Siapa juara Pencetus Ummah?
Barisan Finalis Pencetus Ummah (dari kiri) PU Yeop, PU Shahul PU Hafiz dan PU Rahmat.


Berbeza latar belakang dan pendidikan, namun sasaran serta matlamat mereka dalam usaha dakwah adalah sama!

Itulah gambaran tepat bagi keempat-empat finalis Mimbar Pencetus Ummah (PU) dalam perjuangan mereka di pentas ilmu itu.

Berjaya bertahan sehingga minggu ke tujuh, sekali gus berjaya melangkah ke pentas akhir, masing-masing mempunyai perancangan tersendiri dalam meneruskan aktiviti dakwah.

Baik PU Shahul, PU Yeop, PU Hafiz mahupun PU Rahmat, masing-masing bersedia memberikan yang terbaik di pentas akhir PU yang berlangsung pada malam ini.

Memiliki peminat dan pengikut yang tersendiri, kemenangan keempat-empat finalis ini juga sukar diramal.

Pun begitu, perjuangan mereka untuk bergelar juara menuntut agar penyampaian yang diberikan pada malam ini lebih baik dan berbeza dari persembahan sebelum ini.

Dalam pada itu, mereka juga tampil berkongsi perancangan, impian, hala tuju dan usaha mereka dalam menyebarkan dakwah secara meluas kepada masyarakat.


Wujudkan perkampungan Islam

Bagi Shahrul Hameed MPH Seeni Md, atau lebih dikenali sebagai PU Shahul, 38, perjuangannya di medan dakwah ini bukan sekadar memandang kebendaan dan hadiah yang lumayan.

Menurut Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran dan Pengajian Islam (Anak Yatim) Darul Tahzhib ini, dia mempunyai perancangan utama untuk meneruskan dakwah dengan cara yang tersendiri

"Niat saya untuk bertanding dalam PU bersama rakan-rakan yang lain bukan kerana mengejar hadiah seperti kereta dan wang tunai itu. Harta sebegitu tidak akan kekal untuk selamanya.

"Saya berhasrat untuk mewujudkan perkampungan Islam di Pulau Pinang memandangkan negeri itu hanya merangkumi 10 peratus golongan Islam.

"Sekiranya rezeki berpihak kepada saya, saya akan berusaha untuk mendapatkan sumbangan, dana dan  menghebahkan perkara ini dengan lebih luas lagi menerusi platform PU. Itu adalah matlamat utama saya sebagai tenaga pendidik," kata pemilik Yayasan Al-Filfilani ini.


Hasil belajar di pondok

Dari segi persiapan di pentas akhir, malam ini, PU Shahul mengakui segala perancangan dan idea dibentangkan kepada Murabbi pada malam Isnin lalu.

Menurutnya, walaupun ia merupakan penyampaian terakhir di pentas PU, namun segala persiapan yang dilakukan hanyalah biasa sahaja.


"Persediaan hanyalah biasa-biasa sahaja, lagipun sebelum ini, idea itu akan datang pada saat-saat terakhir.

"Jadi, dari situlah kita akan cuba memberi cadangan kepada Murabbi dan jika mereka setuju, ada beberapa perubahan yang akan dibuat," katanya lagi.

Bercerita mengenai latar belakangnya, anak jati Pulau Pinang ini memberitahu bahawa perjuangannya dalam bidang dakwah ini mula tercetus sejak dia menyertai pengajian di pondok.

Walaupun tidak seperti kebanyakan rakan-rakannya yang memilih sistem persekolahan asas, penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini mengakui tidak pernah merasa rugi dengan tindakannya.

"Sejak kecil lagi, saya hanya belajar di pondok dan saya tidak pernah rasa rendah diri dengan platform yang saya pilih.

"Saya sendiri tidak faham mengapa masyarakat suka memandang enteng dalam hal ini sedangkan saya juga mampu menjejakkan kaki ke pusat pengajian dan universiti sehingga ke Universiti Al-Azhar Mesir.

