UtusanDaily

Saturday 14 December 2013

Apa dah jadi sepak takraw?

NAY PYI TAW - Tidak ada sebarang kemenangan yang dicatatkan pasukan sepak takraw lelaki dalam acara berpasukan di Sukan SEA Myanmar apabila mereka turut tewas perlawanan terakhir 1-2 kepada Indonesia, semalam.

Perkara tersebut jelas sekali mengecewakan pengendali mereka, Jamaluddin Hassan kerana anak buahnya mencatat keputusan yang memalukan pada temasya dwi tahunan ini.

Selepas skuad wanita dibelasah 0-3 dalam ketiga-tiga perlawanan menentang Thailand, Myanmar dan Indonesia semalam, kali ini tiba giliran skuad lelaki pula merekodkan kekalahan ketiga berturut-turut dalam acara berpasukan.

Mereka kalah 0-3 kepada Thailand dan 1-2 dalam dua perlawanan pertama kelmarin, diikuti dengan kegagalan mengatasi Indonesia pada perlawanan terakhir di Stadium Tertutup Wunna Theikdi semalam.

Kekalahan itu merupakan yang terburuk dalam sejarah, sekali gus meleburkan impian Malaysia untuk menamatkan kemarau pingat emas dalam acara berpasukan sejak 22 tahun lalu.

Menurut Jamaluddin, dia bertanggungjawab di atas semua kekalahan tersebut dan perlu menerimanya bahawa masih terdapat lagi kelemahan buat skuad negara.

"Saya rasa cukup setakat ini. Saya tidak cakap saya akan meletak jawatan tetapi terpulanglah kepada pihak pengurusan," katanya selepas perlawanan tamat semalam.

Jelasnya, dia tidak menyalahkan pemain tetapi mereka telah melakukan segala-galanya dan itu sahaja pemain yang dimilikinya.

"Saya tidak mempunyai banyak pilihan tetapi menyahut cabaran untuk memikul tanggungjawab yang besar bagi membentuk skuad yang mantap meskipun menyedari barisan pemain sedia ada masih muda dan kurang berpengalaman.

"Saya tidak menafikan bahawa kekalahan skuad negara berpunca daripada persembahan di bawah tahap sebenar yang dipamerkan para pemain ketika berada dalam gelanggang," katanya yang kembali membimbing skuad kebangsaan pada 2011.

Katanya, pemain negara tidak beraksi dengan baik ketika berada dalam gelanggang sedangkan dia sudah memberi segala ilmu dan kini terpulanglah kepada pemain untuk melakukannya.

Pada aksi terakhir acara berpasukan lelaki semalam, regu pertama negara yang diketuai Mohd. Syareenqamar Salehan, Mohd. Hanafiah Dolah dan Noor Azman Abdul Hamid tewas 21-10, 21-17, 8-21.

Regu kedua yang menampilkan Fahran Adam, Norshahruddin Md. Ghani dan Sahidan Md. Ali pula tumpas 23-21 dan 21-12.

Meskipun regu ketiga yang dibarisi Mohd. Muqlis Borhan, Mohd. Kamal Alfiza Shafie dan Izurin Refin bangkit untuk menewaskan Indonesia 21-17, 21-8, ia sudah terlambat dan tidak memberikan sebarang makna.

Meskipun skuad lelaki dan wanita negara sekadar menduduki tempat tercorot, mereka tetap membawa pulang pingat gangsa bersama dengan pasukan yang menduduki tempat ketiga.

Dalam acara berpasukan lelaki, pingat emas dimenangi Thailand diikuti Indonesia (perak), Myanmar dan Malaysia (gangsa), manakala pingat emas bagi acara berpasukan wanita menjadi milik

Thailand, Myanmar (perak), Indonesia dan Malaysia (gangsa).

Skuad negara akan meneruskan cabaran dalam acara regu lelaki dan wanita hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive