UtusanDaily

Friday, 8 November 2013

Perbankkan Islam : Pilihan di tangan umat Islam

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
Gambar GHAZALI BASRI

http://www.niftiportal.com/images/uploads/Islamic-Finance13.jpg
SISTEM perekonomian Islam merupakan salah satu cabang syariat agama seperti mana termaktub di dalam al-Quran dan al-sunnah serta wajib digunakan dalam kehidupan seharian.

Tanpanya, akan berlaku kepincangan urusan jual beli sesama manusia kerana wujudnya penindasan akibat berleluasa perbuatan riba.

Hal ini kerana dalam sektor muamalah, amalan riba dilarang bahkan unsur gharar (ketidaktentuan) juga diharamkan jika terdapat perkara berkenaan dalam urusan jual beli.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 275 surah al-Baqarah yang bermaksud: Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Malah ayat itu telah menjadi asas kepada sistem perekonomian Islam sejak ia diturunkan sehingga ke hari ini.

Bahkan sistem ini turut mendatangkan manfaat kepada umat Islam agar tidak berlaku kezaliman oleh para peniaga mahupun pembeli.

Namun demikian, walaupun syariat Islam itu sudah lama terkandung dalam al-Quran dan al-sunnah di muka bumi ini, namun ramai umat Islam tidak mengetahui dan menguasai ajaran yang terkandung di dalam kedua-dua panduan itu termasuklah sistem kewangan Islam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Badlisyah Abdul Ghani, masyarakat Islam hari ini perlu dan wajib melakukan transaksi atas landasan syariah termasuklah daripada sudut penggunaan produk kewangan Islam.

Ujar Badlisyah, malangnya ramai dalam kalangan umat Islam termasuk di Malaysia masih lagi tidak mengetahui produk kewangan Islam serta tidak didedahkan bagaimana untuk melakukannya.

Badlisyah berkata, tanpa disedari sistem kewangan Islam telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun lalu, malah di negara ini telah bertapak ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Terang beliau, hal itu dibuktikan melalui produk wakaf, zakat, mudarabah, ijarah dan sebagainya sehinggalah empayar kerajaan Islam sesuatu ketika dahulu mampu menguasai ekonomi dunia dan serantau.

"Sebenarnya sistem kewangan Islam sudah sekian lama diguna pakai di negara ini, namun ramai di luar sana tidak mengetahui fakta sejarah itu kerana diubah oleh penjajah.

"Alhamdulillah, Malaysia amat bertuah kerana dalam kalangan kita tidak buta sejarah apabila sejurus mencapai kemerdekaan dari British, kerajaan segera memperkenalkan semula sistem kewangan Islam menerusi penubuhan Tabung Haji.

"Akhirnya pada awal 80-an, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Akta Perbankan Islam yang telah diwartakan pada 10 Mac 1983 bagi membolehkan penubuhan institusi perbankan Islam di bawah pengawalseliaan Bank Negara," jelas Badlisah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Simposium Celik Muamalah Peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Badlisyah menambah, ramai tidak menyedari sebelum negara ini memperkenalkan sistem kewangan Islam, beberapa negara seperti di Asia Barat menemui kegagalan kerana wujud kekangan.

"Apa yang diusahakan dan dimajukan sebagai industri kewangan Islam moden di negara ini adalah untuk kebaikan kita semua supaya boleh menjalani kehidupan lengkap sebagai seorang Muslim.

"Berbanding negara-negara lain, kita di Malaysia mempunyai pilihan tulen dalam mengurus kehidupan peribadi, peniagaan serta pelaburan dengan betul berlandaskan syariah," kata Badlisyah.

Kurang sambutan

Namun demikian, Badlisyah menyatakan bahawa perlu diakui bahawa sektor perbankan Islam yang ada sekarang walaupun bertapak di Malaysia hampir 50 tahun, namun masih kurang sambutannya. Ini kerana masih ramai dalam kalangan umat Islam itu sendiri yang memilih menggunakan perbankan konvensional.

Hal ini kerana jelas Badlisyah adalah kesedaran dan pengetahuan mengenai perbankan Islam masih lemah dan cetek, lebih-lebih lagi mereka masih lagi menyimpan di akaun deposit dalam bank selain urus niaga Islam.

Beliau mendedahkan soal itu bukan sahaja melibatkan individu, tetapi secara tidak sedar, institusi keagamaan seperti masjid dan surau turut menggunakan duit hasil riba apabila punca kewangan mereka disimpan di bank konvensional, sebaiknya jika ia menggunakan kaedah perbankan Islam.

"Oleh demikian, menerusi simposium seperti ini, saya berharap semua penggerak organisasi masjid dan komuniti setempat menjadi ejen perubahan dalam memartabatkan sistem kewangan Islam di bumi Malaysia tercinta ini.

"Kita harus menyedari bahawa sistem kewangan Islam bukan khusus untuk umat Islam sahaja tetapi ia meliputi masyarakat berbilang kaum dan agama kerana transaksinya baik untuk semua pihak," terang Badlisyah.

Dalam pada itu, Badlisyah menggesa semua pihak termasuklah pihak berkuasa agama harus memberikan penerangan kepada umum dalam memperbetulkan salah tanggapan terhadap kewangan Islam.

Ujar Badlisyah, salah satu penyimpangan itu adalah menuduh institusi perbankan Islam mengambil kesempatan dengan mengenakan caj kadar berlebihan dan akhirnya dilabel sebagai zalim serta menjalankan penindasan.

"Selalu persepsi ini dengan diuar-uarkan secara membuat perbandingan pembiayaan rumah mengikut sistem Islam dengan kadar tetap (fixed rate) berbanding berubah-ubah (flexible rate).

"Memanglah perbankan Islam menetapkan kadar lapan atau sembilan peratus berbanding konvensional sehingga serendah 3.5 peratus, namun suatu ketika jumlahnya turun naik dan tinggi, akhirnya ramai tidak sedari ia sebenarnya jauh lebih mahal," jelas Badlisyah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131106/ba_03/Pilihan-di-tangan-umat-Islam#ixzz2k0864G1e
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive