UtusanDaily

Thursday, 7 November 2013

Sekeping gambar temukan jodoh saya semula

http://panduanpercuma.info/wp-content/uploads/2012/02/wanita-solehah.jpg
MENCARI sesuatu yang hilang terkadang mengambil masa bertahun-tahun. Sukar untuk mengesan jejak-jejak yang terhakis oleh masa yang terlalu pantas meninggalkan kita sehingga terpaksa melupakan hasrat untuk menemuinya semula.

Putus harapan atau putus asa tidak sepatutnya dimiliki oleh seseorang manusia, sebaliknya kuatkan azam dan himpunkan kekuatan sebanyak yang mungkin dan berusaha untuk memiliki semula apa sahaja yang hilang.

Namun apabila membabitkan kehilangan orang tersayang, tentunya memerlukan masa yang lama untuk melupakannya. Tetapi berbekalkan keimanan, semua itu mampu diatasi.

Insya-Allah segalanya mungkin jika ada kemahuan dan berusaha untuk ke arah itu dengan izin Allah SWT.

Itulah sebahagian daripada mukadimah dalam kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah yang dikirimkan oleh Zamri (bukan nama sebenar) kepada saya memang jarang berlaku tetapi sebenarnya ia berlaku dalam kehidupan kita hari ini antara disedari atau tidak.

Kita ikuti kisah Zamri seterusnya untuk iktibar bersama.


"Saya seorang duda dalam lingkungan usia 40-an yang kematian isteri dalam satu nahas jalan raya tujuh tahun lalu. Sebagai seorang yang berkecimpung dalam dunia bisnes, tentunya saya mempunyai ramai kenalan yang terkadang saya tidak mengingati mereka.

"Saya sentiasa sibukkan diri kerana mahu melupakan tragedi yang menimpa keluarga saya terutama mengenangkan arwah isteri yang sangat saya cintai.

"Syukur saya masih mempunyai seorang zuriat yang kini di bawah jagaan ibu saya berusia 15 tahun. Selepas kematian isteri, saya langsung tidak terfikir untuk bernikah lagi.

"Pintu hati saya tertutup rapat untuk mana-mana perempuan kerana ingatan terhadap arwah isteri yang sangat mendalam dan merasakan sukar untuk mencari pengganti isteri yang terlalu banyak berkongsi susah senang dengan saya semasa hayatnya.

"Sehinggalah pada suatu hari, saya menerima suatu pesanan ringkas daripada seseorang yang mendakwa kenalan semasa kami menuntut di universiti luar negara.

"Disebabkan kesuntukan masa, saya tidak memenuhi permintaannya untuk berjumpa. Sehari selepas itu, saya masih lagi menerima pesanan ringkas yang sama sehingga akhirnya saya mengalah dan menjemputnya ke pejabat.

"Saya sengaja mengatur pertemuan kami di pejabat kerana tidak mahu terlibat dengan fitnah, maklumlah saya duda, dia saya tidak tahu pula sama ada telah berumah tangga atau masih solo.

"Dalam pada menunggu akhirnya saya dikejutkan dengan suara memberi salam. Maaf mengganggu En. Zamri. Nama saya Habsah ( bukan nama sebenar ), lembut suara itu menyapa.

"Saya terkejut seketika dan memandang wanita yang berada di hadapan saya tanpa berkedip. Saya mengenali encik sewaktu menghadiri suatu seminar yang diadakan sebulan yang lalu, sambungnya mengganggu lamunan saya seketika.

"Kita juga pernah menuntut di universiti yang sama, mungkin En. Zamri tidak mengenali saya, tapi saya masih ingat dengan En. Zamri, katanya bercerita.

"Saya biarkan sahaja Habsah berbicara dengan tutur katanya yang lemah lembut dan sopan itu kerana ingin mengetahui maksud sebenar hajatnya berjumpa saya.

"Selepas kematian isteri, En. Zamri tidak berkahwin lain kah? Di mana anak En. Zamri? Soalannya merimaskan saya. Lalu saya bertanya, apa sebenarnya tujuan Cik Habsah ingin bincang dengan saya?.

"Sambil mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya, dia menghulurkan sekeping gambar. Melihat gambar itu, sekali lagi saya tergamam.

"Ini gambar isteri arwah saya dan siapa di sebelahnya? Naluri ingin tahu saya melonjak-lonjak. Hilang rasa segan saya dengan wanita yang ada di depan saya itu.

"Saya inginkan kepastian tentang gambar yang dibawa oleh wanita tersebut. Habsah hanya tersenyum dan saya menjadi semakin keliru. Nak bertanya malu tetapi saya menunggu dia bertindak dahulu.

"Sebenarnya yang di sebelah isteri En. Zamri itu adalah saya. Kami sebenarnya bersaudara. Arwah Hasni adalah kakak saya. Kami berpisah ketika masih kanak-kanak.

"Malah kami tidak pernah berjumpa setelah itu kerana saya berhijrah ke luar negara, belajar dan bekerja di sana. Hinggalah saya dapat tahu dia bernikah dengan En. Zamri dan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

"Ya Allah kecilnya dunia. Tanpa ragu-ragu, saya terus mempelawa Habsah ke rumah untuk berkenalan lebih jauh dan mendengar cerita mengenai perpisahannya dengan arwah isteri saya. Pelawaan saya diterima dengan baik oleh Habsah.

"Saya menghubungi emak dan memberitahu ada tetamu istimewa yang akan bertandang. Dalam hati, saya macam-macam perkara yang saya fikirkan. Tentang ibu, Azman dan arwah isteri saya.

"Sampai sahaja di rumah, kami memberi salam dan emak muncul di hadapan kami, langkahnya tiba-tiba terhenti apabila melihat Habsah. Dia meluru memeluk erat Habsah sambil menangis.

"Saya berhenti melangkah, apa ceritanya pula ni? Ada drama lagi ke? Hati bertanya-tanya. Dapat ke surat yang mak cik kirimkan tu? Saya dengar ibu bertanya Habsah.

"Ya... dapat dengan gambarnya sekali. Habsah dilihat mengesat air matanya berulang kali sambil terus memeluk ibu. Saya semakin hairan dengan insiden ini tetapi tidak bertanya banyak kerana mahu mendengar sendiri cerita daripada ibu.

"Sewaktu makan malam bersama keluarga, emak menceritakan kepada saya Habsah adalah anak angkatnya.

"Semasa saya berkahwin dengan arwah isteri, saya tidak tahu dia ada adik. Malah ibu saya juga tidak tahu arwah menantunya dan Habsah adalah darah daging.

"Kini saya mulai faham mengapa emak begitu mesra dengan Habsah dan menangis bila bertemu wanita itu. Ibu mendapat tahu tentang perkara ini setelah Habsah mengirimkan gambar meminta ibu mencari kakaknya yang telah lama tidak ditemui.

"Rupa-rupanya kakak yang dicari itu adalah arwah isteri saya. Semuanya terbongkar setelah gambar itu sampai ke tangan ibu, tetapi ibu sengaja rahsiakan daripada saya dan meminta Habsah sendiri berjumpa saya untuk bercerita hal sebenar.

"Padanlah Habsah yang mencari saya, rupanya ibu turut memainkan peranan. Kehadiran Habsah telah menceriakan rumah kami dan anak saya Azman sangat gembira dengan pertemuan ini. Mungkin sebab wajah Habsah ada iras arwah ibunya.

"Sepanjang tempoh itu, saya memerhati tingkah laku Habsah dan kemesraannya dengan ibu dan anak saya. Cuma saya tidak tahu sama ada dia masih solo atau sudah menjadi hak orang. Ibu tersenyum menyindir apabila dia beritahu saya, Habsah masih belum berkahwin sehingga sekarang.

"Jawapan ibu menjadikan saya tersenyum sendiri. Peluang saya terbuka luas. Selang beberapa hari, saya memberitahu emak bahawa saya telah menemui bakal calon pengganti arwah isteri.

"Ibu amat gembira dengan berita tersebut walaupun dia tidak tahu siapa. Dia teruja untuk bertemu dengan bakal calon menantunya.

"Satu hari, saya sengaja mengajak Habsah keluar membeli-belah bersama anak tunggal saya Azman yang nampaknya mula mesra dengan Habsah.

"Tujuan saya untuk melihat sejauh mana Azman serasi dengan Habsah.

"Ini peluang baik yang saya nantikan. Letih berjalan, kami singgah di sebuah restoran sambil menjamu selera. Secara tiba-tiba anak saya bersuara 'ayah, Man nak minta sesuatu daripada ayah tapi ayah jangan marah tau! Katanya sambil ketawa.

"Sebelum ini, saya tidak pernah menghalang permintaan Azman, kerana dia tidak pernah meminta sesuatu yang ganjil dan menyusahkan saya.

"Cakaplah apa yang Man nak, insya-Allah nanti ayah pertimbangkan. Saya semakin keliru dengan sikap Azman bila dia tersenyum dan tunduk malu. Habsah hanya mendiamkan diri melihat saya melayan Azman dengan mesra sekali.

"Kami berpandangan sesama sendiri bila Azman berkata, ayah kahwinlah dengan makcik Habsah...buat ganti ibu. Malunya saya!

"Ya Allah budak ini, saya terkejut dan merah padam muka menahan malu sementara Habsah tersenyum dan tidak berkata apa-apa. Apa yang saya rancang sama seperti apa yang anak saya impikan.

"Sebenarnya kami tidak pernah berbincang mengenai pengganti ibunya tetapi naluri seorang anak juga amat memahami fitrah seorang ayah yang ingin membina sebuah keluarga yang sempurna dan selesa.

"Ibu amat gembira apabila saya maklumkan berita itu. Seminggu selepas itu, ibu melamar Habsah dan tiga bulan kemudian kami disatukan.

"Terima kasih Man, itu yang saya bisikan kepada anak saya selepas saya dan Habsah selamat dinikahkan. Jika sebelum ini saya bimbang untuk bernikah kerana takut Azman kecil hati, keadaan kini telah menjadi sebaliknya.

"Dia sendiri yang meminta saya mencari pengganti ibunya. Saya amat terharu kerana tidak mudah untuk seorang anak remaja menerima pengganti ibunya.

"Kini, kami bahagia dengan kehadiran orang baru seorang bayi perempuan peneman hidup Azman.

Ibu saya adalah insan yang paling gembira dengan takdir yang sungguh tidak diduga ini.

"Dia bukan sahaja mendapat menantu tetapi juga bertemu kembali dengan anak angkatnya yang telah lama terpisah.

"Inilah yang dikatakan jodoh. Kita hanya merancang, Allah yang jadi penentu. Saya bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk beristeri dan mengecap kebahagiaan hidup berkeluarga seperti orang lain.

"Yang paling penting, kebahagiaan Azman yang selama ini hanya menumpang kasih dengan ibu saya. Moga Allah pelihara kebahagiaan hidup kami selamanya. Amin," Zamri menamatkan ceritanya.

Saya setuju dengan kata-kata Zamri bahawa semua itu jodoh yang ditentukan oleh Allah SWT.

Itulah rahsia Allah untuk hamba-Nya. Zamri telah dikurniakan seorang isteri yang baik dengan restu ibu dan anaknya. Apa lagi yang diharapkan oleh seorang lelaki melainkan kebahagiaan seperti ini.

Salam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131026/ke_02/Sekeping-gambar-temukan-jodoh-saya#ixzz2ju73EtUv
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive