LAGENDA juara Formula Satu dunia tujuh kali, Michael Schumacher dilaporkan masih dalam koma dan tiada perubahan akibat daripada kemalangan yang dialaminya pada penghujung tahun 2013.
 
Meskipun masih tidak sedarkan diri, isterinya Corrina bersama dua anaknya, Gina Marie dan Mick masih setia berada di sisi Schumacher dan sentiasa berharap agar beliau tersedar dari koma
 
Melalui laporan yang disiarkan dari Mirror.co, mereka turut mengucapkan kata-kata penghargaan dan ribuan terima kasih kepada peminat dan penyokong bapanya yang tidak putus memberi kata semangat menerusi laman rasmi milik pelumba Jerman tersebut.

"Kami tersentuh dengan semua mesej ucapan yang mengharapkan Schumacher untuk sembuh dan kembali normal seperti dulu, para peminat masih menghantar teks ucapan seperti itu sehingga kini."

Lagenda F1 berusia 44 tahun itu berada dalam keadaan koma selepas kepalanya mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan ketika sedang bermain ski di pusat peranginan Pergunungan Alps, Perancis.

Walaupun keadaannya dilaporkan stabil, doktor berkata, beliau mungkin akan mengalami kerosakan otak yang akan menyebabkan beliau mengalami sindrom Apalik.

"Mesej ini menjadi kekuatan buat kami meneruskan kehidupan, beliau (Schumacher) seorang pejuang dan dia akan terus berlawan untuk dirinya," kata isterinya.

Dalam pada itu, rakan seperjuangan Schumacher dalam dunia Formula Satu, Sebastian Vettel turut mendoakan supaya beliau akan sedar dari koma.
 
"Kemalangan yang menimpa beliau adalah suatu yang mengejutkan bagi semua pihak lebih-lebih lagi buat keluarga dan sahabat terdekatnya," katanya.