"Malah, saya sendiri berbangga dengan pencapaian saya walaupun hanya menggunakan medium yang dipandang remeh kerana niat saya hanya satu, iaitu berkongsi ilmu dan meluaskan dakwah kepada masyarakat," kata pemilik Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Al-Quran dan Sunnah, ini.


Bawa ibu bapa pergi Umrah

Bagi anak kelahiran, Bagan Datoh, Perak ini, PU Yeop atau nama sebenarnya, Mohd Zinudin Mohamed Zaini, 32, dia turut mempunyai perancangan tersendiri sekiranya dinobatkan sebagai juara.

Menurut Penolong Pegawai Tadbir Agama di Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), ini, habuan yang berupa RM50,000 itu akan digunakan untuk membawa kedua orang tuanya ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.

"Insya-ALLAH, sekiranya kemenangan berpihak kepada saya, saya berjanji untuk membawa ibu bapa saya ke Mekah.

"Untuk isteri pula, saya berjanji untuk menghadiahi kereta kemenangan itu kepadanya. Namun, sekiranya bukan rezeki saya pada malam ini, saya akur kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri.

"Namun, kemenangan itu bukanlah perkara utama yang perlu diutarakan kerana bagi saya, finalis yang dipilih untuk ke final merupakan juara. Apa yang pasti, usaha dakwah saya akan berterusan dan sentiasa ada untuk masyarakat," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda bidang Al-Quran dan Sunnah, UKM.

Tambah PU Yeop, dia juga terpaksa memohon cuti tanpa gaji selama tiga bulan untuk menyertai PU kerana komitmen kedua-duanya sukar dibahagikan sama rata.
"Selepas ini, saya perlu pilih antara dua, untuk bekerja ataupun berdakwah kerana sukar membuat dua kerja penting dalam satu masa," kata pemilik syarikat, Akademi Al-Quran Darul Salam ini.  


Gugup perlu ada

Bercerita mengenai pengalaman di sepanjang berada di pentas PU, PU Yeop mengakui dia sukar menghilangkan rasa gugup setiap kali persembahan.

"Memang tiap kali persembahan, gugup itu tetap ada. Namun, ada yang memberitahu saya, gugup ini bagus kerana ia membatasi kita untuk berasa terlalu yakin.

"Setiap kali nak naik ke pentas, saya akan ulang alik ke tandas beberapa kali. Malah, peserta lain pun ada yang begitu.

"Usai persembahan, baharulah lega dan saya akan melihat kembali persembahan itu di laman sosial, Youtube. Dengan cara itu, saya akan tahu di mana kelemahan persembahan itu dan cuba memperbaikinya di episod akan datang," katanya yang turut mengguna pakai pandangan penonton menerusi, Facebook miliknya.

Di pentas akhir ini, PU Yeop mengakui bukan mudah menyampaikan tajuk yang diberi dalam masa tiga minit dengan serab ringkas, unik, dan mampu menarik minat penonton.

"Saya memang biasa menghadiri majlis untuk memberi ceramah dan motivasi kepada seluruh lapisan umur. Namun, ianya berbeza di pentas PU kerana kita dicabar dengan masa yang singkat.

"Malah, bukan mudah untuk mengupas kesemuanya dalam masa itu dan sekiranya kita tidak fokus, ia akan memberi impak kepada penyampaian," katanya.


Bukan medan bertanding!

Bagi Muhammad Hafiz Mohd Haneefa, 32, atau lebih dikenali sebagai, PU Hafiz, medan PU bukanlah satu pertandingan semata-mata.

Menurut anak jati kelahiran Klang ini, mereka masing-masing mempunyai matlamat tersendiri dalam memberikan sesuatu kepada masyarakat.

"Ia bukanlah satu pertandingan semata-mata yang mana ianya akan tamat sebegitu sahaja. Masih ada perkara lain yang lebih penting untuk diutamakan dalam perjuangan ini.

"Malah, bagi saya, masyarakat juga mahu merasakan perubahan dan pembaharuan dalam konsep berkongsi ilmu.

