UtusanDaily

Saturday 11 January 2014

Perak paling banyak terima pelancong domestik

IPOH - Sebanyak 5.7 juta pelancong domestik mengunjungi Perak pada tahun 2012, menjadikan ia negeri yang paling banyak menerima kedatangan pelancong domestik pada tahun itu.

Menteri Pelancong dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata maklumat daripada data Jabatan Perangkaan Malaysia itu merupakan indikasi positif bagi Perak yang menyasarkan kedatangan sejumlah lima juta pelancong pada Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

"Saya percaya sasaran itu boleh dicapai memandangkan Perak mempunyai tarikan-tarikan pelancongan yang cukup baik daripada sudut sejarah, warisan dan budaya," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Pakej Pelancongan Kereta Api Perak sempena TMM 2014 di sini malam tadi.

Beliau berkata Perak kaya dengan sejarah dan warisan selain keindahan alam semula jadi yang menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

"Antara tempat menarik di Perak ialah Taman Negeri Royal Belum, Gua Tempurung, Zoo Taiping dan Night Safari, The Limestone Wonder, Lumut dan Pulau Pangkor serta Kuala Kangsar Bandar Diraja," katanya.

Mengenai pakej pelancongan kereta api, Mohamed Nazri berkata kementerian bekerjasama rapat dengan Persatuan Pelancongan Keretapi Malaysia untuk menerajui industri itu bagi memaksimumkan potensinya.

"Perak merupakan negeri pertama melancarkan pakej itu bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya.

TMM 2014 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 Jan lepas adalah siri keempat kempen TMM, lanjutan daripada kejayaan tiga kempen terdahulu iaitu pada 1990, 1994 dan 2007.

Kempen kali ini pasti akan memacu industri pelancongan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi selain memberi faedah kepada setiap sektor industri pelancongan dan pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara.- Bernama

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive