat terpesona pada iklan terutama yang ada kanak-kanak dan bayi.

Matanya akan terpaku ke kaca tv, ada ketika dia senyum dan ajuk apa yang diucap dalam iklan. Mamanya panggil pun dia buat tak tahu.

Begitulah besarnya pengaruh iklan kepada kita yang juga pengguna kepada apa yang diiklankan tersebut.

Bukan saja anak kecil, bapak-bapak, ibu-ibu, kakak-kakak, makcik-makcik tidak akan menafikan bahawa iklan telah berjaya 'memujuk' mereka untuk melihat, merasa, mencuba dan akhirnya memiliki (membeli) sesuatu yang diiklankan itu.

Itulah fungsi periklanan, ia bertujuan mendorong pengguna untuk membeli sesuatu barangan atau menggunakan sesuatu perkhidmatan.

Namun, harus diingat dalam proses periklanan ini tidak semua produk yang ditawarkan sama seperti diiklankan kerana tujuan pemujukan melalui iklan hanyalah untuk melariskan jualan semata-mata.

Bagaimanapun, pengguna yang obses tidak akan teragak-agak atau berfikir panjang untuk mendapatkan sesuatu barangan sebaik melihat, mendengar atau membaca iklan.

Ya! siapa yang tidak mahu ramping, siapa mahu menolak berkulit mulus, gebu dan putih? Dan siapa mahu tolak tuah menang RM ribu-riban?

Si obses iklan seperti ini tidak perlu masa lama untuk menjadi 'mangsa', dan kerana kedangkalan fikir itu jugalah mereka akhirnya kecewa.

Yang mahu putih tak putih-putih, yang kepingin kurus tak kempis-kempis, dan lebih malang duit pelaburan tak beranak-anak, tukang iklan menghilang, duit pun melayang.

WOW bawakan isu obses iklan ini untuk dijadikan panduan kita bersama, terutama golongan Hawa yang sering dikaitkan dengan keadaan ini.

 

Kes 1: (Sinar Harian: 23 Ogos 2013)

Dipukau pasangan Arab

REMBAU - Seorang peniaga mengalami kerugian lebih RM300 selepas dipukau oleh pasangan Arab di premis perniagaannya di Pekan Kota, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 6.50 petang itu, mangsa, Chew Yin, 39, berada seorang diri di dalam kedai dan didatangi pasangan Arab yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Camry, ingin membeli air minuman di kedainya.

Suami mangsa, Tee Ah Beng, 50, berkata, isterinya itu pada mulanya menyedari pasangan Arab berkenaan membelek-belek air dan makanan di dalam kedai, namun mula tidak sedarkan diri selepas salah seorang pasangan berkenaan menyerahkan RM4 dan berbual dengannya.

“Bermula dari situ, isteri saya dipukau dan apabila sedar, wang tunai jualan berjumlah lebih RM300 sudah lesap," katanya.

Pasangan Arab ini hanya mengambil wang sahaja dan imej mereka berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai.

Kes 2: (Sinar Harian: 23 Mei 2013)

Guru jadi mangsa samseng gores dan menang

IPOH - Seorang guru warga Britain bukan sahaja kerugian hampir RM3,000, malah mangsa turut cedera akibat dikasari ahli sindiket gores dan menang ketika cuba untuk mendapatkan kembali wangnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang Isnin, mangsa, Elizaberth Morag, 42, dihampiri sekumpulan dua wanita dan dua lelaki di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya di Medan Ipoh, yang kemudiannya memujuknya menyertai pertandingan gores dan menang dengan menjanjikan hadiah lumayan.

“Saya memang tak yakin dengan peraduan seperti ini, tetapi ketika menolak, mereka memaksa saya membuka salah satu kad yang menyatakan kononnya saya memenangi tilam mewah,” katanya.

Kumpulan berkenaan kemudiannya mengarahkan mangsa ke pejabat sindiket berkenaan untuk menebus hadiah sebelum diarah membayar RM6,500 sebagai tebusan mendapatkan hadiah yang ditawarkan.

“Ketika itulah saya bertegas dan meminta wang dikembalikan, namun mereka memukul dan menumbuk sebelum menghalau saya keluar,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bawah telinga.

Kes 3: (Sinar Harian : 8 Julai 2013)

Taktik penipuan guna telefon

KUALA LUMPUR - Kerani yang hanya mahu dikenali sebagai Dahlia berkata, dia nyaris menjadi mangsa penipuan menggunakan telefon kira-kira tiga tahun lalu.

Menurutnya, ketika itu dia baharu bangun tidur sebelum melihat terdapat satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan dia memenangi hadiah cabutan bertuah iaitu iPad dan wang tunai RM500,000.

Katanya, SMS sama turut menyebut meminta tuntutan dibuat segera dalam tempoh seminggu dan terdapat beberapa nombor telefon untuk dihubungi.

Bagaimanapun, Dahlia nekad untuk menghubungi nombor yang tertera dalam SMS bagi mengetahui siapa pengirimnya.

“Saya berpura-pura setuju untuk membuat tuntutan terbabit dan bertanyakan sebab kenapa saya diberikan hadiah serta wang tersebut.

“Lelaki itu hanya berkata pemilihan dibuat secara rambang dan nombor telefon saya yang terpilih, maka saya layak menerima wang serta hadiah tersebut,” katanya.

Katanya, lelaki itu mula berdolak-dalik, sebelum memintanya memasukkan sejumlah wang ke satu akaun bank, kononnya bayaran untuk cukai dan insurans bagi menuntut hadiah terbabit.

Keesokan harinya, beliau berkata lelaki terbabit menghubunginya dan bertanyakan sama ada sudah memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan.

“Saya mula rasa syak bahawa lelaki itu menipu dan mungkin kegiatan dilakukan didalangi sindiket tertentu," katanya.

Kes 4: (Sinar Harian: 12 Januari 2013)

Niaga online: Indah khabar dari rupa

KULIM - Pengerusi Persatuan Pengguna Kulim, Mohd Zailan Hashim berkata, sehingga kini beberapa kes penipuan berniaga online dilaporkan di mana ia melibatkan orang perseorangan dan syarikat tertentu.

“Sehingga kini beberapa kes penipuan dilaporkan di mana setelah pembeli membuat pembayaran terhadap sesuatu barangan, nama mereka dikeluarkan daripada senarai rakan. Ini mengakibatkan pembeli gagal menghubungi atau bertanya tentang barang yang dipesan daripada si penjual.

“Selain itu barangan seperti kasut sukan berjenama dijual dengan harga RM110 termasuk wang penghantaran sebenarnya satu penipuan. Ia kerana kasut yang dijual itu dibeli dari negara jiran dengan harga RM33 berbanding harga pasaran jenama sama yang asli RM168. Peniaga internet akan memperoleh keuntungan tiga kali ganda dari barangan yang dijualnya,” katanya.

Seorang juruteknik, Rushdan Yaakub berkata, dia pernah membeli baju melalui internet tetapi corak dan warna baju diterimanya tidak sama sepertimana dipesan.

“Saya memaklumkan kepada penjual terlibat dan dia mengarahkan saya mengembalikan baju itu agar dia dapat menggantikannya dengan yang baharu.

“Bagaimanapun sehingga hari ini sudah tiga bulan baju yang saya tempah itu masih belum saya peroleh,” katanya. [SH]