"Malah, sepanjang penglibatan saya di pentas PU, dengan izin Allah SWT, saya berjaya menyelamatkan dua pasangan suami isteri yang hampir bercerai dan beberapa permasalahan lain," katanya yang memberitahu pelbagai persoalan yang diutarakan masyarakat kepadanya termasuk laman sosial.

Tambah PU Hafiz, bukan sahaja masalah yang melibatkan rumah tangga, malah masalah lain juga akan diberi perhatian agar ianya tidak memudaratkan keadaan.


Idam kemenangan

Walaupun menyedari tiga finalis lain merupakan pencabar hebatnya, namun jauh di sudut hati PU Hafiz mengharapkan kemenangan.

Menurut pensyarah Qiraati dan Naib Presiden Akademi, Kolej Hafiz, Klang, ini, kemenangan itu bakal dijadikan batu loncatan untuk menaik taraf sekolah agamanya.

"Ibu bapa saya memiliki sekolah agama yang diuruskan sendiri dan saya pula terlibat dengan badan bukan kerajaan (NGO) Tahfiz di Selangor.

"Sehingga kini, seramai 9,000 pelajar bergabung di bawah NGO ini dan semestinya kami lebih proaktif dalam mengumpul dana dan sumbangan daripada orang ramai.

"Jadi, saya bertanggungjawab membawa sekolah agama ini ke arah penambah-baikkan dan memperkenalkan pendidikan ini secara lebih dekat," kata pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) Al-Quran dan Sunnah, UKM ini.




Paling muda, popular

Merupakan finalis paling muda di pentas PU, PU Rahmat turut mencatat bilangan pengikut di laman sosial paling tinggi dalam kalangan finalis lain.


Enggan mendabik dada dengan penerimaan masyarakat terhadap perjuangannya dalam usaha dakwah, pemilik nama sebenar, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, 20, ini tidak hanya bersandarkan kepada rupa sahaja.

Menurut PU Rahmat, walaupun ada yang menganggap penyertaannya dalam PU hanyalah untuk menjual rupa, namun niatnya hanya satu, iaitu untuk menarik minat golongan muda dalam mendekati Islam dengan lebih dekat.

"Saya mengambil contoh para sahabat di mana mereka terdiri daripada golongan muda dan pendekatan ini secara tidak langsung ia boleh memberi cetusan kepada mereka.

"Namun, saya tetap menekankan konsep, di mana sebelum kita mencetus minat kepada orang lain, kita perlu menjadi pencetus terlebih dahulu.

"Jadi, usia tidak perlu dijadikan alat pengukur kerana usaha saya hanyalah untuk menarik golongan belia seperti saya," kata anak jati Kuala Lumpur ini.


Komuniti Pencetus Ummah

Menyedari kedudukannya merupakan 'adik bongsu' dalam keluarga PU, PU Rahmat tidak terdaya untuk meletakkan harapan setinggi gunung buat dirinya.

"Sebenarnya, dari segi ilmu, saya adalah finalis yang paling kurang dari segala aspek. Saya amat mengagumi ketiga-tiga finalis lain kerana mereka hebat-hebat belaka.

"Namun, tidak kurang juga peserta yang kurang bernasib baik di pentas PU kerana bagi saya, mereka mempunyai latar belakang agama yang cukup kuat berbanding sahaja yang hanya setahun jagung.

"Sekiranya rezeki berpihak kepada saya, pada malam ini, ia adalah cabaran besar untuk saya selepas ini," katanya yang turut memberitahu perancangan peserta PU untuk di masa yang akan datang.

Jelas PU Rahmat, memandangkan kesemua peserta PU mempunyai keistimewaan yang tersendiri, mereka bakal menubuhkan komuniti, Pencetus Ummah.

"Dalam komuniti itu, kesemua peserta terlibat dan masing-masing mempunyai peranan dalam menyebarkan dakwah dengan lebih meluas.

"Kami akan menggunakan konsep yang sama di pentas PU, namun ia diadakan dalam bentuk program menyampai dakwah kepada masyarakat dengan lebih dekat lagi.

"Sekiranya kami dipanggil untuk berada di karnival contohnya, kami akan membuka pentas seperti di PU dan turut membuka sesi soal jawab bersama pengunjung," katanya.