Berdasarkan kaji selidik yang dikeluarkan oleh Pengukuran Pendengar Radio Nielsen, Liputan 2, tahun ini, rangkaian Astro Radio berjaya mengekalkan kedudukan sebagai radio nombor satu Malaysia dengan mengumpul lebih 12.2 juta pendengar setiap minggu.
Malah tiga stesen radio utamanya turut menguasai tiga tempat teratas dengan radio ERA fm di tempat pertama, THR (Raaga & Gegar) di tangga kedua dan SINAR fm menyusul di kedudukan nombor tiga.
ERA fm yang dinobatkan sebagai stesen nombor satu negara dan radio Bahasa Melayu paling popular menunjukkan peningkatan pendengar seramai 4.7 juta seminggu. Malah, rancangan pagi popular 'JoHaRa Pagi ERA' yang dikendalikan oleh Johan, Haniff dan Ray terus menduduki tangga pertama rancangan pagi dengan 2.73 juta pendengar.
Begitu juga dengan prestasi SINAR fm berada di tangga teratas bagi stesen radio dikalangan pendengar 30 tahun ke atas. Rancangan sarapan pagi SINAR fm iaitu 'SINAR Pagi' juga mencatatkan 1.8 juta pendengar.
Selain itu, stesen radio THR Gegar terus bertakhta di jiwa pendengar Pantai Timur apabila muncul sebagai stesen radio utama di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Prestasi cemerlang menyaksikan pendengar eksklusif meningkat dari 660,000 kepada 789,000 pendengar.
Secara keseluruhannya, stesen radio berbahasa Inggeris dan Cina turut mencatat peningkatan membanggakan. Tahniah diucapkan untuk Astro Radio yang sentiasa menyampaikan hiburan dan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pendengar di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment