Rogol: Polis dihukum penjara, sebat
Tertuduh dibawa keluar dengan kawalan anggota polis di mahkamah
selepas hukuman diputuskan, semalam.
KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mejar dihukum
penjara 15 tahun dan lapan sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini,
semalam selepas didapati bersalah merogol remaja berusia 14 tahun, lima
tahun lalu.
Keputusan dibuat Hakim, Mohd Yusoff Yunos terhadap tertuduh Mahmad
Abidin, 57, yang juga bekas ketua balai selepas mendapati pihak
pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mahmad didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun itu di dalam
pejabat Ketua Polis Balai Polis Binjai, di sini, pada jam 2.30 petang,
15 Oktober 2009.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum
mengikut Seksyen 376(1) kanun sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun
dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof,
manakala, tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Sukri Mohamed.
Pada prosiding semalam, Ahmad Salam mohon mahkamah menjatuhkan hukuman
setimpal dengan ambil kira jenayah yang dilakukan lebih-lebih lagi
membabitkan tertuduh yang berkhidmat sebagai penjawat awam.
“Saya mohon mahkamah mengambil kira kepentingan mangsa dan masyarakat
di luar sana. Tertuduh dan masyarakat juga perlu mendapat pengajaran
daripada kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Yusoff membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan syarat rayuan difailkan pada hari sama.
Jaminan dinaikkan dari RM10,000 kepada RM15,000 dengan seorang penjamin berkuat kuasa sejurus notis rayuan difailkan.
No comments:
Post a Comment