KOTA BHARU - Keadaan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya apabila semua 99 mangsa banjir yang ditempatkan di empat buah pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, 94 orang di Rantau Panjang, Pasir Mas dan bakinya di Pengkalan Kubor, Tumpat dibenarkan pulang selepas pukul 10 pagi.
Sehubungan itu, semua pusat pemindahan sementara ditutup, menurut portal berkenaan.
Sejak banjir melanda enam jajahan di Kelantan sejak minggu lalu, lebih 2,000 orang dipindahkan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir itu.
Kesemua mereka yang dipindahkan itu juga berpuas hati dengan peranan agensi kerajaan dalam membantu mereka berpindah dan segala kemudahan yang diberikan kepada mereka di pusat pemindahan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed turut meluangkan masa melawat kawasan bencana itu di beberapa tempat di negeri ini, Jumaat lalu.
Keadaan cuaca di Kelantan ketika ini adalah mendung dan semalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mengingatkan penduduk supaya berhati-hati dengan kemungkinan banjir pusingan berikutnya selepas ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment