Oleh KEMALIA OTHMAN
KAJANG: Peserta dari Selangor, Muhammad Hafiz Mohd Haneefa
diumumkan sebagai juara program Mimbar Pencetus Ummah musim pertama
selepas berentap selama tujuh minggu pada acara yang diadakan di Pusat
Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), di
sini, malam Khamis.
Hafiz, 32, memilih tajuk Pendakwah: Untung Dunia, Untung Akhirat
sebagai tazkirah untuk pusingan pertama, manakala tajuk Kehidupan
Rasulullah Sehingga Kewafatannya bagi pusingan kedua dengan tema cinta
Rasulullah.
Hafiz berjaya menyampaikan tazkirah dan menjawab soalan yang diajukan
dengan lancar dan mendapat pujian daripada juri tetap pada kedua-dua
pusingan.
Dia turut berjaya membawa pulang sebuah kereta Prius C, wang tunai
berjumlah RM50,000, pakej umrah untuk dua orang, pakej percutian halal
ke China dan sebuah trofi.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Shahrul Hamid dengan membawa pulang wang tunai RM30,000.
Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohamed Zaini dan keempat Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, masing-masing membawa RM10,000.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Astro, Tun
Zaki Tun Azmi; Ketua Pegawai Kewangan Astro, Rozaini Mohd Sani dan Ketua
Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.
Tiga juri tetap yang mengadili para peserta terdiri daripada Datuk
Ustaz Hassan Mahmud, Ustaz Kazim Elias, dan Habsah Omar (Abby Fana).
Datuk Aznil Hj Nawawi bertindak sebagai juri jemputan.
Mimbar Akhir Pencetus Ummah dimeriahkan oleh persembahan nyanyian
daripada artis popular seperti Aris Ariwatan, Hijaz dan pengacara
undangan Fahrin Ahmad.
Program itu dihoskan oleh Ustaz Dr Ridhuan Tee Abdullah dan disiarkan secara langsung di Astro Oasis.
Selain itu, beberapa selebriti turut hadir bagi menyaksikan program
akhir ini antaranya Rozita Che Wan, Heliza Helmi, Ayu Raudah, Datuk
Ramli MS, Ashraf Muslim, Siti Nurdiana, Nubhan dan Yatt Hamzah.
No comments:
Post a Comment