Mutiara Ilmu di Syarahan Rumah Ngaji
Seseorang itu perlu mengetahui dengan jelas sumber mana ilmu itu diperoleh.
HADIS merupakan sumber rujukan utama terpenting
selepas al-Quran. Hadis diperlukan untuk memahami kandungan al-Quran,
menjadikan hadis sebagai sumber rujukan dalam Islam yang tidak dapat
dinafikan lagi. Oleh demikian, usaha berterusan perlu dilakukan untuk
memastikan kepentingan hadis dalam Islam sebagai sumber rujukan tidak
tergugat oleh mana-mana faktor.
Peranan hadis perlu dilihat dalam skop yang lebih luas dan hadis ini
perlu dikaji dan difahami dalam konteks yang lebih menyeluruh.
Rasulullah SAW dibangkitkan ALLAH SWT untuk memimpin umat manusia di
dunia ke jalan selamat dan bahagia di dunia dan akhirat.
Baginda SAW adalah rahmat daripada ALLAH yang tidak ternilai harganya
kepada seluruh alam semesta sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-Nya
yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan
untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah Al-Anbiya’: 107)
Sebagai seorang rasul yang diutuskan, darjat ketinggiannya mengatasi
pemimpin yang lain. Baginda SAW bersifat maksum iaitu terpelihara
daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Oleh itu, arah dan tujuan
yang dibawanya kepada seluruh umat manusia ini benar dan terjamin.
Baginda SAW memimpin umatnya ke jalan diredai ALLAH iaitu agama Islam.
Kini, Baginda SAW sudah tidak ada lagi di dunia ini, tetapi umatnya
tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan
pusaka tinggalannya iaitu al-Quran dan hadis. Melalui dua sumber utama
ini, umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia
yang penuh dengan cabaran.
Sebagai seorang Muslim, kita tidak sepatutnya membesar-besarkan dan
menyanjung individu yang lain melebihi Rasulullah SAW sekalipun seorang
yang dianggap tokoh, kerana mereka tertakluk kepada kekurangan dan
kesilapan yang diakibatkan oleh kelemahan diri masing-masing.
Pemujaan tokoh dan pendewaan terhadap seseorang tidak seharusnya wujud
dalam masyarakat Islam kerana kecenderungan mengagung-agungkan seseorang
tokoh, kadang-kadang boleh membawa kita kepada penyelewengan dalam
ajaran Islam.
Dalam menyampaikan ajaran dan perintah daripada ALLAH, Rasulullah SAW
telah memperlihatkan contoh tauladan untuk diikuti oleh umatnya. Firman
ALLAH yang bermaksud: “Sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah SAW
itu teladan yang baik bagimu iaitu orang yang mengharapkan rahmat ALLAH
dan (kedatangan) hari kiamat serta yang banyak mengingati ALLAH.” (Surah
Al-Ahzab: 21)
Menjadi tanggungjawab bagi umat Islam sekarang untuk mengkaji hadis
Rasulullah SAW yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Khazanah ilmu
perlu ditambah dan difahami berdasarkan ajaran Baginda SAW bersesuaian
dengan kehendak semasa.
Di samping al-Quran, pengajian hadis juga perlu dijadikan sebagai
rujukan dan penggerak kepada penemuan baharu dalam era globalisasi ini.
Sejarah membuktikan kepada kita sarjana Islam terdahulu dapat menguasai
pelbagai bidang ilmu kerana kesungguhan mereka dalam memikul beban dan
tanggungjawab yang difardukan ALLAH dalam pengkajian dan penerokaan ilmu
pengetahuan.
Penemuan dan penciptaan baharu dalam apa jua bidang bagi umat Islam
bukanlah sesuatu yang sekadar boleh dibanggakan, namun apa yang lebih
penting ialah ia suatu tanggungjawab untuk mengimarahkan kehidupan
manusia di muka bumi.
Melihat kepentingan bagi kita mengetahui daripada mana mendapatkan
sumber ilmu ini, Rumah Ngaji di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas
tampil dengan program siri syarahan yang menampilkan topik menarik yang
merangkumi huraian dan penerangan akan tujuan manusia dihidupkan di muka
bumi ini, membicarakan akan kepentingan ilmu, menyentuh hal berkaitan
al-Quran, hadis dan sunnah, sejarah Islam dan akidah.
Dari Mana Kamu Ambil Agamamu? adalah topik yang dibentangkan pada 25
Mei lalu dalam kuliah agama yang bermula jam 9 pagi sehingga 12.30
tengah hari.
Dalam modul ini, kita dijelaskan dengan sumber ilmu yang sahih iaitu al-Quran, hadis dan Sunnah.
Syarahan ini disampaikan oleh graduan lepasan Universiti Islam
Antarabangsa dalam bidang ilmu wahyu dan mempunyai ijazah sarjana dalam
bidang pengajian Islam dari Universiti Oxford, Ustaz Abu Hafiz Saleh
Hudin.
Diharapkan dengan program ini yang merangkumi pelbagai topik pilihan
dapat membuka ruang kepada masyarakat, terutama untuk lebih mendalami
dan menambah kefahaman terhadap masalah yang sering berlaku dalam
masyarakat.
Sedikit sebanyak program ini dapat membetulkan salah faham tentang peranan hadis sebagai sumber rujukan dalam Islam.
Untuk maklumat lanjut berkaitan program siri syarahan khas ini, boleh layari Facebook Rumah Ngaji atau hubungi 03-5101 3789.
No comments:
Post a Comment