BUKIT MERTAJAM 10 Dis. - Mayat seorang lelaki dalam keadaan bogel dengan kaki dan tangannya terikat ditemui orang ramai di dalam semak di tepi jalan berdekatan Kuari Weng Lee, Berapit di sini.
Mayat yang ditemui pada pukul 10.35 pagi itu dibaluti selimut berwarna putih dan dalam keadaan kembung, menggelupas serta berbau busuk.
Beberapa orang awam yang menemukan bungkusan tersebut membukanya tetapi terkejut apabila mendapati ada mayat yang masih terikat kaki dan tangannya.
Mereka kemudian memaklumkan penemuan tersebut kepada polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Azman Abd. Lah ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampakkan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, polis tidak dapat mengesahkan identiti mangsa kerana tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri bersamanya.
"Kita sedang menyiasat dari pelbagai sudut untuk mengenal pasti motif kejadian dan bagaimana mayat dibuang di sini," katanya di sini hari ini.
Mayat dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta melaporkannya di mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment